May 31, 2011

Tarif Letrik Naik Menambah Beban ! Tunggulah HARI PERHITUNGAN !

Seperti biasa berikut pengumuman
Alasan klisye berjela dibentang
bagi menutup bimbang
Hangatnya hati rakyat direnjat
Mungkin bangkit menggugat..

Katakan saja tarif letrik naik
Sebagaimana naiknya harga gula
Yang antara alasan racun kesihatan
Hakikatnya pembekal lebih diutamakan
Pengguna diabaikan.

Kini bukan saja tarif letrik naik
Tetapi bersama gula dan petrol
Dan lagu klisye dinyanyikan
Harga masih minimum
Berbanding Negara jiran
Dan seribu satu alasan
Rakyat sebenarnya tidak bodoh
Mereka sebenarnya lebih mengerti
Dengan tipu helah diada-adakan.

Tarif letrik, gula dan petrol naik
Diikuti harga barang dan perkhidmatan
Banjir kenaikan harga merisaukan
Inflasi berganda membebankan
Hingga bila rakyat dihimpit kecemasan ?
Hingga bila rakyat gelisah tertekan ?
Hingga bila rakyat perlu dibebaskan ?
Tunggulah HARI PERHITUNGAN !

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,

26 Jamadil Akhir 1432
30 Mei 21011.

Derma Simpati Mangsa Kebakaran Sungai Ramal Dalam

Sungai Ramal Dalam, 25 Jamadil Akhir = 29 Mei (Ahad):

Kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Taman Khoo Kay Boh, Sungai Ramal Dalam pada 24 Mei (Selasa) lepas menarik simpati baik kalangan ahli politik atau badan-badan kebajikan. Kita bertambah simpati melihat bahawa mangsa kebakaran adalah dari kalangan warga emas - orang seperti Pak Cik Haji Mohd Nor dan Raja Ta`yah yang mempunyai satu-satunya rumah bagi dijadikan tempat berteduh dan berlabuh dalam meniti hidup sebelum berakhirnya hayat. Jika selama ini mereka di dalam keadaan tenang, tetapi bila rumah terbakar, bayangkan kegusaran hidup mereka – tanpa menafikan semuanya takdir.



Semasa kebakaran Adun berkesempatan dengan Tuan Haji Mohd Nor seorang mangsa yang rumahnya terbakar dengan tubuhnya terdedah dan kusut masai dengan rambutnya uban memutihi kepala, membayangkan betapa berat diri dan batinnya menanggung ujian kebakaran, lebih-lebih lagi Raja Ta`yah yang rumahnya paling teruk terbakar yang Adun sempat melawatnya di rumah jiran semasa terbakar dan hingga kini beliau belum pulih dari trauma.


Bersimpati dengan mangsa-mangsa ramai yang bertanya untuk menghulurkan derma bagi meringankan beban yang ditanggung warga-warga emas berkenaan. Misalnya pada jam 10.00 pagi hari Jumaat 20 Mei Adun menerima telefon dari YB. Teresa Kok Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan memaklumkan beliau berhasrat turun ke Sungai Ramal Luar bagi menyampaikan bantuan pada kira-kira jam 11.30 tengahari pada hari Jumaat 27 Mei tersebut, iaitu secara singgah di Sungai Ramal dalam perjalanan untuk ke Lapangan Terbang pada hari tersebut. Adun Bangi menyatakan,bahawa sukar bagi Adun untuk pergi, sedangkan masa itu dekat dengan sembahyang Jumaat. Rundingan dibuat dan beliau bersetuju datang pada hari Ahad 29 Mei, jam 11.00 pagi. Lantaran itu pada pagi itu Adun Bangi datang ke Sungai Ramal bagi meraikan kehadiran YB Exco Teresa Kok.


Turut datang untuk meraikannya ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Puan Norfaezah bt. Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, En. Yusof Bachik Ahli MPKj, En. Steven Chan Ahli MPKj, Tuan Haji Rusli Muhibat Ketua Penghulu Kawasan Kajang, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kg. Sungai Ramal Luar, saudara Hamidi Ketua Cabang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, mangsa-mangsa kebakaran dan orang ramai yang turut sama meraikan.


Pada tengahari ini oleh kerana YB. Teresa tersalah jalan dan lewat sampai maka majlis ringkas dijalankan terlebih dahulu dengan ucapan ringkas dari YB Adun Bangi yang mengalu-ngalukan kehadiran dan menerangkan keadaan pada hari berlakunya kebakaran dan tindakan-tindakan yang diambil. Turut berucap sebaik beliau sampai, iaitu YB Sdr. Teo Nie Ching memaklumkan beliau tidak dapat hadir pada hari berlakunya kebakaran kerana berada di Taiwan berjumpa dengan pelajar-pelajar di sana. Dalam masa tersebut tiba YB Teresa. Beliau menyatakan beliau hadir bukan atas kapasiti Exco, tetapi sebagai Adun Kinrara dan peruntukan digunakan pada hari ini – maksudnya derma yang akan disampaikan adalah dari peruntukan Adun Kinrara. Penyampaian derma pada tengahari itu adalah dari tiga pihak, iaitu dari YB Teresa Kok, diikuti derma dari Adun Bangi sebagai tambahan dari peruntukan yang telah disampaikan pada hari berlakunya kebakaran dan derma dari Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar yang disampaikan oleh Nazirnya Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh. Mereka yang menerima derma dengan tiga kali terima ialah:


1. Raja Ta`yah binti Raja Abdullah (85) – masih trauma diwakili oleh anaknya Cik Wan

Sarah (paling teruk kerosakan)

2. Tuan Haji Mohd Nor bin Moin (78) (Kedua terbanyak rosak)

3. En. Wasfi Idris (ketiga terbanyak rosak – Wakil)

Manakala yang lain mengalami kerosakan ringan iaitu:

  1. Puan Zaiton
  2. Puan Normah
  3. En. Zaini Zaid bin Mat Tahir
  4. En. Azaman Samin

Selepas penyampaian bantuan, para hadirin menyaksikan kerosakan yang dialami, terutama tiga rumah terawal. Rumah Tuan Haji Mohd Nor bin Moin sudah mulai dibaiki kembali, tetapi rumah Puan Ta`yah tak boleh dibaiki melainkan selepas 21 hari, iaitu selepas pihak bomba membuat laporan.


Kita bersimpati dengan mangsa kebakaran, terutama tiga pemilik yang rumah mereka terbakar teruk. Kita akan berusaha menambahkan bantuan, semoga rumah-rumah yang rosak dapat dibaiki segera dan pemilik-pemilik dapat kembali menghuni rumah masing-masing - menikmati kembali ketenangan dan kebahagian dengan keluarga yang dicintai.

Sekian.



May 30, 2011

Indah & Agungnya Setia & Kasih Sayang!

Anekdot (30.5.2011)

Dia seorang anak muda terkenal dengan Setia di kawasannya. Bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi sebagai pegawai biasa. Setianya terserlah dengan kesetiaannya terhadap kerja. Selain dari kerja rasminya, dia diberi amanah sebagai setiausaha surau ditempatnya, bahkan juga diberi amanah mengetuai cawangan bagi parti di kawasannya.

Dia sangat setia kepada kedua ibu-bapanya dengan mengirim nafkah bantuan setiap bulan ke kampong, tetapi bila mereka uzur, maka kedua ibu bapanya di Perak dibawa tinggal bersama di Bangi. Anak setia ini menjaga kedua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang dan mengabaikan dirinya dari berkahwin. Dalam masa jagaannya bapanya meninggal 24 September 2010 dalam usia 88 tahun. Dia terus menjaga ibunya dan turut dibantu adik dan iparnya yang tinggal di level bawah rumah pangsanya.

Betapa setianya, maka pada pagi Sabtu 28.5.2011 dia membahagi setianya. Pertama pada ibunya yang kelihatan uzur oleh ketuaan (82) dengan mengelap tubuhnya dan menyuap makan pagi dan meminta adiknya dari tingkat bawah menjenguk ibunya. Pada pagi itu dia memaklumkan kepada ibunya untuk keluar untuk membeli cat bagi kerja gotong royong mengecat surau yang dia setiausaha surau berkenaan. Selepas membeli cat dia membahagi lagi kesetiaannya dengan pergi menggabung diri bersama dengan pasukan Lajnah Kebajikan bersama Adun menziarah pesakit di West Country dan Taman Sentosa. Semasa di Taman Sentosa berita mengejut diterima ibunya meninggal. Dia bergegas pulang dan kami dan serombongan Lajnah menurutinya pulang menziarah, membaca Yasin dan tahlil beramai-ramai. Sesudah tahlil semasa mau turun ke bawah Adun terserempak dengan ipar lelakinya. Adun berkata,

``Abang anda telah melengkapkan kesetiaan pada bapa dan ibunya dengan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kini keduanya pulang di dalam rahmat Allah, kini anda kena lengkapkan abang anda pula !`` Dia kurang faham dan menjawab (tak tepat dengan maksud dikehendali).
``Dulu analah yang memaksa dia (abang) membeli rumah yang disewa di atas, bagi melengkap dan memudahkan sebelum membawa kedua ibu bapa ke sini.``
Kata Adun, ``O.K, Jika anda dapat memaksanya membeli rumah di atas, maka lebih besar ertinya, jika anda berusaha mencarinya teman yang dapat menjaganya pula, sebagaimana dia menjaga ibu bapanya.``

Dia faham serta senyum dan menjawab, ``Insya Allah kami akan mengusahakan.``
Petang itu Adun datang ke surau yang bakal dicat secara gotong royong, sebelum sedikit waktu asar untuk menyertai sembahyang jenazah bagi ibu yang meninggal. Selepas itu Adun turut mengiringi jenazah ke perkuburan baru di Sungai Tangkas. Selesai pengkebumian, talqin, tahlil, doa dan keluarga menyiram air mawar di atas kuburan, Adun mendekati si Anak Setia, sekali lagi mengucap takziah dan mau memohon diri dan bertanya, ``Mana kubur ayah anda ? (Meninggal lebih kurang setengah tahun mendahului ibunya). Dia menunjukkan arah dan berkata, ``Semasa ibu saya datang mengiringi jenazah bapa dulu, arwah berkata,
``Cantik kubur-kubur di sini tersusun. Ibu juga kalau dapat bila meninggal mau juga dikuburkan di sini !`` . Al-hamdulillah Allah mengkabulkan hasrat ibu anda ! Tapi, Adun menambah, ``Anda perlu melengkapkan diri anda dengan mencari seorang yang dapat memberi perhatian terhadap anda, sebagaimana anda memberi perhatian terhadap ibu anda dan kiranya anda meninggal, dia juga sebagaimana ibu anda, mau turut dikuburkan di sisi anda ! Insya Allah`` Tepegun dia mendengar nasihat dariku !

Dan Adun sekali lagi dengan semua episod di atas bertembung dengan kesetiaan dan keagungan kasih sayang ! Dan tertunduk tafakkur dengan sentuhan rasa dan terbetik dalam hati kecil, ``Kalaulah kehidupan dipenuhi kesetiaan dan dilempahi kasih sayang, nescaya hidup kita ditepui bahagia dan mesra berpanjangan!``
(Pagi ini di Dewan Sekolah Kafa Integrasi, Surau Istiqamah dia kembali menabur setianya sebagai Pengarah mengendalikan Hari Kesihatan untuk penduduk rumah pangsa kawasannya !).

Sekian.

Hari Kesihatan Di Rumah Pangsa Seksyen 16, BBB

Seksyen 16, BBB, 25 Jamadil Akhir = 29 Mei (Ahad):

Adun Bangi pada pagi ini menganjurkan Hari Kesihatan di Seksyen 16 bertempat di Sekolah Kafa Integrasi Surau Istiqamah di sini. Hari Kesihatan ini adalah dengan kerjasama, Fakulti Perubatan UPM yang diketuai oleh Profesor Dr. Fatimah, Hospital Pakar An-Nur yang diketuai oleh Puan Marzita, Master Skill yang diketuai oleh Cik Shanti dan kerjasama dengan Surau Al-Istiqamah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Nur Thani Ujud. Hadir sama ialah saudara Harunurrashid Pengarah Program, Puan Arbaishah, saudara Faisal, Shahrum Abdullah dan Amir Osman. Pemeriksaan kesihatan melibatkan tekanan darah, pengesanan penyakit, ujian gula, kanser terutama payu dara dan obesity. Pemeriksaan dilakukan oleh tenaga-tenaga sukarela dari ketiga-tiga institusi perubatan yang disebutkan. Perkhidmatan yang diberi adalah percuma.

Dalam ucapannya Profesor Dr. Fatimah dari UPM berterima kasih di atas kerjasama pihak Adun Bangi sejak dari awal, apabila rancangan Hari Kesihatan dikemukakan kepada Adun Bangi, dan terus mendapat penerimaan yang baik. Di samping memberi khidmat pemeriksaan secara percuma, pihak institusi kesihatan mempunyai objektif tertentu dari pemeriksaan seperti menghimpun data maklumat bagi kegunaan pihak institusi dan pelajar-pelajar, Profesor Dr. Fatimah berpuashati di atas kerjasama dan kehadiran penduduk bagi mendapatkan rawatan.

Saudara Harunurrashid memaklumkan, ini adalah Hari Kesihatan kedua selepas pelancaran pertama pada 2007 di bangunan lama Sekolah Kafa Integrasi, Seksyen 16. Hari ini di Bangunan Sekolah Kafa Integrasi yang baru yang banyak memberi kemudahan bagi pihak penganjur, institusi-insatitusi kesihatan dan penduduk yang datang membuat pemeriksaan. Menurutnya fokus pemeriksaan kesihatan ditujukan kepada 944 buah unit rumah pangsa di Seksyen 16 yang jumlah penduduknya melebihi 4,500 orang. Pemeriksaan percuma juga ditujukan kepada penduduk di Council Home, terutama bagi 200 unit di dua buah rumah pangsa Council Home. `Kita telah edarkan maklumat dari pintu ke pintu termasuklah iklan melalui poster-postar, katanya. Tambahnya, ` Terima kasih kerana kehadiran adalah memuaskan.` Orang ramai berbaris di tempat pendaftaran dan tempat-tempat pemeriksaan. Pemeriksaan dihentikan sekejap bagi majlis pembukaan yang dijalankan.

Adun Bangi ketika bercakap bagi majlis perasmian mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak UPM, Hospital Pakar An-Nur dan Master Skill dan terima kasih kepada Surau Al-Istiqamah kerana membenarkan dewan Sekolah Kafa Integrasi digunakan bagi Hari Kesihatan. Adun mengingatkan kepada penduduk yang hadir perlu beri perhatian kepada kesihatan diri. Antaranya melalui permakanan sihat, selalu bersenam dan memeriksa kesihatan seperti hari ini. Jangan abaikan kesihatan, kerana jika kita sakit akan terganggu segala program, tidak boleh kerja, terganggu ibadat dan jika anak-anak yang sakit tidak dapat ke Sekolah. Jika sakit memerlukan rawatan dan rawatan memerlukan kewangan dan juga masa. Sebaik-baiknya ialah dengan mencegah sebelum sakit. Menurut Adun selain dari sakit biasa kini rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan makmur risau dari penyakit obesity yang diakibatkan oleh permakanan. Kawal permakanan dengan demikian dapat mencegah dari penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Sebab itu sebelum penyakit-penyakit menyerang diri jaga dan kawal permakanan dan selalu bersenam.

Adun Bangi juga melahirkan kerisauan, kerana ramainya mereka yang mengalami saklit barah dan meninggal. Kematian diakibatkan oleh penyakit ini agak tinggi di kawasan Bangi. Namun ini berdasarkan penelitian kasar. Kita bertanya adakah dengan adanya Pusat Penyelidikan Atom di Bangi atau ramainya mereka yang bekerja di institusi penyelidikan dan makmal yang terdedah kepada radio aktif. Adun berharap jika institusi penyelidikan terutama dari universiti-universiti membuat kajian, adakah ianya berasaskan fakta atau sangkaan yang tidak bersandarkan hujah akademik. Kita harap ada usaha ke arah sedemikian. Pemeriksaan pada hari ini dijalankan serentak di tiga meja pemeriksaan dan berlangsung dari 8.30 pagi hingga jam 1.00 tengahari.

Adun Bangi merasmikan Hari Kesihatan Dun Bangi dan kemudian membuat lawatan dan turut membuat pemeriksaan bagi tekanan darah.

Sekian.

May 29, 2011

Empat Hari 3 Apartment Laman Suria Ketiadaan Letrik: Adun Turun Selesaikan Masalah

Kajang Utama, 20 Jamadil Akhir = 24 Mei (Selasa):

Penduduk resah dan Pengerusi JMB dilempar kata-kata kesat. Tulisan protes ditampal di pintu masuk ke kawasan apartment berkenaan sebagai pernyataan marah penghuni apartment yang dihuni sejak tiga tahun lepas. Pengerusi pertama dilantik sejak JMB ditubuhkan baru-baru ini, iaitu Puan Noridah bt. Mohd Nor (Puan Nora) – lantikan sejak 3 April 2011. Beliau merasa resah dengan tekanan dan protes penghuni-penghuni apartment. Ini menyebabkan Puan Nora menghubungi Wakil Adun di Kajang Utama, saudara Abu Bakar bin Alias meminta memperpanjangkan aduan penduduk kepada Adun. Abu Bakar meminta Adun turun menyelesaikan masalah ketiadaan letrik di tiga apartment Laman Suria pada pagi 24 Mei itu.

Adun menyatakan, Adun sedia turun pada petang jam 6.00 petang dengan syarat jabatan-jabatan dan mereka yang berkenaan diminta turun sama, iaitu:

1) Pegawai dari TNB (paling penting)
2) Pemaju
3) Ketua JMB (Joint Management Board)
4) Ketua Persatuan Penduduk Taman
5) Jabatan-jabatan berkenaan

Dengan syarat dan mereka (Wakil Adun dan Pengerusi JMB) mengaku akan menjemput mereka yang berkenaan. Maka Adun Bangi turun jam 6.00 petang. Setibanya Adun di hadapan pondok pengawal Adun disambut oleh Ketua JMB Puan Nora, Ketua Persatuan Penduduk Encik Nordin, Wakil dari TNB, Wakil dari MPKj. Oleh kerana Adun dan pegawai-pegawai bakal tiba pada petang ini, maka pihak TNB dengan kiraan dari Puan Nora berusaha memperbaiki kerosakan pada hari ini juga dan siap membaiki sebelum sedikit dari masa ketibaan Adun. Alat-alatr pembaikan masih belum disimpan. Difahamkan kerosakan mungkin diakibatkan oleh petir dan alat `busbar` rosak. Malangnya tindakan segera tidak diambil hinggalah apabila Adun Bangi mau turun baru tindakan diambil oleh TNB dan pembaikan tidak begitu lama masa yang diambil. Kami dibawa melawat dan ditunjuk bahagian yang rosak dan dibaiki yang kosnya difahamkan oleh Puan Nora RM9,800. Peruntukan ini diambil dari wang yuran JMB.

Dengan pembaikan berkenaan, jangkaan Adun akan timbul kekecohan terutama antara penghuni apartment dengan pentadbir dari JMB dan Persatuan Penduduk nampaknya tidak berlaku. Letrik pada masa itu telah pulih sepenuhnya. Sebaliknya pertemuan pada petang itu bertukar kepada taklimat, kerana inilah pertama kali Adun dijemput ke kawasan apartment berpagar dan berkawal 24 jam itu. Ketua Persatuan Penduduk – Encik Nordin memaklumkan terdapat 255 unit rumah di ketiga-tiga apartment yang sepenuhnya telah dihuni. Puan Nora pula menyatakan bahawa setakat ini pungutan kewangan berjalan lancar. Selepas penerangan dan maklumat Adun berucap ringkas dan berterima kasih kerana menjemput Adun. Al-hamdulillah dengan kehadiran Adun pihak TNB bertungkus lumus membaiki kerosakan dan api berjaya dipulihkan. Adun mengingatkan banyak masalah berlarutan timbul di rumah-rumah pangsa dan apartment. Kerjasama antara Pengerusi JMB dan Persatuan Penduduk adalah penting bagi kebaikan penduduk. Dengan kerjasama banyak kegiatan dapat dilakukan seperti kegiatan ibadat, kemasyarakatan, sambutan – Hariraya dan sebagainya dapat diadakan. Adun sedia bekerjasama untuk datang, bukan saja bila ada masalah, sebagaimana dialami penduduk 4 hari yang lepas, tetapi juga berbagai-bagai kegiatan. Kita juga bersedia menghulurkan peruntukan jika kegiatan relevan. Selepas itu Adun dan pegawai-pegawai bergerak melihat kawasan dan bangunan dan mengakhiri pertemuan dengan bergambar.

Sekian.

May 28, 2011

Teater Negeri Selangor Menuntut Pengisian!

Shah Alam, 22 Jmadil Akhir = 26 Mei (Khamis):


Jikalaulah tidak kerana menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan tahun 2011 yang Adun Bangi adalah salah seorang ahlinya, maka Adun sebenarnya tidak mengetahui yang di Shah Alam telah mempunyai sebuah Teater Negeri yang indah dan menarik. Mesyuarat hari ini sebenarnya memanggil Dato` Bandar Shah Alam (MBSA) bagi menerangkan kedudukan bangunan dan masalah-masalah hingga kini belum digunakan. Mesyuarat hari ini juga diikuti berikutnya dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC) yang ada kaitan dengan peruntukan berhubung dengan Teater Negeri Selangor.


Sebelum bermesyuarat ahli-ahli mesyuarat, Dato` Bandar dan mereka yang berkenaan dijemput terus ke Teater sebelum bermesyuarat. Adun Bangi yang tiba jam 9.30 pagi di Shah Alam sebagaimana dikehendaki dalam agenda teracari-cari di mana kedudukan Teater berkenaan. Setelah menghubungi pihak berkenaan dan dimaklumkan berdekatan dengan Hotel Bluewave barulah diketemui bangunan berkenaan. Dato` Bandar (Dato` Jaafar), YB-YB dan pegawai-pegawai sedia berada di lobi bangunan sambil bersarapan pagi. Bangunan yang berfalsafah `Kipas Merafak Sembah` yang terletak di kawasan strategic ini (beredekatan dengan Muzium) kos pembinaan asalnya ialah RM43,838,000/=. Mulai dibina pada tahun 2004 dan siap pada Ogos 2008 dan CF dikeluarkan pada 22 Ogos 2008. Kini dalam tempoh 6 bulan MBSA diberi tanggungjawab menjaga bangunan ini, sesuai ianya terletak di dalam kawasan MBSA. Adun-Adun dari Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan PAC dibawa melihat ke dalam ruang teater. Teater yang pada asalnya dapat memuatkan 1,500 penuntun dikecilkan kepada 800 orang sahaja. Sungguhpun kelihatan siap, tetapi peralatan-peralatan bagi panggung, lighting, sound, curtain, bahkan perabut belum ada. Ianya memerlukan jutaan ringgit untuk menyempurnakannya. Dato` Bandar juga memaklumkan kerosakan-kerosakan yang berlaku, termasuklah akibat vandalisam – konsep bangunan terbuka dan tidak berpagar dan security kurang ketat. Hanya ada dua pengawal yang bertugas di waktu malam sahaja. Pada keseluruhannya sebuah bangunan teater diwujudkan di Ibu Negeri seperti Shah Alam memang sepatutnya di samp[ing wujudnya pusat konvensyen dan kemudahan-kemudahan budaya bertaraf tinggi di ibu negeri.


Setelah meninjau bangunan kami beredar ke Bangunan Dewan Negeri Selangor di bilik mesyuarat di Bangunan Annex. Dalam mesyuarat bermula jam 1030 Dato` Bandar membentangkan peranana MBSA yang lebih khusus melaksanakan amanah menjaga bangunan Teater Negeri. Kebanyakan maklumat yang disampaikan telah diterangkan semasa taklimat di Bangunan Teater. Sebagai tambahan maklumat bahawa projek bangunan teater ini pada asalnya dicadang untuk di dirikan atas tanah seluas 5 ekar beralamat di Jalan Platinum, 7/52, Seksyen 7, tetapi diubah ke tapak kini di Seksyen 14, Shah Alam. Tapak kini asalnya milik Persatuan Bekas Perajurit Cawangan Selangor. Beralamat Jalan 14/1, Seksyen 14, Shah Alam. Reka bentuk bangunan dibuat oleh Tetuan Kembang Serantau Sdn. Bhd. Yang juga sebagai kontrektor binaan.


Apa yang dibentangkan oleh Dato` Bandar adalah berhubung dengan bangunan yang walaupun ada kerosakan dan perlu pembaikan di sana sini, pada dasarnya bangunan dapat dikatakan sudah siap. Audit juga dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada November 2009. Masalah yang besar ialah PENGISIAN.


Dari penerangan yang dibuat, bahawa pengurusan teater negeri ini sepatutnya berada di bawah Jabatan Kebudayaan negeri dan bahagian kebudayaan ini adalah juga berada di bawah Exco yang bertanggungjawab berhubung dengan kebudayaan. Apa yang difahamkan hingga kini belum ada perancangan bagi mengisi dan menggerakkan operasi yang sepatutnya bagi sebuah teater yang begitu besar dan canggih. Ianya perlu dirancang dengan rapi. Penggerak teater sama ada atas nama Pengarah dan sebagainya belum ada dan sudah tentulah pentadbiran dan perancangan belum berjalan. Tenaga-tenaga pakar yang menghidupkan teater belum ada. Sepatutnya jauh sebelum teater siap sudah ada perancangan memilih dan menghantar `seniman teater` untuk mengikuti kursus bagi menjadikan mereka induk penggerak teater.


Dalam perbincangan dalam mesyuarat Adun Bangi mencadangkan agar pihak yang berkait dengan kebudayaan menjemput pakar-pakar dari Istana Budaya, Iswara, universiti-universiti yang mengendalikan kursus kebudayaan, kesenian, khususnya teater dan tokoh-tokoh perseorangan teater untuk berbincang dan mendapat pandangan bagi menggerakkan kegiatan teater di Selangor sebaik mungkin. Pengarah Teater Selangor hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang pakar dalam bidang teater bahkan aktivis teater.


Satu yang merisaukan, ialah nama `Teater` bagi negeri adalah satu bebanan besar bagi pihak pengarah dan pengurusan teater. Masalah yang dihadapi ialah:


  • Setakat ini belum ada Pengarah atau Pengurusan teater yang bermakna tiada apa-apa persediaan bagi menggerakkan operasi dan kegiatan teater.
  • Bagaimana dapat di isi persembahan teater dalam jangka panjang dan berterusan. Bagaimanakah penentuan karya, pemilihan dan penggiat teater mau dihidupkan secara berterusan.
  • Apakah masyarakat di Shah Alam secara khusus dan Selangor secara umum adalah masyarakat yang sedar, meminati dan mencintai seni teater yang apabila persembahan teater dilakukan akan dipenuhi khalayak pencinta ini akan hadir memenuhi dewan teater, atau kekurangan atau ketiadaan khalayak penuntun.
  • Sudah adakah persatuan-persatuan budaya dan teater diperingkat daerah, Bandar dan taman yang akan mendukung, mengisi dan peminat teater yang akan menghidupkan teater pada peringkat negeri ?
  • Jangan mengharapkan keuntungan dari kegiatan berteater di Teater Negeri. Kegiatan memerlukan peruntukan yang besar sebagai modal membudaya dan menghaluskan hati nurani masyarakat sebagai keuntungan yang tidak tampak. Sanggupkah Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan tahunan yang mencukupi bagi operasi Teater Negeri.


Sebagai peringatan, bahawa pihak Negara sendiri tidak berani dan tidak mengambil risiko kemampuan bila mengadakan `Panggung Perdana` dan tidak menamakannya sebagai `Istana Teater Negara` kerana kekangan pengisian yang tidak dapat dilakukan secara berterusan. Sebab itu dinamakan `Istana Budaya`. Dengan nama Istana Budaya dapat diadakan pelbagai kegiatan seni dan budaya, termasuklah teater. Al-hamdulillah Istana Budaya berjalan dengan baik di bawah kendalian tokoh-tokoh kepimpinan yang berwibawa. Tetapi apakah Selangor mampu mengendali dan mengisi Teater Selangor sepenuhnya dengan kegiatan teater berterusan ? Inilah yang membimbangkan kita.


Kita mencadangkan nama bangunan teater itu ditukar kepada nama yang lebih terbuka yang dapat dijalankan berbagai kegiatan yang bersifat budaya termasuk teater, sebagaimana terbukanya Istana Budaya bagi berbagai-bagai kegiatan yang bersifat seni.


Antara nama-nama yang sesuai seperti `Alam Seni` `Alam Budaya`, `Istana Seni`, Singgahsana Seni`, Singgahsana Budaya`, Teratak Budaya`, `Teratak Seni`, `Puri Seni`, Puri Budaya` dan sebagainya. Apabila nama diberi bersifat terbuka, maka skop seni yang lebih luas dapat diisi. Ini termasuklah teater, filem, seni suara, seminar keilmuan berkenaan seni dan budaya, pembacaan al-Qur`an, pembacaan puisi, taridera rakyat, berbagai lakonan tradisional dan rakyat, dikir barat, nasyid, marhaban-barzanji, pembicaraan tentang kaligrafi dan pameran, pembicaraan tentang seni architecture, senior hias, seni taman, seni pakaian, seniu tenun, seni tekat, berbagai pameran seni dan lain-lain lagi.


Kita berharap `Singgahsana Seni Selangor` - `SSS` atau `3S` (mengguna satu dari cadangan nama di atas) dapat mengharumkan negeri Selangor dan menjadi sebahagian dari identity Selangor yang dapat menarik pelancong dan khalayak ke Singgahsana Seni Selangor`.


Sekian.

May 27, 2011

Mesyuarat Penuh MPKj Menghadiahkan Al-Fatihah Kepada Mangsa-Mangsa Tanah Runtuh Di Hulu Langat Dan Takziah Kepada Keluarga Mangsa-Mangsa

MPKj, 23 Jamadil Akhir = 27 Mei (Jumaat):

Selepas Usul Menyekat Pemberita Sinar menyertai Mesyuarat Penuh MPKj pagi ini, Adun Bangi mengusulkan kepada Majlis untuk menghadiahkan Bacaan Fatihah kepada mangsa-mangsa tanah runtuh di Hulu Langat pada 21 Mei dan Takziah kepada keluarga masing-masing. Usul diterima. Sementara ahli MPKj Muslim membaca Al-Fatihah, ahli-ahli yang bukan muslim bertafakkur menurut cara masing-masing.

Dalam penerangan mengenai tanah runtuh, menurut YDP setakat ini sebuah perumahan yang dalam keadaan bahaya, boleh berlaku tanah runtuh dikeluarkan notis di Kg. Darul Hidayah. Menurutnya, ``Dalam dua minggu ini pegawai dari MPKj membuat pemantauan perumahan dan kawasan yang dianggap bahaya. `Jika perlu perpindahan pihak MPKj akan membantu dari segi logistik,` katanya. Kita juga bersedia memberi nasihat dan panduan dari segi kecerunan yang patut dan yang tidak patut. Rumah yang runtuh – Madrasah at-Taqwa, tebingnya berada pada kecerunan 80% yang memang berbahaya, katanya.

Setakat ini menurut YDP, MPKj memantau sebanyak 52 projek di bawah MPKj, manakala projek swasta sebanyak 27. Kita mahu pastikan keselamatan bagi semua, katanya.

Sekian.

Pemberita Akhbar Sinar Diminta Keluar Dari Mesyuarat Penuh MPKj ?

MPKj, 23 Jamadil Akhir = 27 Mei (Jumaat):

Sebaik MPKj memulai mesyuarat penuhnya Bil 05/2011 pagi ini Ahli MPKj dari Dusun Tua saudara Mohd Sany bin Hamzan mengemukakan usul kepada YDP Dato` Hasan Nawawi agar Pemeberita Akhbar Sinar yang hadir bersama-sama Pemberita akhbar-akhbar yang lain pada pagi ini diminta keluar dari Mesyuarat dengan alasan pemberita berkenaan bias.

Menurutnya dalam program gotong royong yang diadakan di tempatnya pemberita berkenaan tidak merujuk maklumat kepadanya yang mengadakan program berkenaan, sebaliknya orang yang tidak berkenaan dari parti pembangkang diambil maklumat. Beliau membuat aduan ke pengarang pusat di Shah Alam, barulah beliau dirujuk. Tetapi usul Mohd Sany dijawab oleh Chandra Mohan ahli majlis yang lain, bahawa mesyuarat MPKj bersifat terbuka dan boleh dihadiri oleh sesiapa. Tidak membenarkan pemberita berkenaan hadir adalah bercanggah dengan clause (35) Peraturan MPKj.

Saudara Tuan Haji Mazwan Johar seorang Ahli MPKj dari Bangi yang juga seorang Peguam, menghujah, jika YDP berpendapat jika kehadiran pemberita berkenaan tidak menyenangkan MPKj, kerana laporan tidak tepat, menyeleweng serta berat sebelah, maka YDP atas kepentingan MPKj boleh menghalang pemberita berkenaan dari hadir. Apa yang diambil boleh dianggap sebagai tindakan disiplin.

Selepas ramai memberi pendapat, pihak Ahli-Ahli MPKj bersetuju,oleh kerana cadangan seperti in pertama kali berlaku di MPKj, maka isu yang ditimbulkan pada hari ini adalah sebagai ingatan bukan saja kepada Akhbar Sinar, tetapi bagi akhbar-akhbar yang lain. Pemberitaan hendaklah bersifat adil dan tidak berpihak dan bias. Kawasan MPKj adalah kawasan berdaulat. Sebarang isu yang berhubung dengan MPKj hendaklah dirujuk kepada MPKj dan bukan dari sumber yang lain. Dengan keprihatinan semua pihak diharap insiden seumpama ini tidak berlaku lagi seperti hari ini. Sidang berlangsung dan pemberita berkenaan tidak keluar.

Sekian.

Kursus Haji: Rasmi Penutup Di Masjid As-Salihin, Teras Jernang

Masjid Al-Salihin, Teras Jernang, 17 Jamadil Akhir = 21 Mei (Sabtu):


Sebelum Musim Haji, setiap tahun biasanya Masjid dan juga surau-surau tertentu menganjurkan kursus-kursus haji bagi membantu bakal-bakal haji melengkapkan diri dengan keilmuan bagi menyempurnakan ibadat haji dan ibadat-ibadat yang lain yang berkaitan. Bagi tahun 2011 ini kursus-kursus diadakan sejak dari awal tahun 2011 lagi (Muharram 1432) bagi menunaikan haji pada bulan Oktober (Zulhijah) kelak.


Demikianlah di Bandar Baru Bangi masjid-masjid dan beberapa surau terutama yang mendirikan Jumaat mengadakan kursus haji. Antara masjid ada yang menjemput Adun pada peringkat awal pelancaran kursus. Kini tiba pula peringkat akhir kursus dan antaranya Adun juga dijemput bagi merasmikan Majlis Penutup Kursus Haji. Antara masjid terawal yang Adun terima undangan bagi merasmikan Penutup Kursus Haji ialah Masjid As-Salihin, Teras Jernang.


Majlis Penutup Kursus Haji Masjid Teras Jernang berlangsung di Dewan Masjid itu yang agak selesa berkerusi meja dan berhawa dingin. Hadir bersama di Majlis penutup ini ialah Ustaz Bashir bin Alias Nazir Masjid As-Salihin, Tuan Haji Abdul Karim Musa Penyampai Kursus, Imam Kamaruddin Asmawi, Imam Masjid As-Salihin dan Encik Zakaria Deraman yang dilantik sebagai Penghulu peserta-peserta kursus.


Saudara Azman selaku Pengerusi Majlis menjemput Tuan Haji Abdul Karim menyampaikan ucapan tentang kursus yang disampaikan. Tuan Haji Abdul Karim berharap semua peserta dapat memahami kursus dengan baik. Menurutnya bahan-bahan yang dipelajari hendaklah diulang agar tidak lupa. Paling baik perlu dan selalu berbincang sesama peserta kursus dan sesama bakal haji. Jika ada perkara yang tidak faham jangan malu untuk bertanya, `bukan kepada saya sahaja,` kata Tuan Haji Abdul Karim, tetapi kepada guru-guru yang lain dan kepada peserta-peserta yang bakal menunaikan haji. Beliau mendoakan agar semua bakal haji akan mendapat haji yang mabrur.


Encik Zakaria Deraman yang mewakili para peserta kursus mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Abdul Karim di atas ilmu yang disampaikan. `Kalau dulu kami kabur tentang amalan-amalan haji, tetapi selepas mengikuti kursus insya Allah kami dapat lakukan ibadat haji insya Allah dengan sempurna, kata En. Zakaria. Beliau juga berharap melalui kursus haji yang dilalui diharap dapat mengeratkan silaturrahim antara para peserta dengan guru dan pegawai-pegawai masjid, bahkan lebih-lebih lagi antara peserta kursus. Setengah daripada kita mungkin akan bertolak dan menyertai jamaah yang sama atau sekurang-kurangnya dapat menemui sesama kita di tanah Suci. Kita mendoakan semoga Allah mengkabulkan permohonan kita dengan diberi kesihatan yang baik pada musim haji dan insya Allah dikurniai Allah Haji yang mabrur.


Ustaz Bashir selaku Nazir Masjid As-Salihin menyatakan, bahawa kursus haji akan terus dianjurkan pada setiap tahun di Masjid As-Salihin, bukan atas dasar mencari keuntungan, tetapi lebih kepada membantu para jamaah, khususnya ahli kariah Teras Jernang mendapat ilmu dan bimbingan menunaikan fardu haji, tetapi kursus seperti ini terbuka, sebagaimana kursus kali ini bukan saja dari penduduk Teras Jernang, tetapi dari luar Teras Jernang. Ustaz Bashir memaklumkan kursus pada kali ini ialah kali kelima, iaitu bermula dari 22 Januari tahun 2011 dan berterusan ke 21 Mei 2011 - hari ini. Lebih detail kursus berjalan selama 18 minggu dan jam kursus ialah 54 jam. Jumlah peserta yang mendaftar asalnya ialah 110 orang, tetapi yang kekal mengikuti kursus sehingga ke akhir ialah 97 orang. Menurut Ustaz. Bashir, pada kali ini kita menyediakan tempat dengan lebih selesa, berkerusi meja dan berhawa dingin. Walau bagaimana beliau meminta maaf jika berlaku kesilapan dan kekurangan.


Adun Bangi dalam ucapan penutupnya mengucap syukur dan tahniah kepada peserta-peserta yang insya Allah terpilih menunaikan haji pada tahun ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Nazir dan jawatankuasa yang mengadakan kursus dan menjadikannya sebagai acara tahunan. Adun juga mengucapkan terima kasih kepada Penyampai Kursus Ustaz Abdul Karim yang dengan gigih dapat melengkapkan penyampaian kursus dari awal hingga ke akhir. Menurut Adun, bagi sebahagian besar dari peserta kursus, bahawa pemergian ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima merupakan pemergian sekali seumur hidup. Sebab itu lakukandia dengan sesempurna yang mungkin. Bagi mencapai kesempurnaan, tidak lain dari keperluan belajar. Sebab itu tamat kursus pada hari ini, bukan bererti tamat dari belajar. Peserta-peserta kursus mempunyai baki masa yang panjang lebih kurang setengah tahun lagi. Sebab itu selepas kursus ini ikuti kursus atau pengajian tempat lain lagi. Bahkan ada lagi kursus ulangkaji, kursus padat dan sebagainya dianjurkan. Pendek kata peserta-peserta hendaklah terus belajar di samping meningkatkan amal ibadat.


Adun berharap peserta-peserta insya Allah sama mendapat rahmat dan syafaat dari doa Nabi Allah Ibrahim yang memohon dari Allah (Al-Baqarah 2: 126 – 128) antaranya:

  1. Makkah tempat ditunaikan haji dalam keadaan aman sentosa
  2. Mendapat kemurahan rezeki yang diusahakan secara halal
  3. Mendapat hidayah keimanan yang sempurna
  4. Diterima amal dan dimakbulkan doa oleh Allah
  5. Diterima taubat oleh Allah.


Majlis diakhiri dengan penyampaian cendera hati.

Sekian.

May 26, 2011

Konvensyen Persatuan Penduduk & NGO Di BBB

BBB, 17 Rabiul Akhir = 21 Mei (Sabtu):


Konvensyen dianjur oleh Ahli-Ahli MPKj di bawah DUN Bangi (Zon 14, 20, 21, 22, 23 & 24) dan Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bangi bertarikh di atas dan bertempat di Bilik Seri Cempaka, PKNS. Mereka yang dijemput mengambil bahagian ialah Ahli-ahli MPKj, Persatuan-persatuan penduduk yang berjumlah 56 buah dan NGO-NGO. Program bertujuan:


  • Membolehkan para pemimpin masyarakat mendapat gambaran dan maklumat sebenar berhubung sesuatu dasar atau produk kerajaan negeri.
  • Membolehkan para pemimpin penduduk untuk menjadi agen penyampai maklumat kepada masyarakat setempat.
  • Memberi ruang kepada para pemimpin setempat untuk mengenali dan berinteraksi secara terus dengan Wakil Rakyat dan Ahli Majlis di kawasan mereka.
  • Membentuk gabungan persatuan-persatuan penduduk di dalam DUN Bangi.


Majlis yang berlangsung dari jam 1.30 tengahari hingga jam 6.30 petang diisi dengan:ucapan pembukaan oleh Tuan Haji Shafie Ngah mewakili ahli-ahli MPKj, Taklimat mengenai program merakyatkan ekonomi (MES), Skim Mesra Usia Emas (MUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Skim Mikro Kredit Miskin Bandar (MIMBAR), Taklimat Sistem E-Aduan MPKj, Pembentangan Portfolio J/K Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dan Majlis Perasmian Penutup.


Dalam Majlis Penutup Adun Bangi mengucap terima kasih di atas usaha AJK mengadakan Konvensyen. Melalui Konvensyen dapat disampaikan maklumat berhubung dengan tawaran dan program negeri Selangor. Yang lebih penting maklumat berkenaan perlu disampaikan kepada rakyat yang ramai dari mereka belum faham, bahkan ada yang keliru, bahawa apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri difahamkan sebagai program kerajaan Persekutuan. Peserta-peserta juga boleh memahami mekanisme pentadbiran kerajaan negeri, dari Menteri Besar, kepada Exco, Wakil Rakyat, Pejabat Daerah, Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan JKKK kepada rakyat dan melalui Wakil Rakyat kepada MPKj, ahli-ahli dan rakyat.


Adalah penting dengan adanya Persatuan penduduk dan NGO sebagai badan bebas, berbanding dengan ahli-ahli yang dilantik, mereka lebih bebas mengkritik dan memberi pandangan tentang kepincangan atau mengemukakan pendapat yang boleh memberi faedah kepada negeri dan rakyat. Adun Bangi berharap konvensyen memberi manfaat kepada peserta-peserta dan majlis seumpama ini wajar diadakan dari masa ke semasa.


Sekian.

May 25, 2011

Tiga Buah Rumah Terbakar Teruk Di Sungai Ramal Luar !

Sungai Ramal Luar, 20 Jamadil Akhir = 24 Mei (Selasa):

Jam 4.15 petang Adun Bangi menerima maklumat telefon dari YB Lee Kim Sin Adun Kajang, ada berlaku kebakaran di Sungai Ramal Luar! Adun berterima kasih kepadanya di atas maklumat yang diberi dan terus menghubungai Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar bertanyakan tentang kebakaran. Katanya dia memang baru mendengar siren bomba dan memaklumkan kepada Adun akan bersegera menyiasat ke lokasi. Sementara itu Adun meminta saudara Shahrum Abdullah kerani di pejabat bersiap sedia dengan keperluan yang patut dibawa termasuk bantuan segera kepada mangsa-mangsa kebakaran. Makluman balas diterima dari Tuan Haji Yusof, ``Benar berlaku kebakaran dan bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran !`
Adun bersama saudara Shahrum bertolak segera ke Sungai Ramal Dalam dengan jangkaan tempat ialah di Kampong Paya yang sesak dengan perumahan, kerana dimaklumkan oleh Tuan Haji Yusof, tempatnya ialah kawasan rumah yang kena ribut yang mutakhir kami melawat memberi bantuan beberapa minggu yang lalu. Dari atas flyover dan dari highway di Sungai Ramal Dalam, kami meninjau lokasi tempat berlakunya kebakaran – termasuk di Kg. Paya, tetapi tiada tanda ada tempat kebakaran. Kami hubungi Tuan Haji Yusof sekali lagi. Kami dimaklumkan, lokasi ialah kawasan perumahan PKNS, Taman Khoo Kay Boh yang pernah kami juga sampaikan bantuan mangsa ribut beberapa bulan yang lepas. Taman ini tidak berapa jauh dari Masjid Haji Mat Saman dan juga tidak berapa jauh dari rumah Ketua Kampung sendiri.


Bila tiba ke sana jelas kedapatan lori bomba sebuah berada di luar dan beberapa buah di bahagian dalam. Adun segera ke kawasan perumahan dan disambut oleh Haji Yusof Ketua kampong dan penduduk yang sedang berada di lokasi. Selepas bersalam dengan Ketua kampong dan penduduk serta beberapa pegawai bomba yang bertugas, Adun dibawa melihat rumah-rumah terbakar yang pekerja-pekerja bomba masih lagi aktif memancut air dan antara mereka sedang memecahkan siling bagi memastikan api tidak lagi menyala dan padam. Lokasi kejadian tepat ialah rumah no.27, 28 dan 29 Jalan Rakyat Satu, Taman Khoo Kay Boh. Rumah intermediate (tengah). Rumah no. 28 paling teruk dan dijangka api bermula dari rumah ini dan rumah kiri kanan turut terbakar yang juga rosak teruk. Pemilik rumah ialah:


1) Rumah No. 27 Pemiliknya ialah Tuan Haji Zainal Arifin, Bekas Nazir Masjid, Masjid Haji Mat Saman dan pemimpin Umno di Kg. Sungai Ramal Luar. Kini dihuni keluarganya. Mereka suami isteri bekerja dan belum pulang.
2) Rumah No. 28 Pemiliknya ialah Puan Raja Takyah bt. Raja Abdullah (80). Rumah ini paling teruk terbakar. Bumbung dan bahagian atas runtuh.
3) Rumah No. 29 pemiliknya Tuan Haji Mohd Nor bin Moin (78). Pesara dan ahli jamaah dan AJK masjid Haji Mat Saman yang Adun sering bertemu bila berkunjung ke Masjid Haji Mat Saman dan Surau At-Talabiyah.

Adun bertemu dengan pemilik rumah terawal ialah Tuan Haji Mohd. Nor, kelihatan beliau di dalam keadaan trauma dan tidak berbaju. Kami berpeluk dan mententeramkan beliau supaya banyak-banyak bersabar. Kadang-kadang beliau menangis dan bergerak seperti tidak tentu arah. Selepas ini Ketua Penghulu Mukim Kajang Tuan Haji Rusli Muhibat tiba dari bertugas di Bilik Gerakan Tanah Runtuh di Hulu Langat, di Pejabat Daerah Hulu Langat. Kami bersama Penghulu menunjukkan rumah-rumah terbakar. Beliau bertanya, kiranya mangsa-mangsa memerlukan tempat kediaman sementara untuk dimaklumkan kepada Pejabat Kemasyarakatan Hulu Langat. Menurut Tuan Haji Yusof. Tidak ada yang memerlukan tempat sementara, kerana mangsa-mangsa mempunyai anak-anak dan keluarga berdekatan yang boleh mereka menumpang sementara. Walau bagaimana Pejabat Kebajikan Masyarakat akan dimaklumi bagi mendapat bantuan sepatutnya. Sementara itu semua mangsa dikehendaki membuat laporan Polis sama ada secara berseorangan atau secara berkelompok. Ini akan dikendali sama oleh Ketua Kampong. Adun dimaklumkan semua rumah di sini sudah selesai dibayar pinjaman. Tetapi tidak ada yang mengambil ansuran perlindungan api selepas bayaran tamat.

Sementara itu Adun menyampaikan bantuan kepada Tuan Haji Mohd Nor bin Moin sejumlah wang untuk keperluan segera. Kemudian Adun bersama Ketua Kampong dan Penghulu dibawa oleh penduduk menemui Raja Takyah yang telah dibawa ke rumah jiran di Jalan Rakyat 2, bagi mententeramkan dirinya. Sementara sampai ke rumah kami bersalam dengan pegawai bomba yang bertugas di bahagian belakang – Jalan Rakyat Dua. Ada dua buah kereta bomba di belakang menjadikan semua kereta bomba 4 buah. Adun bertanya Pegawai Bomba ditemui, dari mana lori-lori bomba yang tiba. Menurut Pegawai Bomba bertugas, dua buah dari Bomba Bandar Baru Bangi (termasuk sebuah yang besar yang membawa air), sebuah dari Kajang dan sebuah lagi dari Cyber Jaya. Kami mengucapkan terima kasih di atas tindakan segera dan bertugas secara cekap dan efficient.

Kami di bawa ke sebuah rumah di Jalan Rakyat Dua dan dipertemukan dengan Raja Takyah yang terauma dan bagai tak sedarkan diri, sambil menyebut semua barang-barang hilang termasuk kad pengenalan dan buku akaun turut hilang. Kami dan beberapa yang lain mententeramkan Raja Takyah dan minta bersabar. Beliau agak reda selepas menerima sumbangan dari kami. Adapun bagi penghuni rumah yang belum pulang, kami amanahkan kepada Ketua kampong Tuan Haji Yusof untuk menyampaikan bantuan.
Kami keluar dan petugas-petugas bomba mulai menyimpan barang-barang selepas berpuashati api tidak ada lagi dan Adun Bangi juga mohon meminta diri.

Firman Allah: Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ``Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali` (Maksud Surah Al-Baqarah 2:155-156).

Sekian.

Program Pemerkasaan Desa Selangor

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 17 Jamadil Akhir = 21 Mei (Sabtu):

Program ini adalah merupakan program turun padang bagi YB Dr. Yaakob Sapari Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan. Program diisi dengan penerangan-penerangan tentang program-program yang dijalankan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya di bawah Exco YB Dr. Yaakob Sapari. Penghulu-penghulu dan Ketua-Ketua Kampong serta JKKK dijemput hadir memenuhi Dewan Kompleks Sukan. Penerangan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari disampaikan oleh agensi-agensi berkenaan. Turut hadir pada Majlis Penerangan Puncak yang disampaikan oleh YB Dr. Yaakob Sapari ialah Tuan Haji Haris Pegawai Daerah Hulu Langat, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Adun Bangi, En. Kamaruzzaman Wakil YDP MPKj, pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan pejabat.

YB Dr. Yaakob Sapari dalam ucapannya mahukan maklumat dan program kerajaan Pakatan sampai kepada penghulu, ketua kampong dan JKKK dan disampaikan kepada rakyat. Menurutnya terdapat 368 kampong tradisi di Selangor dengan 71 buah kampong baru Cina. Sebahagian dari kampong ini bercampur identity dengan cirri Bandar. Menurutnya kita mau memperkemaskan pentadbiran kampong agar menjadi terbaik, sebagaimana meningkatkannya prestasi pentadbiran negeri di bawah YAB Tan Sri Dato1` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor.

Menurut YB Dr. Yaakob, Kerajaan negeri berusaha memenuhi permohonan tanah kepada rakyat yang belum mempunyai tanah. Lebih dari 80,000 permohonan diterima, setakat ini lebih dari 800 gran tanah telah diluluskan. Pihak Kerajaan Negeri menasihatkan kepada yang berjaya menerima geran tanah supaya jangan menjual kepada orang lain. Menurut YB Yaakob hingga kini kerajaan telah menggunakan wang sebanyak RM200 juta bagi peruntukan kebajikan. Dari segi ekonomi kerajaan negeri mempunyai surplus kewangan berbanding dengan kerajaan Pusat yang selalu deficit kewangan. Ini menunjukkan perjalanan ekonomi negeri Selangor adalah baik dan mengatasi prestasi kerajaan Pusat. Menurut YB Dr. Yaakob Sapari dari bukti-bukti prestasi Kerajaan Selangor adalah bertambah baik., sebab itu rakyat perlu memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat agar terus berkuasa dan dapat menunaikan janji kepada rakyat.

Pada akhir majlis YB Yaakob menyampaikan bantuan kepada mereka yang miskin .

Sekian.

May 24, 2011

Rasmi Sukan Taski Yayasan Takmir

Kompleks Sukan, Seksyen 16, BBB, 17 Jamadil Akhir = 21 Mei (Sabtu):

Pertama kali Adun dijemput oleh Yayasan Takmir di bawah ABIM bagi merasmikan Majlis Penutup Sukan Taski di sini. Adun dijemput oleh Pengurusnya, Saudara Rahimi bin Ramli Abdul Hadi bertempat di Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Turut hadir dalam majlis penutup ialah En. Baharuddin Ibrahim Pengarah Taski Malaysia.

Berbagai acara sukan diadakan oleh pihak penganjur khusus bagi anak-anak Taski, di samping program untuk ibu bapa seperti tarik tali. Adun berkesempatan menyertai pertandingan Berlari dengan straw Di mulut dan getah disangkut padanya sebagai turut memriahkan suasana.

Dalam ucapan penutup Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan bersedia bekerjasama di dalam program-program yang lain. `Kita sedia memberi peruntukan sewajarnya bagi program dan acara yang sesuai,` katanya.
Selepas ucapan penutup Adun menyampaikan beberapa hadiah cabutan bertuah.

Sekian.