August 18, 2017

AL-JUNAYD IMAM SEGALA ALIRAN, KALAMNYA MENDALAM


BBB, 24 Dzul-Kaedah 1438H. = 17 Ogos 2017M. (Khamis):
Nama sepenuhnya ialah Abu al-Qasim al-Junayd bin Muhammad al-Baghdadi (m.297H.). Dia dipanggil sebagai `Sayyid bagi Sadat` ahli al-tasawwuf, dia guru bagi jalan kepada Allah yang mengambil manfaat dengannya oleh ramai para siddiqin dan jalannya diterima oleh semua aliran tasawuf. Al-Junayd bukan saja mendalami bidang tasawuf, tetapi juga di dalam bidang akidah, fiqh dan akhlak. Dari segi fiqh dia  adalah pengikut Thauri  yang diikuti Shafie sebelumnya. Dia berasal dari Nahawand, tapi dilahir dan terdidik di Iraq. Ayahnya penjual kaca, sebab itu dinisbahkannya al-qawarir.
Gurunya antaranya bapa saudaranya Sari al-Saqti yang dikatakan oleh Al-Hujwiri  Al-Junayd mengatasi  gurunya ini, Namun Al-Junayd yang merendah dirinya menolaknya. Dia juga bersahabat (berguru) dengan Al-Harith al-Muhasibi dan Muhammad bin `Ali al-Qassab yang mana mereka semua adalah dari kalangan pemuka sufi. Dari jiwa yang suci, maka ungkapan-ungkapannya bermutu tinggi dan diterima oleh semua pihak. Dia meninggal di Baghdad.
Pendekatan Al-Junayd adalah mengukuhkan  aliran Sunnah. Dia pernah berkata:
`` Jalan-jalan bagi tarikat-tarikat adalah tertutup bagi makhluk, melainakan bagi mereka yang menurut athar Rasulullah s.a.w. pada shari`atnya, mengikuti Sunnahnya dan melazimi tarikatnya. Maka dengannya terbuka jalan kebajikan.``
Al-Junayd juga berkata, ``Ilmu kami berasaskan kitab dan al-Sunnah. Siapa yang tidak hafaz* Al-Qur`an, kurang kesempurnaan dan barang siapa tidak menulis Hadith dan tidak memahaminya, tidak boleh diikuti.``
Menurut Mahmud abu al-Faydh, di dalam Jamharat al-Awliya`:
`Al-Junayd ditanya, bagaimana jalan (tariqat) kepada Allah ?`` Katanya, ``Taubat bagi menghilangkan kesalahan dan takut yang menghilangkan kesombongan dan mengharap (raja`) untuk menuju ke jalan kebaikan, kemudian muraqabah pada setiap lintasan hati.``
Disoal kepada Al-Junayd apa maksud ayat Al-Qur`an (Sanuqri`uka fala tansa`)
Bermaksud: Akan kami bacakan kepada engkau maka engkau tidak lupa.` (Al-A`la: 6).
Menurut Al-Junayd: ``Kami akan bacakan kepada engkau Al-Qur`an secara tilawah, maka jangan lupa akan amalan (khitab adalah secara umum, walaupun dituju khusus bagi Rasulullah s.a.w.)..
Antara kalamnya berhubung dengan tasawuf:
``Tasawuf adalah bersih mu`amalah bersama Allah Ta`ala. Asalnya ialah bersurai daripada kasihkan dunia. Sebagaimana kata Harithah:
``Aku mengenal diriku daripada dunia, maka aku berjaga malamku dan aku menahan diriku pada siangnya (berpuasa).
Dia berkata, ``Terbina tasawuf dari lapan akhlak para anbiya`, alayhim al-s*alat  wa al-salam, iaitu:
``Murah hati iaitu bagi Nabi Ibrahim, Redha bagi Nabi Isma`il
Sabar bagi Nabi Ayyub, al-basharah (manis muka) bagi Nabi Zakariyya,
Al-Ghurbah (dagang) bagi Nabi Yahya, Memakai pakaian bulu bagi Nabi Musa,
Al-Sibahah (mandi) bagi Nabi `Isa dan al-Faqr (berhajat kepada Allah) ialah bagi Nabi Muhammad s.a.w.).
Dan dia berkata, ``Ibadat bagi kalangan `arifin lebih baik daripada mahkota-mahkota di atas kepala raja-raja.``
Katanya, ``Siapa mau selamat baginya agamanya dan rihat dengan badannya dan hatinya, maka jangan terlibat dengan karinah manusia.`` Ini sebagaimana kata Al-Junayd lagi:
``Orang yang berakal ialah orang memilih pengasingan (al-`uzlah), jika perkara  bercanggah dengan agama.
Katanya lagi.  ``Bersungguh-sungguh `uzlah lebih mudah dari bercampran berterusan.``
Al-Junayd ditanya tentang dunia, maka katanya,
``Ialah apa yang dekat dengan hati dan melalaikan daripada Allah.``
Katanya, ``Jangan mudah putus asa daripada diri engkau, sedang engkau keciwa daripada dosa engkau dan kesal di atas yang dilakukan, sedang engkau benar-benar menghadapkan wajah engkau kepada rahmat Allah.``
Ditanya Al-Junayd, ``Mana satu lebih  sempurna, menenggelami ilmu pada wujud, atau menenggelami wujud dalam ilmu ?``. Maka katanya, ``Menenggelami ilmu pada wujud, kerana mengetahui tentang Allah tidak sama dengan berwajdan denganNya.``
Dikatakan kepada Al-Junayd, ``Engkau mu`ayanah atau mushahadah ?``, maka katanya, ``Kalau  mu`ayanah boleh membawa kepada zindiq, dan jikalau mushahadah membawa kepada keheranan, maka ini semua adalah lemas dalam kelemasan. Demi Allah, lebih atas dan lebih tinggi daripada semuanya dan tidak menyaksi oleh hati, melainkan dari belakang hijab.``
Berkata seorang lelaki semasa kehadhiran Al-Junayd, ``
``Tidakkah kalam anbiya` isyarat daripada mushahadat ?``. Dia tersenyum dan berkata, ``
``Kalam anbiya` dibina di atas kehadian wahyu, dan kalam siddiqin isyarat daripada mushahadat yang membangkitkan ilham.``
Disoal Al-Junayd, ``Siapa `arif ?`` Maka dijawab, ``Warna air adalah dari warna bekasnya.``
Dia disoal lagi tentang `arif, maka katanya, ``Siapa yang bercakap tentang rahsia engkau dan engkau terdiam ! Iaitu dari kashaf halnya akan hal engkau. Ini tidak berhajat kepada percakapan dan huraian.
Demikian antara kedalaman kata-kata Al-Junayd yang membayangkan kematangannya dalam tasawuf. Selayaknya dia imam segala sufi.

Sekian.

August 17, 2017

`ABDULLAH BIN KHUBAYK BANYAK BERCAKAP TENTANG HATI


BBB, 23 Dzul-Kaedah 1438H. =  16 Ogos 2017M. (Rabu):
Menurut Al-Sulami, selain dari nama di atas yang dipilih oleh  Al-Hujwiri, nama lengkapnya ialah  `Abdullah bin Khubayk bin Sabiq al-Ant*aki, kunyahnya Abu Muhammad. Dia bersahabat dengan Yusuf Ibn Asbat*, dia adalah dari kalangan zuhhad sufi yang amat prehatin tentang makanan halal dan wara` dalam segala hal.
Dia berasal dari Kufah, tetapi berpindah ke Int*akiah. Tariqatnya dinisbahkan kepada kumpulan Nuri dan dia bersahabat di kalangan mereka.
``Abdullah bin Khubayk mempunyai sanad di dalam Hadith:
Bercakap kepada kami `Umar bin Ahmad bin `Uthman al-Wa`iz* di Baghdad, bercakap kepada kami Ahmad bin Muhammad bin Sa`id, bercakap kepada kami Yusuf bin Musa, bercakap kepada kami `Abdullah bin Khubayk, bercakap kepada kami Yusuf bin Asbat*, bercakap kepada kami Habib bin Hassan daripada Zaid bin Wahab daripada `Abdullah bin Mas`ud berkata:
Bersabda Rasulullah s.`a.w. Baginda yang benar lagi dibenarkan:
``Bahawa diciptakan tiap kamu dengan dihimpun pada perut emaknya empat puluh hari ...``. Dia menyebut Hadith.
 Bercakap kepada kami `Abdullah bin Khubayk, kata Muhammad, kali pertama aku menemuinya. Katanya kepadaku, ``Wahai orang Khurasan ! Sesungguhnya ada empat (perkara yang perlu dijaga).
Mata engkau, lidah engkau, hati engkau dan hawa nafsu engkau.
Maka lihatlah mata engkau, maka jangan dilihat dengannya kepada perkara yang tidak halal bagi engkau, dan jaga lidah engkau, jangan berkata sesuatu yang diketahui Allah khilafnya  daripada hati engkau, Dan lihatlah hati engkau,jangan jadi dia sebagai pasungan yang darinya timbul hasad dengki kepada salah seorang daripada  orang Islam. Dan lihatlah kepada hawa nafsu engkau, jangan berkeinginan  terhadap sesuatu yang jahat. Kalau tidak ada pada engkau empat perkara ini engkau terkawal.``
Katanya, aku mendengar ianya berkata, ``Apabila mendekati seorang pembaca Al-Qur`an untuk melakukan ma`siat, maka berkata  Al-Qur`an dalam rongga dirinya,  ``Apakah ini mau membebaniku ?``
`Abdullah bin Khubayq amat menekankan persoalan yang berhubung dengan hati yang boleh menjadi sarang bagi kejahatan dan boleh jadi rumah bagi kebaikan.
Katanya, aku mendengarnya berkata, `` Allah menjadikan hati tempat bagi mengingatiNya, dia juga menjadi sarang syahwat. Tidak mudah menghapuskan syahwat daripada hati melainkan dengan takut yang menggerunkan, atau cinta yang mengasyikkan.``
Berkata Ja`far bin Muhammad bin Siwwar, ``Aku mendengar `Abdullah bin Khubayq berkata, ``
``Bagi tiap-tiap peniaga ada modalnya, dan modal bagi periwayat Hadith ialah bercakap benar.``
Katanya, dan berkata `Abdullah, ``Tidak terkaya hal dari ahwal dari kebenaran dan benar terkaya dari segala ahwal keseluruhannya. Dan jikalau benar hamba antara dirinya dengan Allah  adalah hakikat benar. Dia kemungkinan menjenguh khazanah-khazanah dari khazanah-khazanah keghaiban. Dia adalah  amin di langit dan bumi.``
Dan berkata `Abdullah, ``Barangsiapa berkehendak hidup bahagia, maka janganlah dibiarkan tamak bersarang di dalam dirinya.``
Berkata  `Umar bin`Abdullah al-Bahrani, aku mendengar `Abdullah bin Khubayq berkata,
``Sepatutnya seorang  pekerja tidak menjatuhkan maruah tuannya. Itulah sepatutnya jangan dilakukan.``
Katanya, aku mendengarnya berkata, ``Jangan risau, kecuali dari sesuatu yang merosakkan engkau, dan jangan bergembira dengan sesuatu, kecuali sesuatu yang menggembirakan engkau kelak.``
Katanya, ``Alamat ulfah, kurang kekhilapan dan  banyak melakukan kebajikan (ma`ruf).
Dan berkata `Abdullah, `` Bermanfaatnya takut apa yang menghalang engkau dari maksiat, memanjangkan engkau dengan duka terhadap apa yang telah luput dan melazimkan engkau berfikir tentang umur engkau yang bersisa.``
Dan kata `Abdullah, ``Semanfaat raja` ialah apa yang memudahkan egkau beramal dan mendapat apa yang engkau hajat.`
Disoal `Abdullah, ``Dengan apakah melazimi hak pada ahwalku ?``. Katanya:
``Dengan memberi keinsafan dari  dirimu kepada manusia. Dan menerima kebenaran dari yang  selain dari engkau.``
Berkata `Abdullah, ``Ikhlas dalam amalan lebih penting dari amal, dan amal yang lain lemah dari melakukannya.
Dan berkata `Abdullah, ``Berterusan mendengar perkara-perkara  yang batil, memadamkan kemanisan ta`at dari hati.``
Demikianlah kata-kata  `Abdullah yang banyak berhubung dengan hati, lantaran hati rumah untuk zikir kepaa Allah dan mendekatinya.

Sekian.

August 16, 2017

PESAN AHMAD BIN `AS*IM AL-ANT*AKI


BBB, 22 Dzul-Kaedah 1438H. =  15 Ogos 2017M. (Selasa):
Antara nama tokoh sufi yang diketengahkan oleh Al-Hujwiri, ialah Ahmad bin `As*in al-Ant*aki, kunyahnya ialah Abu `Ali dan dipanggil juga sebagai Abu `Abdullah, kata Al-Sulami adalah lebh sahih.
Dia adalah berumur panjang dan berkesempatan dengan atba` al-tabi`in, dia  teman rapat bagi Bish bin al-Harith, al-Sari al-Saqt*i dan  adalah murid bagi al-Harith al-Muhasibi  dan dikatakan dia berkesempatan dengan Al-Fudhail bin `Iyadh.
Ibn al-Masruq al-Hariri berkata, berkata Abu `Abdullah Ahmad bin `As*im al-Ant*aqi:
``Qurrat al-`ayn meluaskan dada, menenangkan hati, mengelokkan nafsu,  adalah daripada perkara yang empat: Menerangkan hujjah, sejahtera dengan yang dikasihi, percaya dengan persediaan dan menolong kepada peringkat pengakhiran.``
`Ali bin `Abd al-Rahman al-Zuhd berkata, berkata Ahmad bin `As*im al-Ant*aki,
``Yang terlebih manfa`at bagi akal ialah, apa yang memberi penerangan kepada engkau akan ni`mat Allah kepada engkau, dan meolong engkau mensyukurinya, dan tegak menyanggahi hawa nafsu.``
Dan disoal Ahmad bin `As*im tentang ikhlas, maka katanya, ``Apabila engkau melakukan sesuatu amalan salih, maka engkau tidak suka menyebutnya,  dan  tidak  membesarkan kerana amalan engkau dan engkau tidak menuntut pahala bagi amalan engkau dari seseorang selain daripadaNya, maka inilah ikhlas amalan engkau.``
Berkata Ahmad, ``Semanfaat tawadhu` ialah yang menafikan daripada diri engkau takabbur dan mematikan daripada  diri engkau kemarahan.``
Dan kata Ahmad lagi, ``Semanfaat  ikhlas ialah yang menafikan dari engkau riya`, menghias dan membuat-buat (pura-pura).``
Berkata Ahmad, ``Sebaik-baik faqr, ialah apa yang engkau sendiri menaggung dan dengannya engkau meredhainya.
Dan berkata Ahmad lagi, ``Semanfaat amalan, apa yang selamat dari kekejian dan diterima dari engkau.``
Dan berkata Ahmad, ``Daripada alamat kurang ma`rifat hamba dengan dirinya, kurang  malu dan kurang takut.``
Berkata Ahmad, ``Semudharat orang yang berdosa, ialah amalan taat dengan jahil, dia lebih jahat kepada engkau dengan maksiat secara jahil.``
Berkata Ahmad, ```Adil ada dua, adil secara zahir yang berlaku  antara emgkau dan antara manusia. Dan `adil batin, iaitu apa yang berlaku antara engkau dengan Allah Ta`ala. Jalan keadilan ialah jalan istiqamah dan jalan kelebihan ialah jalan yang fadhilah.``
Berkata Ahmad, ``Yakin adalah cahaya yang dijadikan Allah di dalam hati manusia. Hingga dia menyaksi dengannya perkara-perkara keakhiratan dan mencarikkan dengan kekuatan segala hijab antaranya dan antara perkara di akhirat sehingga dia dia nampak perkara-perkara ini seperti dia menyaksikan baginya.``
Dan berkata Ahmad, ``Apabila engkau diminta kebaikan hati engkau, maka jangan dirosakkan oleh lidah engkau.``
Berkata Ahmad, ``Beramallah seolah-olah bagai tiada orang lain di muka bumi selain daripada engkau dan tiada dilangit seorang selain daripada engkau.``
Dan berkata Ahmad, ``Orang yang berakal siapa yang menggunakan akalnya mengenai suruhan Allah dari segi mau`iz*ah dan mengetahui apa yang memberi mudharat dan manfa`at baginya.``
Kata Abu al-Hawari di Damshiq, aku mendengar Ahmad bin `As*im al-Ant*aki berkata,
``Ini adalah ghanimah yang baru, terimalah apa yang berbaki, Allah mengampunkan engkau yang terdahulu.``
Menurut Ahmad, kefaqiran yang bermanfaat ialah kefaqiran yang engkau pandang mulia dan kefaqiran yang engkau suka,``
Katanya, ``Kehormatan para darwish pada menyangkal sebab-sebab yang remeh. Meyebabkan ia terlindung dari yang hakiki. Dengannya banyak dilakukan perkara yang  tidak memberimanfaat .``
Ahmad lebih banyak memberi tumpuan pada membaiki  diri dalaman seperti kepada persoalan berhubung dengan hati yang dari bersumber ikhlas, Darinya mencirikan amalan apakah dia dilakukan dengan jujur atau sebaliknya dan ianya memberi  kesan dari segi amalan sama ada diterima atau ditolak.
Pendek kata Ahmad,menganjurkan agar dilakukan pemeriksaan terhadap diri,kerana ia sumber bagi segala amalan. Ibarat sungai, jika hulu dan sumbernya jernih dan bersh, maka aliran yang datang darinya juga berkesan sama ada bersih dan jernih.  Ianya mengakibatkan terhadap hasil pekerjaan itu sendiri.
Demikian persoalan-persoalan dibicarakan oleh Ahmad, semoga dapat di manfaat.

Sekian.

August 15, 2017

MANSUR BIN `AMMAR: UNGKAPAN DAN PENDAPAT


BBB,  21 Dzul-Kaedah 1438H. =  14 Ogos 2017M. (Isnin):
Namanya  ialah Mansur bin `Ammar, kunyahnya ialah al-Sariyy, dia adalah berasal dari Marwi, iaitu dari sebuah kampung yang dipanggil (*Dandanaqan), Dan dikatakan juga dia daripada ahli Abi Ward dan ada juga yang berkata dia dari ahli Yushanj. Dia adalah seorang wa`iz yang petah bercakap dan elok kalamnya. Sungguhpun dia dikira pengikut madzhab di Iraq, tetapi dia juga diterima baik di Khurasan. Dia mendalam di dalam keilmuan al-kalam, Hadith, fiqh dan mu`amalat.
Mansur berada di  dalam sanad Hadith kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut oleh Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah – sebuah riwayat dan Hadith yang panjang,
Berkata  Mansur, ``Suka engkau akan ma`siat, boleh membawa engkau kepada ma1`siat.``
Dan berkata Mansur, ``Siapa yang mengalami musibah di dunia, boleh menyedarkan dirinya dan agamanya.``
Katanya lagi, ``Siapa yang sebok terhadap manusia boleh melalaikannya dari mengingati Allah.
Berkata Mansur kepada seorang yang kembali kepada melakukan kesalahan selepas taubatnya, ``
``Mengapa aku tidak lihat engkau kembali dari jalan akhirat, melainkan keliaran, mungkin kurang menurut jalan yang sepatutnya.``
Berkata Mansur kepada seorang lelaki:
``Tinggalkan dari buruk sangka, engkau rehat dari dukacita, dan jagalah lidah engkau, engkau rehat dari memohon keuzuran.
Katanya,
Berkata Mansur, ``Manusia terbahagi dua, yang berhajat kepada Allah. Dia berada pada darjat yang tinggi menurut lidah shari`at dan yang tidak berhajat kerana tidak melihat bahawa Dialah sebenarnya mencipta makhluk dan menyediakan rezeki dan kebahagiaan. Sebenarnya pada hakikatnya dia berhajat kepadaNya di dalam keengganannya.``
Berkata Mansur, ``Maha Suci Allah yang menjadikan hati kalangan `arifin sebagai wadah mendzikiri Allah, dan hati ahli-ahli dunia yang bersifat tamak, dan hati para zahidin wadah bagi bagi tawakkal, dan hati para fuqara` sebagai wadah bagi qana`ah dan hati mereka yang bertawakkal wadah bagi redha.``
Berkata Mansur, lelaki terbahagi dua:
Yang `arif dengan dirinya, maka dia bekerja bagi kepentingan dirinya dan yang `arif dengan Tuhannya, maka dia bekerja bagi berkhidmat kepadaNya dengan ibadatnya dan keredhaannya.``
Berkata Mansur, ``Sebaik-baik manusia ialah hamba yang tawadhu` dan tidak membesar diri. Dan sebaik-baik pakaian bagi `arifin ialah taqwa. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan pakaian taqwa itu lebih baik.`` (Al-A`raf: 26).
Dan berkata Mansur, ``Selamat nafsu ialah dengan mencanggahinya dan balanya ialah dengan mengikutinya.
Mansur menyebut bahawa Tuhan tentukan fungsi bagi setiap anggota diri,misalnya,
Tangan menangkap atau menggenggam
Kaki adalah untuk berjalan
Mata untuk melihat,
Telinga untuk mendengar
Tetapi berlainan dengan hati, bahawasanya tiada penentuan. Dia baik jika di dalam didikan yang baik dan jahat dengan didikan yang jahat. Dia oleh  berisi hikmat, tetapi juga boleh berisi hasad, dia patuh dan boleh jadi juga menentang. Dia boleh berada di dalam tenang dan boleh garang. Hati (bermaksud kombinasi antara nafsu, akal dan roh – Al-Ghazali) boleh dididik  dengan sifat-sifat mahmudah yang boleh membijaksanakan dan boleh bersifat dengan sifat mazmumah  yang boleh merosakkan. Sebab itu mendidik hati persoalan penting di dalam menjayakan seseorang atau merosakkan.
Lantaran itu kata Mansur:
``Hati hamba semuanya bersifat rohaniah, apabila dimasuki syak dan waswas, menegahnya dari sifat rohaninya.
Sebab itu hati hendaklah dididik hingga berada di peringkat kerohanian tinggi.
Dan berkata Mansur,
``Bahawasanya hikmat diungkap oleh hati kalangan `arifin dengan lidah yang benar, dan di dalam hati orang yang zahidin dengan lisan membesarkan keagungan Ilahi, dan dalam hati kalangan `ubbad dengan lisan taufiq dan dalam hati para murid dengan secara berfikir dan dalam hati para `ulama` dengan lisan dzikir.
Demikian ungkapan dan luahan pendapat Mansur bin `Ammar untuk dihayati dan dipelajari.

Sekian.

August 14, 2017

HAMDUN AL-QAS*S*AR: `IZZAH ISLAM DAN KEREDHAAN TUHAN MENJADI TUJUAN


BBB, 13  Dzul-Kaedah 1438H. = 06 Ogos 2017M. (Ahad):      
Nama lengkapnya ialah Hamdun bin Ahmad bin `Imarah atau Salih al-Qas*s*ar al-Naisaburi, Shaykh Ahli al-Malamah di Naisabur. Dia bersahabat dengan Salma al-Barusi, Abu Turab al-Nakhshabi dan `Ali al-Nas*r  Abadzi.  Dia adalah seorang yang `alim di dalam bidang fiqh dan dia mengikut madzhab al-Thauri  dari segi fiqh. Dia adalah murid al-Thauri. Dari segi tasawuf dia adalah murid bagi Abu Turab al-Nakhshabi dan `Ali Nashr Abadzi dan dari segi  t*ariqat adalah t*ariqat yang dia khas dengannya dan tidak ada  sahabat yang mengambil tariqatnya darinya, kecuali `Abdullah bin Muhammad bin Munazil  sahabatnya.
Abu Salih Hamdun meninggal pada 271H. di Naisabur dan dikebumikan diperkuburn al-Hirah.
Hamdun disanadkan dengan sanad Hadith:
Bercakap kepadaku bapaku, r.h.a. berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Muhammad bin Munazil, bercakap kepada kami Hamdun bin Ahmad al-Qas*s*ar, bercakap kepada kami Ibrahim al-Zuwwad, bercakap kepada kami anak Mumayyiz daripada al-A`mash daripada Sa`id bin Abdullah daripada Abi Marwah al-Aslami berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Dua kaki hamba tidak bergerak pada hari kiamat hingga dia disoal tentang empat perkara,
 tentang umurnya pada apakah yang dihabiskan,
tentang jasadnya kepaa apakah telah digunakan
tentang hartanya dari manakah didapatinya, dan menggunakannya, dan
tentang ilmunya dan apa yang diamalnya.``
Mendengar `Abdullah bin Muhammad bin Munazil berkata,, ditanya Hamdun al-Qas*s*ar:
``Bila harus seseorang itu bercakap kepada manusia ?`` Katanya,
``Apabila nyata baginya, dia menunaikan fardhu dari kefardhuan Allah Ta`ala sebagaimana diketahuinya, apabila dia takut seseorang jatuh ke dalam bid`ah, dan
Mengharap Allah menjayakannya daripadanya.``
DIkatakan bagi Hamdun,  ``Mengapakah kalam orang-orang salaf lebih bermanfaat daripada kalam kita ?``Katanya, ``Kerana mereka itu bercakap perkara-perkara yang memuliakan Islam, mejayakan diri dan mendapat keredhaan Al-Rahman dan kita bercakap untuk kemuliaan diri, menuntut dunia dan kerana penerimaan makhluk.``
Muhammad bin Ahmad bin Munazil berkata, kataku kepada Abi S*alih al-Hamdun, ``Beri wasiat kepadaku,`` maka katanya, ``Jika engkau mampu, bahawa jangan engkau marah tentang sesuatu daripada dunia, maka lakukanlah.``
`Abdullah bin Muhammad bin Munazil berkata, `aku mendengar Hamdun berkata, ``Siapa yang berpagi-pagi tanpa masalah, dalam mencari makanan yang halal dan memberi perhatian apa yang diketahui ilmu berkenaannya, maka kebajikan baginya, kerana menyenangkan sesuatu.
Berkata Hamdun kepada sahabat-sahabatnya;
Aku berpesan kepadmu dua perkara, bersahabatlah dengan `ulama dan dan berwaspaa dari mereka yang jahil.``
Kata Hamdun, Siapa yang bersusah payah menuntut dunia daripada akhirat, maka menunjukkan dia sama ada dunia atau akhirat.
Berkata Hamdun, ``Siapa yang melihat pada perjalanan salaf, dia mengetahui tentang taqsirnya dan ketinggalan kedudukannya dari kalangan al-rijal.``
Disoal Hamdun tentang zuhud,  katanya,
``Zuhud, pada pendapatku, tidak bergantung pada yang ada pada tangan engkau, tetapi bergantung pada tangan Tuan Engkau (Allah).``
Berkata Hamdun, ``Daripada kelalaian hamba, dia cuai daripada perkara yang diperintah Allah kepada siasah dirinya.``
Berkata Hamdun, ``Perhatikan dunia, hingga engkau tidak membesarkannya pada perhatian engkau tentang ahlinya dan yang memilikinya.``
Berkata Hamdun, ``Indahnya faqir pada tawadhu`nya, dan apabila dia takabbur dengan kefakirannya, maka hilanglah  kefakirannya dengan takabburnya.``
Berkata Hamdun, ``Apabila engkau pastikan tentang kebaikan seseorang, maka lazimkan diri dengannya semoga engkau mendapat sama keberkatan dari amalannya.``
Demikianlah kata-kata dan wawasan-wawasan Hamdun al-Qas*s*ar yang mendalam dari segi ilmu akidah dan juga di dalam bidang fiqh. Kata-katanya  menjaga dari semua aspek, sehingga tidak menimbulkan permasalahan. Sebagaimana disoal kepada Hamdun, ``Kenapa orang-orang dulu lebih berkesan dari menyampaikan dakwah. Menurutnya, kerana mereka memetingkan izzah dan kemuliaan Islam dan mencari keredhaan Ilahi, dan kita mungkin lebih mencari atau menjaga kepentingan diri, maka hilang keberkatan dan tidak sampai kepada  apa yang sepatutnya  dari Ilahi.


Sekian.

August 13, 2017

ABU HAFS* AL-NAISABURI: PENDAPAT-PENDAPATNYA YANG BERNAS


BBB,  18 Dzul-Kaedah 1438H. = 18 Ogos 2017M. (Sabtu):
Nama lengkap bagi  Abu Hafs+ al-Naisaburi, ialah `Amru bin Salim dan dikatakan baginya `Amru bin Salamah. Ini dikatakan lebih asah.  Dia adalah ahli kariah yang dipanggil kurdabadz, iaitu kampung ke pintu masuk bandar Naisabur, apabila engkau keluar untuk ke Bukhara.
Dia bersahabat dengan `Ubaidallah bin Mahdi al-Abiwardi dan `Ali Nas*r Abadzi dan berkawan dengan Ahmad bin Khadhrawayh. Dia adalah antara imam dan pemimpin. Cenderung kepadanya  Shah bin Abi Shuja` al-Karmani dan Abu `Uthman Sa`id bin Ismail. Dia meninggal tahun 270H. Ada yang mengatakan tahun 267H. Wallahu a`lam.
Berkata  Abu Hafs:
``Orang yang melakukan dosa bagai mendekati kekufuran, sebagaimana orang yang sakit mendekati kematian``
Berkata Mukhannas al-Jallab, ``Aku bersahabat dengan Abi Hafs*  selama dua puluh dua tahun, aku tidak melihatnya dia menzikiri Allah dalam keadaan lalai dan cuai, apa yang didzikirkan  adalah atas jalan hadhir, membesarkan dan menghormati dan apabila dia mendzikiri Allah berubah keadaannya. Ini adalah dilihat siapa yang menghadhirinya.``
Adalah dikatakan, Muhammad bin  Bahr al-Sajini, saudara Zakariyya berkata, ``Adalah aku takut akan kefakiran, sedangkan aku memiliki harta. Maka berkata kepadaku  Abu Hafs* pada suatu hari,``Jikalau Allah menghendaki engkau menjadi faqir, tidak ada yang dapat menegahkan engkau, maka hilang dariku takut kefakiran sama sekali.``
Dan berkata Abu Hafs*, ``Faqir yang sebenarnya ialah yang pada setiap waktu dengan hukumnya, maka bila datang warid kepadanya, maka dia sebok dengan hukumnya, menolak dan menafikannya.``
Dan berkata Abu Hafs*,  ``Alangkah mulia faqir kepada Allah, dan hina faqir dengan pengaduan. Alangkah indah yang istighna dengan Allah dan alangkan kejinya yang mengharapkan yang lain.
Aku mendengar Datukku r.h.a. berkata, ``Adalah Abu Hafs* apabila ia marah dia bercakap secara akhlak yang baik, dan apabila reda kemarahannya dia kembali dengan pengajarannya (hadithihi).
Berkata Abu al-`Abbas al-Dinauri, berkata Abu Hafs*, Tidak masuk ke dalam diri haqq dan batil semenjak aku mengenal Allah.``
Berkata Muhammad bin Ahmad bin Hamdan, aku mendengar bapaku berkata, aku mendengar Aba Hafs* berkata, ``Aku meninggalkan amalan, kemudian aku kembali kepadanya,kemudian amalan meninggalkan daku, maka aku kembali  kepadanya.
Mahfuz* bin Mahmud berkata, aku mendengar Aba Hafs* berkata,
Kemuliaan (al-karam) ialah mencampakkan dunia kepada orang yang berhajat kepadanya dan menerima Allah kerana engkau berhajat kepadaNya.``
Bekata Abu Hafs*, ``Barang siapa meneguk gelas kecintaan dia mengalami kemabukan, dia tidak pulih melainkan dengan mushahadah dan pertemuan.``
Berkata Abu Hafs*, Apabila engkau melihat yang bercinta tenang lenang, ketahuilah bahawasanya dia didatangi kelalaian, kerana yang bercinta tidak berada di dalam ketenangan, bahkan mengocaknya oleh kedekatan dan kejauhan, pertemuan dan halangan.``
Dan berkata Abu Hafs*,
``Tasawuf kesemuanya adab, bagi setiap waktu ada adab, dan tiap maqam ada adab, siapa yang melazimi adab-adab bagi waktu-waktu, dia sampai taraf al-rijal. Siapa yang mencuaikan adab, dia jauh dari apa yang disangkanya dekat. Dan ditolak dari harapannya diterima.``
Abu `Amrin bin Hamdan berkata, aku mendapati di dalam kitab bapaku, berkata Abu Hafs*,
``Hal tidak berpisah dari ilmu dan tidak menyertai kata.``
Berkata Abu Muhammad bin al-Murta`ish, aku mendengar Aba Hafs* berkata,
``tidak perlu dipanggil pemurah, jika dia menyebut-nyebut tentang pemberian, atau terlintas dihatinya (sebagai pemberi).
Abu Hafs* disoal tentang hukum kefakiran dan adab-adab terhadap para fuqara`, katanya:
Menjaga kehormatan orang-orang tua,, elok pergaulan dengan teman-teman, nasihat kepada anak-anak kecil, meninggalkan perbalahan tentang rezeki,, selalu berwaspada, jauhi dari kikir,, tinggalkan  dari bersahabat dengan yang tidak memberi kebaikan dan sentiasa bertolong-tolongan bagi kepentingan dunia dan akhirat.``
Berkata Abu Hafs*, ``Elok adab pada zahir menandakan elok adab pada batin. Kerana Nabi s.a.w. bersabda bermaksud, ``Jikalau khusyuk hatinya nescaya khusyuklah anggotanya.
Begitu istimewa dan mulianya Abu Hafs. Kata-katanya sangat bernas.  Di dalam hal ini kita kurang setuju dengan apa yang ditampilkan oleh Al-Hujwiri, bahawa kononnya Abu Hafs dikatakan pernah bercinta dengan seorang wanita, bagi menghasilkan hasratnya dia meminta pertolongan dengan seorang Yahudi di Naisaburi. Pertolongan bersyarat bahawa Abu Hafs* dikehendaki meninggalkan solat 40 hari dan tidak berdzikir mengingati Tuhan (diikuti) dan seterusnya. Contoh yang sedemikian , walaupun mungkin secara kreatif adalah tidak manis bagi seorang tokoh sufi. Jika pun sebenarnya berlaku, maka menutup keaiban itu lebih baik dari mendedahkan ! Mungkin perkara seperti ini dan seumpamanya pada bahagian yang lain sengaja disabotaj oleh pihak-pihak tertentu – Musuh).
Kita berharap ia bukan sebenarnya berlaku kerana ia mencacatkan imej Abu Hafs, yang sebenarnya tidak disebut perkara sedemikian – Contoh tiada di dalam al-Tabaqat oleh al-Sulami.

Sekian.

August 12, 2017

ZAKARIYYA YAHYA BIN MU`ADZ AL-RAZI: PENDEKATAN HARAP


BBB, 18 Dzul-Kaedah 1438H. = 1`1 Ogos 2017M. (Juma`at):
Secara penuhnya tokoh yang dibicarakan oleh Al-Hujwiri, namanya  ialah Abu Zakariyya Yahya bin Mu`adz bin Ja`far al-Wa`idz al-Razi. Beliau membina pendapat khusus tentang Al-Raja` (Harap) .
Al-Raja`                termasuk di bawah Hal. Begitu juga khauf termasuk di bawah hal. Bagaimana pun dilihat dari skema hal, ianya masih berada pada tahap bawah, antara perjalanan hal dari taubah kepada mahabbah.
Raja` adalah sesuatu yang mulia, kerana di dalam raja` ada elemen tafa`ul  yang menyangka baik terhadap Allah bagi jiwa yang mendekatinya. Ini dapat difahami dari firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi siapa yang mengharapkan Allah dan Hari kiamat. `` (Al-Ahzab: 21).
Kerana adanya harapan baik terhadap Tuhan, maka bagi mencapai harapan ini membawa yang raja` beramal dengan amalan yang baik, iaitu dengan membuat perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Siapa yang berharap bertemu dengan Tuhannya, maka dia hendaklah beramal dengan amalan yang salih dan tidak menshirik dengan ibadatnya akan Tuhannya dengan sesuatu.`` (Al-Kahfi: 110).
Jadi raja` dengan tafa`ul yang baik membentuk jiwa yang baik. Raja` biasanya disertai dengan khauf (takut) sebagai pengawasan terhadap diri agar tidak melakukan kesaalahan. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
``Mereka mengharapkan rahmat Allah dan takut akan azabNya.`` (Al-Isra`: 57).
Jadi Yahya Zakariyya al-Razi mengambil pendekatan jalan `al-raja` - Jalan Harap yang antaranya dengan jalan ibadat sebagai peneguhan yang mendalam.
Katanya, Harap disertai dengan khauf (takut). Tambahnya, ``Tidak seharusnya meninggalkan ibadat di dalam harap, jika berlaku, maka ianya adalah jalan yang sesat.``
Takut dan harap menurut Yahya Zakaiyya ialah dua sokongan yang kukuh mengukuhkan.
Takut, ialah dengan melakuklan ibadat dan harap ialah jalan yang dapat mendekatkan diri dengan Tuhan.
Al-Raja` mempunyai beberapa  bahagian:
Iaitu raja` pada Allah,
Raja`` pada kelawasan rahmat Allah, dan
Raja` pada mengharapkan pahala daripada Allah.
Raja` berdekatan dengan khauf dan kahuf adalah lawan bagi mahabbah. Sebelum tiba kepada mahabbah, adalah terlebih dahulu melalui  khauf. Dengan rasa khauf menggerakkan seseorang ke arah ketaatan dengan sepenuhnya
Firman Allah bermaksud:
``Mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.`` (Al-Nur: 37).
Adalah dikatakan alamat khauf adalah, bergoncang hati dengan sangat takut.
Sesungghnya takut dan harap adalah dua mekanisme seimbang yang menggerak manusia kehadapan. Di dalam kehidupan banyak perkara yang menakutkan dan sebanyak itu pula harapan.
Takut dari kekurangan rezeki bagi diri dan keluarga bagi menghadapi kehidupan. Firman Allah bermaksud:
``Selagi kami akan uji mereka dengan ketakutan, kelapana dan kekurangan harta, kematian dan kekurangan hasil buah-buahan dan berilah khabar gembira bagi mereka yang sabar. (Al-Baqarah: 155).
Dengan ketakutan ini menggerakkan manusia berusaha dan bekerja degan mendapatrezeki bagi diri dan keluarga.
Dengan takut diri ketinggalan menggerakkan manusia belajar, kerana dengan ilmu adalah menjadi kunci kejayaan. Lantaran itu menggerakkan ibu bapa dan mereka yang berkesedaran belajar. Mereka dari berbagai peringkat belajar bagi mendapati ilmu, tanpa ilmu sukar mendapat peluang bekerja bagi mendapat rezeki dan kemajuan. Tanpa ilmu tiada pengusaha yang dari usaha berkenaan memberi peluang bagi ramai pihak mendapatkan pekerjaan.
Demikianlah di dalam bidang ibadat dan kerohanian takut dan harap mempunyai peranan yang penting di dalam membentuk jiwa dan perabadi seseorang. Takut menggerakkan seseorang belajar dan mematuhi perintah Allah. Takut juga membentuk peribadi mulia bagi seseorang. Takut dan harap menggerak seseorang membuat amalan kebajikan dan kebaikan, semoga dengannya mendapt gabjaran dari Tuhan
Takut kepada seksaan neraka  dan mengharapkan syurga, menggerakkan seseorang beribadat dan menjaga diri dengan akhlak-akhlak terpuji an mengharapkan keredhaan Ilahi,  seterusnya mendapat ganjaran yang baik – syurga di akhirat nanti.
Demikian pendekatan `Harap` oleh Abu Zakariyya Yahya bin Mu`adz al-Razi.

Sekian.

August 11, 2017

ABU TURAB AL-NAKHSHABI: MISTRI DAN KATA-KATA BERNASNYA


BBB, 17 Dzul-Kaedah 1438H. = 10 Ogos 2017M. ( Khamis):
Al-Hujwiri turut mensenaraikan sufi Abu Turab al-Nakhshabi. Nama lengkapnya ialah Abu Turab `Askar bin al-Hus*ayn al-Nakhshabi al-Nasafi. Dia juga  dipanggil `Askar ibn Muhammad bin Hus*ayn.  Salah seorang sufi di Khurasan, terkenal sebagai seorang yang murah hati, zuhud dn salih. Dia adalah pengembara fizikal dan rohani. Dia mengembara merentasi padang-padang pasir dan terlepas dari hal-hal dunia.
Dia berpegang pada tawakkal sepenuhnya. Ini tercermin dari  kata-katanya, bahawa,
``Makanan darwish adalah dari rezeki apa yang didapati,
Pakaiannya ialah apa yang meliputi diri dan rumahnya adalah di mana dia berhenti ! ``
Menurutnya tiga perkara inilah yang memasyghulkan kehidupan manusia di dunia ini. Kita perlu memudahkannya.``
Baginya  yang dipentingkan makanan rohani dari biji-biji cinta, pakaiannya ialah pakaian taqwa dan rumah baginya seluruh permukaan bumi yang layak baginya sujud kepada Ilahi ~!.
Pengembaraannya bagai tiada terhenti, hingga dia terpacak berdiri kaku di padang pasir Basrah mengarah kiblat sedang di tangannya tongkat, bagaikan dia tak peduli pada kematian bagi meneruskan perjalanannya. Bertahun dia berdiri tegak sedemikian. Anihnya tiada sebarang binatang buas berani mendekatinya. Gelaran al-Turab, tanah adalah tepat dengan  kehidupannya bergelumang di atas tanah dan dia mengakhiri hayat di atasnya.
Berhubung dengan Abu Turab al-Nakhshabi, kata Abu  `Abdullah al-Jala`,
``Aku menemui enam ratus shaykh, aku tidak kekal bersama mereka itu, melainkan empat. Kehadapan  daripada mereka itu ialah Abu Turab al-Nakhshabi. Dia meninggal di padang pasir – tidak disentuh binatang buas. Tarikh meinggalnya  tahun 245H.
Abu Turab berada di dalam sanad Hadith:
Mengkhabarkan kami Muhammad bin Ahmad bin Paris al-Hafiz* al-Baghdadi berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Muhammad bin Ja`far al-As*bahani berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin `Abdullah bin Mus*`ab, bercakap kepada kami Abu Turab `Askar bin Hus*ayn, bercakap kepada kami Muhammad bin Mumayyiz, bercakap kepada kami Muhammad bin Thabit, bercakap kepada kami Shurayk daripada al-A`mash daripada Abi Sufyan daripada Jabir berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksudd:
``Jangan kamu memaksa yang sakit dari kalangan kamu, makan dan minum, kerana Tuhan kamu memberi mereka makan dan minum.``
Berkata Ya`qub bin al-Walid, aku mendengar Abu  Turab berkata,
``Wahai manusia kamu mengasihi tiga perkara, dan dia bukan bagimu, emgkau suka kepada al-nafs dan dia bagi Allah, dan engkau suka kepada roh, dan dia bagi Allah dan engkau suka kepada harta dan harta diwarisi. Dan kamu menuntut dua perkara, dan kamu tidak mendapatinya, iaitu gembira dan rehat. Keduanya di dalam syurga.``
Katanya, berkata Abu Turab, `` Semulia-mulia hati ialah hati yang hidup dengan cahaya kefahaman tentang Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Dan berkata Abu Turab lagi, ``Sebab yang boleh menyampaikan kepada Allah tujuh belas darajat,
Paling dekat menerima permohonan dan paling  tinggi ialah tawakkal kepada Allah dengan hakikatnya.``
Dan berkata Abu Turab, ``Tidak ada perkara yang boleh memberi manfaat bagi kebaikan diri dari memperbaiki lintasan di dalam hati.``
Dan berkata Abu Turab sebagaimana telah disebutkan di atas bahawa,
``Bagi faqir (darwish), makanannya apa yang ada (didapati), pakaiannya apa yang meliputi badannya dan kediamannya di mana saja dia berada.``
Dan berkata Abu Turab, ``Apabila benarlah pekerjaan hamba, maka dia mendapat kemanisan amalnya sebelum pun dia memulakan amalannya.``
Dan berkata Abu Turab, ``Siapa yang bersungguh tumpuan kepada Allah dia mendapat balasan pada waktu itu juga.``
`Ali bin Hussain al-Tamimi berkata, dia mendengar Abu Turab berkata, ``Tawakkal memberi ketenangan hati di dalam mendepani Allah Ta`ala.``.
Berkata Abu Turab, ``Hakikat kaya engkau tidak perlu kepada orang yang seperti  dengan  engkau, dan hakikat faqir engkau berhajat kepada siapa yang berhajat seperti engkau.``
Dan berkata Abu Turab, ``Yang menegah para siddiqin mengadu kepada yang lain daripada Allah, kerana takut kepada Allah `Azza wa Jalla.``
Dan berkata Abu Turab, ``Jagalah amalan engkau,kerana ia adalah mukadimah bagi sesuatu, siapa yang sah amalannya, sahlah selepasnya dari perbuatan dan ahwalnya.``
Berkata Abu Turab
Ditanya Abu Turab, apakah kunci qadar ? Maka katanya, Redha dengan apa yang berlaku kepadanya pada setiap waktu yang sebab-sebabnya adalah secara ghaib.``
Demikianlah mistri  dan  kata-kata bernas Abu Turab yang dapat direnungi..

Sekian.

August 10, 2017

ANTARA DIPERSOAL DAN SESUAI DINISBAHKAN KEPADA AHMAD BIN KHADHRAWAYH


BBB, 16 Dzul-Kaedah 1438H. =  09 Ogos 2017M. (Rabu):
Antara watak yang ditampilkan oleh Al-Hujwiri dalam Kashfu al-Mahjub ialah Ahmad bin Khadhrawayh al-Balkhi, kunyahnya ialah Abu Hamid. Dia adalah dari kalangan shaykh Utama di Khurasan. Dia bersahabat dengan Abu Turab al-Nakhshabi dan Hatim al-As*amm. Dia pergi menemui Abu Yazid al-Bist*ami seorang Shaykh Khurasan terkenal dan dia pergi ke Naisaburi kerana menziarah Abu Hafs* al-Naisaburi.
Abu Hafs* pernah ditanya, ``Siapa pada pendapatnya shaykh terpenting  dari generasi zamannya. Dia menjawab,
``Aku tidak melihat seseorang yang lebih tinggi himmah dan tidak ada yang lebih benar dari segi hal lain  dari Ahmad bin Khadhrawayh. Dia meninggal pada tahun 240H.
Al-Hujwiri membicarakan Ahmad Bin Khadhrawayh secara bercerita, kononnya puteri bagi seorang Amir di Balkh bernama Fatimah, insaf dan ingin taubat dari kehidupan berpoya-poyanya  selama ini dia ingin bertaubat dan memerlukan seorang suami untuk membimbingnya. Melalui perutusan yang dihantar oleh Fatimah kepada Ahmad bin Khadhrawayh yang diketahuinya seorang yang wara`, meminta Ahmad bin Khdhrawayh meminangnya. Tetapi permintaan Fatimah ditolak oleh Ahmad bin Khadhrawayh. Fatimah tidak berputus asa, Fatimah menghantar lagi perutusan dan mengingatkan Ahmad bin Khadhrawayh, betapa balasan di akhirat orang yang enggan menunjuk jalan dan membiarkan orang dalam kesesatan.
Dengan ingatan itu Ahmad bin Khadhrawayh insaf dan menghantarkan rombongan meminang dan diterima oleh bapa Fatimah dan mereka berkahwin. Selepas berkahwin mereka berdua mengasingkan diri dari masyarakat.
Pada satu masa Ahmad bin Khadhrawayh melawat Bayazid dengan ditemani sama  isterinya Fatimah. Yang mengejutkan Ahmad ialah apabila berdepan dengan Bayazid Fatimah menanggalkan tudungnya dan bercakap secara bebas dengan Bayazid. Ini menjadikan Ahmad cemburu terhadap isterinya. Isterinya menjawab bahawa dari segi fizikal bahawa diri Fatimah adalah milik Ahmad bin Khadhrawayh, tetapi dari segi rohani Bayazid sama dengan keinginannya  dalam menuju Tuhan. Walau bagaimana pada satu pertemuan lain Bayazid menanya Fatimah tentang tangannya yang diwarnai dengan inai.  Ini menunjukkan Bayazid mulai beri perhatian terhadap Fatimah, maka mulai dari masa itu Fatimah memutuskan hubungan dengan Bayazid dan mereka tidak menziarahinya lagi.
Cerita di atas walaupun mungkin dikreatifkan terasa tidak cocok dengan suasana ketasawufan. Pertama Fatimah dan juga Anmad dipersoalkan dari segi Islam yang membiarkan isteri melebihi dari ciri akhlak keislaman. Cerita berkenaan juga merendahkan Bayazid sendiri yang tidak sepatutnya diceritakan sedemikian.
Satu lagi cerita atau anekdot boleh dipersoalkan bahawa selepas itu Ahmad dan isterinya Fatimah berpindah dan tinggal di Naisabur. Mereka disenangi oleh shaykh-shaykh di Naisabur.
Adalah diberitakan bahawa tokoh sufi Yahya bin Mu`adh al-Razi  mau melawat Naisabur dalam perjalanannya dari Rayy ke Balakh. Ahmad dan isterinya berbincang, bagaimanakah untuk menghormati kehadiran shaykh berkenaan. Mereka bercadang sembelih lembu dan biri-biri  sebagai jamuan shaykh dan tetamu—tetamu dari kalangan shaykh. Fatimah juga mencadangkan agar disembelih keldai ? Ahmad bertanya apa tujuan menyembelih keldai, Fatimah menjawab
Dalam jalanan  ada anjing-anjing yang juga perlu diberi makan. Maksudnya mereka yang bukan dari kalangan shaykh-shaykh. Sekali lagi cerita ini, walaupun mungkin bersifat kreatif –  sebenar tidak manis dari segi akhlak apa lagi dari tasawuf, iaitu merendahkan satu pihak yang tidak sesuai dari segi kesufian. Apalagi dalam majlis kesufian biasanya tidak  dipentingkan dari segi makan. Pokoknya cerita atau anekdot sedemikian kurang cocok sebagai anekdot kesufian.
Ini berlainan dengan  satu cerita lagi dibawa oleh Al-Hujwiri, bahawa seorang faqir darwish telah menjemput seorang kaya berbuka puasa Ramadhan di rumahnya. Orang kaya itu menghormati jemputan darwish berkenaan. Makanan yang disediakan oleh darwish berkenaan untuk berbuka hanyalah sebuku roti kering. Mereka berbuka tanpa aduan dan bersolat bersama. Selepas pulang ke rumah, orang kaya berkenaan telah menghantarkan seuncang  dinar ke rumah darwish, namun pemberian oang kaya tersebut ditolak dengan baik oleh darwish tersebut.
Berbanding dua anekdot di atas, maka cerita darwish dengan orang kaya adalah sesuai dengan jiwa dan suasana ketasawufan.
Selain daripada anekdot yang dikaitkan dengan Ahmad banyak riwayat  yang berhubung dengannya. Ahmad diriwayatkan berkata antaranya,
``Dalam kemerdekaan (al-hurriyyah) sempurnanya`ubudiyyah dan dalam mentahqiqkan  `ubudiyyah sempurnanya kemerdekaan.``
Kata Ahmad, ``Sabar ialah bekalan orang yang dalam keadaan tertekan, dan redha ialah bekalan bagi `arifin.``
Dan katanya, ``Siapa yang sabar dengan kesabaran, maka dialah orang sabar, tetapi bukan sabar dan bersamanya  aduan.``
Kata Ahmad, ``Siapa yang berkhidmat kepada para fuqara`, dia dimulia dengan tiga perkara, iaitu tawadhu`, elok adab dan murah hati.``
Kata Ahmad, hakikat ma`rifat ialah, cinta dengan hati, menyebut dengan lisan dan memutus himmah daripada  sesuatu  yang lain dariNya.``
Dan Ahmad disoak, ``Apakah perkara yang lebih afdhal ?``. Katanya, Menjaga rahsia (al-sirr) daripada berpaling kepada sesuatu  lain daripada Allah.``
Demikian antara yang dipersoal dan yang sesuai dinisbahkan kepada Ahmad bin Khadhrawayh.

Sekian.

August 9, 2017

KEANEHAN PENDAPAT ABU AL-HASAN AHMAD BIN ABI AL-HAWARI


BBB,   15 Dzul-Kaeah 1438H. = 08 Ogos 2017M. (Selasa):
Dari kalangan genius ahli seni terserlah kebijaksanaan, kelainan pendapat yang mengejutkan khalayak. Ia merupakan tambahan bagi sifat pembawaan umum ahli seni yang membawa perwatakan berlainan yang biasanya unik dan identik dengan dirinya.
Dalam bidang tasawuf yang kita lihat ada hubungan dengan seni, terdapat tokoh-tokoh yang membawa kelainan, kepelikan , bahkan tindakan yang mengejutkan sebagaimana kita lihat pada Ibrahim bin Adham, Hallaj, Sari al-Saqati  dan beberapa yang lain.
Elemen  di atas dapat dilihat kelainan, penyimpangan dan mengejutkan dari segi pendapat. Ianya bukan dibuat-buat, tetapi itulah peningkatan rohani dan pencapaian, sehingga terpamer bersamanya kelainan-kelainan. Antara tokoh yang ditampilkan oleh Al-Hujwiri ialah Ahmad bin Abi al-Hawari. Sufi ini adalah shaykh terkemuka di Syria. Dia dipuji kalangan sufi dan mengibaratkannya sebagai kuntum yang mewangi di taman sufi. Dia adalah murid bagi Sulaiman al-Darani. Dia ahli ibadah dan sifatnya suka mengembara.
Ahmad melihat bahawa dunia adalah dipenuhi dengan kotoran. Yang bertempat di dalam kotoran anjing-anjing. Beliau menyatakan yang mencintai dunia adalah berada di dalam kotoran, sepatutnya ditinggalkan. Beliau menyatakan anjing juga jika kedapatan  najis yang menjadi habuan selepas mendapatnya akan bergerak meninggalkan tempat itu, tapi bagi manusia yang mencintainya tidak meninggalkan dan berterusan bergelumang dengannya. Adalah menjadi kebiasaan bagi manusia yang normal akan mengelak dan lari dari kotoran berkenaan.
Ahmad pada waktu yang lain secara aneh bertindak melemparkan buku-buku ke laut. Tindakan yang dilakukan kerana berpendapat, buku yang tidak dapat membawa pembacanya  mencapai tujuan dan terhenti dipertengahan jalan, ibarat pemandu jalanan yang menyesatkan di pertengahan perjalanan. Jika buku sekadar ditulis dan tidak mempunyai matlamat yang dapat diberi kepada pembaca untuk dicapai, maka buku berkenaan adalah menyesatkan perjalanan. Sebab itu buku berkenaan, mungkin juga dapat dikiaskan kepada pengajaran tidak betul, atau kandungan yang memberi implikasi negatif perlu dibuang ke laut. Bermaksud jangan dijadikan panduan.
Ahmad juga menmgingatkan kepada yang suka mengembara, hendaknya, jangan tidak mempunyai maklumat langsung tentang perjalanan. Pemandu sebenarnya tidak mempunyai matlamat, sekadar menunjuk jalan, kalau sudah sampai dia segera meninggalkan. Ianya mengingatkan kepada pengembara supaya mempunyai paling kurang sedikit maklumat supaya  bila tanpa pemandu tidak berada di dalam kesesatan sepenuhnya.
Ahmad bin Abi al-Hawari juga  mencetuskan pandangannya yang bersifat falsafah, baik dalam pengembaraan, mencari ilmu atau kehidupan, bahawa nikmat kesemuanya adalah dalam perjalanan. Bermaksud misalnya bagi  seorang pengembara, nikmat susah senang, menarik, tidak menarik , gembira atau duka, maka  pengalaman yang dilalui itu adalah nikmat, bukan pada pengakhiran kesampaian. Demikian misalnya orang menuntut ilmu, kesusahan, penderitaan, gagal dan berjaya di dalam ujian adalah merupakan nikmat dalam mencari ilmu, nikmatrnya bukan bila sesudah berakhirnya pengajian.
Ahmad bin Abi al-Hawari juga menampilkan pendapatnya tentang falsafah cinta, bahawa kenikmatan dan kejayaan cinta dalam perjalanan pencarian, bukan pada penyampaian. Hal ini dihubungkan dengan cinta ketuhanan, bahawa mesra, nikmat dan lazat kecintaan ialah proses di dalam meningkatkan kualiti diri yang boleh membawa pendekatan diri pada Tuhan. Proses ke arah pendekatan  itu adalah merupakan kenikmatan. Dan tidak pada penyampaian, kerana tidak mungkin sampai dan tidak mungkin bersatu dengan Tuhan. Dalam kata lain, bahawa penghasilan, pertemuan dan nikmat adalah proses ke arah pertemuan yang tidak mungkin berlaku. Jadi sempurna adalah pada ketidak sempurnaan. Sebagaimana dikatakan nikmat pengembaraan ialah dalam pengembaraan dan bukannya pada penyampaian. Nikmat cinta ketuhanan adalah dalam proses ke arah pertemuan dan tidak pada pertemuan yang tidak  mungkin berlaku secara fizikal.
Konsep sempurna di dalam ketidak sempurnaan ini adalah menjadi pandangan falsafah Ahmad  bahawa tidak ada yang Sempurna, kecuali Yang Maha Tinggi (Tersempurna). Selain dari Allah tidak ada yang sempurna, segala benda  seharusnya bergerak kepada Yang Sempurnaanusia dan segala yang lain yang ingin sempurna tidak akan mencapai sempurna. Sempurna bagi mereka adalah sempurna dalam ketidak sempurna.
Di dalam bidang seni  adalah dilihat bahawa keindahan ialah pada ketidaksempurna indah. Misalnya sebuah mangkuk Cina purba yang dipamerkan di muzium adalah lebih indah yang rosak yang ditemui dari carigali dari mempamirkan sebuah mangkuk yang sempuna dan tiada cacat cela, ianya dianggap tidak indah dan tidak asli, berbanding yang rosak, pecah, sopek dan sebagainya . Ini dalam kerosakannya memberi ruang imaginasi kepada penonton, betapa jika ianya dalam kesempurnaan !
Lantaran itu dalam falsafah indah  atau cantik hendaklah  ada paling sedikit yang tidak indah, misalnya pada mangkuk yang sempuna  dirosakkan sedikit daripada bahagiannya untuk memberi ruang imaginasi, betapa sebenarnya jika ianya benar-benar sempurna dan indah. Dalam kata lain tidak ada yang sempurna indah, kecuali  Yang Paling Indah `Tuhan !.``
Menurut Ahmad bin  Abi al-Hawari, tiada jalan bagi menyampaikan kepada Tuhan, tetapi baginya, jika seorang telah sampai kepada pemahaman terbentang luas tentang hakikat, maka tidak perlu lagi kepada  penerangan melalui tulisan secara buku. Menurutnya rosaknya sebuah buku ialah kerana tidak mampu menerangkan tentang hakikat. Baginya kata lidah tidak lebih baik dari yang ditulis dan jika longgkan kertas yang ditulis tidak mampu membicarakan tentang hakikat, maka wajar ianya dihumbangkan ke laut dan diri hendaklah dikosongkan kecuali Allah.
Persoalannya  bagaimana Ahmad atau sesiapa saja boleh sampai kepada hakikat, tanpa melalui pembelajaran dan pembacaan pada helai kertas dan buku ? Sedangkan hakikat satu yang mistri, tiada mampu mengetahui kecuali Ilahi.
Demikianlah permainan idea dan pendapat Ahmad bin Abi al-Hawari yang boleh disifatkan antaranya pelik dan anih.
Ahmad didominasi  alam sufi dan seni yang antara shaykh menyifatkannya di dalam kemabukan rohani dan seni.

Sekian.

August 8, 2017

AHMAD BIN HANBAL CEKAL MENGHADAPI UJIAN KESUFIAN


BBB,  14 Dzul-Kaedah 1438H. =  07 Ogos 2017M. (Isnin):
Tokoh fiqh dari madzhab empat yang lebih cekal di dalam menghadapi ujian siksan kerana yakin dengan pegangannya  ialah Ahmad bin Hanbal r.a.. Dia sebenarnya seorang faqih yang lebih dari sufi.
Beliau ialah Abu `Abdullah Ahmad bin Muhammad (164-241H./780-855M.) bin Hanbal bin Hilal al-Shaibani hingga membawa kepada puncaknya bin Nizar bin Ma`ad bin  `Adnan yang sama dengan turunan Rasulullah s.a.w. Ahmad bin Muhammad bin Hanbal ialah Imam Madzhab Hanbali, salah satu Imam madzhab empat. Asalnya daripada Marwi dan bapanya wali Sarkhas.
Imam Ahmad amat cintakan ilmu dan berusaha mencari dan mempelajari ilmu hingga ke Kufah, Basrah, Makkah, Madinah, Yaman, Sham, Thuqgur, Maghrib, Jaza`ir, `Iraq, Parsi, Khurasan dan ke hujung-hujung negeri. Dia menemui tokoh-tokoh ilmu dan Hadith seperti Sufyan bin `Uyainah, Ibrahim bin Sa`ad, Bishr bin al-Mufadhdhal,, Yahya bin al-Qat*t*an,, Hashim, Waqi`dan puluhan lagi guru dan mereka yang didengar darinya Hadith.
Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang salih, zuhud, tenang, tawadhu` dan amat memuliakan  siapa yang ditemuinya. Dan orang ramai pula memulia,  membesarkannya dan mengasihinya.
Berkata Al-Imam al-Shafie tentang Al-Imam Ahmad,
``Aku keluar daripada `Iraq, maka aku dapati tidak ada orang yang lebih mulia,  lebih alim, lebih wara` dan lebih taqwa lain dari Ahmad bin Hanbal.``
Pada zaman Imam Ahmad dia berada pada masa polimik dan fitnah akibat dari pertembungan fikiran dan pendapat Mu`tazilah yang menguasai pemerintah di Iraq dan pertentangan dengan Ahlu al-Sunnah. Persoalan utama yang mendepani mereka  pada zaman Khalifah Ma`mun, bahawa Ahmad bin Hanbal dipaksa mengikut pendapat Mu`tazilah, bahawa Al-Qur`an itu makhluk dan baharu, sedang Ahmad dengan keras menolak pendapat ini dan berkata Al-Qur`an adalah qadim. Selepas kematian Al-Ma`mun sebelum dia sempat munazarah dengan  Al-Imam Ahmad, maka Khalifah Al-Mu`tasim yang mengganti Al-Ma`mun mengambil tindakan keras terhadap keengganan Ahmad menmgatakan Al-Qur`an makhluk, maka diperintah Ahmad dipenjarakan selama 28 bulan. Selama di dalam penjara dia dipukul, direntang dan dan diseksa.
Bila ditanya tentang orang yang menganiyanya, dia berkata, dia tidak mau menuntut bela. Tuhan Amat Berkuasa.
Tasawuf Ahmad bukan stakat kata, tetapi dialami dengan jiwa dan jasadnya yang menderita.```
Ahmad  begitu rapat dengan Bish al-Hafi, tatkala ditanya tentang ketasawufan dia selalu menyebut agar dirujuk persoalan tasawuf kepada Bishr al-Hafi.
Ahmad ditanya tentang ikhlas, menurutnya ialah bebas dalam tindakan dan tidak mementingkan diri. Dan tentang tawakkal, ialah yakin dengan Tuhan yang menyediakan segala keperluan.
Ahmad berterusan dalam penderitaan hinggalah  dia dilepaskan dari penjara tahun (220H.). Dia tidak diapa-apakan oleh Khalifah Al-Wathiq selepas Khalifah Al-Mu`tasim. Pada zaman Al-Mutawakkil (anak Al-Mu`tasim) berlaku perubahan pandangan. Golongan Sunni mendapat pembelaan dan Ahmad tidak mendapat gangguan.
Ahmad bukan berkeserangan menghadapi seksaan pada zaman Al-Mu`tasim. Antara yang lain ialah Muhammad bin Nuh al-Naisaburi,, Nu`im bin Ahmad,, Ayyub bin Ya`kub dan Ahmad bin Nasr al-Khuza`i. Kebanyakan mereka mati dalam tahanan, kerana mempertahnkan pegangan.
Al-Imam Ahmad menghasilkan kitab-kitab, iaitu
1)       Al-Musnad – 6 jilid, mengandungi 30,000 Hadith yang dihimpunnya.
2)      Kitab al-Zuhd
3)      Kitab al-Wara`
4)      Al-Radd `ala al-Zanadiqah fi ma bihi min Mutashabih al-Qur`an
5)      Kitab Nasakh, Nasikh dan Mansukh.
Dan beberapa lagi dalam bentuk manuskrip.
Kitab Musnad adalah kitab terbesar disusun Ahmad dan menjadi panduan utama bagi pengikut madzhab Hanbali dan rujukan Hadith bagi umum.
 Manakala Kitab Al-Zuhd membuktikan bahawa Al-Imam Ahmad antara yang terawal membicarakan tentang tasawuf , tetapi dengan istilah zuhd, kerana pada masanya istilah tasawuf belum popular digunakan.
Kitab Al-Zuhd ialah membicarakan tentang zuhd, tetapi gaya karangannya mengambil gaya Hadith. Sebagai contoH:
Bercakap kepada kami `Abdah bin Sulaiman, bercakap kepada kami Hisham bin Marwah daripada seorang lelaki berkata, disoal `A`ishah r. `anha, apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di rumahnya, maka kata `A`ishah:
``Adalah Baginda menjahit baju, menampal kasut dan selain daripada itu.``
Adapun Kitab Al-Wara`, ialah tentang kewarakan, gaya penulisannya juga adalah menurut gaya Hadith. Manakala kitab Al-Radd `ala  al-Zanadiq, iaitu tentangan Al-Imam Ahmad terhadap mereka yang mengatakan Al-Qur`an makhluk. Beliau menyifatkan mereka itu sebagai zindiq. Dan yang terakhir kitab tentang nasakh, nasikh dan mansukh berhubung dengan ayat-ayat Al-Qur`an.
Al-Imam Ahmad bukan saja tokoh bagi madzhab Hanbali, beliau juga adalah sufi yang benar-benar mengalami kehidupan sufi yang penuh penderitaan kerana dipenjara,  demi  mempertahankan keyakinan, lebih dari itu beliau menghasilkan karangan-karangan yang berhubung dengan tasawuf sebagaimana dibicarakan.

Sekian.

August 7, 2017

AL-IMAM AL-SHAFIE: ILMUAN MENCAKUPI BIDANG TASAWUF


BBB,  13 Dzul-Kaedah 1438H. = 06 Ogos 2017M. (Ahad).
Jarang kalangan mereka yang tidak  dimasukkan ke dalam `golongan  sufi` disenaraikan sebagai sufi. Contoh Ash`ari, Maturidi sebagai `ulama di dalam bidang usuluddin tidak dikategorikan sebagai sufi. Di dalam hal ini Al-Hujwiri memasukkan Al-Imam Al-Shafie sebagai tokoh di dalam bidang sufi. Sebenarnya pengkelompokan sedemikian – Sufi khusus, dapat dipersoalkan, kerana  seorang Imam Madzhab Shafie, walaupun dia terkenal di dalam bidang fiqh, tetapi sebagai seorang `ulama` tentulah dia juga sempurna di dalam bidang kerohanian yang melayakkan beliau sebagai seorang faqih, juga tasawuf, bahkan antara fiqh dan tasawuf perlu sempurna dan menyempurnakan sebagaimana ditegaskan oleh Imam Malik.
Jadi memasukkan Al-Imam Shafie sebagai tokoh sufi  adalah wajar. Namun Al-Hujwiri nampaknya sengaja mencari-cari hujah yang dapat dikaitkan Al-Imam al-Shafie dengan kesufian. Katanya Al-Imam Al-Shafie pada awalnya tidak tertarik kepada  bidang tasawuf, tetapi selepas menemui Sulaiman al-Rayy, dia tertarik dengan bidang tasawuf,  tetapi tidaklah dihuraikan aspek-aspek yang  mengaitkannya dengan tasawuf. Sebenarnya berbagai persoalan seperti solat, puasa, zakat, bahkan haji yang merupakan perkara-perkara yang dibicarakan di dalam bidang fiqh, juga adalah keperluan yang seharusnya ada, bahkan mesti bagi seorang  sufi, jika tidak bukanlah dia seorang sufi. Di dalam hal ini Al-Imam Al-Shafie lebih tepat dari segi kebersihan luaran dan dalaman sebagaimana dibincangkan di dalam bidang tasawuf. Antara kedua bidang tasawuf dan fiqh adalah berkaitan dan perlu-memerlukan, bahkan sempurna menyempurnakan.
Al-Imam al-Shafie yang turut disenaraikan oleh  Al-Sayyid Mahmud Abu al-Faydh al-Manufi al-Hasani di dalam kitabnya `Jamharat al-Awliya`  menyatakan Al-Imam al-Shafie adalah imam yang sempurna yang alim lagi beramal mengikut al-Sunnah dan al-Athar. Dia diikuti oleh kalangan-kalangan pengikut di dalam madzhab Shafie.
Nama lengkap Al-Imam al-Shafie  ialah Abu `Abdullah Muhammad bin Idris al-Shafie. Dia dilahirkan di Ghazzah (L. 150H.). Ibunya seorang yang mahir di dalam Al-Qur`an dan mendidik anaknya dengan pembacaan Al-Qur`an. Sebab itu ketika Shafie berumur tujuh tahun beliau  telah khatam menghafal Al-Qur`an. Pada ketika berumur 13 tahun beliau menguasai dari segi tartil dan seterusnya dalam perkembangan umurnya, beliau memahami dari segi bahasa dan sastera `Arab, memahami dari segi cerita dan hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Qur`an.
Adalah dikatakan bahawa bila Shafie meningkat kepada  umur 20an dia masih merujuk pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan Al-Qur`an. Ibunya mahu Shafie menjadi orang yang alim berhubung dengan `ulum al-Qur`an. Ibunya menasihati anaknya – Shafie mempelajaran berkenaan Al-Qur`an dan hukum-hukum dengan orang yang pakar. Ibunya mencadangkan Shafie belajar dengan murid-murid Ibn `Abbas  dan Ja`far  al-S*adiq. Salah seorang daripada mereka yang menjadi guru al-Shafie ialah Muqatil bin Sulaiman. Dia adalah guru yang paling tinggi  ilmu pada zamannya. Muqatil  alim dalam bidang Al-Qur`an, tafsir, Hadith dan fiqh. Adalah diceritakan bahawa Shafie tidak mengetahui asal kata di dalam ayat. ``Wa qad khaba man dassaha `` (Al-Shams: 10).
Akhirnya di diketahui dari gurunya Muqatil, bahawa `Dassaha` ialah berasal dari bahasa Sudan, bermaksud `menyesatkan`. Ayat bermaksud:
``Sesungguhnya hampalah  orang yang menyesatkan`` dengan kekotoran, kekejian termasuk syirik.
Gambaran tentang Shafie bahawa dia adalah bersih kelihatan, menarik pandangan, tajam pemikiran.  Adalah Shafie bermukim di Madinah dan belajar dengan Imam Malik di Masjid Madinah. Kitab utama yang dipelajari dari Imam Malik Al-Mut*t*a`, kitab karangan Imam Malik. Beliau menghadhamkan kitab ini, bahkan menghafal seluruh kandaunga kitab Al-Muwat*t*a`.
Al-Shafie selain dari mendalam dalam bidang fiqh sehingga  berkelayakan sebagai Imam Mujtahid, beliau juga pakar di dalam bidang bahasa dn menggubah puisi-puisi. Bahasanya indah dan menarik.
Al-Shafie juga adalah pengasas dan orang yang mula meletakkan dasar ilmu Usul Fiqh dan mendalami ilmu falak. Al-Shafie juga adalah mendalami ilmu tafsir. Beliau mentafsir sebanyak 745 ayat Al-Qur`an yang kebanyakannya berhubung dengan ayat-ayat al-ahkam. Beliau adalah faqih dan Imam pada zamannya yang layak mengeluarkan fatwa.
Tentang Al-Imam Shafie, al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.
``Aku tidak melihat orang yang lebih faham tentang kitab Allah daripada pemuda Quraisy ini dan aku tidak melihat orang yang lebih daripada berpandukan athar .`` (Hadith) Rasulullah s.a.w.
Adalah Al-Shafie membahagikan malamnya kepada tiga bahagi, satu bahagi untuk menulis, sebahagi untuk solat dan sebahagi  yang lain untuk tidur.
Al-Imam al-Shafie berkata,
``Asal hukum ialah Al-Qur`an dan Al-Hadith, maka jika tidak di dapati, maka hendaklah dikiaskan antara keduanya pada yang berlaku dari segi hukum-hukum. Apabila bersambung Hadith daripada Rasulullahs.a.w. dan sah sanad daripadanya, maka ia adalah Sunnah.  Sebab itu khabar secara ijma` lebih sah daripada khabar secara mufrad (perseorangan).
Imam Shafie juga berkata, ``Apabila sah Hadith, maka dia adalah madzhabku.``
Kedudukan Al-Imam Shafie adalah dikiaskan dengan Hadith Rasulullah s.a.w, bermaksud:
``Allah mengukuhkan ke atas ahli agamannya, pada tiap-tiap awal seratus tahun dengan seorang lelaki dari ahli baiti, dia menerangkan kepada mereka itu tentang perkara-perkara yang berhubung dengan agamanya.``
Maka dilihat bagi awal seratus tahun pertama ialah `Umar bin `Abdul Aziz dan bagi awal seratus tahun kedua  daripada keluarga Rasulullah s.a.w. ialah Muhammad bin Idris al-Shafie.
Al-Shafie bergiat selepas Madinah, ialah di `Iraq, beliau telah mengeluarkan fatwa-fatwanya di sini yng fatwa-fatwa di Iraq ini dikenali dengan Qawl Qadim. Semasa di Iraq beliau telah ditawarkan jawatan Kadhi (Hakim) dan beliau menolaknya. Kemudian beliau berpindah ke Mesir dan meninggal di sini. Semasa di Mesir beliau juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa. Fatwa-fatwa semasa di Mesir ini dikenali dengan Qawl Jadid. Kekukluhannya  dari segi hukum menjadikan beliau salah satu madzhab yang diikuti umat Islam. Sebanarnya dari segi kesufian dengan keilmuan, amal ibadat dan pembawaannya dia lebih dari seorang sufi.

Sekian.

August 6, 2017

PESAN HATIM AL-AS*AMM SEBAGAI PANDUAN


BBB, 12 Dzul Kaedah 1438H. =  05 Ogos 2017M. (Sabtu):
Antara  tokoh yang diketengahkan oleh Al-Hujwiri di dalam Kashf al-Mahjub ialah Hatim al-As*amm. Nama lengkapnya ialah Abu `Abd al-Rahman Hatim bin `Ulwan bin al-As*amm (m. 237H.). Beliau adalah tokoh di Balkh dan shaykh terkenal di Khurasan. Dia bersahabat  dengan Shaqiq bin Ibrahim dan gurunya ialah Ahmad bin Khadhrawayh.
Dia berada di dalam sanad Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Husain Muhammad bin Muhammad bin (Ahmad) al-Mu`azzin, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Husain bin `Ali, [bercakap kepada kami Muhammad bin al-Husain] bin `Alwayah, bercakap kepada kami Yahya bin al-Harith, bercakap kepada kami Hatim bin `Unwan al-As*amm, bercakap kepada kami Sa`id bin `Abdullah al-Mahiyani, bercakap kepada kami Ibrahim bin T*ahman di Naisabur, bercakap kepada kami Malik daripada al-Zuhri daripada Anas, bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, bermasud:
``Bersolatlah akan solat Dhuha, kerana sesungguhnya dia adalah solat yang banyak kebajikan, dan berilah salam apabila engkau masuk ke rumah engkau, nescaya banyak kebaikan untuk rumah engkau.``
Berkata Al-Junayd, bahawa Hatim al-As*amm tidak pernah bercakap yang tidak benar.  Katanya, ``Dia adalah seorang jujur dan benar pada zaman kita.``
Ungkapannya bermutu. Antaranya Hatim al-As*amm berkata,
Nafsu ada tiga macam. Nafsu makan, bercakap dan melihat.
Jangan makan ikut nafsu dan makanlah makanan yang baik lagi halal.
Kawallah percakapan. Lebihlah bercakap dengan memuji Tuhan.
Kawallah pandangan, sebaikny melihat pertanda dan ayat-ayat mengenai kebesaran Tuham.``
Menurut Mahmud  Abu al-Faydh di dalam Jamharat al-Awliya`, dikatakan Shaqiq al-Balkh bertanya Hatim  bagaimana mencari ilmu, maka kata Hatim ialah dengan menjaga empat perkara:
Pertama: Dengan menjaga perkara fardhu dengan tidak melalaikannya
Kedua: Mendapat rezeki hingga tidak melampai kepada hak orang lain
Ketiga: Sentiasa  mengingati Allah setiap kejip mata dan tidak lalai, dan
Keempat:  Menjaga masa sehingga tidak tertangguh mengikut masa yang tertentu.
`Asim bin Yusof berada di dalam majlis ilmu Hatim al-As*amm. `Asim bertanya Hatim,
Bagaimana seseorang mengelokkan solat dan bagaimana engkau melakukannya.
Kata Hatim:
``Aku berdiri sebagaimana disuruh, aku berjalan dengan rasa takut, aku masuk dengan niyyah, aku bertakbir dengan membesarkan Allah, aku membaca dengan tartil dan tafakkur, aku rukuk dengan khusyuk, aku sujud dengan tawadhuk, aku duduk  bagi tashahhud dengan tenang anggota, dan aku salam dengan apa yang diwajibkan oleh al-Sunnah secara ikhlas kepada Allah `Azza wa Jalla. Aku kembali dengan harapan diterima Allah amalan dan aku memelihara yang sedemikian dengan penuh kesungguhan hingga matiku [Insya Allah].
Kata `Asim, Bagaimana dengan  amalan-amalan lain wahai hiasan `ulama`. Kata Hatim.
``Apabila engkau melakukan amalan, maka ingatkan Allah dengan amalan engkau, apabila engkau bercakap lihatlah yang terdekatnya Allah kepada engkau dan apabila engkau diam, lihatlah Allah mengetahui akan dikau.``
Dan Hatim berkata, ``Siapa mendakwa tentang tiga perkara, tanpa tiga perkara, maka dia adalah pendusta, iaitu:
Pertama: Siapa mendakwa cintakan Allah tanpa wara` terhadap apa yang diharamkan, maka dia dusta.
Kedua: Siapa mendakwa inginkan syurga tanpa amalan dia dusta.
Ketiga: Siapa mendakwa kasihkan Nabi s.a,w. tanpa kasihkan para fuqara` juga dusta.
Kata Hatim, ``Pokok zuhd ialah percaya (tfiqah) dengan Allah, pertengahannya sabar dengan Allah, dan akhirnya ikhlas dengan Allah.``
Dan serulah manusia kepada tiga perkara, kepada ma`rifat, kepada thiqah dan kepada tawakkal.
Zuhud memerlukan tiga syarat:
Sabar dengan ma`rifat, istiqamah dengan ilmu dan redha dengan pemberian yang ditawakkal dengannya.
Dan kata Hatim, Tidak dapat menyekat orang mu`min daripada lima perkara: Kehendak Allah, daripada qadha`, daripada rezeki, daripada mati dan dari gangguan syaitan, melainkan yang dirahmati Allah.
Dan katanya, carilah untuk dirimu empat perkara:
Amal salih tanpa riya`, mengambil tanpa berlebihan, memberi tanpa ungkitan dan beriktisad tanpa kebakhilan.
Demikianlah percakapan antara `Asim dan Hatim. Semoga menjadi bahan renungan untuk dijadikan paduan.

Sekian.

August 5, 2017

UNGKAPAN DARI MA`RUF AL-KARKHI UNTUK DIHAYATI


BBB,  11 Dzul-Kaedah 1438H. = 04 Ogos 2017M. (Juma`at):
Nama lengkapnya ialah Abu Mahfuz* Ma`ruf bin Fairuz atau Mahfuz* al-Karkhi (m. 200H./815M.) adalah dari kalangan generasi Sufi awal. Keluarganya dikatakan pengikut agama Nasara. Pada masa remajanya dia disuruh oleh gurunya mengaku, bahawa `Tuhan itu adalah `Thalithu Thalathah`. Dia tidak menerima, sebaliknya  membantah. Gurunya mau memukulnya. Dia mengambil tindakan melarikan diri. Ibu bapanya bimbang dan mengharapkan dia akan pulang.  Ma`ruf asalnya hamba bagi `Ali `Isa al-Ridha. Dia masuk Islam dengan tuannya yang juga sebagai gurunya. Pada suatu malam dia pulang ke rumah ibu bapanya dan mengetuk pintu rumah. Ibu bapanya dari dalam bertanya.
``Siapa di luar ? ` Ma`ruf,` jawabnya.
 Mereka yang telah tahu anaknya mencabar ketuhanan Nasara itu, bertanya,
``Kembali dengan agama apa  ?``
Ma`ruf tidak menjawab, Nasara` sebaliknya berkata `Agama Hanif`
Dengan jawapan itu dikatakan kemudiannya ibu bapanya turut menganut agama Islam.
Ma`ruf mendalami agama Islam dan menggabungkan diri dengan kumpulan sufi. Dia menjadi murid bagi Da`wud  al-T*a`i dan guru kepada Sari al-Saqati. Dia terkenal sebagai seorang salih dan pemurah.
Ma`ruf berkata tiga tanda kesalihan, iaitu, menjaga iman, berdzikir dengan ikhlas dan memberi tanpa diminta.
Ma`ruf berada di dalam sanad Hadith.
Mengkhabarkan  kami Abu al-Husain `Ali bin Hasan bin Ja`far, al-Hafiz* al-`At*t*ar di Baghdad, bercakap kepada kami Ahmad bin Hasan al-Muqri` Dabis, bercakap kepada kami Nas*r bin Da`wud, bercakap kepada kami Khalf bin Hisham, berkata aku mendengar Ma`ruf al-Karkhi berkata, (Wahai Tuhanku, sesungguhnya ubun-ubun kami di tangan Engkau, kami tidak memilikinya sesuatu, apabila engkau lakukan sedemikian kepada kami. Jadikanlah Engkau Wali kami, tunjukkanlah kami ke jalan yang betul). Maka aku menanyanya , maka katanya, bercakap kepada kami  Bakr bin Khunais berkata, bercakap kepada kami Sufyan al-Thauri daripada Abi al-Zubayr daripada Jabir, bahawasanya Nabi s.a.w. (Adalah berdo`a` dengan do`a ini).
Sebagai seorang Shaykh Sufi terkenal, antara kata-katanya dicatat:
Kata Muhammad bin Nas*r, aku mendengar Ma`ruf berkata:
``Alangkah banyak orang yang salih, dan sedikit para siddiqin di kalangan orang-orang salih.``
Katanya, aku mendengar Ibrahim al-Buka` berkata,  `Aku mendengar Ma`ruf al-Karkhi berkata,
``Apabila Allah menghendaki seorang hamba kebaikan dibukakan kepadanya pintu `amal dan ditutup darinya pintu perbantahan, dan apabila Allah menghendaki seseorang hamba kejahatan ditutup daripada pintu amalan dan dibuka baginya pintu perbantahan.``
Dan melalui riwayat yang sama berkata Ma`ruf:
``Bertawakkallah kepada Allah, sehingga Dia sebagai penunjuk engkau dan melawaskan engkau, tempat pengaduan engkau, kerana manusia tidak mengambil manfa`at akan engkau dan mereka tidak memudharatkan engkau.``
Berkata Ma`ruf, `` Pemurah ialah orang yang memberi apa yang dihajati dan menghadapi kepicikan.``
Dikatakan seorang lelaki bertanya Ma`ruf, ``Apakah yang menyebabkan syukur engkau>``, maka katanya, ``Sebagaimana engkau ketahui tanpa berkira, sampai dia ke tangan yang bersyukur.`
Berkata Ma`ruf, `Alamat kemarahan Allah kepada seorang hamba, dia memberi tumpuan kepada yang tidak berkenaan daripada  urusan dirinya.``
Berkata Ma`ruf,  ``Memohon syurga dengan tidak beramal adalah dosa dari segala dosa, dan menunggu shafaat dengan tidak bersebab adalah jenis daripada keangkuhan dan mengharapkan rahmat dari yang tidak taat adalah jahil dan bebal.``
Berkata Sulaiman al-Darani, aku bertanya Ma`ruf al-Karkhi daripada orang-orang yang taat kepada Allah Ta`ala, ``Dengan apakah kadar ketaatan ?`` Maka katanya, mengeluarkan  dunia daripada hati kamu, kalau ada sedikit daripadanya di dalam hati kamu, tidak sah daripaanya sebarang sajdah.``
Ditanya Ma`ruf, ``Dengan apa dikeluarkan dunia daripada hati ? Katanya `Dengan kebersihan hubungan dan kecantikan muamalah.``
Kata Ma`ruf, pertanda  pemuda, Tidak berselisih (berbalah), puji tanpa  pemberian dan memberi tanpa diminta.``
Ditanya Ma`ruf tentang alamat kewalian, maka katanya tiga, ``Susah payah kerana Allah, kerjanya kerana Allah dan lari mereka pun kepada Allah.`
Berkata Ma`ruf, ``Tiada bagi `arif ni`mat, kerana dia di dalam setiap masa ni`mat.``
Katanya, aku mendengar Aba `Amrin al-Bazuri berkata,  berkata Ma`ruf, ``Hati yang bersih membuka jalan kepada taqwa, menghasilkan kebajikan, dan hati orang yang jahat gelap memanjang, yakni niat jahatnya.
Dan berkata Ma`ruf:
``Apabila Allah menghendaki seorang hamba kebaikan, dibukakan baginya pintu amalan dan ditutup daripadanya pintu cuai dan malas.
Demikianlah  ungkapan-ungkapan  yang dicatat dari Ma`rufal-Karkhi  untuk dihyati.

Sekian.

August 4, 2017

SULAIMAN AL-DARANI : UNGKAPAN BERNAS DARINYA


BBB, 10 Dzul Kaedah 1438H. = 03 Ogos 2017M. (Khamis):
Nama penuhnya ialah Abu Sulaiman `Abd al-Rahman bin  `At*iyyah al-Darani (m. 215H.). Gelaran al-Darani, kerana ia tinggal di perkampungan Darayya salah sebuah perkampungan di Damshiq. Dia adalah sufi yang dihormati dan dipanggil penyedap qalbu, kerana pendapat-pendapatnya yang menyenangkan. Terkenal kerana zuhudnya dan peniadaan terhadap nafsu. Dia dikatakan alim di dalam ilmu yang berhubung dengan waktu. Begtu juga dia alim berhubung dengan penyakit-penyakit jiwa. Dia berbicara dengan menggunakan istilah-istilah yang  tinggi dan membicarakan tentang praktik-praktik ibadat.
Menurut Sulaiman al-Darani, ``Kita perlu menguasai hati dan anggota badan. Contoh kita perlu menguasai rasa takut, kerana dengan takut hilang pertimbangan. Dengan takut waktu menjadi pendek, lantaran di bawah tekanan. Sepatutnya dengan jaga waktu melastarikan hal. Dan jaga waktu, tidak menjadikan sesuatu sia-sia atau terkeluar dari garisan yang diaturkan.
Waktu adalah tawaran yang fleksibal yang boleh seseorang merancang, mengatur menurut waktu yang diberi atau diperuntukkan masa yang sesuai untuk diatur dan dipenuhkan
Waktu boleh juga disifatkan tawaran bagi manusia membuat perancangan dan jadual yang harus diikuti, tetapi kebiasaan manusia kalah dari mematuhi dan mengalami akibat. Lantaran firman Allah mengingatkan. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Demi masa,
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang beriman dan beramal salih. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan sabar.``(Al-`As*r: 1-3).
Sulaiman al-Darani adalah periwayat yang mempunyai sanad Hadith:
Mengkhabarkan kami oleh `Abdul Rahman bin `Ali al-Bazzar al-Hafiz* di Baghdad, katanya bercakap kepada kami Muhammad ibn `Umar al-Fadhl berkata, bercakap kepada kami `Ali bin `Isa, berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Abi al-Hawari, bercakap kepada kami  Abu Sulaiman al-Darani, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan bin Abi al-Rabi` al-Zahid, daripada Ibrahim bin Adham, daripada Muhammad bin`Ajalan menyebut daripada ayahnya, daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Siapa yang tawadhu` kepada Allah Dia mengangkatnya.``
Antara pendapat Sulaiman al-Darani, antaranya kata Ahmad bin Abi al-Hawari, aku mendengar  Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Apabila mengalahkan raja` (harapan) ke atas khauf (ketakutan), maka rosaklah waktu.``
Sebagaimana dikatakan oleh Al-Darani, ketakutan membuat orang di dalam keadaan tertekan dan hilang pertimbangan, di dalam keadaan sedemikian perkiraan waktu tidak kagi normal, mungkin terasa begitu lambat berlalu atau sebaliknya. Dengan raja` yang kuat dapat mengatasi yang abnormal kepada normal. Dia seolah-olah merosakkan permainan waktu.
Abu Sulaiman berkata secara tamsil, Semoga hatiku di dalam hati-hati seperti baju di dalam baju.`` bermaksud menutup dari keaiban.
Katanya, ``Siapa yang menghela dunia, maka dunia menghelanya.``
Berkata Ahmad bin Abi al-Hawari, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Siapa yang elok pada siangnya, maka disempurnakan juga pada malamnya, siapa yang elok pada  malamnya disempurnakan juga pada siangnya, siapa yang benar meninggalkan sifat nafsu, Allah menghilangkannya daripada hatinya dan Allah memuliakannya daripada meninggalkannya  dari hatinya.``
Kata Sulaiman al-Darini lagi, ``Apabila dunia tenang di hati, maka dia membawa ketenagngan di akhirat.``
Katanya lagi, ``Apabila warid (yang datang) itu benar,, dia membenarkan apa yang ada di dalam hati dan bersamaan dengan apa yang dicakapkan.``
Berkata Ahmad bin al-Hawari, berkata Sulaiman al-Darani,
``Tiap-tiap amal yang tidak ada pahala di dunia, tiada baginya balasan di akhirat.``
Berkata Sulaiman al-Darani, ``akhir langkah orang zahid adalah awal langkah orang bertawakkal.``
Kata Sulaiman al-Darani lagi,  ``Tiap-tiap satu ada hiasan dan hiasan benar ialah khusyu`.``
Katanya lagi, ``Ajarlah diri dengan redha dengan ketentuan qadar, dia adalah ni`mat yang mencapai darjat ma`rifat.``
Kata Abu Sulaiman al-Darani lagi, ``Apabila hati tenang dari ketakutan, dia membakar syahawat dan menolak kelalaian daripada hati.``
Katanya, ``Siapa yang benar perjalanan, maka redha dari Allah balasan.``
Demikian luahan pendapat dari Sulaiman al-Darani yang merupakan pengalaman-pengalaman yang dilalui, semoga menjadi  renungan dan panduan bagi yang gemar menghayati.


Sekian.