February 28, 2010

Penutup Sambutan Tahun Baru Cina

Pekan Bangi, 13 R. Awwal = 27 Februari (Sabtu):


Sambutan pada malam ini merupakan sambutan terakhir bagi siri sambutan Tahun Baru Cina 2010 bertempat di tengah kawasan perumahan penduduk di belakang deretan kedai Pekan Bangi. Selain dari ADUN, turut hadir Saudara Mazuan Johar, Ahli MPKj kawasan tersebut dan JKK. Hadirin yang hadir dijangka 300 orang. Acara merupakan ucapan dari ADUN yang mengucapkan Gong Xi Fa Chai dan menyampaikan bantuan kepada golongan daif dan penyampaian ang pau kepada anak-anak. Majlis sukaria, uji akal dan peraduan juga diadakan. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Saudara Mazwan.




Meraikan Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2010 Peringkat Kebangsaan di Bandar Baru Bangi

Tasik Cempaka, 02 Rabiul Awwal = 27 Februari (Sabtu):

Sekali lagi Bandar Baru Bangi di bawah DUN Bangi menjadi lokasi pemilihan bagi melancarkan Hari Lanskap Negara di atas. Bagi tujuan tersebut lebih dari 30 khemah didirikan di tepi Tasik Cempaka bagi upacara pelancaran dan pameran. Petang ini jam 3.00 petang Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin melancarkan perasmian di atas. Sambutan adalah dengan kerjasama MPKj dan Rakan-Rakan Karnival. Turut hadir YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi selaku Tuan Rumah, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, ADUN Kajang YB En. Lee Khim Sin, Dato' Ahmad bin Hj. Kabit Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, En. Isa bin Haji Ahmad Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara, YDP MPKj Dato' Hasan Nawawi Abdul Rahman, Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tan Haji Zainal Abidin A'la, ahli-ahli MPKj dan pegawai-pegawai dari Kementerian.



Dalam ucapannya Datuk Haji Lajim menekankan kepentingan menjaga landskap sebagai satu bidang seni yang dapat menyusun atur kedudukan muka bumi dan ruang dengan hiasan taman dari tumbuhan dan infrastruktur berhubungan. Bidang landskap dapat menarik pandangan dan minat dan melegakan jiwa. Landskap dan perhiasan terutama dari tumbuhan menjadi satu bidang industri taman dan tanaman yang menguntungkan. Kesedaran tentang landskap dan seni taman dan seni hias dapat memupuk bukan saja minat pada landskap tetapi bidang pertanian dan perindustrian. Menghayati landskap yang indah dengan seni tanam dan hias yang teratur membahagiakan. Seboleh-bolehnya biarlah rumah, kampong, pekan, bandar, bahkan Negara berada dalam taman yang membahagiakan semua pihak. Pelancaran Upacara Perasmian Karnival Industri Landskap hari ini adalah merupakan usaha ke arah menyedarkan masyarakat betapa landskap, seni taman dan seni hias adalah penting dalam kehidupan, bahkan menjadi sebahagian daripada kehidupan.



Sempena pelancaran hari ini beberapa pokok cempaka ditanam oleh Datuk Seri Panglima Haji Lajin dan pegawai-pegawai. Sementara itu berpuluh-puluh gerai dibuka menawarkan jualan anak-anak pokok, berbagai jenis herba, baja dan bahan-bahan yang berhubung dengan landskap. ADUN Bangi turut mengiringi lawatan Datuk Seri Panglima Lajim dari gerai ke gerai. Pameran di sini berterusan dari 27 Februari hingga 7 Mac. ADUN turut membeli yang secara kebetulan ada pokok sirih yang diperlui oleh isteri sebagai bahan ubatan.


February 27, 2010

Berseni Menyambut Maulid Al-Rasul Dikasihi

Council Home, 12 Rabiul Awwal = 26 Februari (Jumaat):

Rasullah diutuskan sebagai rahmat kepada Alam (al-Anbiya': 107) diakui dan tidak dipertikaikan. Dia membawa perutusan akidah tauhid yang kita yakini. Tidak ada satu bidang yang tidak dicakupi dan mempengaruhi dan mendominasi, bahkan menjadi haluan dan panduan penghidupan. Kita adalah ummah Islam yang mengakui Keesaan Tuhan dan Kerasulan Junjungan.


Yang memenuhi jiwa kita sebagai umat baginda ialah kasih sayang kepadanya. Kehadiran Rabiul Awwal, khususnya 12 dari tanggal tersebut sebagai tarikh kelahiran Rasul Junjungan adalah satu cara pendekatan memanifestasikan rasa cinta kepada Rasulullah. Berbagai cara dapat dilakukan sebagai mengexpressikan rasa cinta. Ada yang melahirkan kecintaan sambil memahami sirah baginda ialah melalui forum, sebagaimana di pangkal malam ini di Surau al-Sabah diadakan forum berjudul "Rahmatan li alamin"
Yang ahli panelnya, ialah Ustaz Ikmal Zaid bin Hashim dari KUIS, Ustaz Hasnan Kasan dari UKM. Forum dimoderator oleh Ybhg. Dr. Maimon dari UKM. Atas jemputan Timbalan Pengerusi Surau YBhg. Kernal (B) Abu, ADUN hadir sebahagian dari masa forum, tetapi mmemohon diri jam 9.00 malam kerana menghadiri Sambutan Maulid al-Rasul di Council Home, Bandar Baru Bangi.

Sambutan Maulidul Rasul di Council Home ini adalah sambutan Pas Serdang pada peringkat kawasan dengan kerjasama Pas Cawangan di Council Home dan Persatuan Penduduk di situ. Hadir sama ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Ahli MPKj dan Timbalannya Tuan Haji Sufi Munassir. Sambutan pada malam ini mendapat kerjasama dari pihak MPKj yang menyediakan sebanyak 5 khemah dan 200 buah kerusi dan pihak JKR yang menyediakan pentas, lampu dan kipas. Turut hadir pada malam ini tamu-tamu istimewa dari Kelab Penyokong Pas yang diketuai Saudara Ari dari Pekan Bangi dan Saudara Guna dari Kajang Utama, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang menghubungi ADUN memohon maaf, kerana berhalangan dan tidak dapat datang.


Dari segi pendekatan sambutan Maulid al-Rasul di Council Home pada malam ini adalah mengambil pendekatan secara "Berseni Menyambut Maulid al-Rasul Dikasihi". Menurut ADUN Bqngi dalam ucapan alu-aluannya, pendekatan secara seni ini bukan asing di dalam Sirah al-Rasul, kerana semasa baginda tiba di Madinah dalam rangka Hijrah Baginda ke sana, baginda disambut dengan marhaban ! Puisi marhaban terus diungkapkan hingga hari ini. Begitu juga dari kasih cinta Sayyiduna Ja`far al-Barzanji terhadap Rasulullah, beliau telah mengarang karangan nathar secara berseni memuji Rasulullah yang kemudian dikenali sebagai "Berzanji" yang kini terus popular yang dibaca dan dilagukan di dalam berbagai-bagai upacara keagamaan, khususnya bagi sambutan Maulid al-Rasul, karangan juga disusun oleh al-Busiri. Demikian berikutnya banyaklah nasyid, nazam, puisi dan lagu-lagu yang disusun di dalam memuji Rasulullah dan mendapat sambutan dari masyarakat.


Sebagai melahirkan kecintaan terhadap Rasullah malam ini pendekatan dilakukan dengan Perkesahan Tentang Rasulullah secara prosa berirama yang mengambil gaya dan rentak Barzanji yang disampaikan oleh Zaid Akhbar Pengarah Sambutan, kemudian diikuti dengan lagu Marhaban yang disampaikan oleh kumpulan jemputan dari KUIS. Kumpulan ini dikenali dengan nama Munaadiyul Haqq. Sambutan diteruskan dengan persembahan Teater tentang eposid Kehidupan yang dikaitkan dengan Islam. Teater disampaikan oleh Kumpulan dari Council Home.



Selepas pertunjukan teater Kumpulan Kompang Jamiatul-Widad dari Balakong menyampaikan beberapa nasyid yang antara ungkapan ada mirip gaya barzanji yang gerak geri tangan secara tersusun ditambah dengan pakaian seragam dan pukulan kompang yang rentaknya agak berlainan dari biasa. Persembahan mereka banyak menghidupkan malam sambutan. ADUN Bangi juga diminta membaca dua puisi yang berjudul, Luahan Cinta Terhadap Rasul Junjungan dan Di Masjid Madinah. Persembahan pada malam itu diakhiri dengan salawat beramai-ramai. Sambutan alhamdulillah keseluruhannya mencapai kejayaan dengan jumlah penonton melebihi 300 orang.

February 26, 2010

Satu Pendekatan Melahirkan Kecintaan Kepada Rasul Junjungan

Cheras Jaya, 12 Rabiul Awwal = 26 Februari (Jumaat):


Pagi ini penduduk Kariah Masjid Manba`il Ulum, Cheras Jaya dan penduduk kawasan berdekatan melahirkan kecintaan terhadap Rasul Junjungan dengan berarak dari Masjid berkeliling kawasan Cheras Jaya dan pulang kembali ke Masjid memakan jarak 2 ½ km. Perarakan disertai orang tua, ibu bapa dan anak-anak menerusi pasukan-pasukan yang dipertandingkan. Pasukan terdiri dari jamaah masjid, guru-guru, pelajar-pelajar dan kumpulan-kumpulan khusus yang diwujudkan. ADUN Bangi sengaja dijemput selepas selesai perarakan bagi melakukan acara perasmian.


Sebelum acara perasmian pasukan-pasukan salawat, marhaban, barzanji dan hadrah tampil menyampaikan bacaan berlagu masing-masing. Amat menarik Kumpulan Nuruz-Zaman yang berpakaian seragam menyampaikan lagu narrative bersalawat dan berkisah tentang Rasulullah sambil diiringi gendang kecil seperti kompang, manakala kumpulan veteran dari jamaah Masjid Manba`il-Ulum menyampaikan salawat dan marhaban dengan gaya suara dan rentak tersendiri dan Tuan Haji Tahir bin Muhammad Zain (69) sebagai pemimpin bagi kumpulan 20 orang yang tiga orang daripada mereka anak-anak beliau menyampaikan lagu Hadrah memuji Nabi dengan rentak dan alunan lagu yang unik dan menarik (Hadrah berasal dari Perak). Gabungan yang menyertai persembahan dari kalangan veteran, ahli jamaah dan anak-anak menampilkan satu pendekatan yang asli dan menarik.


Bila ADUN tampil merasmikan Majlis Perasmian Maulidul Rasul ini, ADUN terpengaruh dengan situasi dan emosi spontan yang ADUN depani. Bahawa dengan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. termanifestasi di dalam berbagai expressi seni. Contoh Barzanji adalah expressi rasa cinta Muhammad Jaafar al-Barzanji yang diolah dalam bahasa prosa berirama yang indah yang dapat dilagukan di dalam berbagai rentak bacaan. Keindahaannya bersifat klasik sehingga kini barzanji ini terus dilagukan tanpa dirasakan jemu. Begitu juga kasihnya penduduk Madinah terhadap Rasulullah bila tiba Rasulullah ke Madinah dalam penghijrahannya ke sana baginda disambut secara spontan dengan lagu Marhaban. Lagu ini dikembangkan dan terus menerus dialunkan hingga kini, khususnya dalam sambutan Maulid al-Rasul.


Ilham tercipta dari keagungan cinta menjadi abadi dan terus kekal hingga kini diulang-ulang memuji Rasul Junjungan. Demikianlah ramai penggubah ungkapan yang datang menexpressikan rasa cinta terhadap Rasulullah seperti lagu Burdah oleh al-Busiri, Nazam, Syair, Hadrah, Nasyid dan berbagai-bagai lagu yang indah dihayati dan menyentuh hati Nurani. ADUN menyatakan ini adalah manifestasi budaya murni yang lahir dalam peradaban ummah seperti lahirnya seni bina yang unggul kudus dan murni terutama seperti seni bina masjid, monumen dan sebagainya.


ADUN merasa seni budaya murni ini harus dihidup dan diperkembangkan dan harus ditanamkan di dalam jiwa anak-anak muda kita, supaya mereka mengenal akar budaya murni Islam dan dapat menghendar mereka dari kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah apa lagi yang merosakkan. Satu cara yang boleh dilakukan, khususnya di kawasan Serdang atau Hulu Langat dengan mengadakan musabaqah lagu-lagu yang berfokus kepada memuji Rasulullah baik yang bersifat klasik maupun morden. ADUN mengucapkan syabas kepada AJK Masjid yang diketuai oleh Nazirnya Tuan Haji Azman bi Haji Idris dan AJKyang secara kreatif dapat mengadakan sambutan Maulid al-Rasul secara menarik dan menyegarkan.


Selepas perasmian ADUN menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan-pasukan yang menang dan yang mengambil bahagian seperti johan penyertaan terbaik bagi Pasukan Impian Ehsan, Johan perbarisan kepada Pasukan Nurul Sabah yang juga Johan Pasukan Salawat, johan pakaian bagi Pasukan Wanita Masjid Manbail Ulum, johan sepanduk Surau Nurul Amin dan Johan Keseluruhan dari kawasan Impian Ehsan. Selepas rehat dan sembahyang Jumaat pada malam ini penduduk sekitar Masjid Manbail Ulum akan hadir memenuhi pekarangan masjid kerana mengikuti Forum Perdana sempena Maulid al-Rasul.


Hari Belia Bangi 2010: Satu Komentar

Bandar Baru Bangi, 07 Rabiul Awwal = 21 Februari (Ahad):



Hari ini disambut pada tarikh di atas bertempat di pinggir Tasik Cempaka mulai jam 8.00 pagi hingga 6.45 petang. Bagi menjayakan program yang agak besar ini sebuah AJK yang diketuai Pengarahnya Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus diamanahkan. Menyertai Sekretariat Penganjur ialah Portfolio Belia, Khidmat Masyarakat DUN Bangi, Majlis Perwakilan Penduduk Zon 22, 23 dan 24 MPKj, Penggerak Belia Tempatan Zon berkenaan, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Agensi Kerajaan, swasta, NGO-NGO dan Masjid Surau Sekitar Bandar Baru Bangi. Tujuannya untuk merangka pendekatan sebaik mungkin bagi menarik penyerrtaan belia yang menjadi targetnya seramai 5,000 orang ! Sebuah peruntukan yang agak besar juga diperlukan dari berbagai pihak yang berkaitan.


Program dirangka melibatkan semua peringkat belia –lelaki dan perempuan dari peringkat umur muda hingga belia yang lebih berusia. Hari Belia ini dirasmikan oleh Ketua Pemuda Pas Pusat Y Bhg. Ustaz Nasruddin bin Hassan pada sebelah paginya dan ditutup sebelah petangnya oleh Timbalan Ketua Pemuda Ustaz Azman Sapawi. Penyertaan peringkat belia bawah umur seperti melukis-mewarna, Pertandingan Kiub Rubik Terpantas. Manakala penyertaan golongan belia lelaki seperti Pertandingan Street Soccer dan tarik tali, Pemanduan Motor berhemah, bagi belia wanita seperti gerai makanan, manakala penglibatan bagi semua ialah seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran komuniti dan persembahan yang bersifat hiburan. Terasa semacam program penduduk rumah pangsa yang dianjurkan oleh JKK.


Semasa majlis penutup secara kebetulan hujan turun dengan agak lebat dan majlis penutup dan penyampaian hadiah berjalan dalam keadaan yang kurang sempurna. Baik peringkat pembukaan dan penutup semua mengakui belia adalah generasi penting yang akan mengambil alih semua teraju kepimpinan. Mereka mempunyai potensi besar menjadi pemimpin, sebab itu mereka hendaklah bersiap sedia dengan keperluan-keperluan sebagai belia harapan Agama, Negara dan Bangsa dengan keilmuan dan kepakaran berteraskan agama dan nilai yang murni.


Tapi meneliti kepada acara-acara sambutan nampaknya bersifat ringan, tidak sepadan dengan penyertaan AJK yang begitu besar, bahkan dipersoalkan apakah benar berlaku penyertaan yang begitu banyak termasuk dikatakan Agensi Kerajaan dan Swasta, NGO-NGO, bahkan masjid dan surau-surau di Bangi dan adakah jumlah yang dijangka 5,000 hadir itu berlaku ?. Ketara program, kecuali pembukaan dan penutup terlalu biasa dan lebih bersifat hiburan dari tumpuan kepada bina insan yang seharusnya bersifat intelektual, kerohanian dan kepimpinan! Misalnya adalah lebih wajar bagi memprojekkan Bangi Bandar Ilmu, dijemput para pemimpin pelajar dari berbagai universiti di Bangi membicarakan, misalnya melalui forum – Peranan Siswazah Dalam Pembinaan Ummah atau dijemput tokoh-tokoh agama membincangkan soal `Gejala Sosial; Bagaimana Mengatasi?


Tokoh-tokoh belia-beliawanis berjaya di dalam berbagai bidang harus diberi fokus, kedudukan dan menjadi inspirasi pada hari belia dan aspirasi perjuangan, wajar juga diadakan program penerangan peluang, persediaan dan bimbingan ke universiti, kerjaya dan peluang pekerjaan. Sesungguhnya kita wajar menurut kemahuan golongan belia, tetapi harus berfokus dan dalam masa yang sama menarik mereka ke arah yang bersifat positif, jika tidak, dengan tenaga yang banyak digunakan dan perbelanjaan yang besar terpaksa dicurahkan ianya membawa kepada pembaziran dan sia-sia dari segi tenaga, masa dan peruntukan.


Sekian.

February 25, 2010

Melancarkan Perkhidmatan Bas Mini Putera-Mahkota-Nilai

Seri Putera, 11 R. Awwal = 25 Februari (Khamis):

Sejak Bandar Seri Putera dan Bukit Mahkota dihuni mulai 2001, sudah dirasakan perlu adanya perkhidmatan bas di sana, tetapi pada masa itu penduduk belum begitu ramai, maka perkhidmatan bas tidak begitu ekonomik. Usaha kedua dilakukan pada tahun 2008. ADUN mendekati dua syarikat bas mini yang berkhidmat di Kajang, tetapi masih tidak mendapat respon yang baik.


Kini penduduk Seri Putera dan Bukit Mahkota mendekati jumlah 30 ribu, adalah wajar diwujudkan perkhidmatan bas, atas keperluan pihak penduduk melalui ahli MPKj mendekati sebuah syarikat bas mini yang memberi respon yang baik. Syarikat dimaksudkan ialah Syarikat Bas Mawar Merah Sdn. Bhd. yang berpusat di Kelang, iaitu sebuah syarikat bumiputera. Keterlibatan syarikat ini atas dasar jika ianya mempunyai pulangan yang membolehkan syarikat untuk terus beroperasi. Lantaran itu Syarikat ini telah mendapat lesen sejak September 2009 lepas dan membuat percubaan dari segi perkhidmatan hingga ke awal tahun 2010, maka didapati perkhidmatan ada pulangan yang memuaskan.


Maka pada pagi ini secara rasmi diadakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Mini Putera bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN di Seri Putera mulai jam 9.00 pagi. Hadir bersama ke Majlis ialah, ADUN Bangi, Sdr. Hj. Mazwan Johar Ahli MPKj, Sdr. Nizam dan Sdr. Zahari dari MPKj, Sdr. Marzuki Ketua Kampung Bangi, Saudara Effendi Abu Bakar dari Syarikat Bas Mawar Merah Sdn. Berhad dan En. Norizan dari Bangi Height, ahli-ahli AJK bagi Ahli MPKj dan JKK Bangi.


Dalam ucapan perasmian bagi pelancaran, ADUN Bangi berterima kasih kepada Syarikat Mawar Merah yang sanggup menjalankan operasi perkhidmatan bas bagi laluan Seri-Putera-Bukit Mahkota-Nilai (termasuk ke Stesen Komuter Pekan Bangi) seterusnya memenuhi hasrat penduduk di sini. Kita difahamkan buat masa ini syarikat menyediakan 3 buah bas mini. Bagi satu tambang perjalanan sehala, sama ada dekat atau jauh dikenakan RM1.00. Perkhidmatan ini banyak digunakan oleh pekerja-pekerja kilang yang banyak terdapat di Bukit Mahkota dan Nilai, anak-anak sekolah dan mereka yang berulang alik membeli keperluan harian dan barangan murah di Nilai Tiga. Bagi memajukan perkhidmatan, ADUN berharap iklan dan publisiti secara lebih agresif perlu dilakukan. Pemimpin-pemimpin masyarakat dapat membantu bagi kemajuan Syarikat.

ADUN berharap imej bas mini selalu dikaitkan dengan kekurangan disiplin, kasar dan gopoh kerana mengejar waktu dan mengambil penumpang seramai mungkin. ADUN berharap keadaan ini tidak berlaku bagi Syarikat Bas Mawar Merah. Sebaliknya hendaklah membina imej bas yang baik, bersih dan bertata tertib. Dengan ini lebih ramai menarik penumpang. ADUN juga berharap Syarikat Bas wajar memilih tempat-tempat hentian utama yang dapat pelanggan menunggu dan juga menepati waktu, supaya pengguna tidak tertunggu tunggu. Mungkin perkhidmatan tidak hanya ke stesen komuter, Nilai dan Bangi Lama, tetapi juga ke Stesyen Komuter UKM dan juga Hentian Kajang di Jalan Reko. ADUN mendoakan syarikat bas mini ini maju jaya dan dapat menambahkan lagi bilangan bas dan perkhidmatan pada masa depan.


Sementara itu Sdr. Haji Mazwan Johar dalam ucapan alu-aluannya, berkata, pada asalnya kita mahu mengadakan majlis perasmian pada Sabtu atau Ahad, tetapi menurut Sdr Hj. Mazwan, Hari Sabtu dan Ahad ialah hari ramai pelanggan menggunakan bas, disebabkan untuk mengelakkan kerugian di pihak syarikat, maka dipilih hari bekerja seperti hari ini. Menurutnya sebelum ada perkhidmatan ahli MPKj ada yang mencadangkan pihak MPKj menyediakan perkhidmatan bas sendiri secara komersil dan pernah dilakukan oleh pihak Majlis perbandaran yang lain, tapi kurang berjaya. Kita juga tidak mahu membebankan pihak MPKj. Kita menyokong kuat perkhimatan oleh Syarikat Mawar Merah dan berharap Syarikat akan berkembang maju.

Bagi merasmikan perkhidmatan, ADUN dengan Hj. Marzuki, beberapa orang AJK Ahli MPKj dan Ahli JKK turut sama menaiki bas bergerak dari Seri Putera ke Bukit Mahkota hingga ke Nilai, termasuk Nilai Tiga dan Nilai Lama dan pulang kembali ke Seri Mahkota. Sambil itu penumpang naik dan turun sepanjang jalan. ADUN bertanya sebahagian dari penumpang yang naik yang duduk sebangku dengan ADUN, kerana bangku ADUN di hadapan, semuanya berpuashati dengan perkhidmatan bas yang diberi. ADUN bersama yang lain mengelilingi Seri Putera- Bukit Mahkota dan Nilai dan pulang kembali memakan masa lebih kurang dua jam. Melihat kepada penumpang yang turun naik dari bas yang kami naik dan bas yang lain dari syarikat ini yang kami bertembung diperjalanan, kami yakin, insya Allah syarikat ini akan maju. Terima kasih.

Seminar Menuju Ke Menara Gading 2010

Sungai Chua, 07 R. Awwal = 21 Februari (Ahad):

Atas kesedaran betapa pentingnya pendidikan di dalam kehidupan insan bagi bekal diri dan kehidupan, maka Pertubuhan Belia Hindu Kajang, Selangor Darul Ehsan mengadakan `Seminar Menuju ke Menara Gading 2010`. Seminar ini bertempat di sebuah Dewan di tepi bangunann Balai Raya di Sungai Chua. Fokus seminar bagi membimbing belia-belia Hindu yang berkelayakan (pelajar Tingkatan Lima dan Enam). Mereka dibekal dengan panduan-panduan bagi menjejaki tangga universiti. ADUN dapati sebahagian dari pimpinan Pertubuhan Belia Hindu Kajang adalah graduan-graduan UKM, bahkan antara penasihatnya adalah dari kalangan Bekas pensyarah UKM. Menurut Pengarah Seminar Menuju Ke Menara Gading 2010, saudara Siveram Marithammuthu seminar diadakan, ``Untuk melahirkan kesedaran peri pentingnya ilmu pendidikan di kalangan pelajar dan persediaan awal kepada pelajar sebelum mereka menjejak kaki ke menara gading.``

Seramai lebih kurang tujuh puluh orang pelajar hadir ke seminar tersebut. ADUN yang hadir pada jam 12.00 tengahari bagi merasmikan seminar, mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Belia Hindu Kajang yang mengambil inisiatif menganjurkan seminar. Dengan seminar dapat memberi panduan memilih mata pelajaran, jabatan dan fakulti yang sesuai dengan kelayakan yang ada pada mereka. Bakal pelajar menara gading juga mendapat panduan bagi mendapat bantuan dan pinjaman. ADUN mengingatkan kepada pelajar dan pembimbing bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatian tentang pelajaran bagi anak-anak negeri Selangor. Setiap pelajar anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti mendapat insentif dari kerajaan negeri sebanyak RM1,000. Bagi yang tidak mendapat bantuan atau pinjaman, maka negeri Selangor juga memperuntukkan skim Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Selangor tanpa bunga. Sekiranya pelajar lulus dengan cemerlang, pinjaman akan ditukar kepada biasiswa.

ADUN mengharapkan ramai belia Hindu berjaya ke Menara Gading dan mengharapkan mereka berjaya pada masa akan datang dan berkhidmat kepada bangsa dan Negara.

Sekian.

February 24, 2010

PAKEWANIS Raikan Golongan Miskin Masyarakat Cina

Bandar Kajang, 07 R. Awwal = 21 Februari (Ahad):


PAKEWANIS meraikan golongan miskin sempena Tahun Baru Cina bertempat di Dewan Bandaran MPKj di sini pagi ini. Seramai lebih kurang 100 orang kalangan miskin dari Hulu Langat, Bangi dan Seri Serdang dibawa ke Dewan di sini. Isteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Menteri Besar Selangor Y. Bhg. Puan Sri Datin Salbiah Bt. Tunut yang juga Yang Dipertua PAKEWANIS berucap ringkas mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina – Gong Xi Fa Cai kepada semua yang hadir, kemudian beliau menyampaikan sumbangan diiringi Puan Faridah Isteri YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat dan Puan Mu'minah Isteri YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi yang juga turut sama mengiringi Puan Sri Menyampaikan sumbangan.



Para tamu, AJK Kerja dan semua yang hadir kemudian diraikan dengan jamuan Tahun Baru Cina sebelum bersurai.


Rasmi Mesyuarat Agung Sekolah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi

BBB, 07 Rabiul Awwal = 21 Februari (Ahad):



Sekolah Agama Integrasi BBB hari ini mengadakan Mesyuarat Agung bagi kali ke 12 sejak ditubuhkan pada pertengahan 1990an. Mesyuarat yang dihadiri lebih kurang 100 orang ibu bapa ini bertempat di Dewan bangunan empat tingkat yang baru siap dan digunakan mulai Oktober 2009 lepas. Sekolah ini antara Sekolah integrasi terbesar di Hulu Langat dan menampung 1,114 murid dengan 84 orang guru. Waktu persekolahan bermula dari jam 7.30 pagi dan berterusan hingga jam 4.00 petang. Sekolah ini antara sekolah yang mengekalkan pencapaian terbaik peperiksaan UPSR dan PSRA sejak dua tahun yang lepas.


Hadir bersama ke mesyuarat hari ini YDP PIBG Dr. Zainuddin bin Sajuri, Timbalannya Encik Ahmad Said bin Omar dan Guru Besar yang juga selaku Penasihat PIBG Pn. Siti Marijah bt. Sarmidi.

ADUN dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada pihak Sekolah dan PIBG yang bekerja keras bagi memajukan sekolah. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang prihatin terhadap anak-anak. Kerjasama ibu bapa amat penting bagi memajukan anak-anak dan sekolah. Kemajuan sekolah menarik ibu bapa untuk menghantarkan anak-anak mereka belajar di sekolah ini. ADUN mendapat maklumat, sememangnya sekolah ini menjadi rebutan ibu bapa bagi menghantarkan anak-anak. Setiap tahun permohonan yang diterima mengatasi jumlah kekosongan dan terpaksa ditolak.


Sememangnya sekolah agama integrasi sekolah yang ideal yang mengintegrasikan matapelajaran agama dengan mata pelajaran akademik. Murid-murid bukan saja belajar tetapi juga mempraktikkannya contoh mempraktikkan pelajaran ibadat dengan bersembahyang berjamaah di surau yang disediakan. ADUN menekankan bahawa kerajaan Negeri Selangor amat memberi penekanan terhadap pengajian agama dan memperuntukkan bajet kedua terbesar dalam bajet tahunan. Setakat ini kerajaan mendirikan sebanyak 11 buah Sekolah integrasi, manakala Sekolah Rendah agama (SRA) sebanyak 202 buah dan sekolah Agama Menengah sebanyak 23 buah dengan kerjasama kerajaan Pusat. Di Selangor juga kerajaan mendirikan pengajian tinggi agama seperti KUIS di samping UNISAL.


Peluang pelajar-pelajar agama menyambung pengajian agama dari peringkat rendah ke peringkat tertinggi memang terbuka, di samping peluang-peluang ke universiti-universiti Awam Kerajaan Persekutuan dan swasta. ADUN berharap hasrat ibu bapa mahu mendidik anak-anak dengan pendidikan agama diteruskan kepada peringkat tertinggi. Pendidikan sekolah agama juga memberi peluang anak-anak menyambung pengajian ke berbagai bidang pada masa akan datang. Semoga anak-anak kita bukan saja berpelajaran dan berpendidikan dengan nilai agama dan akhlak yang tinggi, tetapi juga membimbing masyarakat dengan nilai-nilai Islam. Berhubung dengan pemilihan hari ini ADUN menekankan perjalanan sekolah cukup baik dan mengharapkan pemilihan yang berlaku akan lebih mantap dan meneruskan kerjasama dengan guru-guru bagi memajukan sekolah.


Terdahulu dari itu Yang Dipertua PIBG Dr. Zainuddin menekankan bahawa konsep pendidikan bukan pada banyaknya mencapai kelulusan A dalam mata pelajaran, tetapi juga pendidikan dari segi syakhsiah dan akhlak hendaklah juga menjadi tujuan pendidikan. Beliau juga meluahkan kekangan yang dihadapi sekolah terutama dari segi kewangan bagi menampung gaji-gaji guru yang ditanggung sekolah, pentadbiran, tukang kebun dan keselamatan. Lebih kurang RM80,000 setahun PIBG keluarkan peruntukan bagi menampung biaya berkenaan. Tetapi dengan kerjasama semua pihak masalah-masalah dapat diatasi.


Guru Besar Puan Siti Marijah dalam ucapan alu-aluan pada permulaan majlis berterima kasih kepada ibu bapa yang meluangkan masa menghadiri dan menjayakan Mesyuarat Agung pada hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bagi menjayakan Mesyuarat Agung. Semoga kita diberi hidayah oleh Allah dan mengurniakan yang terbaik bagi sekolah dan anak-anak kita.

Mesyuarat Agung dijalankan selepasa perasmian oleh YB ADUN Bangi yang terpaksa memohon diri kerana menghadiri program yang lain yang telah dijadualkan.


Sekian.

February 23, 2010

Ole-Ole Dari Pejabat Daerah

Pejabat Daerah Hulu Langat, 09 R. Awwal = 23 Februari (Selasa):

Melalui Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat ADUN kemukakan untuk makluman dan Tindakan Majlis:

a) Pembangunan

1) Jalan dari Sungai Ramal Dalam melalui hadapan Darul Hikmah ke Surada rosak teruk, perlu dibaiki dan dinaiktaraf.
2) Cadangan mendirikan Masjid Tahfiz di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Tapak dan keizinan telah diluluskan. Penduduk akan berusaha menghimpun dana dan mengharapkan pihak Kerajaan dapat sama memberi peruntukan.
3) Wakil Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat menafikan adanya disediakan tapak bagi sekolah rendah dan menengah di Seksyen 8 dan 9 Bandar Baru Bangi. Satu tapak untuk sekolah menengah bakal didirikan ialah berhampiran Sekolah Jalan 6, Bandar Baru Bangi.


4) Pusat Komuniti di Seksyen 4 berhampiran Surau Al-Kauthar dipertanggungjawabkan kepada MPKj membaikpulihnya.

b) Statistik Jenayah bawah Polis Bangi dan Kajang, menurun:



Keterlibatan

Samun - Umumnya dilakukan oleh penduduk tempatan

Curi Motosikal – Dilakukan oleh penduduk tempatan – ada sindiket.

Pecah Rumah - Malam hari kebanyakan dilakukan oleh penduduk tempatan.

Pecah rumah - Siang hari dilakukan oleh 80% pendatang asing, termasuk dari Arab Saudi, Venizuela, Maxico, Negro, Myanmar dan Bangladesh..
Sekian.