February 2, 2010

Kunjungan Syukur, Adik Ain Nur Safiya Selamat Menjalani Pembedahan

Bukit Mahkota, 17 Safar = 01 Februari (Isnin):


Jika pertengahan bulan Disember 2009 lepas, ketika kami serombongan berkunjung ke rumah adik Ain Nur Safiya bt. Kamaruzzamin (3 ½ tahun) di Bukit Mahkota, anak ini berkeadaan lemah, muram, merengek, kelihatan pucat dan didukung ibunya. Namun, kunjungan kami pada malam ini berlainan sekali, anak ini begitu segar, berwajah ceria dan cergas. Ketibaan kami serombongan 15 orang pada jam 10.00 malam anak ini berada di halaman rumah bersama bapa dan ibunya. Anak ini menyambut kami, bersalam dan mencium tangan. Kami bersalam dengan bapanya yang begitu riang bersama isterinya. Riang kerana anak tunggalnya sihat dan riang kerana kami datang kali ini dengan menumpang gembira dan bersyukur bersama kepada Allah di atas pulihnya kesihatan Ain Nur Safiya.

Menceritakan ujian yang dilalui, En. Kamaruzzaman yang bekerja sebagai Tukang Masak bersama isterinya yang juga Tukang Masak di Golf Kelab Bukit Unggul, Jalan Dengkel (kini isterinya bertukar kerja di Cafetaria di Putrajaya), bahawa anak tunggalnya mengalami demam dan muntah-muntah. Mereka berdua menyangka demam biasa dan dibawa ke klinik swasta, tetapi selang beberapa hari anak itu demam dan muntah-muntah lagi dan dibawa ke klinik semula. Setelah pemeriksaan teliti dibuat, Ain Nur Safiya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan 'Jantung Berlubang'. Berita yang diterima ini amat merisaukan Encik Kamaruddin dan isterinya. Mereka berusaha untuk merawat anak mereka.


Mereka mendapat maklumat bahawa pihak Pakar di IJN bercadang untuk membedah bagi memperbaiki jantung Ain Nur Safiya secara laser, tetapi setelah pemeriksaan rapi dibuat, ternyata lubang agak besar sebesar wang shilling 10 sen dan tidak dapat dijalankan secara laser, tetapi memerlukan kepada pembedahan. Untuk pembedahan ini pihak IJN memberitahu memerlukan bayaran sebanyak RM25,000. "Jumlah ini amat besar bagi kami suami isteri dan di luar kemampuan kami," kata En. Kamaruzzaman. "Setelah berunding dan mendapat nasihat dari banyak pihak, kami dinasihati supaya membuat rayuan," tambah En. Kamaruzzaman dan rayuan dibuat oleh En. Kamaruzzaman.


Rayuan En. Kamaruzzaman diterima oleh pihak IJN dan kos pembedahan berkurang dan dikehendaki dilunaskan ialah sebanyak RM15,000. "Walaupun diturunkan kepada RM15,000 jumlah ini juga tidak mampu kami adakan," kata En. Kamaruzzaman. "Tetapi kami suami isteri tetap berikhtiar bagi menyelamatkan anak tunggal kesayangan kami," kata En. Kamaruzzaman. Atas simpati sahabat yang sama sekerja, termasuk En. Ari Krishnan yang hadir pada malam ini, mereka menganjurkan Tabung Derma bagi mendapatkan jumlah dana yang diperlukan. Kami mengejar masa, kerana tarikh Ain Nur Safiya perlu masuk IJN bagi pembedahan ialah pada 25 Disember 2009 dan tarikh pembedahan ialah dua hari berikutnya (27.12.2009).

Saudara Ari Krishnan sebagai Ketua Perpaduan Kaum India di Pekan Bangi yang sama setempat kerja dengan En. Kamaruzzaman mendekati ADUN Bangi bagi mendapat bantuan melengkapkan jumlah yang diperlukan yang masih belum cukup. Cadangan dari Saudara Ari diterima dan kami serombongan datang beberapa hari sebelum Ain Nur Safiya masuk ke IJN menyampaikan bantuan. Berkat doa semua, Adik Ain Nur Safiya dibedah pada 27.12. 2009. Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan baik dan selamat. Menurut En. Kamaruzzaman penampal diambil dari organ dalaman Ain Nur Safiya. Dan beliau dibenarkan keluar pada 3 Januari 2010. Ain Nur Safiya akan dibawa untuk rawatan susulan sehingga kesan pembedahan itu benar-benar sembuh.


Berita gembira disampaikan kepada ADUN oleh Saudara Ari Krishna dan menyatakan ibu bapa Ain Nur Safiya berhasrat mengadakan majlis Doa Selamat dan Kesyukuran dan meninjau kemungkinan ADUN boleh datang atau tidak.


ADUN bersetuju hadir dengan pengiring Sdr. Azizi bersama Nada dan Nabilah dari Pejabat ADUN. Pada malam ini hadir bersama Tuan Haji Mazwan Naib YDP dan Ahli MPKj bagi Kawasan Pekan Bangi-Bandar Seri Putera dan Bukit Mahkota, hadir sama Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, Saudara Abu Bakar AJK Kawasan, Saudara Marzuki Ketua Kampung Pekan Bangi dan AJK-AJKnya, ahli-ahli PAS Bandar Seri Putra-Bukit Mahkota dan lain-lain. Di rumah En. Kamaruzzaman kami mengadakan doa selamat dan kesejahteraan bagi keluarga En. Kamaruzzaman, diikuti jamuan secara sederhana sebelum kami pengunjung memohon diri.


Sekian.

No comments:

Post a Comment