Sekian lama Balai Raya Sungai Ramal terbiar dan tak digunakan, usaha telah dilakukan bagi pemuliharaannya. Beberapa siri peruntukan telah dikeluarkan dari peruntukan ADUN Bangi seperti menebang pokok besar yang dibimbangi menimpa bangunan, pembaikan atap, peralatan dalaman dan memperbaiki gelanggang badminton di tepi bangunan balairaya.
Hari ini perasmian penggunaan balairya dirasmikan oleh ADUN dengan mengharap balairaya ini digunakan sebaik mungkin bagi kegiatan penduduk setempat. Ketua Kampung Tuan Haji Yusof bin Hj Abdul Kadir mulai hari ini menggunakan balairaya ini sebagai pejabatnya. Sebab itu ADUN berharap balairaya digunakan untuk membuat aduan, tempat mesyuarat dan mengadakan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan. ADUN juga mengharapkan kaum wanita juga menggunakan tempat ini sebagai tempat kegiatan wanita seperti tempat mesyuarat, menganjurkan kursus-kursus dan latihan-latihan. ADUN juga mengharapkan kalangan pemuda juga dapat menggunakan kemudahan sukan yang ada dan juga menjadi tempat pembelajaran pelajar-pelajar seperti menggunakannya sebagai tempat tuisyen, bimbingan dan motivasi pelajaran. Sebelumnya, Tuan Hj. Yusof menyampaikan ucapan tentang pembaikpulihan balairaya dan operasi perkhidmatan yang akan dilakukan melalui balairaya ini, manakala Tn. Hj. Noor Azhar bin Hj Abd Aziz selaku Pengerusi Program mengalu-ngalukan kehadiran orang ramai.
Sempena dengan pembukaan kembali balairaya di Sungai Ramal ini diadakan pertandingan sukan bagi veteran dan pemuda, manakala kaum ibu pula mengadakan pertandingan masak yang ADUN sendiri mengadili peraduan masakan tersebut. ADUN menyampaikan sumbangan kepada Tokoh Warga Emas iaitu Tuan Haji Yahya bin Kassim (81) yang lebih dikenali sebagai Pak Itam. ADUN juga menyampaikan sumbangan zakat kepada kalangan veteran yang miskin, menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajaran bagi pelajar-pelajar yang berjaya di dalam peperiksaan 2009 dari Sungai Ramal, menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang peraduan masakan dan hadiah peraduan-peraduan sukan yang diadakan sebelum ini.
Pada akhir majlis diadakan dialog yang sertai ADUN, En. Yusof Bachik Ahli MPKj Zon 21 dan Hj. Yusof Abdul Kadir ketua Kampung Sungai Ramal Luar. Dialog amat mendapat sambutan seramai 11 orang telah membuat soalan mengenai berbagai persoalan seperti masalah rumput panjang, pokok perlu dipotong, sampah tak dibersih, jalan tak diperbaiki, banjir perlu diatasi, longkang tersumbat, padang permainan yang kurang dari peralatan, keperluan padang permainan anak-anak, lampu jalan yang tidak berfungsi, anjing liar yang perlu diatasi, ternakan yang dilepas tanpa kawalan, masalah pembetung dan tanda jalan. Masalah-masalah ditimbukan dijawab oleh ketiga-tiga orang ahli panel dialog. Mereka juga berjanji akan mengambil tindakan dengan membawa persoalan-persoalan yang ditumbulkan kepada jabatan-jabatan dan pihak-pihak yang berkenaan.
Pada akhir majlis jam 1.00 tengahari ADUN, En. Yusof bin Bachik dan Tuan Haji Yusof dibawa melihat masalah perumahan yang tidak jauh dari balairaya, iaitu kawasan yang tidak mempunyai perparitan dan jalan perumahan yang perlu ditarkan. Perkara ini akan dibawa ke perbincangan di Pejabat Daerah. Semua yang hadir dijemput bersama-sama makan tengahari sebelum bersurai. Majlis Mesra Rakyat berjaya menyatu dan merapatkan hubungan antara rakyat setempat dan dengan pemimpin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment