February 7, 2010

Perpustakaan Tidak Boleh Di Buka Sabtu-Ahad ?

Bandar Baru Bangi, 21 Safar = 06 Februari (Ahad):

Berikutan dari aduan dan cadangan seorang penduduk yang prihatin kepada ADUN yang mencadangkan supaya perpustakaan dibuka pada hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bagi memudahkan pelajar-pelajar dan mereka yang berminat menggunakan perpustakaan pada hari-hari tersebut, kerana hari-hari lain pelajar belajar di institusi masing-masing dan pekerja bekerja, maka di atas kewajaran hanya pada dua hari tersebut mereka lebih banyak masa ke perpustakaan, maka ADUN Bangi yang juga selaku Pengerusi Gerakan Membaca Daerah Hulu Langat (2009-2013) telah menulis surat kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor mengesyorkan agar perpustakaan, khususnya Perpustakaan di Bandar Baru Bangi dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Syor ini bertujuan menggalakkan pelajar dan orang ramai ke perpustakaan pada hari-hari dibuka perpustkaan, khususnya pada hari Sabtu dan Ahad. Galakan ini juga bertujuan merealisasikan `Bangi Bandar Ilmu`. Walau bagaimana jawapan surat dari Pengarah agak mengecewakan. Jawapan adalah sebagaimana berikut: Surat bertarikh 4 Februari 2010 – Bil (150) dlm. PA 3/3.16.3

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada surat Yang Berhormat bertarikh 28 Januari 2010. Rujukan ADUN(N26)/L/11-01-10

Pengurusan PPAS merakamkan ucapan terima kasih di atas teguran berkenaan …

Waktu Perkhidmatan

Pengurusan PPAS akan mengambil maklum mengenai cadangan pembukaan setiap hari Sabtu dan Ahad di Perkhidmatan daerah. Walau bagaimana pun buat masa ini PPAS belum dapat melaksanakan waktu perkhidmatan seperti yang dipohon di atas sebab berikut:

a) Kekangan kakitangan daerah, jumlah semasa 3 orang, tetapi jumlah keperluan sebenar antara 6 – 7 orang.
b) Pertambahan waktu perkhidmatan akan melibatkan peruntukan kewangan dari segi bayaran elaun lebih masa.

… PPAS akan mengemukakan cadangan waktu perkhidmatan kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPAS.

Buat makluman, pembukaan perpustakaan pada hari minggu bukan asing, seingat ADUN pada tahun 1980an semasa anak-anak ADUN masih bersekolah, adalah menjadi kebiasaan bagi ADUN (masa itu sebagai pensyarah), menghantar anak-anak ADUN dari Bandar Baru Bangi ke Perpustakaan Kajang (Belum ada perpustakaan di Bandar Baru Bangi) pada waktu pagi dan menjemput mereka pada tengahari atau menghantar tengahari dan menjemput mereka di sebelah petang. Perpustakaan pada masa itu bukan saja menyediakan bahan-bahan bacaan, tetapi berbagai kegiatan pada hari minggu. Contoh kuis, pertandingan membaca, membaca puisi, bercerita, bersyarah, memberi hadiah-hadiah bahan bacaan dan berbagai-bagai lagi bagi menggalakkan pelajar-pelajar datang ke perpustakaan.

Satu cara memberi peluang kepada pelajar-pelajar datang ke perpustakaan pada hari Sabtu dan Ahad ialah dengan menukar hari minggu sebahagian dari pekerja pada hari kurang kehadiran pengguna ke perpustakaan, misalnya hari Isnin dan Jumaat dan mereka dikehendaki datang bekerja pada hari Sabtu dan Ahad. Buat permulaan jika tidak dapat dibuka bagi kedua-dua hari, maka wajarlah dibuka pada peringkat permulaan pada hari Sabtu. Mungkin juga dapat difikirkan untuk menampung kekurangan pekerja pada hari minggu ini dapat ditawarkan kepada persatuan-persatuan, NGO-NGO, bahkan sekolah-sekolah menawarkan tenaga sukarela bagi membantu pegawai-pegawai yang berkhidmat pada hari Sabtu dan Ahad atau sekurang-kurangnya buat permulaan pada hari Sabtu. Sesungguhnya jika ada kemahuan ada jalan.

Diharap cadangan membuka perpustakaan pada hari Sabtu dan Ahad akan menjadi kenyataan pada masa mendatang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment