Showing posts with label MEMOIR. Show all posts
Showing posts with label MEMOIR. Show all posts

November 2, 2013

Bidang Penulisan Sumber Kewangan Masa Pengajian

-->
BBB, 27 Zulhijjah 1434 = 01 November 2013 (Juma`at):

Tahun 1971 tahun memberi keyakinan kepada Penulis di dalam menghasilkan penulisan. Dalam tahun ini sajak-sajak Penulis mulai diberi tempat di dalam Dewan Masyarakat ``Sumpah Mahasiswa``(Februari 1971), Dewan Bahasa ``Asas Peribadi`` (Mac, 1971), Dewan Sastera, ``Batas-Batas Artificial`` dan ``Dua Pantai Menaut Rasa`` (Mei & Ogos 1971), ``Nelayan``Utusan Zaman (7.11.1971)., ``Alternatif `` Utusan Zaman  (23.1.1971)

Di samping sajak-sajak Penulis mulai menulis artikal-artikal ke akhbar-akhbar. Misalnya artikal ``Mahasiswa Universiti Kebangsaan Membina Tradisinya sendiri`` keluar dalam  Utusan Zaman  (Ahad 23 Mac 1971), ``Beberapa Pandangan Untuk Jawatankuasa Mengkaji Penubuhan Universiti Islam``  (Utusan Zaman 7.5.1971), ``Universiti Kebangsaan Dalam Usia Setahun Jagung (Utusan Melayu 12.5.1971), ``Gambaran Kampus Sengaja Dihitamkan `` (Utusan Melayu, 1.7.1971), ``Azam Universiti Kebangsaan Malaysia Mau Menubuhkan  Fakulti Perubatannya (Mingguan Malaysia 11.7.1971) dan ``Menjelang Pilihanraya Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Utusan Zaman 5.9.1971).
Pertama kali juga artikal keluar dalam majalah, iaitu ``Mengapa Labuan Ditakluk Inggeris`` (Mastika, Oktober, 1971).
Pada tahun 1971 ini juga puisi Penulis ``Kepada Penyair` pertama kali diberi tempat iaitu dalam Antologi `Gema Membelah Gema 1,  Hari Puisi Pertama di Melaka pada  Julai 1971.
Jelaslah bahawa hasil-hasil penulisan Penulis mulai diberi ruang di dalam penerbitan akhbar-akhbar dan majalah-majalah.

Dari minat,  penulisan secara tidak langsung pada masa itu menjadi sumber bagi Penulis mendapat wang tambahan yang amat diperlukan oleh Penulis. Ini ialah kerana Penulis masuk belajar di UKM benar-benar atas semangat. Tiada jaminan biasiswa. Penulis hanya mendapat bayaran  yang disebut sebagai `dermasiswa` dari kerajaan Negeri Terengganu hanya sekali sebanyak RM1,000 pada permulaan masuk ke UKM, tetapi tidak pada tahun-tahun yang lain. Sebagai guru Sekolah Agama Menengah di Terengganu yang tetap dan berpencen Penulis mengharapkan kalau tidak mendapat gaji penuh, sekurang-kurangnya gaji separuh sebagaimana yang didapat oleh guru-guru Melayu yang menyambung pengajian di universiti. Tetapi Penulis tidak mendapat gaji langsung, walaupun separuh. Pada cuti penggal universiti dari Januari hingga Mei, 1972 Penulis membuat permohonan kepada Majikan Penulis, iaitu Pejabat Agama Islam Terengganu, pada 20hb. Januari 1972 membuat permohonan mengajar sebagai guru sementara (semasa Universiti Cuti panjang), bagi tujuan mendapat sumber kewangan bagi menampung pengajian dan juga keluarga. Perbelanjaan dalam pengajian selama ini, selain dari mendapat RM1,000 dari Kerajaan Terengganu adalah bergantung pada simpanan sebelum masuk universiti dan perbelanjaan (tiga anak pada masa itu) adalah lebih bergantung pada isteri yang pendapatan gaji bulanan tidak sebanyak mana.

Oleh kerana masa cuti panjang universiti tidak ada pekerjaan bagi mendapat kewangan bagi keluarga dan pengajian, maka di dalam masa cuti dan juga tidak cuti Penulis menulis. Biasanya pada masa cuti universiti Penulis menghantar isteri mengajar di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu dan masa kosong penulis menulis seperti di pantai, Kuala Terengganu, sementara menunggu untuk mengambil isteri untuk dibawa pulang,  jika hari tidak bersekolah menulis di rumah. Sejak pertengahan  bulan Ogos (19 Ogos 1971), kami suami isteri yang belum mempunyai rumah membina rumah kayu yang agak kecil dengan kos hanya RM2,000 di atas tanah orang tua isteri. Di rumah ini (siap awal November 1971)  kami tinggal, yang kedudukannya tidak jauh dari rumah mertua yang dulunya anak isteri tinggal semasa dalam pengajian. Semasa cuti universiti Penulis menulis dari rumah ini. Rumah kecil yang terletak di Padang Midin di atas kawasan Pondok Pengajian lama, Padang Midin banyak melakar sejarah di dalam membesar dan mendidik anak-anak kami sebelum berpindah ke Bangi.

Bidang penulisan yang Penulis menulis, ialah bidang yang ada hubungannya dengan pengajian Penulis belajar di UKM, iaitu bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, tetapi bidang sastera lebih banyak dari segi menghasilkan puisi. Bidang kedua ialah bidang Sejarah, iaitu dua bidang major yang penulis ikuti dalam pengajaian bagi ijazah pertama. Bidang ini banyak membantu penulis di dalam menghasilkan penulisan dalam berbentuk esei yang melibatkan sejarah tempatan, Indonesia membawalah kepada Dasar Luar dan Hubungan Antarabangsa (Pada masa itu belum ada lagi Jabatan Sains Politik). Selain daripada itu keterlibatan di dalam mengendalikan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM), Studi Kelab Sastera UKM dan keterlibatan Penulis sebagai Penasih kepada Grupemuisi UKM banyak memberi maklumat dan bahan-bahan penulisan.

Mungkin dari satu segi boleh dikatakan bahawa melibatkan diri dalam penulisan, boleh mengganggu Penulis dalam pelajaran, tetapi sebenarnya tidak sedemikian, sebaliknya bagi Penulis penulisan yang sebenarnya amat berkait rapat dengan bidang pengajian adalah sebagai latihan secara praktikal penulis bagi keilmuan-keilmuan yang dipelajari di bilik-bilik kuliah dan juga tutorial.

Bagi Penulis melihat kepada keterlibatan Penulis menulis sejak sebelum masuk ke universiti dan apabila mendapat peluang masuk universiti memperluaskan ilmu dan mempertajamkan lagi persepsi penulis terhadap topic dan bidang penulisan yang penulis libati. Penulisan yang selama ini Penulis libati lebih banyak membina imej dan identity Penulis.

Sebenarnya dengan keterlibatan Penulis di dalam bidang penulisan dan mendapat sedikit sebanyak honourarium dari penulisan, walaupun tidak banyak sedikit sebanyak menampung kewangan Penulis dalam masa pengajian, bahkan sumber ini berterusan selama Penulis melibatkan diri dalam penulisan. Bagi Penulis untuk menulis tidak pernah kering dari idea, ilham dan bahan, tetapi lebih oleh kerana kekurangan masa dan peluang.

Sekian.

October 31, 2013

Menjadi Ahli Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA)

-->
BBB, 25 Zulhijjah 1434 = 30 Oktober 2013 (Rabu):

Sebagaimana telah diperkatakan bahawa minat menulis Penulis sejak di alam persekolahan menengah lagi, minat ini tidak pernah padam, bahkan diteruskan pada masa Penulis menjadi Guru Sekolah Agama Menengah (Sekolah Arab) dari tahun 1963-1970. Semangat untuk menjadi penulis ini makin meningkat apabila Penulis diterima belajar selaku Pelajar Sulung UKM (18 Mei, 1970). Hasil dari pengajian di universiti menjadikan Penulis lebih memahami kaedah penulisan dan tulisan-tulisan penulis mulai diberi tempat sejak belajar di UKM seperti (bagi tahun 1971 sahaja) di dalam Majalah Dewan Masyarakat (Feb, 1971), Majalah Dewan Bahasa (Mac 1971), Dewan Sastera (Mei & Ogos, 1971) dan Pemimpin (Ogos, 1971). Penerimaan tulisan-tulisan (puisi) ini membuka ruang dan peluang bagi Penulis mendapat tempat di dalam penerbitan-penerbitan yang lebih banyak dan berbagai.

Walau bagaimana antara cara bagi mendedahkan diri dengan bidang penulisan, terutama bagi penulis-penulis muda yang belum mendapat tempat ialah dengan menyertai dan menjadi ahli persatuan penulis setempat atau pada peringkat negeri. Adalah satu yang menarik pada era 1970an minat menulis meningkat dan persatuan penulis lahir dengan banyaknya. Setiap negeri mempunyai persatuan penulis, bahkan terdapat persatuan penulis pada peringkat daerah yang biasanya menjadi cawangan atau berlindung di bawah persatuan penulis negeri. Persatuan-persatuan terkenal misalnya Pena – Persatuan Penulis bagi Wilayah Persekutuan, Persatuan Penulis Kelantan, Persatuan Penulis Pahang, Persatuan Penulis Terengganu yang dikenali dengan Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA) dan persatuan-persatuan penulis yang lain. Pada awal 1970an ini ditubuhkan Badan Gabungan bagi semua badan-badan penulis peringkat negeri yang dikenali dengan nama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang Ketua Satu Pertamanya ialah Profesor Ismail Hussein yang merupakan aktivis bahasa dan sastera dari Universiti Malaya. Berbanding dengan masa kini dari tahun 1960an hingga 1990an begitu ramai penulis hasil dari kegiatan menulis yang dipupuk oleh persatuan-persatuan penulis. Galakan dan hadiah banyak diadakan dan penerbitan-penerbitan banyak  menyediakan ruang untuk kegiatan dan hasil sastera. Dengan demikian meningkatkan bahasa dan sastera Melayu selari dengan perkembangannya di pengajian-pengajian tinggi.

Mengapa pentingnya Persatuan Penulis terutamanya bagi penulis muda ?
Ya memang penting kerana melalui persatuan penulis, mereka yang ingin menjadi penulis berpeluang:
  • Berpeluang merapatkan diri dengan penulis-penulis yang berpengalaman dan mendapat tunjuk ajar dari mereka.
  • Persatuan penulis biasanya mengadakan kursus-kursus penulisan dalam berbagai-bagai bidang dari semasa ke semasa.
  • Bila menganjurkan kursus, penulis-penulis terkenal dijemput menyampaikan kursus. Dengan pengajaran yang disampaikan, memberi peluang bagi kita menulis mengikut format yang dikehendaki oleh penerbit.
  • Bila kita berbakat, peluang lebih tinggi mendapat ruang, jika yang datang memberi kursus adalah pengendali penerbitan, lebih-lebih lagi jika penulis dikenali oleh penerbit.
  • Melalui persatuan kita dapat peluang menghantar tulisan kita di dalam penerbitan-penerbitan yang diterbitkan oleh persatuan. Contonya antologi cerpen dan sajak.
  • Persatuan biasanya menganjurkan peraduan menulis, jadi mereka yang ingin menjadi penulis dapat menyertai peraduan yang dianjurkan persatuan sebagai tempat awal bertatih menulis bagi mengasah bakat.
  • Pertandingan menulis peringkat Induk sering diadakan dengan mendapat tunjangan dari pihak kerajaan atau swasta. Jadi maklumat dari persatuan dapat dimanfaatkan bagi memasuki peraduan melalui persatuan atau persendirian.
  • Berbagai kegiatan yang diadakan oleh pihak persatuan dapat diambil manfaat oleh ahli persatuan yang persatuan pula biasanya memperkenal dan mempromosikan penulis berbakat.
  • Melalui persatuan penulis-penulis dapat bahan-bahan bermutu yang dapat dibeli melalui persatuan.
  • Berbagai kemudahan yang boleh didapat melalui persatuan.

Sebenarnya pada peringkat awal Penulis menulis bersendirian dan tidak mendapat
bimbingan secara teratur. Kerana awal 1960an belum begitu banyak dengan persatuan penulis. Menulis tanpa bimbingan menyukarkan penulis mendapat tempat, kerana tulisan kita tidak menurut kaedah yang betul dan tidak kena cara penghantaran kepada penerbit.

Menyedari pentingnya persatuan penulis, Penulis berhasrat menyertai persatuan penulis sejak tahun 1971 lagi. Antara persatuan penulis yang aktif pada masa itu ialah Petrsatuan Penulis Muda Terengganu yang dikenali dengan panggialan (PELITA). Istlah Pelita diambil dari judul cerpen Ketua Satu PELITA Dato` Rashid Ngah. Beliau penulis gigih, menulis cerpen dan novel. Antara novel terkenalnya ialah Di Bawah Alunan Ombak. Menyambung pengajian di Universiti Malaya. Pernah menjadi Guru Besar dan Pengetua, Wakil Rakyat dan Senator.

Dengan hasrat menjadi ahli Pelita, maka Penulis telah menulis surat dari Kampung isteri Penulis di Padang Midin Kuala Terengganu kepada Setiausaha PELITA – saudara T. Alias Taib yang menjadi Setiausaha Pelita pada masa itu. Surat Penulis dihantar kepada Setiausaha ialah pada 20hb. April 1971. Permohonan Penulis menjadi ahli PELITA diterima oleh AJK PELITA yang bermesyuarat pada 28.5.1971 dengan keahlian no. 119 dengan bayaran keahlian sebanyak RM2.00. Pejabat PELITA secata rasmi ialah di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, iaitu sebuah bangunan bandaran, Kuala Terengganu, tetapi surat menyurat ialah Peti Surat 77, Kuala Terengganu.

Dengan penerimaan menjadi ahli, maka Penulis dapat mengikuti kegiatan yang diadakan oleh PELITA, mendapat peluang dan faedah yang ditawarkan oleh persatuan. Sebagai ahli, maka kegiatan yang terawal ialah jemputan mengahdiri Mesyuarat Agung PELITA kali ke 4 yang diadakan pada Jumaat 9 Julai 1971 di Pusat Pelbagai Guna, Bukit Besar, Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu pada masa itu, iaitu Dato` Mahmood Bin Sulaiman. Walau bagaimana oleh kerana pada masa itu Penulis sedang dalam sesi pengajian di UKM, maka Penulis tidaklah menghadiri Mesyuarat Agung berkenaan. Walau bagaimana keputusan pemilihan Mesyuarat Agung dimaklumkan kepada ahli secara bersurat berikutnya. Mesyuarat Agung Pelita Kali Ke 4 memilih Ahli Jawatankuasa Kerja bagi tahun 1971/72 sebagaimana berikut:

Ketua 1:        Abdul Rashid Ngah
Ketua II:        Othman Omar
Setiausaha 1: Sharif Puterta
Setiausaha II: Ahmad Kasim Endut
Bendahari:     Sheikh Ali Salim

Ahli Jawatankuasa:

Abdul Rahman Che Mat
Tengku Alias Taib
Zakaria Yusof (Mas)
Ismail Salleh (Al-Falah)
Azhar Ibrahim
Mat Taib Rahman
Husein Muhammad
Maznah Ali

Penaung:
Tengku Sri Paduka Raja D.K.
Penasihat En. Harun Hasan AMN, PJK
Haji Salleh Bin Haji Awang JP, AMN, SMT, PJK.

Sekian.

October 27, 2013

Mengapa Lembah Pantai?

BBB, 21 Zulhijjah 1434 = 26 Oktober 2013 (Sabtu):

Berhubung dengan Kampus Sementara UKM adalah menjadi tanda tanya mengapa Lembah Pantai? Soalan ini melibatkan sekuarng-kurangnya dua perkara, iaitu mengapa lokasi bagi UKM itu dinamakan Lembah Pantai dan ada hubungan mengapa Lokasi Lembah Pantai itu dipilih menjadi Kampus Sementara UKM.

Berhubung dengan perkara pertama, oleh kerana telah terterap dalam minda Penulis yang memang tinggal di tepi pantai di negeri Terengganu yang memanjang lebih dari 300km dengan pantai, jadi bila menyebut pantai bererti ada laut yang bergelombang dan ada pantai yang putih memanjang !  Mengapa Kampus Sementara terletak di Jalan Pantai Baru Lembah Pantai ? Tiada sebarang laut dan tiada sebarang pantai di tempat yang dikatakan sebagai Jalan Pantai dan Lembah Pantai. Kedudukan lokasi berkenaan sebagai `Lembah` memang benar. Kalau dilihat Kampus UKM di Jalan Pantai ini memang berbukit dan bangunan-bangunan adalah berada di lereng Bukit Pantai. Puncak yang paling tinggi adalah bukit di mana didirikan bangunan Language Institute (LI) atau Maktab Perguruan Bahasa. Kampus UKM berada di sebelah kanan mendaki seluas lebihkurang 20 ekar, manakala bersebelahan dari UKM adalah hutan yang pada peringkat permulaan kawasan ini masih belum diteroka dan bersempadan dengan Bukit Pantai berdekatan Bangsar yang menjadi kediaman pegawai-pegawai atasan, tetapi masih kurang dengan perumahan. Tanah lembah antara Bukit Pantai dan Kampus UKM ini didirikan 9 buah rumah pangsa 5 tingkat oleh PKNS yang kemudian disewa oleh UKM menjadi kawasan kampus tambahan.

Lembah Pantai adalah kawasan lembah yang lokasi terpenting ialah bulatan Lembah Pantai yang menjadi pintu masuk dan keluar utama bagi Universiti Malaya. Satu lagi pintu keluar masuk lagi ialah keluar ke Seksyen 16 Petaling Jaya dan ke Highway KL-Klang atau ke Jalan Gasing. Ianya juga menjadi bulatan keluar masuk ke Kampus UKM dan juga Maktab Perguruan Bahasa. Kawasan yang juga lembah ialah kawasan hutan mulai dari Masjid Al-Rahman Universiti Malaya hingga ke corner ke Jalan Bangsar, iaitu memanjang dari Bulatan Universiti ke Jalan Bangsar, kawasan hutan ini bersempadan dengan Highway berhadapan dengan Angkasapuri. Kawasan ini selain di tepi jalan ada warung Amjal, Pejabat Pos, ada Balai Polis, Sekolah Melayu dan Sekolah Cina. Kawasan ini dibelah oleh larian sungai dari Kampus UM ke pinggir ke Bangsar. Selain dari ada bangunan-banguna tersebut, kawasan ini antaranya dikenali sebagai Kampung Pasir didiami oleh setinggan-setinggan. Antara kawasan yang banyak dengan setinggan pada masa itu ialah di belakang Angkasapuri yang dikenali sebagai `Pantai Dalam` (Juga menggunakan istilah `Pantai Dalam`. Pada awal 1970an baru hendak didirikan Bangunan Pandu Puteri, berdekatan dengan Bulatan Universiti. Deretan kedai sepanjang Jalan Pantai berdepan dengan TNB baru didirikan pada pertengahan 1970an. Antara bangunan di siti adalah Yayasan Anda Akademik. Bangunan moden telekom, Pejabat Bekalan Air dan bangunan komersil yang mengambil kawasan setinggan Kampung Pasir, jauh lebih kemudian didirikan, iaitu selepas 2000.

Pada Tahun 1970an Kuala Lumpur tidaklah sesebok kini. Bungsar adalah tempat mendapat keperluan, ianya tidak jauh dari Kampus UKM. Di Bangsar sekadar ada sebarisan kedai yang di belakangnya Pejabat New Straits Times (juga Berita Harian) dan Nanyang Siang Pau. Seberang jalannya ada Warung-Warung Taman Ghazali Shafie berdekatan landasan keretapi. Warung-warung ini didirikan selepas 13 Mei 1969, kononnya bagi membantu bumiputera berniaga. Di belakang dari warung-warung ini di sebelah landasan keretapi ialah Kampung Abdullah Hukum yang merupakan kampong setinggan Melayu.

Sebenarnya Bungsar pada awal 1970an belum lagi membangun. Sebelah kanan NST ada kilang Lever Brothers dan ke dalam ada Bangunan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang menjadi asrama kediaman pelajar-pelajar universiti termasuk pelajar Universiti Malaya dan UKM yang tinggal di luar. Sewanya agak murah. Penulis sendiri pernah tinggal di YPM dalam cuti universiti. Jalan Ma`ruf ke dalam masih merupakan tanah yang belum dibangunkan. Pada pertengahan 1970an baru dibangunkan kawasan perumahan – terutama rumah teres. Penulis masih ingat, pada masa itu (1976) Penulis sebagai tutor di UKM Jalan Pantai, turut memohon untuk membeli rumah teres yang dalam lengkongan harga antara RM25,000 – RM30,000 dan pernah dipanggil interview oleh Syarikat Perumahan, tetapi malangnya tidak berjaya. Kawasan yang sedang membangun pada masa itu ialah Petaling Jaya, Seksyen 16 hingga ke Lucky Garden (Penulis pernah menyewa di sini bersama kawan-kawan) sebagai kawasan baru dan Damansara baru hendak dibangunkan. Antara tempat yang agak sebok ialah Seksyen 14 hingga ke Paramount Garden (Penulis meyewa rumah di sini bersama kawan-kawan semasa menjadi Tutor).

Menjawab soalan kedua, mengapa dipilih Jalan Pantai sebagai Kampus Sementara UKM.
Jawapannya tuntutan bagi mendirikan UKM walaupun sudah lama, iaitu sejak 1960an, tetapi agak slow dari segi perlaksanaannya. Atas desakan rakyat, Encik Khir Juhari Menteri Pelajaran dalam Kabinet Tengku mengisytiharkan penubuhan UKM, tetapi kelancaran penubuhan UKM adalah selepas 13 Mei, khususnya selepas Dato` Abdul Rahman Yaakob menjadi Menteri Pelajaran Malaysia semasa dalam Kabinet Tun Razak (1969). Sikap tegasnya memastikan UKM dibuka pada 18 Mei 1970. Oleh kerana UKM di bawah Kementerian Pelajaran adalah wajar dipilih mana-mana tempat milik Kementerian Pelajaran sesuai sebagai kampus sementara bagi UKM. Jika mau tunggu dibina terlebih dahulu kampus tetap, pastilah memakan masa yang lebih lama. Pengambilan Maktab Perguruan Jalan Pantai adalah paling tepat kerana keperluan berikut antaranya:

1)      UKM yang baru dibuka masih kekurangan tenaga pengajar, maka dengan dekatnya Kampus Sementara UKM  dengan Universiti Malaya memudahkan untuk mendapat tenaga pengajar sambilan dari universiti Malaya. Tenaga pengajar di dalam bidang sains banyak dipinjam dari Indonesia. Kampus Fakulti Islam UKM di Seksyen 16 juga tidak jauh dari Jalan Pantai. Ini memudahkan pentadbiran dua kampus dan memudahkan tenaga pengajar, pentadbir dan pelajar-pelajar bergerak antara dua kampus.
2)      Pada peringkat permulaan UKM ditubuhkan, tidak ada perpustakaan sempurna dan buku yang ada amat terhad terletak di anjung bangunan lama, sebab itu pada peringkat permulaan pelajar-pelajar UKM menggunakan Perpustakaan Universiti Malaya. Mereka datang mendaftar secara rasmi dan disambut dan diberi taklimat oleh Profesor Ungku Aziz sendiri sebagai Naib Canselor Universiti Malaya. Perpustakaan UKM di Jalan Pantai siap pada awal 1873.
3)      Pada peringkat awal UKM ditubuhkan belum ada kedai buku dan peralatan yang diperlukan oleh tenaga pengajar dan pelajar. Dengan berdekatan dengan Universiti Malaya memudahkan tenaga pengajar dan pelajar mendapat kemudahan-kemudahan berkenaan dari kedai Koperasi Univresiti Malaya. Koperasi UKM dan Kedai Koperasi ditubuhkan selepas perpindahan ke Bangi.
4)      Dengan dekatnya Kampus UKM dengan Universiti Malaya, memudahkan kedua-tenaga pengajar dan pelajar kedua-dua universiti menghadiri kegiatan akademik seperti seminar, ceramah, kegiatan kebudayaan, sukan, speaker corner dan berdemonstarsi mengenai isu-isu tertentu.
5)      Banyak kerjasama dapat dilakukan oleh kedua universiti. Misalnya kelebihan bilik asrama di Kolej Pertama UKM pada peringkat permulaan diberi kemudahan kepada pelajar Universiti Malaya tinggal. Kerjasama berlaku antara Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dan Persatuan Mahasisaw Universiti Malaya (UM)
Di dalam berbagai kegiatan seperti penganjuran kursus kepimpinan, khidmat masyarakat dan pertandingan sukan.

Sekian.

October 24, 2013

Keputusan Ijazah Sarjanamuda Kepujian Pertama UKM & Konvokesyen Kedua

BBB, 18 Zulhijjah 1434 = 23 Oktober 2013 (Rabu):

Sebagaimana dibicarakan tempoh pembelajaran Pelajar UKM untuk mendapat Ijazah Sarjanamuda dengan Kepujian pada peringkat permulaan adalah memakan masa 4 tahun (kecuali Perubatan – belum ada pada masa itu) berbanding dengan Universiti Malaya selama 3 tahun. Penulis sendiri meneruskan pengajian bagi Tahun Kepujian Sesi 1973/74 dengan mengkhususkan dalam bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sastera UKM. Penulis Menulis Latihan Ilmiah di bawah Penyelia Ustaz Wan Muhammad Bin Wan Ali Pensyarah UKM berjudul:


Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah (Tuk Pulau Manis)
Ulama` Sezaman Dengan Shaykh Abdul Ra`uf Singkel
Dalam Konteks Pengislaman Terengganu

Pada tahun yang sama juga Penulis mengikuti Kursus Diploma Pendidikan yang mula diadakan pada Sesi 1973/74. Latihan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling Jaya di bawah Penyelia Pak Mansor Tubing, Pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM.

Tidak seperti keputusan Ijazah Sarjana Muda Am bagi tahun 1972/73 yang tidak diberi perhatian oleh Media, kerana pelajar sebenarnya masih meneruskan pengajian, tetapi keputusan pada peringkat Kepujian disiarkan di dalam akhbar The New Straits Times pada 14hb. Mei 1974 hampir sehalaman penuh dengan judul:
The University Kebangsaan  Arts Result:
``The University Kebangsaan Malaysia has announced the result of the final year examination for the degree of Bachelor of Arts (hons). ``
The following have obtained the Bachelor of Arts (Hons).
First Class
Mohd Zahid Awang, Shafie Abu Bakar, Chew Hock Thong/Chew Hock An.
Diikuti dengan kelas Kepujian Kelas Dua Atas dan Bawah dan beberapa kategori yang lain. Pada halaman yang lain keluaran hari yang sama ulasan berita dalam NST:
Three top grads who owe it all to their wives
Kuala Lumpur,  Mon – Marriage and the family did not stop three students of the Universiti Kebangsaan from passing with first class honours.
Mr. Chew Hock An, Encik Muhammad Zahid Awang and Encik Shafie Abu Bakar did not expect to do well when they entered the university in 1970.
Today they said that their families helped them to do better in their studies.
``I guess the sense of responsibility to my wife and three children spurred me to struggle for better results,`` said Encik Shafie from Terengganu.``
``I am an orphan and never thought of going so far.``
``But I found that poverty is no obstacle to a university education. If you have the qualification, there is nothing to stop you.``

``My grandfather, who brought me up, was a conservative man. He sent me to religious school. I studied up to form five in the Sultan Zainal Abidin Secondary Religious School.``
Encik Shafie then taught for seven years and later sat for his Higher School Certificate privately.
Mr. Chew is happy to be the first Chinese to obtain a degree from the university.
Their plans. He was a journalist at the Information Department before joining the police in Sabah as their public relations officer. Mr. Chew owes his proficiency in Bahasa Malaysia to his friends and lecturers. His wife is a science graduate. They have a four- year-old son.
Encik Muhammad is now teaching in Terengganu. The three intend to do their masters degree and later serve the university.
Pihak Utusan Malaysia turut sama membuat ulasan pada 14.5.1974 dalam Kata Pengarang tentang Kumpulan pertama siswazah UK.
Kumpulan pertama siswazah Universiti Kebangsaan akan menerima Ijazah mereka dari Canselor Tun Abdul Razak di Bangunan Parlimen tidak lama lagi. Tiga orang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama, 53 Sarjana Muda Kepujian Kelas Dua Atas, 53 Kelas Dua Bawah dan seorang Sarjana Muda. Apa yang menarik hati selain daripada inilah buah pertama dari universiti yang wujud dalam suasana panas lima tahun lalu itu ialah terdapatnya beberapa orang bukan Melayu dalam senarai lulusannya. Seorang bukan Melayu, Chew Hock An, adalah di antara tiga yang mendapat  Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama. Dua orang lagi mendapat Sarjana Muda Kelas Dua Atas.
Sebelum ini kerap terdengar dakwaan bahawa Universiti Kebangsaan adalah pusat pengajian tinggi untuk orang Melayu sahaja, dan keutamaan yang ditunjukkannya sementara waktu ini kepada calun-calun Melayu membawa tuduhan berlakunya diskriminasi terhadap pelajar bukan Melayu. Penyebar-penyebar tuduhan ini menaburkan kebimbangan bahawa harapan untuk bukan Melayu keluar dengan ijazah baik darinya adalah tipis. Tiga siswazah bukan Melayu yang lulus dengan cemerlang itu dengan sendirinya menafikan segala tuduhan dan sangkaan tersebut. Ini menjelaskan matlamat universiti tersebut untuk pelajaran tinggi ``kebangsaan`` dan bukannya sesuatu kaum tertentu.

Suatu perkara lain ialah terbuktinya kini Bahasa Malaysia mempunyai kemampuan yang sama dengan bahasa lain sebagai bahasa Ilmu yang tinggi dan kemungkinannya digunakan sama dengan jayanya bukan sahaja oleh kaum yang memakainya sebagai bahasa pertama, tetapi juga mereka yang hanya memakainya sebagai bahasa kedua dalam  kehidupan sehari-hari.

Konvokesyen kali kedua UKM sebagaimana kali pertama diadakan di Parlimen pada 8 Jun 1974 dengan Canselor Pertama UKM Tun Abdul Razak menyampaikan Ijazah dengan dihadiri tamu-tamu jemputan, pegawai-pegawai universiti, kakitangan, graduan-graduan dan keluarga masing-masing. Isteri, tiga anak, mertua lelaki dan ipar Penulis turut sama ke Parlimen meraikan Majlis Konvokesyen Kedua UKM.

Sempena keputusan peperiksaan peringkat kepujian UKM ini Penulis menerima telegram ucap tahniah dari Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu Dato` Wan Mokhtar Ahmad – Guru Penulis pada masa bersekolah di Sekolah Menengah Thanawi Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Berikutan dari keputusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan juga Diploma Pendidikan Dengan Kepujian, Penulis juga menerima surat penempatan Penulis mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu berdekatan dengan rumah kami di Padang Midin – Sebenarnya hasrat Penulis hanya mau kembali berkhidmat di Sekolah Menengah Agama di bawah Jabatan Agama Islam, Kuala Terengganu, tetapi dengan keputusan cemerlang pihak UKM menawarkan jawatan tutor (Pengajar) dan peluang menyambung pengajian, Penulis membuat keputusan menerima tawaran UKM.

Sekian.

July 31, 2013

Tenaga Pengajar Di UKM Pada Peringkat Permulaan (Memoir)

-->
BBB, 21 Ramadhan 1434 = 30 Julai 2013 (Selasa):


Di dalam menulis Memoir Penulis semasa di UKM pada peringkat permulaan UKM dibuka (18 Mei 1970), Penulis lebih banyak menulis berhubung dengan kegiatan mahasiswa. Ini tidaklah menghairankan pada masa itu Penulis juga adalah kalangan mahasiswa generasi sulung dan terlibat dengan Persatuan Mahasiswa - PMUKM. Rasanya tidaklah lengkap pembicaraan jika maklumat berhubung dengan tenaga pengajar yang menjadi faktor penting di samping mahasiswa di sesebuah universiti tidak dibicarakan – termasuklah tenaga pentadbir di universiti.


Canselor bagi UKM pada peringkat permulaan ialah Perdana Menteri Malaysia, iaitu Y.A.B.Tun Haji Abdul Razak bin Hussein yang menjadi kemegahan bagi UKM dan tidak ada setakat ini Perdana Menteri Di Malaysia menjadi Canselor kepada mana-mana universiti selepas itu. Manakala Pro-Canselor pula ialah Y.B.Tun Tan Siew Sin yang merupakan Menteri Kewangan Malaysia dan Y.B. Tan Sri Nik Ahmad Kamil. Manakala Lembaga Pengurus dipengerusikan oleh Datuk Sheikh Hussein bin Sheikh Mohamed dan Ahli-Ahli terdiri dari:


Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Mohd. Zain
Datuk Dr. Haji Abdul Majid bin Ismail
Tan Sri Syed Nasir bin Ismail
Datuk Abdullah bin Ayob
Datuk Dr. Ariffin bin Hj. Ngah Marzuki
Dr. Agoes Salim.

Manakala Jawatankuasa Perjawatan Dan Kewangan dipengerusikan oleh Dr. Agoes dengan Ahli-Ahlinya:


Tan Sri Syed Nasir bin Ismail
Datuk Dr. Ariffin bin Hj. Ngah Marzuki
Abdul Rahim bin Jalal
Megat Abdul Rahman bin Megat Ahmad


Manakala Jawatankuasa Akademik dipengerusikan oleh Naib Canselor
(Datuk Dr. Ariffin bin Ngah Marzuki menggantikan Dr. Rushdan Baba)

Dekan Fakulti Pengajian Islam
(Tan Sri Prof. Abdul Jalil bin Hj. Hassan)
Dekan Fakulti Pengajian Sains
(Dr. Mohd. Ghazali bin Haji Abdul Rahman)
Dekan Fakulti Pengajian Sastera
(Prof. Dr. Syed Mohd. Naquib al-Attas)

Profesor-Profesor ialah:
Prof. Tan Sri Abdul Jalil bin Hj. Hassan
Prof. Dr. Syed  Mohd. Naquib al-Attas
Prof. Zainal Abidin bin Abdul Wahid

Manakala Wakil Akademik dari setiap Fakulti ialah:

Haji Muhammad bin Haji Abu Bakar (Fakulti Islam)
Dr. Noramly bin Muslim (Fakulti Sains)
Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail (Fakulti Sastera)

Ketua Pustakawan
Hj. Abdul Aziz bin Sheikh Mydin
Manakala Pendaftar (Abdul Rahim bin Jalal).

UKM pada peringkat permulaan mempunyai tiga fakulti, iaitu Fakulti Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera. Tidak semua tenaga pengajar merupakan warganegara, oleh kerana bagi mendapat tenaga pensyarah sukar terutama bagi Fakulti Sains dan terpaksa dipinjam dari luar – terutama dari Indonesia (agak ramai), manakala bagi Fakulti Islam seorang dua dari Mesir dan beberapa orang bagi Fakulti Sastera juga dari Indonesia. Tenaga-tenaga pengajar juga antaranya adalah secara sambilan yang merupakan pensyarah di Fakulti Sastera dari UM.

Tenaga-tenaga pensyarah dari Fakulti Islam ialah:
Tan Sri Profesor Abdul Jalil bin Haji Hassan (Dekan)
Dr. Ahmad Ghoneim (Mesir)
Hassan bin Haji Salleh
Haji Muhammad bin Haji Abu Bakar
Haji Abdul Fatah Harun bin Hj. Ibrahim
Haji Ibrahim bin Hj. Yassin
Muhammad Bayyumi Muhd. Ibrahim (Mesir)
Osman bin Haji Khalid
Ramli bin Ismail
Razali bin Hj. Nawawi

Tenaga pengajar di Fakulti Sains hampir kesemuanya Indonesia, kecuali beberapa orang adalah  warga Negara Malaysia. Tenaga Warganegara ialah:
Dr. Mohd. Ghazali bin Haji Abdul Rahman (Dekan)
Dr. Noramly Muslim
Mohd. Yusoff bin Abdul Hamid
Mokhtar Bidin
Najib Mahmood Rafee

Manakala yang lain ialah pinjaman dari Indonesia, iaitu:
Prof. Dr. Achmad Amiruddin, Prof. Dr. Sartono, Drs. Bachtiar Syarif,  Drs. Hidayat S. Hardjasasmita, Ir. M.S. Tupamahu, Dr. Soewondo D. Soebagio, Dr. Chia Hong Djin, Drs. Waloejoe Loeksmanto, Drs. B.D. Djonoputro, Dr. Kardinal Kusnaeny, Drs. Mochamad Bunjamin, Dr. M. Ansjar, Drs. Muslim, Drs. Praptono, Dr. Roehajat E. Soeriamandja, Drs. Soejoto dan Drs. Soesilo.

Manakala bagi Fakulti Sastera kebanyakannya warganegara Malaysia dengan seorang dua dari Indonesia dan beberapa tenaga sambilan adalah pensyrah dari Universiti Malaya. Mereka ialah:
Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas (Dekan)
Prof. Zainal Abidin bin Abdul Wahid
Dr. Teuku Iskandar Alibasyah
Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail
Dr. J. Chandran
Dr. Mohd. Amin Sweeney
Siti Hawa bt. Salleh
Drs. Soerastopo Hadisoemarno (Indonesia)
Drs. Teuku Ibrahim Alfian (Indonesia)
Abdul Halim bin Othman
Abdul Hamid bin Abdullah
Abdul Rahman bin Haji Embong
Abdul Samad bin Hj. Abdul Hadi
Abu Hassan bin Othman
Basil Wijasuriya
Drs. Eric Otto Van Eijn (Holland)
Farid bin Onn
Hairi bin Abdullah
Drs. Isma N. Karim (Indonesia)
K. Kaloo (Holland)
Mohd. Amin bin Hassan
Mohd. Aris bin Haji Othman
Mohd. Sham bin Mohd. Sani
Mohd. Sheffie bin Abu Bakar
Rajmah binti Abdul Samad
Sanusi bin Osman
Sharifah Zainab bt. Syed Mohd. Khalid
Supian bin Haji Ali
Wan Mohammad Rafaei bin Hj. Wan Abdul Rahman
Yohani bt. Hj. Mohd Yusof
Zakaria bin Hj. Awang Soh

Manakala pensyarah-pensyarah yang datang mengajar secara sambilan ialah
Prof Khoo Kay Kim (UM)
Dr. Ongkili               (UM)
Shahrum Yob           (Muzium Negara)
Nasir Lonjong          (ITM)

Bendahari Universiti ialah Megat Abdul Rahman bin Megat Ahmad.
Kebanyakan tenaga pengajar UKM – terutama warganegara Malaysia. Belum mempunyai  Ijazah Ph. D. Sebahagian besar daripada mereka dihantar ke universiti luar Negara, manakala sebahagian membuat Ijazah Lanjutan di universiti tempatan.
                                                                                                                                                                                                                                              
Mereka semua berperanan membina tradisi keilmuan UKM sebagai asas perkembangan pada masa hadapan.

Sekian.

July 27, 2013

`Puisi Siswa` Antologi Pertama Mahasiswa UKM Diterbitkan

BBB, 14 Ramadhan 1434 = 23 Julai 2013 (Selasa):

Sejak penubuhan UKM pada 18 Mei 1970 di Kampus Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur, kalangan mahasiswa ada yang terlibat di dalam kegiatan sastera. Mereka menubuhkan Studi Kelab Sastera UKM pada 23 Julai 1970, iaitu Persatuan Sastera terbuka bagi semua mahasiswa UKM, manakala Mahasiswa Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) menubuhkan persatuan Penulis IBKKM secara khas bagi mahasiswa IBKKM. Antara mereka sudah berjinak-jinak di dalam bidang penulisan seperti Shafie Abu Bakar, Awang Sariyan, Wan Bakar Wan Dagang, Rahman Shaari dan Zainuddin Ayip. Antara Mahasiswa menjadi pengarang dan penulis Gemasiswa, akhbar bulanan yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM). Baik Grupemuisi UKM, maupun Persatuan Penulis IBKKM, mereka amat rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah Institusi yang memajukan bahasa dan sastera tanahair. Kegiatan-kegiatan yang diadakan misalnya penubuhan Studi Kelab sastera UKM, mengadakan Malam Irama Sastera dan sebagainya diadakan dengan penyertaan mereka yang dari DBP. Sesudah lima tahun bergiat dalam penulisan dan bersastera, melalui sokongan Dr. Muhammad Haji Salleh Pensyarah dan Penasihat Studi Kelab Sastera UKM usaha dilakukan bagi menerbitkan sebuah antologi Puisi Siswa UKM. Tugas diberi kepada saudara Zainuddin Ayip mengetuai pengumpulan puisi. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka memberi kerjasama menerbitkan antologi yang diberi judul `Puisi Siswa`, iaitu antologi puisi pertama mahasiswa UKM yang diterbitkan (1976) oleh penerbit terkenal Dewan bahasa dan Pustaka.

`Puisi Siswa` bersaiz kecil 18 x 11 sm. (43 halaman) ini memuat puisi seramai 13 orang siswa dengan 37 buah puisi. Seorang diberi ruang antara satu hingga lima buah puisi. Mereka yang mendapat ruang dalam antologi ini ialah:

1)      Abd. Ghani Ibrahim  (4)

a) Berdiri di sini  b) Ekotaip   c) Rambut ini gugur  d) Gigiku

2)      Arrifin Mohammad  (2)

a)      Menunggu  b)  Tengkujuh

3)      Awang Sariyan  (1)

a)      Ruang-Ruang Empat Penjuru

4)      Bakar Wan Dagang  (3)

a)      Menanti Jawaban  b) Itulah Aku, Setelah Puas Kauderanya c) Di atasnya Kau Bernafas Senang Jua

5)      Faridah Yahya  (2)

a)   Kalau  b) Sepanjang Mata yang Tertawa

6)      Khadri Haji Ahmad  (2)

a)  Mencari   b) Jauh

7)      Mohammad Adam (3)

a)  Koma   b)  Hujan  c)  Tapak-Tapak

8)      Mokhtar Kamaruddin Daud  (2)

a)      Pengembara  b)  Kata-Kata

9)      Muda Daud Yusof  (2)

a)      Anjing-Anjing  b)  Pertemuan dan Harapan

10)   Nordin Jaafar  (2)

a)      Kegelisahan  b)  Diri

11)   Rahman Shaari  (4)

a)      Pencarian  b) Masa  c) Di Tempat Tidur  d) Hari-Hari Tak Pernah Panjang

12)   Shafie Abu Bakar  (5)

a)      Di Suatu Persimpangan b) Hutan-Hutan Batu  c) Jalanan Hidup d) Hidup Yang Diburu  e)  Pencari

13)    Zainuddin Ayip  (5)

a)      Bunga Lalang  b) Suatu Saat Namamu Akan Kuucapkan Juga  c) Tepi Jalan Ini
d)     Mengganggu  e)  Lihatlah Aku dan Anakmu Ini.

Antologi ini diberi pengenalan oleh Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengingatkan perlunya kematangan di dalam menulis, kata Muhammad,

``Yang amat diperlukan oleh kesusasteraan Malaysia dewasa ini adalah kematangan fikiran dan seni.`` Menurut Muhammad,
``Tidak ada jalan pendek.`` katanya, Penulis memerlukan sepuluh tahun untuk mencipta gaya dan pendekatan sendiri dan dua puluh tahun pula untuk membina suatu perbendaharaan kata yang bersih, tulen dan mudah dilentur.

Menurut Muhammad sudah tentulah banyak kelemahan pada peringkat permulaan menulis, tapi beliau berpendapat ada kejujuran di dalam Puisi Siswa yang menampilkan pengalama peribadi dan tidak terikat dengan pengucapan tradisi, ada keseriusan di dalam memilih tema-tema, style-style dan keberanian mengekspresikan sesuatu yang belum dipuisikan. Muhammad merasa optimis bakat-bakat yang ada mempunyai ruang dan peluang menjanjikan.

Sebenarnya daripada 13 penulis ini beberapa orang daripada mereka menunjukkan bakat. Rahman Shaari selaku penulis muda sudah menunjukkan kematangan berekspresi dengan tema yang berat dan intelektual dengan bahasa yang padat dan tidak sengaja dibunga-bungakan.

Pencarian

Pertemuan di Masjid Negara
Mata bercanggah dengan akal
Aku tak pantas mentafsir
Penglihatan begini
Jelas dan kontras
Sampai aku kehilangan diri.

Aku tau,
Benar berlawanan dengan salah
Kadang-kadang salah keduanya
Tapi tak mungkin kedunya benar
Dan kebenaran itu
Tersepit dan terhimpit
Di celah kesalahan.

Belum berhujung pencarianku
Dan aku belum menentu
Belum menghukum
Cuma belajar menghakimkan.

(Puisi Siswa, 1976: 27).

Rahman melontar persoalan menggunakan elemen kontradiksi, persoalan kontras dengan  bahasa yang jelas. Gaya berpuisi sedemikian menjadi identiti perpuisian Rahman.


Awang Sariyan yang kelak lebih terkenal sebagai Pakar Bahasa turut berpuisi mengenai realiti yang dihadapi di alam mahasiswa. Fragmen dari puisinya:

Ruang-Ruang Empat Penjuru

……
Di ruang empat penjuru ini
Aku berbicara
Melepaskan kongkongan sekitar
Melarikan mata dari empat penjuru
Yang sempit
Ke kertas menghidupkan kata-kata.

….
Kini hidupku terasa
Semakin singkat
Kerana siangnya
Sebahagian besar
Di bilik-bilik kuliah
Dan malamnya
Sebahagian besar
Di librari.
 (Puisi Siswa, hlm. 7).

Demikian luahan Awang Sariyan setelah menjadi mahasiswa dengan beban kursus yang dihadapi. Bahasa yang digunakan agak prosaik.

Antara yang berbakat ialah saudara Bakar Wan Dagang – Mahasiswa dari Fakulti Islam yang sebelum ini pernah menulis – termasuk berpuisi. Contoh puisinya yang berjudul

Menanti Jawaban
…..
Berdiri bisu di sini
Melihat dan memikir
Tanpa jawaban
Tanpa keberanian
Bukan ertinya
Suatu kemenangan
Dan kepuasan
Sedang persoalan
Kian mendsak jawaban.

(Puisi Siswa, hlm. 9).

Wan Bakar menampilkan persoalan mistri yang menuntut jawaban yang masih tidak berjawab.

Juga expresi Zainuddin Ayip di dalam:

Lihatlah Aku dan Anakmu ini.

….

Dan sekarang lihat ini
Tanpa bandingan
Anakmu menangis di tepi jalan
Terbatuk-batuk di malam yang basi
Tangannya menekan perutnya yang lapar
Dan tertidur melengkung di kaki lima

(Puisi Siswa: 40).

Demikianlah rasa kemanusiaan Zainuddin Ayip terhadap pengemis yang terbiar dan terabai.

Shafie Abu Bakar yang diberi ruang untuk lima buah puisinya. Antaranya  menggambarkan tentang kesesakan Kuala Lumpur yang didepaninya. Kata Shafie,

Hutan-Hutan Batu

Di Kota ini
Lembah dan pamahnya penuh terisi
Kini bukit-bukit bertukar menjadi
Batang-batang mati gelempang di bumi
Memutih tumbuh cendawan-cendawan
Hutan-hutan batu
Tegak meluru.

(Puisi Siswa, hlm. 32).

Demikian beberapa contoh petikan ungkapan dari penyair-penyair muda yang kita kira menjanjikan. Sememangnya beberapa dari mereka muncul sebagaipenyir mapan – contohnya saudara Rahman Shaari.

`Puisi Siswa` meletakkan asas awal bagi beberapa penyair di UKM muncul sebagai penyair berbakat dan mapan bersama-sama dengan kafilah penyair tanahair.

Sekian.

July 22, 2013

PMUKM Selaku Badan Induk Bagi Persatuan-Persatuan Mahasiswa Di UKM - Membina Budaya Kepimpinan

-->

BBB, 11 Ramadhan 1434 = 20 Julai 2013 (Ahad):


Sejak ditubuhkan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada 13 September 1970 PMUKM yang diketuai Presiden Pertamanya saudara Ramli Ibrahim bergerak maju dan membina budaya kemahasiswaannya yang tersendiri. PMUKM mempunyai hubungan yang erat dengan Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) yang antara pemimpinnya ialah saudara Salleh Yusof dan juga dengan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang pemimpinnya saudara Nordin Razak. PMUKM juga bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang ditubuh dan dipimpin oleh saudara Anuar Ibrahim. Kami mengikuti Kursus Kepimpinan hingga ke Johor Baharu dan diraikan oleh pihak Kerajaan Negeri yang Menteri Besar pada masa itu ialah Tan Sri Dato` Othman Saat. Bersama dengan persatuan-persatuan mahasiswa di atas mahasiswa bersatu tenaga menunjuk perasaan terhadap isu-isu penting. Misalnya membantah lawatan Perdana Menteri Thailand General Thnom Kithikachong ke Malaysia sebagai protes terhadap tekanan dan pembunuhan pejuang-pejuang kemerdekaan negeri-negeri Melayu di Selatan Thailand dan terbununhya (hilang) Haji Sulong Pemimpin Pejuang Kemerdekaan di Patani.


Selepas penubuhan PMUKM, pihak PMUKM mengalu-ngalukan perlantikan Y.A. B. Tun Abdul Razak sebelumnya selaku Canselor UKM yang pengumuman perlatikan itu dibuat pada Jumaat 10 Julai 1970 ketika kehadiran Dato` Abdul Rahman Ya`kob Ketua Menteri Sarawak berikut dari tunjuk perasaan mahasiswa UKM kerana pengunduran beliau dari Menteri Pelajaran Malaysia. Tun Razak pada masa itu memangku jawatan Perdana Menteri. Apabila Tun Razak dengan rasminya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia, maka PMUKM pada 24 September 1970, dengan rasminya menghantar telegraph mengucap Tahniah di atas perlantikan Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang beliau juga adalah Canselor Pertama UKM.

Dalam hubungan dengan luar, PMUKM juga menerima dan memberi sambutan terhadap lawatan Mahasiswa Universiti Phnom Penh Cambodia.

PMUKM juga mempunyai hubungan erat dengan pihak Naib Canselor Pertama UKM, iaitu Dr. Rushdan Baba. Pada 21 November 1970 Pimpinan Mahasiswa UKM dengan pegawai-pegawai UKM menyertai Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Rumah Dr. Rushdan Baba di dalam Kampus Institut Pertnian Malaysia.

Berikut dari pengunduran Dato` Abdul Rahman Ya`akob dari Menteri Pelajaran Malaysia, maka tempat beliau diisi oleh YB. Hussein Onn selaku Menteri Pelajaran Malaysia, maka PMUKM juga membuat kunjungan hormat kepada YB Hussein Onn Selaku Menteri Pelajaran pada 20 Disember 1970 jam 3.00 petang di rumahnya di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Pertemuan selama 2 jam. Antaranya membincangkan mengenai PMUKM, UKM dan Kementerian Pelajaran yang baru disandangnya.

Berhubung dengan organisasi, PMUKM memperkemaskan pentadbirannya. Misalnya PMUKM adalah menjadi Badan Induk bagi segala badan-badan atau persatuan-persatuan mahasiswa yang berada di Kampus UKM. Misalnya Penulis selaku Pengerusi bagi Exco Perhubungan PMUKM bersama satu Jawatankuasa – iaitu Sdr. Jamaluddin bin Jusoh (Setiausaha), A. Wahid Manap (Pen. S/U) dan Suarni bin Sukiman (AJK) menyelaraskan semua kegiatan badan-badan dan persatuan-persatuan di UKM. Terdapat 10 badan gabungan yang mempunyai Wakil dalam Badan Perhubungan di bawah PMUKM, iaitu:

1)      Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej 1 (JKDRK 1)  Wakil  Rosnah Baharuddin
2)      Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej II  (JKDRK II)    ,,    Abd. Rahman bin Halim
3)      Persatuan Sejarah UKM (PSUKM) – Chik Minah bte Awang Kecil
4)      Persatuan Ilmu Alam UKM (PIAUKM) – Nauran bte Abdul Majid
5)      Persatuan Mahasiswa Sains UKM (PMSUKM) – Sukiman bin Sarmani
6)      Persatuan Kemanusiaan & Kemasyarakatan (PKKUKM) – Muhamad bin Musa
7)      Persatuan Ekonomi UKM (PEUKM) – Shamsul Bahari Bin Mat
8)      Studi Kelab Bahasa dan Kesusasteraan (SKBK) - Siti Sabariah bte Ibrahim
9)      Persatuan Mahasiswa Fakulti Islam UKM (PMFIUKM) Megat Ridzuan b. Megat Taib
10)  Organisasi Mahasiswa Luar Asrama (OMLA) – Belum dilantik, baru tubuh (3.9.1972).

Semua badan-badan tersebut dikehendaki mengemukakan perlembagaan masing-masing serta rancangan kegiatan badan-badan tersebut untuk tempoh tahun 1971/72. Pada umumnya semua badan gabungan ini dapat menjalankan kegiatan masing-masing sepanjang setahun yang terdiri dari majlis-majlis pengenalan, ceramah-ceramah, forum-forum, perbincangan-perbincangan, lawatan-lawatan sambil belajar, sukan dan kerja-kerja kebajikan.

Apa yang menarik setiap badan tersebut mengeluarkan berita atau suara badan masing-masing. Misalnya:

  • PSUKM keluarkan  Sejarita
  • JKDRK I keluarkan Berita Kolej I
  • PKKUKM keluarkan Harmunis
  • PMFI keluarkan Lembaran Berita PMFI

Apa yang lebih membanggakan mulai bagi tahun 1971/72 antara badan-badan gabungan ada yang mengeluarkan jurnalnya sendiri. Antaranya:

  1. JKDRK 1 mengeluarkan jurnal berjudul SEMESTA
  2. PIAUKM mengeluarkan jurnal berjudul  Jurnal Ilmu Alam
  3. PSUKM   mengeluarkan jurnal berjudul  JEBAT
  4. PEUKM   mengeluarkan jurnal berjudul Ekonomika
  5. PKKUKM mengeluarkan Jurnal Kaji Masyarakat

Bagi mengeluarkan jurnal ini pihak PMUKM memberi sokongan agar pihak Pendaftar/Bendahari atau jabatan masing-masing mengeluarkan peruntukan bagi pengeluaran jurnal-jurnal. Perlu diingat pada masa ini belum ada bahagian Perhubungan Pelajar. Semua urusan dengan universiti adalah melalui Pejabat Pendaftar UKM. Apa yang menarik setengah daripada jurnal yang diterbitkan oleh Persatuan Pelajar di jabatan diangkat menjadi Jurnal Jabatan seperti JEBAT yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah menjadi Jurnal Jabatan Sejarah, begitu juga EKONOMIKA bagi Persatuan Mahasiswa Ekonomi menjadi Jurnal Jabatan Ekonomi (sebelum diwujudkan Fakulti Ekonomi) dan masih di bawah Fakulti Sastera.

Di samping persatuan-persatuan gabungan mengadakan kegiatan masing-masing pihak PMUKM sendiri mengadakan kegiatan yang diikuti oleh semua badan-badan gabungan seperti Minggu Suaikenal, Kursus Kepimpinan, Seminar, Kursus Kewartawanan, Gotong Royong, Kegiatan Kebajikan dan sebagainya.

PMUKM pada masa itu, walaupun dalam usia setahun jagung, tapi telah memperlihatkan kematangannya di dalam mentadbir mahasiswa dan menjalan dan menyelaraskan semua kegiatan kemahasiswaan. Pihak universiti tidak mengganggu, sebaliknya memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak PMUKM. Sesungguhnya PMUKM telah memupuk dan membina tradisi kepimpinan kemahasiswaan yang identik dengan UKM.

Sekian.