October 31, 2013

Menjadi Ahli Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA)

-->
BBB, 25 Zulhijjah 1434 = 30 Oktober 2013 (Rabu):

Sebagaimana telah diperkatakan bahawa minat menulis Penulis sejak di alam persekolahan menengah lagi, minat ini tidak pernah padam, bahkan diteruskan pada masa Penulis menjadi Guru Sekolah Agama Menengah (Sekolah Arab) dari tahun 1963-1970. Semangat untuk menjadi penulis ini makin meningkat apabila Penulis diterima belajar selaku Pelajar Sulung UKM (18 Mei, 1970). Hasil dari pengajian di universiti menjadikan Penulis lebih memahami kaedah penulisan dan tulisan-tulisan penulis mulai diberi tempat sejak belajar di UKM seperti (bagi tahun 1971 sahaja) di dalam Majalah Dewan Masyarakat (Feb, 1971), Majalah Dewan Bahasa (Mac 1971), Dewan Sastera (Mei & Ogos, 1971) dan Pemimpin (Ogos, 1971). Penerimaan tulisan-tulisan (puisi) ini membuka ruang dan peluang bagi Penulis mendapat tempat di dalam penerbitan-penerbitan yang lebih banyak dan berbagai.

Walau bagaimana antara cara bagi mendedahkan diri dengan bidang penulisan, terutama bagi penulis-penulis muda yang belum mendapat tempat ialah dengan menyertai dan menjadi ahli persatuan penulis setempat atau pada peringkat negeri. Adalah satu yang menarik pada era 1970an minat menulis meningkat dan persatuan penulis lahir dengan banyaknya. Setiap negeri mempunyai persatuan penulis, bahkan terdapat persatuan penulis pada peringkat daerah yang biasanya menjadi cawangan atau berlindung di bawah persatuan penulis negeri. Persatuan-persatuan terkenal misalnya Pena – Persatuan Penulis bagi Wilayah Persekutuan, Persatuan Penulis Kelantan, Persatuan Penulis Pahang, Persatuan Penulis Terengganu yang dikenali dengan Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA) dan persatuan-persatuan penulis yang lain. Pada awal 1970an ini ditubuhkan Badan Gabungan bagi semua badan-badan penulis peringkat negeri yang dikenali dengan nama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang Ketua Satu Pertamanya ialah Profesor Ismail Hussein yang merupakan aktivis bahasa dan sastera dari Universiti Malaya. Berbanding dengan masa kini dari tahun 1960an hingga 1990an begitu ramai penulis hasil dari kegiatan menulis yang dipupuk oleh persatuan-persatuan penulis. Galakan dan hadiah banyak diadakan dan penerbitan-penerbitan banyak  menyediakan ruang untuk kegiatan dan hasil sastera. Dengan demikian meningkatkan bahasa dan sastera Melayu selari dengan perkembangannya di pengajian-pengajian tinggi.

Mengapa pentingnya Persatuan Penulis terutamanya bagi penulis muda ?
Ya memang penting kerana melalui persatuan penulis, mereka yang ingin menjadi penulis berpeluang:
  • Berpeluang merapatkan diri dengan penulis-penulis yang berpengalaman dan mendapat tunjuk ajar dari mereka.
  • Persatuan penulis biasanya mengadakan kursus-kursus penulisan dalam berbagai-bagai bidang dari semasa ke semasa.
  • Bila menganjurkan kursus, penulis-penulis terkenal dijemput menyampaikan kursus. Dengan pengajaran yang disampaikan, memberi peluang bagi kita menulis mengikut format yang dikehendaki oleh penerbit.
  • Bila kita berbakat, peluang lebih tinggi mendapat ruang, jika yang datang memberi kursus adalah pengendali penerbitan, lebih-lebih lagi jika penulis dikenali oleh penerbit.
  • Melalui persatuan kita dapat peluang menghantar tulisan kita di dalam penerbitan-penerbitan yang diterbitkan oleh persatuan. Contonya antologi cerpen dan sajak.
  • Persatuan biasanya menganjurkan peraduan menulis, jadi mereka yang ingin menjadi penulis dapat menyertai peraduan yang dianjurkan persatuan sebagai tempat awal bertatih menulis bagi mengasah bakat.
  • Pertandingan menulis peringkat Induk sering diadakan dengan mendapat tunjangan dari pihak kerajaan atau swasta. Jadi maklumat dari persatuan dapat dimanfaatkan bagi memasuki peraduan melalui persatuan atau persendirian.
  • Berbagai kegiatan yang diadakan oleh pihak persatuan dapat diambil manfaat oleh ahli persatuan yang persatuan pula biasanya memperkenal dan mempromosikan penulis berbakat.
  • Melalui persatuan penulis-penulis dapat bahan-bahan bermutu yang dapat dibeli melalui persatuan.
  • Berbagai kemudahan yang boleh didapat melalui persatuan.

Sebenarnya pada peringkat awal Penulis menulis bersendirian dan tidak mendapat
bimbingan secara teratur. Kerana awal 1960an belum begitu banyak dengan persatuan penulis. Menulis tanpa bimbingan menyukarkan penulis mendapat tempat, kerana tulisan kita tidak menurut kaedah yang betul dan tidak kena cara penghantaran kepada penerbit.

Menyedari pentingnya persatuan penulis, Penulis berhasrat menyertai persatuan penulis sejak tahun 1971 lagi. Antara persatuan penulis yang aktif pada masa itu ialah Petrsatuan Penulis Muda Terengganu yang dikenali dengan panggialan (PELITA). Istlah Pelita diambil dari judul cerpen Ketua Satu PELITA Dato` Rashid Ngah. Beliau penulis gigih, menulis cerpen dan novel. Antara novel terkenalnya ialah Di Bawah Alunan Ombak. Menyambung pengajian di Universiti Malaya. Pernah menjadi Guru Besar dan Pengetua, Wakil Rakyat dan Senator.

Dengan hasrat menjadi ahli Pelita, maka Penulis telah menulis surat dari Kampung isteri Penulis di Padang Midin Kuala Terengganu kepada Setiausaha PELITA – saudara T. Alias Taib yang menjadi Setiausaha Pelita pada masa itu. Surat Penulis dihantar kepada Setiausaha ialah pada 20hb. April 1971. Permohonan Penulis menjadi ahli PELITA diterima oleh AJK PELITA yang bermesyuarat pada 28.5.1971 dengan keahlian no. 119 dengan bayaran keahlian sebanyak RM2.00. Pejabat PELITA secata rasmi ialah di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, iaitu sebuah bangunan bandaran, Kuala Terengganu, tetapi surat menyurat ialah Peti Surat 77, Kuala Terengganu.

Dengan penerimaan menjadi ahli, maka Penulis dapat mengikuti kegiatan yang diadakan oleh PELITA, mendapat peluang dan faedah yang ditawarkan oleh persatuan. Sebagai ahli, maka kegiatan yang terawal ialah jemputan mengahdiri Mesyuarat Agung PELITA kali ke 4 yang diadakan pada Jumaat 9 Julai 1971 di Pusat Pelbagai Guna, Bukit Besar, Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu pada masa itu, iaitu Dato` Mahmood Bin Sulaiman. Walau bagaimana oleh kerana pada masa itu Penulis sedang dalam sesi pengajian di UKM, maka Penulis tidaklah menghadiri Mesyuarat Agung berkenaan. Walau bagaimana keputusan pemilihan Mesyuarat Agung dimaklumkan kepada ahli secara bersurat berikutnya. Mesyuarat Agung Pelita Kali Ke 4 memilih Ahli Jawatankuasa Kerja bagi tahun 1971/72 sebagaimana berikut:

Ketua 1:        Abdul Rashid Ngah
Ketua II:        Othman Omar
Setiausaha 1: Sharif Puterta
Setiausaha II: Ahmad Kasim Endut
Bendahari:     Sheikh Ali Salim

Ahli Jawatankuasa:

Abdul Rahman Che Mat
Tengku Alias Taib
Zakaria Yusof (Mas)
Ismail Salleh (Al-Falah)
Azhar Ibrahim
Mat Taib Rahman
Husein Muhammad
Maznah Ali

Penaung:
Tengku Sri Paduka Raja D.K.
Penasihat En. Harun Hasan AMN, PJK
Haji Salleh Bin Haji Awang JP, AMN, SMT, PJK.

Sekian.

No comments:

Post a Comment