October 13, 2013

Rumusan Perbincangan Terhadap Nasihat Segala Raja-Raja


BBB, 07 Zulhijjah 1434 = 12 Oktober 2013 (Sabtu):

Kitab Nasihat Segala Raja-Raja adalah tergolong di bawah kategori karya `Ketatanegaraan`, kerana ianya membicarakan tatacara perlantikan, syarat dan peraturan pemerintahan. Kitab ketatanegaraan Nasihat Segala Raja-Raja adalah satu-satunya kitab ketatanegaraan yang digunakan pada zaman tradisi di Terengganu. Ini bermakna Terengganu sebagai sebuah negeri maju pada zaman tradisi setaraf dengan negeri-negeri maju pada zaman tradisi yang menggunakan kitab panduan atau mencatat tatanegara yang diguna dan dihasilkan dalam pemerintahan. Negeri tersebut ialah Melaka dengan judul kitabnya Sulalat al-Salatin 1612 (Sejarah Melayu) – (Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 333hlm.), Kitab Taj al-Salatin yang dihasilkan di Aceh pada awal abad ke 17 (1603) pada zaman Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1606-1636) yang bergelar Al-Sayyid al-Mukammil.
( Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin (Selenggaraan Khalid Hussein, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 236hlm.).
 Begitu juga dengan kitab Bustan al-Salatin (1047H./1637M.) dihasilkan oleh Nuruddin al-Raniri di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani (1636-1641).
(Nuruddin Al-Raniri, Bustan al-Salatin, Bab II, Fasal 13, Susunan T. Iskandar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 115hlm.)
Di Terengganu terhasilnya Kitab Nasihat Segala Raja-Raja (1300H.) pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abdin III (1881-1919). Ini bermakna terakhir  dari karya ketatanegaraan yang dihasilkan pada zaman tradisi. (Haji Abdul Qadir Bukit Bayas, Nasihat Segala Raja-Raja, Naskhah Milik Sultan Zainal Abidin III, Kuala Terengganu, 1300H, 178hlm.)

Kitab Nasihat Segala Raja-Raja ada beberapa ciri persamaan dengan kitab Taj al-Salatin, bahawa kedua-dua kitab ini langsung membicarakan tentang keperluan melantik raja dan khalifah, wazir, kadhi, menteri, hulubalang, utusan menghantar surat. Cuma Nasihat Segala Raja-Raja lebih pendek dengan satu bab (bab ke III) dengan 6 fasal, sedangkan Taj al-Salatin lebih panjang (24 fasal), sebab itu lebih banyak perkara yang dibicarakan seperti seperti mengenal Tuhan, kejadian alam dan manusia, tentang keadilan, tentang didikan anak-anak, tentang rakyat, qiafah dan firasat.

Kedua-dua kitab ini tidak menyentuh keadaan masyarakat semasa dan setempat, bagi Nasihat Segala Raja-Raja tidak menyentuh soal negeri Terengganu dan Taj al-Salatin tidak menyentuh soal Negeri Aceh.

Kedua-dua kitab bergantung pada sumber luar, iaitu dari perbendaharaan Islam di Asia Barat.
Kedua-dua karya membawa nilai yang kukuh di dalam menegakkan Negara dan nilai-nilai Islam
Nasihat Segala Raja-Raja adalah bersifat terjemahan yang dilakukan oleh Penterjemah tempatan, manakala Taj al-Salatin, walaupun ada yang berpendapat bahawa ianya dihasilkan oleh Bukhari dari Johor, tetapi lebih ramai yang melihat ianya adalah hasil tulisan ulama dari Bukhara atau Asia Barat yang menguasai bahasa Melayu dengan baik sebagaimana Nuruddin al-Raniri dari Ranir India yang dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.
(Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin, Selenggaraan Khalid Hussein, 1966, Pendahuluan, XI-XVI).

Sebagaimana disebutkan bahawa kandungan Nasihat Segala Raja-Raja adalah merupakan petikan satu bab – Bab III dari sebuah karangan yang membicarakan tentang perlantikan pemerintah dan kakitangan. Bab ini mengandungi 6 fasal, iaitu:

1)      Menjadikan Raja dan mengikut dia dengan segala syaratnya (mulai hlm. 1)
2)      Menyatakan kelakuan segala Khalifah dan segala raja-raja yang dahulu kala
(mulai hlm. 9).
3)      Menjadikan Kadhi (mulai hlm. 135).
4)      Menjadikan Wazir dan Hulubalang dan segala syaratnya (mulai hlm. 139)
5)      Menyuruh Untusan dan segala syarat mereka itu (mulai hlm. 172)
6)      Peri Kata dan segala perintahnya (176-175).

Format bagi setiap fasal dimulai dengan tajuk, pengukuhan dengan ayat Qur`an dan Hadith berhubung dengan topik, pendapat-pendapat ulama, raja, tokoh-tokoh terkenal termasuk yang bukan Islam dan cerita-cerita yang berkenaan dengan tajuk. Bahkan dapat dikatakan kandungan lebih banyak bersifat cerita daripada prinsip-prinsip dan tatanegara dan cara yang seharusnya menjadi panduan. Nasihat Segala Raja-Raja adalah lebih bersifat sastera keagamaan disamping ketatanegaraan.

Darimanakah sumber Nasihat Segala Raja-Raja diambil ?
Pada akhir kitab Nasihat Segala Raja-Raja, bahagian penutup terdapat maklumat:

Shahadan tiadalah faqir melanjutkan perkataan  sehingga mengambil simpannya  jua kerana bahawa adalah perkataan surat sahifah itu termazkur dalam Kitab Tarsalat.Tammat.

Di atas adalah disebut bahawa persoalan yang dibicarakan terakhir berkenaan kaedah surat menyurat, `Perkataan surat sahifah` dikatakan tersebut di dalam `Kitab Tarsalat`. Difahamkan di sini yang diambil dari Kitab Tarsalat ialah mengenai surat menyurat, bukannya sumber bagi seluruh bab (III) mengenai Perlantikan pemerintah dan pegawai-pegawai di bawahnya. Tetapi bagi seluruh bab tiada disebut sebarang maklumat sumber yang diambil.

Kitab Nasihat segala Raja-Raja adalah pasti diambil dari karya lengkap. Kepentingan bab III, kerana bab ini menepati judul yang dibicarakan, yakni perlantikan pemerintah Raja atau Khalifah.

Petikan di atas, apakah dari sebuah karangan berbahasa dan berjudul Arab ? Ataukah diambil dari sebuah karya ketatanegaraan Melayu yang sudah lengkap atau adakah ia merupakan terjemahan dari petikan dari kitab Berbahasa Arab ?

Pada bahagian terakhir bagi Kitab Nasihat Segala Raja-Raja terdapat tarikh

Dalam bahasa Arab bermaksud:
Adalah tarikh tamat dari menulis pada 18 daripada hari Ahad, Jamadil Akhir, tahun 1300H. Persoalan yang boleh ditimbulkan adakah dimaksud menulis adalah mengarang/menterjemah  dari bahasa Arab ke bahasa Melayu ?

Terdapat sebuah catatan kecil di tepi kiri dari hujungan bawah kitab sebagaimana berikut:

Katabahu Abdul Qadir 1300H.

Bermaksud Abdul Qadir yang menterjemah/menulis/menyalin dari dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu atau setakat menyalin dari yang sudah siap berbahasa Melayu !
Oleh kerana tidak ada naskhah utamanya selain dari naskhah ini, Penulis berkecenderungan Kitab Nasihat Segala Raja-Raja adalah hasil dari pemilihan  dan terjemahan dilakukan oleh  Haji `Abdul Qadir, Bukit Bayas, Kuala Terengganu, khusus dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abdin III.
Dalam erti kata yang lain naskhah Nasihat Segala Raja-Raja adalah dihasilkan oleh Haji Abdul Qadir, Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment