BBB, 15 Zulhijjah 1434 = 20 Oktober 2013 (Ahad):
Dari segi pendekatan Tukku Paluh (Syed Abdul Rahman bin
Muhammad) menyusun kandungan kitabnya yang berjudul Ma`rij al-Lahfan kepada
empat bahagian (bab). Telah dibicarakan pendekatan biasa dalam membicarakan
persoalan tariqat tasawuf ialah bermula dari shariat kepada tariqat membawa
kepada haqiqat dan puncaknya ialah ma`rifat. Bagi Tukku Paluh mempunyai
pendekatan sendiri yang berorientasikan akidah, lantaran itu pendekatannya
bermula dari pendekatan tauhid kepada ma`rifat membawa kepada tariqat dan
terakhir ialah haqiqat. Kata Tukku Paluh:
``Ketahui olehmu hai
orang yang memandang-mandang bagi mengambil akan segala cahaya ma`rifat dan
yang rindu ia kepada minuman mukashafah akan bahawa segala ilmu itu dan jika
terpencah-pencah (berpecah) ia segala bagainya sekalipun, maka
kemuliaannya itu mengikut ia bagi
kemuliaan tempat bergantungnya dan tiada daripada satu ilmu itu melainkan ia
wasilah kepada ilmu tauhid yang ia terlebih mulia daripada segala ilmu kerana
barang yang ada padanya itu daripada membicarakan daripada Dhat Yang Suci Ia.``
Tauhid adalah jalan Nabi s.a.w., maka murad dengan jalan
Nabi s.a.w. itu jalan ubudiyyah, tetapi tiada tahqiq ubudiyyah itu hingga
terpakai seseorang itu dengan tauhid yang haqiqi dan ternafi daripadaNya segala
bagai shirik yang jaliyy dan yang khafiyy. Tetapi pembicaraan aspek tauhid,
bukanlah tauhid per se menurut misalnya pendekatan Ash`ari-Maturidi, tetapi
tauhid yang berorientasikan tasawuf. Kata Tukku Paluh:
``Bermula maksud daripada ilmu tauhid pada kemudian daripada
mengikut akan suruh Allah itu, iaitu bahawa bersifat hamba itu dengan sempurna
ubudiyyah dan menjunjung ia akan haqq Rububiyyah, iaitu menerima akan segala
taqdir dan segala hukumnya dan mengikut pada segala suruhnya dan tegahnya
(termasuk aspek shariah) dengan menyerahkan dirinya di bawah kekuasaan perintahNya, manis dan
pahitnya dan mengikut yang disuruh akan dia, maka ialah tempat kenyataan Jamal
Allah dan LatafNya dan yang enggan ia atau berpaling ia daripadaNya, maka ialah
tempat kenyataan JalalNya dan kekerasanNya. Sesungguhnya bab ini paling panjang
(1- 43 hlm.).
Bab kedua bagi pendekatan Tukku Paluh ialah Ma`rifat (puncak
bagi tasawuf biasa), tapi maksud ma`rifat bagi pendekatan Tukku Paluh ialah
juga pendekatan tauhid atau usuluddin, kata Tukku Paluh;
``Bermula bab yang kedua pada menyatakan ma`rifat, ketahui
olehmu akan bahawa sesungguhnya ma`rifat pada sisi segala ulama` usul itu,
iaitu mengetahui dengan wujud Allah dan mengetahui akan segala sifat yang
zatiyyah dan yang ma`nawiyyah dan yang harus atasNya dan yang mustahil, tiada
yang dikehendaki dengan ma`rifat itu akan ma`rifat Dhat yang muqaddas, kerana
mahasuci bahawa mendapat akan kunhi DhatNya itu oleh akal. Jadi ma`rifat adalah
dari segi akidah (hl. 43-73).
Cuma apabila masuk kepada bab ketiga, iaitu pendekatan
tariqat (74-109), maka dibicarakan soal tariqat (termasuk Shariat), kata Tukku
Paluh:
``Bermula bab yang ketiga pada menyatakan tariqat, ketahui
olehmu akan bahawa sesungguhnya yang dikehendaki dengan tariqat pada sisi ahl
Allah itu, iaitu mengamalkan dengan barang yang mendatangkan dengan dia oleh
Rasul daripada pihak perkataan dan perbuatan dan kelakuan dan i`tiqad dan
mengikut dengan dia pada shariat yang zahir dan pada shari`at yang batin.
Tetapi bagi bab keempat bagi pendekatan Tukku Paluh agak
mistri, kerana untuk bab ini yang berada pada pengakhiran kitab tercatat
sedemikian:
Intaha al-Bab al-Rabi` wa huwa khatam al-Abwab fi bayan
al-haqiqat. I`lam ann al-haqiqat batin kulli shay` - Bermaksud:
Berakhir Bab Keempat, ia ialah terakhir bagi segala bab pada
menyatakan tentang haqiqat. Bermula haqiqat itu batin bagi setiap sesuatu.
Difahami dari ayat terawal ``Berakhir bab keempat, ia ialah
terakhir bagi segala bab pada menyatakan tentang hakikat seolah-olah pengarang
telah siap menulis tentang haqiqat sebagai bab keempat, tetapi sebenarnya
pengarang masih belum membicarakan tentang bab keempat, iaitu tentang hakikat,
sebaliknya ia baru mau memulakan karangan bagi bab keempat. Ini diperkukuhkan
dengan ayat selepas itu,
``Bermula haqiqat itu batin bagi setiap sesuatu`, tetapi
terhenti setakat itu, tidak diteruskan. Ini menimbulkan beberapa kemungkinan:
1) Penyalin
kitab Ma`arij al-Lahfan, hanya menyalin setakat itu dan belum berkesempatan
menyalin hingga kepada pengakhiran kitab. Kitab ini adalah milik Muhammad Zain
ibn al-Marhum Haji Muhammad Sungai Rengas– Anak Kadhi Muhammad (Tuk Kali) yang
kemungkinan dia juga penyalin kitab ini kerana ada persamaan gaya tulisan pemilik dengan kandungan
tulisan. Tetapi jika demikian menimbulkan persoalan, mengapa tidak disambung
penyalinan seterusnya ke akhiran ?
2) Pengarang
(Tukku Paluh) tidak berkesempatan menghabiskan karangan Ma`arij al-Lahfan,
kerana uzur dan meninggal September 1917 (1236-1336/1877-1917). Ini bermakna
kitab Ma`arij al-Lahfan dikarang pada peringkat akhir hayat Tukku Paluh. Atau
karangan ini dikarang sedikit demi sedikit dalam masa beliau mengajar dan
menjadi bahan pengajarannya, tetapi tidak berkesempatan menamatkan karangannya.
3) Untuk
mengatakan penyalin sengaja tidak menghabiskan salinan seperti di atas agak
tidak munasabah, sebaliknya pengarang tidak sempat menghabiskan karangan oleh
kerana uzur dan meninggal lebih sesuai. Ini kerana penulis sendiri mendapat satu
salinan dari teks yang disalin dari teks lain oleh orang lain dari tempat lain.
Pada masa Penulis hadir ke Seminar Islam di Terengganu di Kuala Terengganu
sempena Sambutan Hijrat al-Rasul 1412 pada 17 Julai 1991 Penulis dihadiah oleh
seorang peserta seminar saudara Azhar Chik dari Pulau Rusa, Kuala Terengganu
satu salinan Fasal yang pertama pada menyatakan segala Adab yang dituntutkan
bagi murid yang sadiq ia serta Shaykh. Pada akhir salinan kitab ini juga
menunjukkan ayat terakhir ialah `I`lam ann
al-haqiqat batin kull shay`.
Ini menunjukkan bahawa salinan yang
lain juga tidak ada huraian lanjut berkenaan dengan bab Haqiqat. Ini
mengukuhkan pendapat bahawa kitab Ma`arij al-Lahfan karangan Tukku Paluh ini
tidak sempat ditamatkan oleh kerana kematian beliau.
Haqiqat adalah pencapaian tahap
tinggi dalam bertariqat. Ianya merupakan inti dan hikmat dari penglihatan
basirah hasil dari kedalaman bertasawuf dan bertariqat. Di dalam ibadat
misalnya kita dituntut supaya menuaikan solat lima waktu yang hikmatnya disebut oleh
al-Qur`an sendiri dapat mencegah diri dari perbuatan keji dan munkar (al-`Ankabut,
29: 45) dan puasa memupuk taqwa (al-Baqarah, 2:
183). Begitulah dengan ibadat-ibadat seperti zakat dan haji mempunyai
hikmat dan significant tersendiri. Konsep hakikat yang dapat dilihat
kadang-kadang bersifat berlapis-lapis
dan halus bandingannya dan dalam capaiannya.
Penerokaan hakikat (ma`rifat juga),
bukan saja mencetuskan pandangan-pandangan mendalam, tetapi memberi kesan pada
pendukung dan pengamal tariqat. Sebagai kesan dari segi amalan ketara terpancar
pada peribadi, cara hidup, pembawaan, sudut pandangan, pengluahan fikiran,
percakapan, intuisi perasaan dan kerohanian. Kita yang menerima mendapatinya
sebagai mistri, bahkan menarik, mengasyik dan mengkagumkan.
Contoh kepada pencapaian pada hakikat
dan ma`rifat dapat difahami dari pencapaian Tukku Paluh sendiri yang dengan
kekukuhan akidah, amalan syariat dan praktis tasawuf dan tariqat membuka ruang
baginya mengungkapkan pendekatan dan mengucapkan kalam dalam karangan secara
intuitif dan rohani yang merupakan cerminan bagi lahiri diri, batini dan
rohaninya.
Kedalamn dari sentuhan hakikat
dapat dihayati dari Matan Hikam oleh Ibn `Ata`illah Al-Sakandari (709H./1309M) dan
huraian dari pendukung-pendukung kerohanian berhubung dengannya. Kekaguman
terhadap kedalaman fikiran dan keindahan ungkapan Hikam menarik
pendukung-pendukung kerohanian menterjemah, menghurai dan mentafsirnya sebagai
contoh Hikam Melayu oleh Tuk Pulau Manis (Shaykh Abdul Malik bin Abdullah) di
dalam bahasa Melayu.
(Tuk Pulau Manis, Sharah Hikam Ibn
Ata`illah, – Disusun kembali oleh Abdul Ghani Jabal al-Meraki, Jabal al-Meraki Enterprise , Kota Baharu,
2010, 2 Jilid.). Dari segi kedalaman Ilmu Ladunni dan keindahan lahiri dan
maknawi dapat dihayati dari sharah yang dilakukan oleh Al-`Arif bi Allah Ahmad
bin Muhammad bin `Ajibat al-Hasani dengan kitab Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam
– Insya Allah dapat dihayati ke dalaman makna, diminum kemanisan rasa dan
hilang kehausan dahaga.
(Ahmad bin Muhammad bin `Ajibat
al-Hasani, Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam, 2 Jilid, Dar al-Fikr, Beirut , t.t. 471hlm.).
Sekian.
Assalamualaikum Dr. Lama tak kedengeran berita. Saya ada membaca mengenai ilmu hakikat yang dipaparkan. Agak menarik juga.Dalam hal in i elok kalau kita dapat baca juga penerangan di dalam blog berikut: http://cahayamenerangikegelapan.blogspot.com/2011/09/terjemah-aqidah-ahli-sunnah-wal-jamaah.html
ReplyDelete