October 28, 2013

Santai & Peleraian Di Jalan Pantai


BBB, 22 Zulhijjah 1434 = 27 Oktober 2013 (Ahad):

Menuntut ilmu walaupun merupakan nikmat tertinggi kerana ianya merupakan usaha bagi mengisi keperluan minda dan rohani, tetapi bagi mencapainya banyak tekanan dan halangan yang terpaksa dihadapi. Di sebalik itu, kita mungkin tidak sampai kepada tahap kenikmatan berkenaan, sebaliknya yang kita rasa adalah tekanan dan keresahan akibat dari berbagai-bagai masalah yang dihadapi. Apa yang dihadapi kebimbangan seperti tidak lulus pengajian atau lulus pada tahap rendah dan tidak sepadan dengan pengorbanan. Tekanan pula seperti cuti belajar yang tidak mendapat sebarang gaji, walaupun separuh, meninggalkan anak isteri yang tentunya dalam keadaan tertekan, terpaksa menjaga anak-anak dan keperluan mereka dan terpaksa berulang alik bulanan atau dwi-mingguan kerana menjenguk mereka, lebih daripada itu banyak kewangan bagi menampung keperluan-keperluan. Insaf terhadap pengorbanan dan tanggungjawab mungkin menjadi katalis untuk belajar bersungguh-sungguh. Namun di dalam kesungguhan belajar perlu ada rehat, releks, eksesais dan bertenang yang sebenarnya juga bagi kepentingan menghadapi pelajaran. Situasi seperti ini dihadapi pelajar-pelajar termasuk Penulis sejak mula pengajian di UKM di Jalan Pantai lagi (Mei, 1970).

Bagi meringankan tekanan antaranya memberi tumpuan kepada ibadat. Misalnya di Kolej Pertama UKM memang ada surau yang pelajar-pelajar boleh berjamaah terutama waktu-waktu maghrib dan Isyak atau bila-bila masa, kerana dibilik asrama sempit dan kurang selesa dan lantainya tidak begitu bersih. Pada hari-hari Jumaat pihak kolej memang menyediakan bas untuk menunaikan Jumaat setiap minggu di Masjid Negara, dan jika tidak mau ke Masjid Negara boleh saja ke masjid terdekat seperti Masjid al-Rahman di Jalan Pantai, luar kampus UM atau ke Kampus Maktab Perguruan Bahasa yang juga mendirikan Jumaat atau Masjid Kampus Fakulti Islam di Petaling Jaya yang perkhidmatan Bas UKM disediakan berterusan bagi pelajar-pelajar di sana yang tinggal di Kolej Jalan Pantai. Penenang berterusan untuk elak dari tertekan, ialah mengamalkan membaca al-Qur`an.

Keterlibatan dengan kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM, juga tidak lari dari menghadapi tekanan berpersatuan yang merupakan tambahan dari kegiatan selain dari akademik. Adalah menjadi kebiasaan bagi kami yang bermesyuarat ke pertengahan malam turun minum-minum ke warung taraf rendah di Jalan Pantai yang terkenal dengan panggil AMJAL (gandingan nama pengusaha Amin dan Jalil). Turut sama turun pelajar-pelajar yang penat bermutalaah bagi meringankan beban fikiran. Bukan setakat bermesyuarat sahaja, adalah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan pelajar membuat rujukan di Perpustakaan Universiti Malaya. Kami ke sana berjalan kaki sahaja ke Perpustakaan Universiti yang jauhnya dari kampus UKM lebih kurang 5km. Penulis sering ke perpustakaan berkenaan bersama teman sebilik saudara Suarni dari Pahang. Perpustakaan UKM sudah ada, tetapi amat terhad dari segi koleksi. Apabila pulang dari perpustakaan Warung Amjal jadi persinggahan. Dengan larisnya warung ini kemudian tumbuh secara haram gerai-gerai di tebing jalan naik ke Kampus UKM – terdiri dari empat lima buah warung. Ada baiknya pertumbuhan warung-warung ini, kerana ianya memberi pilihan makanan & minuman, tetapi buruknya ianya mengotori pandangan dan kotor juga dari segi tempat.

Selain dari Kampus UM menjadi tumpuan sama ada malam atau siang, pekan Bungsar juga menjadi tempat kunjungan. Sebagaimana telah disebutkan selepas Mei 13, 1969 dibina warung-warung bagi peniaga-peniaga bumiputera di tepi landasan keretapi berhadapan dengan deretan kedai bersebelahan. Warung di sini dikenali dengan nama `Taman Ghazali Shafie` tokoh politik Kerajaan Mageran pada masa itu dan salah seorang arkitek pembentukan Kerajaan Malaysia. Kebanyakan adalah warung makan, di samping ada kedai gunting dan barang-barang keperluan. Pelajar-pelajar UKM ke sini untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka. Selain daripada itu, oleh kerana pelajar Kolej di kampus diwajib bayar secara penggal dan tidak ada pilihan, kalau tak makan juga kena bayar. Oleh kerana menu makan secara rutin tidak berubah, pagi, tengahari, petang dan malam sama, untuk menghilangkan rasa jemu antara tempat alternatif pergi makan ialah ke Taman Ghazali Shafie di atas. Untuk ke sini naik perkhidmatan bas dengan harga tiket cuma 10 sen sahaja, tidak jarang kami ke sana secara berjalan kaki sahaja pergi balik, atau pergi berjalan kaki dan pulang naik bas atau sebaliknya bagi tujuan makan, bergunting dan sebagainya. Harga sepinggan nasi di Taman Ghazali Shafie pada tahun 1970an, jika berlauk daging/ayam hanya 60 sen dan jika berlauk ikan hanya 50 sen sahaja. Manakala perkhimatan bergunting cuma 50 sen sahaja. Walau bagaimana Taman Ghazali Shafie ini yang berdekatan dengan Kampung Abdullah Hukum, kawasan setinggan agak kotor dan tak terjaga. Pihak Persatuan Mahasiswa UKM pernah menjalankan khidmat masyarakat di tempat ini, iaitu dengan mengadakan gotong royong membersih kawasan berkenaan pada 30 Mei 1971. PMUKM juga pernah menyampaikan bantuan banjir yang dipungut dari pelajar-pelajar. Bantuan ini dihantar ke Parlimen Penulis selaku Bendahari PMUKM dan saudara Muhammad bin Kassim selaku Setiausaha menghantar 2 kotak pakaian dan wang sejumlah RM151.05 diserahkan kepada Ketua Gerakan Bencana Negara Tan Sri Raja Mohar Badiuzzaman pada 6 Januari 1971 di Parlimen. Penyerahan ini mendapat liputan dalam TV dan Berita Harian keesokannya.

Selain dari penggunaan masa di atas, satu yang sering memberi kepuasan bagi kami ialah menghadiri ceramah-ceramah akademik dan juga bersifat politik. Misalnya ceramah dan kegiatan bersastera yang dianjurkan oleh Studi Kelab Sastera yang dihadiri oleh penulis-penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan tenaga akademik UKM seperti pada 23 Julai 1970, ceramah oleh Usman Awang dan keluarga Gapena dan Pena pada 25 Ogos 1970, menyertai rombongan menyaksikan drama Bukan Lalang Ditiup Angin oleh Nordin Hassan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 5 Oktober 1970 dan menonton film Nyai Dasimah bagi memahami sejarah Masyarakat Indonesia berhubung dengan Sejarah Indonesia pada 19 Jun 1971 di panggung Odeon Kuala Lumpur – Pergi dengan bas UKM. Menyertai Malam Irama Sastera yang dianjurkan Studi Kelab sastera pada 6 Oktober 1971.

Turut meringankan beban fikiran dan tekanan akademik dengan melibatkan diri dengan kegiatan eksesais, menyaksikan pertandingan sepak takraw antara blok seperti pada 2 Oktober 1971. Menyaksikan berbagai kegiatan sukan di padang bola dan juga turut sama exersais dan jogging.

Walau bagaimana, kami mahasiswa UKM yang sebahagian daripada mereka sudah berkeluarga yang kebanyakan daripada mereka adalah guru yang bercuti seperti Cikgu Zahid Awang, Cikgu Amin, Cikgu Daud Daldiri, Cikgu Shukor, Ckgu Aziz dan beberapa yang lain yang dikenali sebagai mahasitua berlainan pembawaan dari anak-anak muda yang fresh dari Sekolah. Mereka agak bebas. Kami rapat sesama tua dan mengadakan group diskusi sendiri. Bagi guru yang tinggal berdekatan Kuala Lumpur dan Kelang seperti Cikgu Daud dan Cikgu Shukor yang tinggal sekitar Kelang berulang, manakala kami yang mempunyai keluarga yang jauh di Pantai Timur pulang sebulan sekali atau beberapa minggu sekali.

Keperitan hidup mengajar kami berhemat dan berjimat, pengorbanan demi cita-cita menjadi daya kesungguhan, namun kepahitan itulah kemanisan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment