BBB, 18 Zulhijjah 1434 = 23 Oktober 2013 (Rabu):
Sebagaimana dibicarakan tempoh pembelajaran Pelajar UKM
untuk mendapat Ijazah Sarjanamuda dengan Kepujian pada peringkat permulaan adalah
memakan masa 4 tahun (kecuali Perubatan – belum ada pada masa itu) berbanding
dengan Universiti Malaya selama 3 tahun.
Penulis sendiri meneruskan pengajian bagi Tahun Kepujian Sesi 1973/74 dengan
mengkhususkan dalam bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti
Sastera UKM. Penulis Menulis Latihan Ilmiah di bawah Penyelia Ustaz Wan
Muhammad Bin Wan Ali Pensyarah UKM berjudul:
Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah (Tuk Pulau Manis)
Ulama` Sezaman Dengan Shaykh Abdul Ra`uf Singkel
Dalam Konteks Pengislaman Terengganu
Pada tahun yang sama juga Penulis mengikuti Kursus Diploma
Pendidikan yang mula diadakan pada Sesi 1973/74. Latihan mengajar di Sekolah
Menengah Kebangsaan Petaling Jaya di bawah Penyelia Pak Mansor Tubing,
Pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM.
Tidak seperti keputusan Ijazah Sarjana Muda Am bagi tahun
1972/73 yang tidak diberi perhatian oleh Media, kerana pelajar sebenarnya masih
meneruskan pengajian, tetapi keputusan pada peringkat Kepujian disiarkan di
dalam akhbar The New Straits Times pada 14hb. Mei 1974 hampir sehalaman penuh
dengan judul:
The University Kebangsaan
Arts Result:
``The University Kebangsaan Malaysia has announced the result
of the final year examination for the degree of Bachelor of Arts (hons). ``
The following have obtained the Bachelor of Arts (Hons).
First Class
Mohd Zahid Awang, Shafie Abu Bakar, Chew Hock Thong/Chew
Hock An.
Diikuti dengan kelas Kepujian Kelas Dua Atas dan Bawah dan
beberapa kategori yang lain. Pada halaman yang lain keluaran hari yang sama
ulasan berita dalam NST:
Three top grads who owe it all to their wives
Mr. Chew Hock An, Encik Muhammad Zahid Awang and Encik
Shafie Abu Bakar did not expect to do well when they entered the university in
1970.
Today they said that their families helped them to do better
in their studies.
``I guess the sense of responsibility to my wife and three
children spurred me to struggle for better results,`` said Encik Shafie from
Terengganu.``
``I am an orphan and never thought of going so far.``
``But I found that poverty is no obstacle to a university
education. If you have the qualification, there is nothing to stop you.``
``My grandfather, who brought me up, was a conservative man.
He sent me to religious school. I studied up to form five in the Sultan Zainal
Abidin Secondary Religious School.``
Encik Shafie then taught for seven years and later sat for
his Higher School Certificate privately.
Mr. Chew is happy to be the first Chinese to obtain a degree
from the university.
Their plans. He was a journalist at the Information
Department before joining the police in Sabah
as their public relations officer. Mr. Chew owes his proficiency in Bahasa Malaysia to his
friends and lecturers. His wife is a science graduate. They have a four-
year-old son.
Encik Muhammad is now teaching in Terengganu. The three
intend to do their masters degree and later serve the university.
Pihak Utusan Malaysia
turut sama membuat ulasan pada 14.5.1974 dalam Kata Pengarang tentang Kumpulan
pertama siswazah UK .
Kumpulan pertama siswazah Universiti Kebangsaan akan
menerima Ijazah mereka dari Canselor Tun Abdul Razak di Bangunan Parlimen tidak
lama lagi. Tiga orang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama, 53
Sarjana Muda Kepujian Kelas Dua Atas, 53 Kelas Dua Bawah dan seorang Sarjana
Muda. Apa yang menarik hati selain daripada inilah buah pertama dari universiti
yang wujud dalam suasana panas lima
tahun lalu itu ialah terdapatnya beberapa orang bukan Melayu dalam senarai
lulusannya. Seorang bukan Melayu, Chew Hock An, adalah di antara tiga yang
mendapat Sarjana Muda Kepujian Kelas
Pertama. Dua orang lagi mendapat Sarjana Muda Kelas Dua Atas.
Sebelum ini kerap terdengar dakwaan bahawa Universiti
Kebangsaan adalah pusat pengajian tinggi untuk orang Melayu sahaja, dan
keutamaan yang ditunjukkannya sementara waktu ini kepada calun-calun Melayu
membawa tuduhan berlakunya diskriminasi terhadap pelajar bukan Melayu.
Penyebar-penyebar tuduhan ini menaburkan kebimbangan bahawa harapan untuk bukan
Melayu keluar dengan ijazah baik darinya adalah tipis. Tiga siswazah bukan
Melayu yang lulus dengan cemerlang itu dengan sendirinya menafikan segala tuduhan
dan sangkaan tersebut. Ini menjelaskan matlamat universiti tersebut untuk
pelajaran tinggi ``kebangsaan`` dan bukannya sesuatu kaum tertentu.
Suatu perkara lain ialah terbuktinya kini Bahasa Malaysia
mempunyai kemampuan yang sama dengan bahasa lain sebagai bahasa Ilmu yang
tinggi dan kemungkinannya digunakan sama dengan jayanya bukan sahaja oleh kaum
yang memakainya sebagai bahasa pertama, tetapi juga mereka yang hanya
memakainya sebagai bahasa kedua dalam
kehidupan sehari-hari.
Konvokesyen kali kedua UKM sebagaimana kali pertama diadakan
di Parlimen pada 8 Jun 1974 dengan Canselor Pertama UKM Tun Abdul Razak
menyampaikan Ijazah dengan dihadiri tamu-tamu jemputan, pegawai-pegawai
universiti, kakitangan, graduan-graduan dan keluarga masing-masing. Isteri,
tiga anak, mertua lelaki dan ipar Penulis turut sama ke Parlimen meraikan
Majlis Konvokesyen Kedua UKM.
Sempena keputusan peperiksaan peringkat kepujian UKM ini
Penulis menerima telegram ucap tahniah dari Yang Amat Berhormat Menteri Besar
Terengganu Dato` Wan Mokhtar Ahmad – Guru Penulis pada masa bersekolah di
Sekolah Menengah Thanawi Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Berikutan dari keputusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan
juga Diploma Pendidikan Dengan Kepujian, Penulis juga menerima surat penempatan
Penulis mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu
berdekatan dengan rumah kami di Padang Midin – Sebenarnya hasrat Penulis hanya
mau kembali berkhidmat di Sekolah Menengah Agama di bawah Jabatan Agama Islam,
Kuala Terengganu, tetapi dengan keputusan cemerlang pihak UKM menawarkan
jawatan tutor (Pengajar) dan peluang menyambung pengajian, Penulis membuat
keputusan menerima tawaran UKM.
Sekian.
No comments:
Post a Comment