October 23, 2013

Musim Konvo - Terkenang Konvokesyen Pertama UKM: Tun Razak Canselor Pertama UKM Sampaikan Ijazah

-->
BBB, 17 Zulhijjah 1434 = 22 Oktober 2013 (Selasa):

Kini musim konvo. Universiti-universiti mengadakan Majlis Konvokesyen masing-masing bagi mengurniakan ijazah kepada pelajar-pelajar keluaran masing-masing bagi semua peringkat. Menyebut tentang konvokesyen Penulis teringat kepada Majlis Konvokesyen Pertama UKM yang diadakan buat kali pertama  pada 23 Jun 1973 bertempat di Parlimen. Sebagai Majlis Konvo Pertama UKM majlis adalah bersejarah dan tentulah meriah.


Walaupun mahasiswa menerima ijazah, namun mereka belum tamat belajar bagi peringkat ijazah pertama. Ini adalah berkait rapat dengan polisi UKM yang baru ditubuhkan pada 18 Mei 1970 itu. Sistem dan tempoh pengajian bagi iajazah pertama (Sastera, Sains dan Pengajian Islam) pada kebiasaannya mengambil masa tiga tahun. Ini berlaku seperti di Universiti Malaya, mereka keluar selepas menerima ijazah sama ada pada peringkat Ijazah Pertama Kepujian atau General Degree. Berlainan dengan UKM, pengajian untuk Ijazah Pertama Kepujian perlu mengambil masa  selama empat tahun. Tiga tahun pertama jika lulus mendapat Ijazah Am. Jika berkelayakan dibenarkan menyambung pegajian kepada peringkat Kepujian. Jika Ijazah Am rendah, maka tidak dibenarkan mengambil kursus pada peringkat Kepujian dan keluar dengan Ijazah Am. Jadi untuk mendapat ijazah kepujian perlu belajar setahun lagi dengan dikehendaki menulis Latihan Ilmiah. Daripada jumlah pelajar Sulung UKM serama 197 orang, hanya beberapa orang saja yang tidak layak meneruskan pengajian dan mereka keluar sebagai Graduan Ijazah Am, tetapi mereka tak sukar mencari pekerjaan. Kerana pada masa itu pekerjaan mencari graduan.

Bagi mencapai Ijazah Am peringkat awal di UKM, maka sejak tahun pertama siswa dikehendaki mendaftar dan memilih tiga jabatan, di samping mesti mengambil kursus wajib, iaitu bahasa Inggeris, matematk dan sains. Sebagai contoh Penulis memilih bagi tahun pertama tiga jabatan, iaitu Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Antropologi dan Sosiologi. Bila meningkat ke tahun dua, maka dikehendaki mengambil dua jabatan dengan menggugurkan satu jabatan. Penulis telah menggugurkan Jabatan Antropologi dan Sosiologi dan meneruskan pengajian bagi tahun dua dengan mengambil dua jabatan, iaitu Kesusasteraan Melayu dan Sejarah yang disetiap Jabatan kena memilih kursus-kursus bagi memenuhi unit-unit diperlukan. Jadi bagi tahun dua dan tiga kekal dengan dua jabatan yang jika lulus dengan baik melayakkan calon ke peringkat Kepujian tahun empat dan jika tidak lulus dengan baik hanya layak Ijazah Am atau tidak lulus langsung. Bagi peringkat permulaan pengajian bagi ijazah pertama ini, kebimbangan yang paling utama bagi pelajar Fakulti Sastera dan Islam, ialah `struggle ` bagi mendapat kelulusan dalam kursus Matematik (termasuk Statistik)  dan Sains di samping bahasa Inggeris, kerana UKM mau pelajarnya menguasai Matematik dan Sains di samping bahasa Inggeris.


Pada tahun ketiga hampir kesemua pelajar sulung, layak membuat ijazah Sastera Kepujian. Ada yang menghadapi dilemma, termasuk penulis, setelah lulus peringkat Ijazah Am Sastera di dalam Kesusasteraan Melayu dan Sejarah, ialah untuk memilih antara dua kursus yang kedua-dua layak untuk dipilih. Pensyarah-pensyarah memujuk untuk memilih jabatan-jabatan masing-masing, tetapi akhirnya Penulis memilih Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Kelulusan pada peringkat Ijazah Am inilah pihak UKM mengadakan Majlis Konvo Kali Pertama.


Perlu disebutkan bahawa berikutan dari demonstrasi pelajar-pelajar UKM membantah pengunduran Dato` Abdul Rahman Ya`kob dari Menteri Pelajaran Malaysia kerana menjadi Ketua Menteri Sarawak, maka pada masa kehadiran Dato` Rahman Ya`kob ke UKM, maka diumumkan pada 10 Julai 1970 bahawa Tun Razak pada masa itu sebagai Pemangku Perdana Menteri Malaysia bersetuju menjadi lantikan Canselor Pertama UKM. Ini diumumkan sendiri oleh Bekas Menteri Pelajaran Dato` Abdul Rahman Ya`kob yang pada masa itu menjadi Ketua Menteri Sarawak. Pengumuman dibuat di Oditorium UKM. Pengumuman disambut dengan tepukan tangan gemuruh dari hadirin, khususnya mahasiswa di Dewan Besar UKM itu. Ketua Menteri Sarawak itu berkata, ``Cadangan melantik Tun Razak menjadi Canselor UKM telah dibuat tiga bulan lalu,`` ketika beliau masih lagi Menteri Pelajaran. Kenyataan menyebut,
``Dengan perlantikan Tun ini kedudukan Universiti Kebangsaan adalah kuat dan kukuh serta tarafnya tidak sekali-kali akan menjadi universiti kelas dua.``

Majlis Konvo pertama UKM diadakan di tempat berprestage, iaitu di Bangunan Parlimen. Untuk konvo di UKM ini beberapa kali latihan dibuat.

1)      Pada 14.6.1973 pelajar-pelajar dibawa ke Parlimen dengan bas bagi menjalani upacara konvo di sana. Turut hadir sama ialah pensyarah-pensyarah, pegawai-pegawai dan kakitangan UKM.
2)      Pada 17.6.1973 Latihan kedua bagi Majlis Konvo UKM. Tun Razak sendiri hadir ke Parlimen bersama Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Kanan Universiti, pelajar-pelajar dan kakitangan universiti.
3)      Pada 18.6.1973 Latihan Ketiga dan terakhir Majlis Konvo Yang Tun Razak hadir bagi kali kedua Latihan.

Hari Konvokesyen Pertama UKM ialah pada 23 Jun 1973 bertempat di Parlimen adalah bersejarah dihadiri oleh tetamu-tetamu Kehormat, ibu bapa mahasiswa, pegawai-pegawai universiti dan mahasiswa.
Pada Majlis Konvokesyen Pertama ini Tun Razak diisytiharkan secara rasmi selaku Canselor Pertama UKM.

Berikutnya Tun Razak selaku Canselor menyampaikan ijazah Sarjanamuda kepada pelajar-pelajar Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam yang berjumlah 197 orang.

Pada 24 Julai keesokannya Tun Razak Canselor UKM ke Kampus UKM di Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur merasmikan Pesta Konvokesyen Pertama UKM di Padang dan Kampus sementara UKM di sana.


Berikut dari Konvokesyen Pertama UKM, pelajar-pelajar tidaklah mengakhiri pengajian mereka, bahkan hampir keseluruhan kembali belajar bagi menyambung penagjian pada peringkat tahun kepujian. Pada tahun kepujian ini pelajar dikehendaki mengkhusus di dalam satu bidang pengajian. Misalnya Penulis memilih bidang di Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Pelajar bidang Sains misalnya memilih Biologi, dan Islam mungkin memilih Syariat dan sebagainya.
Mulai dari awal pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjanamuda Kepujian selain dari mengikuti kursus-kursus baiasa pelajar-pelajar mulai berbincang dengan penyelia-penyelia masing-masing tentang tajuk Latihan Ilmiah perlu dibuat oleh setiap pelajar menurut bidang masing-masing.

Polisi UKM memastikan pelajar mengambil masa pengajian selama empat tahun (selain dari Perubatan) selain baik bagi memantafkan pelajar-pelajar, ada implikasinya. Antaranya menjadikan pelajar tidak minat ke UKM kerana terpaksa belajar lambat setahun bagi mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Pengajian pula menambahkan perbelanjaan dan lewat mendapat pekerjaan. Polisi ini akhirnya diubah oleh UKM sendiri beberapa tahun kemudian berikut dari pertukaran dari sistem penggal (ikut Universiti Malaya) kepada pendekatan baru, iaitu sistem Semester. Mewajibkan semua pelajar (selain dari Fakulti Sains) mengambil Sains dan Metamatik juga dihapuskan.

Sekian.

1 comment:

  1. This inspire me a lot! Thank you so much for the great article.

    ReplyDelete