BBB, 02 Zulhijjah 1434 = 07 Oktober 2013 (Isnin):
Sebagaimana hukum-hukum mengenai ibadat, muamalat dan
munakahat, demikianlah berhubung dengan pemerintahan Negara ada hukum dan
aturannya. Lantaran itu sejak awal Islam lagi ulama-ulama menghasilkan kitab-kitab
panduan. Misalnya bagi bidang fiqh al-Imam Malik menghasilkan al-Muwatta` dan
Imam Al-Shafie menghasilkan al-Umm. Bidang pemerintahan juga tidak terkecuali
dari terhasilnya kitab-kitab panduan bagi pemerintahan. Misalnya Al-Farabi (m.339H./950M.
) menghasilkan al-Madinah al-Fadilah, Abu Mansur `Abd al-Malik bin Muhammad bin
Ismail al-Tha`alabi (350-429H.) menghasilkan
Kitab Adab al-Muluk dan Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib
al-Basari al-Baghdadi al-Mawardi (m.
450H.) menghasilkan kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah. Karya-karya yang dihasilkan
ditujukan kepada pemerintah semasa di mana pengarang berada dan juga
pemerintah-pemerintah secara umum. Tidak jarang pula karya-karya dihasilkan oleh
penulis tertentu atas permintaan pemerintah tertentu.
Demikian juga di dalam peradaban Melayu Islam menurut budaya
ilmu di dalam Islam turut ditulis ulama kitab-kitab panduan seperti Sabil
al-Muhatdin – kitab fiqh oleh Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari (m. pertengahan
Abd ke 19M.) dan Bughyat al-Tullab oleh Shaykh Daud al-Fatani (m.1849M.).
Demikian juga bagi pemerintahan kerajaan-kerajaan yang besar di Alam Melayu ada
kitab atau karangan panduan bagi
pemerintahan semasa. Misalnya bagi pemerintahan kerajaan Melaka dihasilkan
Kitab Sulalat al-Salatin oleh Tun Seri Lanang – Kitab ini kemudian lebih
dikenali sebagai Sejarah Melayu. Kitab ini merakamkan sejarah asal usul
kerajaan Melayu, penubuhan sebuah Negara, bahkan empayar kerajaan Negeri
Melaka, penerimaan Islam, kesultanan, pentadbiran, kepahlawanan,
keagungan, interaksi dan diplomasi
Melaka dengan Negara-negara luar. Ianya sebagai panduan, sejarah dan budaya
Negara yang menjadi ikutan bagi Negara-negara, khususnya Negara-negara Melayu
selepasnya.
Keagungan Aceh sebagai sebuah Negara Islam pada abad ke 17
dan ramainya ulama ke Negara itu mencetuskan tradisi keilmuan Islam dan polimik
keilmuan. Tokoh-tokoh ilmuan menghasilkan penulisan seperti oleh Hamzah
Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel.
Dari tradisi dan peradaban keilmuan di Aceh juga melahirkan dua buah kitab
ketatanegaraan, iaitu Taj al-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari dan Bustan
al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri.
Taj al-Salatin bermaksud Mahkota Segala Raja-Raja oleh
Bukhari al-Jauhari (1603) dihasilkan
bagi sultan pada zaman pemerintahan masa itu iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota
Alam yang juga dikenali dengan gelaran al-Sayyid al-Mukammil. Nama pengarang
Bukhari al-Jauhari menimbulkan berbagai pendapat ada yang mengatakan Bukhari
yang berasal dari Johor, tetapi ramai pula mengatakan Bukhari al-Jauhari ini
berasal dari Bukhara, dengan hujjah karangan ini amat dipengaruhi gaya bahasa
dan ungkapan-ungkapan Parsi, di samping Arab. Bukhari al-Jauhari sezaman dengan
Hamzah Fansuri yang ketara bentuk puisinya dan kandungannya dipengaruhi bentuk
dan ungkapan dari Parsi, sesuai dengan Tajul Salatin yang sezaman dan
dipengaruhi Parsi. (Maksud Parsi di sini, bukan semestinya langsung dari Iran ,
tetapi budaya politik pada abad 16-17 dipengaruhi dari antaranya kerajaan
Moghul di India. Sedangkan kerajaan Abbasiyyah sendiri dibangunkan oleh kesultanan
dari Arab dan budaya pemerintahan Parsi). Teuku Iskandar membicarakan aspek
kepengarangan di atas dengan panjang lebar (Teuku Iskandar, Bokhari al-Jauhari
dan Tajus-Salatin, Dewan Bahasa, Jil. IX, Bilangan 3, Mac 1965: 107-113).
Taj al-Salatin mengandungi 24 bab yang membicarakan mengenai
diri manusia, Tuhan yang menjadikan alam dan kandungan, kesudahan manusia,
tentang kerajaan, keadilan. Tentang raja adil dan zalim. Raja kafir, tugas
penyurat, pegawai raja, memelihara anak,, budi, syarat kerajaan, ilmu kiafah,
rakyat , tentang sakhawah dan wafa`. Agak menarik di dalam Taj al-Salatin
disertai ayat-ayat Qur`an, Hadith, berbagai bentuk puisi dan ungkapan-ungkapan
menarik. Taj al-Salatin disifatkan sebagai Mahkota bagi karangan ketatanegaraan
dan mempengaruhi banyak karangan selepasnya.
Nuruddin al-Raniri yang datang ke Aceh pada zaman
pemerintahan Iskandar Thani (1636-1641). Atas permintaan Baginda Nuruddin
al-Raniri mengarang Kitab Ketatanegaraan
berjudul Bustan al-Salatin (Taman Raja-Raja) – mulai 17 Syawal 1047H./1638M. iaitu
sebuah karya terbesar dalam bahasa Melayu pernah dihasilkan yang menggambarkan
kebesaran pemerintahan kerajaan Aceh. Bustan al-Salatin mengandungi 7 bab.
Bab Pertama: Tentang kejadian tujuh petala langit dan bumi
(10 fasal)
Bab Kedua: tentang anbiya` dan raja-raja (13 fasal)
Bab Ketiga: Tentang raja-raja yang adil dan wazir-wazir yang
berakal (6 fasal)
Bab Keempat: Raja-Raja yang pertapa dan auliya` yang salihin
(2 fasal)
Bab Kelima: Raja-Raja yang zalim dan wazir-wazir yang
aniaya’ (2 fasal)
Bab Keenam: Orang Murah dan Mulia dan yang Berani (2 fasal)
Bab Ketujuh: Akal. Ilmu, firasat, kifayat, Ilmu Tabib dan
segala sifat perempuan, Hikayat yang ajaib dan gharib (5 fasal).
Bab 11, Fasal 13 adalah penting yang mempunyai fakta sejarah
yang berhubung dengan Aceh. Nuruddin memuji Sultan Iskandar Thani yang menjadi
pelindungnya:
Ialah perkasa terlalu berani.
Turun temurun nasab sultani
Ialah menyanjung inayat Rahmani
Bergelar Sultan Iskandar Thani.
(T. Iskandar, Bustanu`s-Salatin (Bab 11, Fasal 13, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966: 1 -5)..
Negeri Terengganu sebagai negeri Aceh yang kukuh dengan niali-nilai
Islam, juga hebat dari segi kelahiran ulama dan penghasilan kitab-kitab, jika
Aceh terkenal dengan ulama-pengarang seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin
al-Sumatterani, Bukhari al-Jauhari, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel,
maka Terengganu juga mempunyai ulama seperti Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah
(Tuk Pulau Manis), Abdul Jamal Beladau, Shaykh Abdul Kadir Bukit Bayas, Syed
Muhammad bin Zainal Abidin dan Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad (Tuan
Paluh), jika Aceh bermegah dengan penghasilan kitab Taj al-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari ,Sirat
al-Mustaqim dan Bustan al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri dan Umdat al-Muhtajin
dan Kifayat al-Muhtajin oleh shaykh Abdul Rauf Singkel, maka Terengganu menghasilkan
seperti Hikam Melayu dan Kifayah oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk
Pulau Manis), Raudat al-`Ulama` oleh Abdul Jamal Beladau, Ma`arij al-Lahfan
oleh Syed Abdul Rahman bin Muhammad (Tukku Tuan Paluh), Puisi-Puisi Nazam oleh
Syed Muhammad bin Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan Nasihat Segala Raja-Raja
ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin
III.
Kitab Nasihat Segala Raja-Raja adalah milik Sultan Zainal
Abidin ke III, Buktinya pada satu halaman permulaan tertera di dalam
bahasaArab/Jawi:
Sahib al-Kitab al-Sultan
Zainal Abidin
Bin
Al-Marhum al-Sultan
Ahmad Rahimah Allah
Ta`ala
Amin
1300.
Kitab ini tersimpan di Muzium Negeri Terengganu
Salinan naskhahnya dipinjamkan oleh Tuan Haji Othman Bin
Haji Ali Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu kepada pelajar Hanita Binti
Sidek pada tahun 1991 untuk dijadikan kajian bagi Latihan Ilmiahnya di Jabatan
Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi Sesi 1991/92. Penulis adalah Penyelia
bagi Latihan Ilmiah tersebut.
Dengan bukti jelas bahawa kitab Nasihat Segala Raja-Raja
dimiliki oleh Sultan Zainal Abidin Ke III, bahawa baginda sebagai Sultan Yang
Alim, mencintai ilmu dan `ulama menjadikan kitab ini sebagai panduan dan muzakarah di dalam pemerintahan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment