BBB, 10 Zulhijjah 1434 = 15 Oktober 2013 (Selasa):
Jika Syed Muhammad bin Zainal Abidin (1795-1878) terkenal
sebagai seorang penyair Nazam, maka anaknya Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad
(1817-1917M.) terkenal sebagai ulama
yang mengarang kitab tasawuf. Beliau
terkenal sebagai Shaykh al-Ulama pada zaman kerajaan negeri Terengganu di bawah
pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke III (1881-1919). Ulama ini juga terkenal
sebagai seorang pengarang kitab tasawuf
berjudul Ma`arij al-Lahfan li al-Taraqqi Ila Haqiqat al-`Irfan – Bermaksud,
Peningkatan Orang Lahap Bagi Meningkat Ke Haqiqat Ma`rifat atau dalam
terjemahannya:
``Aku nama akan dia akan -
``Tangga Bagi Orang Yang Dahaga Bagi Naik Kepada Martabat Segala Haqiqat
Ma`rifat``.
Syed Abdul Rahman yang terkenal dengan Tukku Paluh (kerana tinggal
di Paluh, Kuala Terenganu) belajar di Makkah antaranya dengan Haji Wan Abdullah
bin Muhammad Abdullah al-Zawawi dan Saidi Muhammad Madzhar al-Ahmadi.
Bidang-bidang yang beliau pelajari ialah tasawuf, usuluddin, fiqh, tafsir,
hadith dan bahasa Arab. Trend pada zaman tradisi juga pelajar-pelajar
mempelajari dan mengikut tarikat tertentu. Pada Zaman Shaykh Abdul Malik bin
Abdullah (Tuk Pulau Manis) beliau mempelajari tasawuf aliran Shadhili dan
tariqat Shattariyyah yang dikenali juga dengan Tariqat al-Qushashi. Pada zaman
Haji Abdul Malik bin Isa beliau mengikuti Tariqat Shattariyyah dari gurunya
Shaykh Daud al-Fatani, Syed Abdul Rahman bin Muhammad mengikuti Tariqat
Naqshabandi sebagai dimaklumkan kepada kita melalui Kitab Ma`arij al-Lahfan. Tariqat
ini diterima dari gurunya Saidi Muhammad
Madzhar al-Ahmadi semasa menuntut di Makkah.
Pendekatan yang diambil oleh Syed Abdul Rahman di dalam
kitab Ma`arij al-Lahfan adalah berorientasikan tauhid. Sejak dari awal
pembukaan kitabnya beliau menekankan soal tauhid. Kata pengarang:
``Bermula puji itu bagi Allah yang menjadi ia akan manusia
itu pada yang terlebih elok daripada kejadian dan memulia Ia akan mereka itu
dengan tauhid akan Dia, maka menunjuk ia akan mereka itu kepada jalan yang
teguh:
Ashhadu an la ilaha illa Allah wahdahu la sharikalah shahadatan
tazbah al-shukuk wa tu`ayyinu `ala al-suluk.
Aku ketahui dan aku i`tiqad dengan hatiku akan bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah jua, hal keadaanNya
tertunggal Ia, tiada yang menyengutui bagiNya akan sebagai shahadah yang
menghilang ia akan syak dan menolong ia atas berjalan kepada ma`rifat (Bahasa
Syed Abdul Rahman ini mengingatkan kita kepada bahasa ayahnya Syed Muhammad di
dalam Shahadat Tukkunya).
Seterusnya orientasi tauhid terus terpancar di dalam
muqaddimah kitabnya ini:
``Dan aku ketahui dan aku i`tiqadkan dengan hatiku akan
bahawa sesungguhnya Penghulu kita Muhammad itu Hambanya dan Pesuruhnya yang
dibangkit akan dia bagi kerana memuliakan Kalimah Islam dan menghinakan segala
kafir yang dicercakan mereka itu. Menurut Syed Abdul Rahman, ``Kebinasaan pada ugama
itu umum ia dan lemah pada tauhid itu
masyhur ia. Tujuan mengarang, kata Syed Abdul Rahman, ``Bahawa aku aturkan
beberapa kalimah pada tauhid atas jalan yang dipakai akan dia oleh segala ulama Haqiqat, supaya mengambil
manfaat dengan dia – Insya Allah. Jalan yang diambil berdasarkan ayat Qur`an
(Surah Yusof, 12: 108) bermaksud:
``Ya Muhammad, bermula inilah jalanku, aku seru kepada Allah
atas pertunjuk aku dan yang mengikut ia akan daku.``
Maka murad dengan jalan Nabi salla Allah `alayhi wa sallam
itu `Jalan Ubudiyyah, tetapi tiada tahqiq `ubudiyyah itu hingga terpakai seorang
itu dengan tauhid yang hakiki dan ternafi daripadanya segala bagai syirik yang jaliyy dan khafiyy.
Pentingnya ilmu tauhid, maka ianya menjadi pendekatan
karangan Syed Abdul Rahman dengan Ma`arij al-Lahfan menjadikannya berbeza dari
pendekatan tariqat biasa yang bergerak dari syariat, tariqat, hakikat dan
ma`rifat. Adapun pendekatan bagi Syed Muhammad ialah. Tauhid membawa kepada
Ma`rifat membawa kepada tariqat dan haqiqat, tetapi pendekatan yang diambil Syed
Abdul Rahman (Tukku Paluh): Pendekatannya bermula dari:
1) Jalan
Tauhid
2) Jalan
Ma`rifat
3) Jalan
Tariqat
4) Jalan
Haqiqat
(Shafie Abu Bakar, Peranan Ulama … Pengajaran Tasawuf Syed
Abdul Rahman, Kitab Ma`arij al-Lahfan, Masyarakat Melayu Abad Ke 19, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991: 195).
Menurut Syed Abdul Rahman ketinggian ma`rifat tidak dapat
dicapai tanpa melalui wasilah tauhid, katanya,
``Ketahui olehmu hai orang yang memandang ia bagi mengambil
akan segala cahaya ma`rifat dan yang rindu ia akan minuman mukashafah akan
bahawa segala ilmu itu dan jika terpancar ia segala baginya sekalipun maka
kemuliaannya itu mengikut ia bagi kemuliaan tempat bergantungnya dan tiada ada daripada satu ilmu itu
melainkan ia wasilah kepada ilmu tauhid yang ia terlebih mulia daripada segala
ilmu, kerana barang yang ada padanya itu daripada membicarakan daripada Dhat
Yang Suci.``
Kata Syed Abdul Rahman menegaskan tentang ilmu tauhid:
``Maka tatkala adalah
umbi ilmu tauhid itu dinyatakan dia atas meithbatkan wujud yang Haqiqi bagi Haqq Ta`ala supaya
ternafi wujud yang majazi dan supaya sifat ketuhanan itu terhenti ia atasNya
nescaya jama`lah segala mutallimin pada
mendahulukan mabhas wujud kerana tawaqquf oleh yang lain. Kata Syed Muhammad,
``Bermula maksud
daripada ilmu tauhid pada kemudian
daripada mengikut akan suruh Allah itu iaitu bahawa bersifat hamba itu dengan
sifat ubudiyyah dan menjunjung ia akan Haq Rububiyyah.`` Firman Allah
bermaksud:
``Tidaklah aku menjadikan hamba, melainkan untuk menyembah
.`` (Al-Dhariyat, 51: 56)
Ditegaskan bahawa, ``Martabat Uluhiyyah lebih mulia daripada
Martabat Ubudiyyah.`` Tentang tauhid lagi kata Syed Abdul Rahman.
``Maka telah muwafakat perkataan sufiyyin atas bahawa
sesungguhnya murad dengan tauhid yang haqiqi itu kinayah daripada hilang
zulumat, waham dan shakk pada hati tatkala datang quwwat yakinnya dengan wujud
Allah dan berdiri Sultan al-Wahdaniyyah pada papan hati yang diserupa akandia dengan istana Allah.
Dilihat kepada pendekatan Syed Abdul Rahman sungguhpun dia
membicarakan ilmu tauhid, tetapi bukan pendekatan tauhid perse seperti bertolak
dari hukum akal, tentang wajib, mustahil dan harus serta sifat wajib, harus dan
mustahil serta dalil-dalil, tetapi elemen tauhid dibicarakan secara intuisi
ketasawufan. Tidak bersifat seturut dan kronologi. Contoh petikan berikut:
``Ketahui olehmu hai orang yang berkehendak ia akan
kemenangan daripada Allah dengan tauhid dan ma`rifat akan bahawa
sesungguhnya pengambilan segala ulama
pada menguraikan ilmu tauhid itu berbagai-bagai ia, tetapi tatkala adalah emas
itu diambil akan dia daripada tempat galiannya, demikianlah ilmu tauhid itu
diambil akan dia daripada galiannya, iaitu kalimah Lailaha illa Allah, maka
meilhamkan oleh Allah Ta`ala bagi hambanya yang faqir dengan membukakan
perbendaharaanNya.
Jelas dalam pembicaraan selanjutnya tentang pendekatan
tauhid memperlihatkan ke dalaman ilmu Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad
bahawa dia adalah seorang sufi yang menghayati ilmu ladunni.
Sekian.
No comments:
Post a Comment