October 4, 2013

Perubatan Pada Pengajian Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah


BBB, 27 Zulkaedah 1434 = 3 Oktober 2013 (Khamis):

Ternyata pada pengajian tradisi juga ada pengajian perubatan, walaupun tidak ada kitab-kitab secara formal sebagaimana kitab usuluddin, fiqh dan tasawuf. Sebaliknya tercatat sebagai risalah-risalah yang kebanyakannya dalam saiz yang kecil. Untuk mengatakan ianya secara kebetulan kewujudan risalah-risalah perubatan tidaklah tepat, kerana kewujudannya agak banyak. Kebanyakannya merupakan kaedah amalan perubatan tempatan. Bermaksud bukan bersumber dari luar seperti usuluddin, fiqh dan tasawuf. Kecuali ayat al-Qur`an digunakan bagi tujuan perubatan dan perlindungan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, Yasin dan sebagainya serta doa-doa. Ada juga perubatan dengan menulis ayat Qur`an pada mangkuk putih dan masukkan air bagi diminum untuk elak dari gangguan makhluk halus dan sebagainya.
Di bawah petikan untuk tulisan ini lebih ditumpukan kepada perubatan amali berasaskan bahan-bahan tempatan, khususnya tumbuh-tumbuhan.

Bahan Tempatan

Penggunaan bahan perubatan biasanya bersumberkan tumbuh-tumbuhan yang khasiatnya diketahui sehingga hari ini.

INGATAN

(Tulisan ini lebih bersifat WARISAN dan DOKUMENTASI). Pembaca dinasihatkan jangan mengamal dan menggunakan resepi tanpa kajian dan ujian.

Ubat Lelah:

Maka ambil air secupak dan air ibu kunyit secupak, kemudian masak biar tinggal tiga leng, maka minumlah hingga habis. Maka buat pula ubat makan, maka ambil kapur barus dan halmak dan gaharu dan akar jelaka dan bawang kedua, maka sekalian itu buat serbuk, kemudian masuk air madu dijadikan ma`jun, maka makan dengan air hangat. Afiyat Ilahi.

Sebagai pula ubat lelah, maka ambil sirih pinang, maka ikat dengan bapan  tujuh warna, makan bubuh pada pipis limau nipis, maka mintalah ubat lelah, maka ambil daunnya tujuh helai, kemudian makan dengan sirih pinang. Diikuti dengan doa.

Ubat Sakit Kepala Menawan

Ambil bawang merah, jintan hitam, halia butir, selasih butir, maman, cekur jeringai – sekalian itu giling lumat, tak ada syirki, halus-halus – bungkus dengan kain, maka hidukan pagi-pagi dan petang-petang dan berdoa pada waktu makan dan waktu hendak tidur.

Ubat Buasir

Ambil daun bunga melur, daun susun kelap, daun jambu penawar, maka risis sekalian itu, maka basahkan pada duburnya, sebagai lagi buasir ambil daun pegaga gajah (?) dan daun restum marabiah (?) dan jitam hitam, secawan telur, maka rebuhnya (rebus), setelah sejuk, maka jaramlah pada duburnya – Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat buasir ambil akar barut urat dan akar kucim (misai kucing?) dan mata kamisam, maka asah dengan air malam, maka jemur ke barut – Insya Allah Ta`ala.

Ubat Restung (Resdung ?)

Atau berairkan darat, maka ambil cendana putih dan cendana hitam, buah pala, maka asah dengan air, maka minum tiga pagi dan pantangnya, jangan makan perah – Insya Allah.

Sebagai lagi ubat restung, maka ambil cendana, cengkih buah pala, asah keduanya dengan air didih, maka minum tiga pagi – Insya Allah Ta`ala.
Sebagai ubat restung kerang lihirnya  atau sakit dadanya atau hatinya, maka ambil kulit limau purut dan garam dan air madu sama banyak, maka minum insya Allah Ta`ala.

Sebagai  lagi ubat restung kerang lihirnya atau sakit dadanya atau hulu hatinya, maka ambil kulit limau purut dan garam dan halia dan bawang putih dan didana (adun ?) cuka, maka sekelian itu giling lumat-lumat. Setelah sudah maka telan. Insya Allah Ta`ala..

Sebagai lagi ubat restung angin, ngilu kepalanya, gatal matanya dan hidungnya, maka ambil daun ara dan akar asam jawa dan buah pala dan sirih dan biji sawi dan temu kanji dan bunglai dan lada sulah dan minyak sapi dan kapur barus perbuat minum tiga pagi- Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat restung angin ngilu kepalanya atau gatal mukanya dan hidungnya dan matanya, maka ambil daun halia dan akar asam jawa dan butal (butir ?) benalu hijau dan bawang kedua dan kapur barus dan biji sawi dan bonglai dan lada sulah, maka rebuh (rebus) semuanya, maka minum tiga pagi – Insya Allaj Ta`ala.

Sebagai ubat restung angin ngilu kepalanya atau gatal mukanya dan hidungnya dan matanya, maka ambil daun halia dan akar asam jawa dan butir bena hijau dan bawang keduanya dan kapur barus dan biji sawi dan bunglai dan lada sulah, maka rebus semuanya, maka minum tiga pagi. Insya Allah Ta`ala.

Tiada Boleh Ke Sungai (Sembelit)

Bab pada menyatakan ubat tiada boleh ke sungai senang, maka ambil daun peria katak dan biji jagung, maka giling lumat-lumat hancurkan dengan cuka, maka boleh pada hari-harinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air  seni, ambil tanah sarang angkut dan bawang putih selabu dan air cuka, maka giling lumat-lumat, maka comorkan pada arinya. Inna Allah `ala kulli shayin qadir.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air seni, maka ambil tanah ditengah dapur, maka tuntung, maka pipis lumat-lumat airnya santan, maka asah buat kedaki, maka tampalkan pada hari-harinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi tiada boleh buang air seni atau tahi keras tiada maunya keluar, maka ambil jemuja  kharsani dan jemuja jawa dan jitam hitam dan buah pala jingku (ciku ?) dan  pucuk dan manjakani dan hujung matub, maka pipis semuanya, maka ambil santan bersebiji, maka ramas, jangan buih air, ambil patinya, maka campurkan segala rempah itu, maka makanlah. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air, maka ambil garam dengan daun mengkudu hiris giling, maka angkatkan pada apa, maka masukkan ke dalam  boleh, maka tiupkan ke dalam duburnya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh kumah, maka ambil daun jemuja kharsani dan biji sawi pipis lumat-lumat, maka bacuh dengan cuka, maka comorkan pada ari-arinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ari-ari bengkak, maka ambil daun  seruni laut selakam hirah dan manjakini, ciku sedu ayah sediakala pucuk, maka pipis lumat, tapis ambil airnya menyalim ampasnya pupukkan pada ari-arinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat kencingkan darah, ambil jintan hitam maka rendam pudi lumat-lumat, maka campurkan dengan sakar sama bahagi, maka digelek dengan minyak sapi kemudian tali besar buah bidara  tiga butir sepakai dan pantang tujuh hari. Insya Allah Ta`ala  sebagai ubat kumah putih ambil lada dan jemuja jawa dan biji sawi, maka pipis lumat-lumat pudi dengan juga  comorkan pada ari-ari. Insya Allah ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh kencing, maka ambil daun peria dan lenga pipis lumat-lumat, maka gosokkan pada ari-arinya dan saubnya. Insya Allah.

Sebagai lagi ubat air lender atau darah, maka ambil jekeling tiga biji dan kedaki tiga biji, maka rendam menanti lembut, maka pipis lumat-lumat, maka bubuh air bermalam, minumlah. Insya Allah Ta`ala atau medu atau

Bab ini  Suatu Bab Pada Menyatakan Ubat Segala Penyakit

Dan sekalian penyakit itu daripada angin serhabut yakni merah seperti hati dan setengah daripadanya penyakit angin atau resnang atau buasir atau semelit atau senak atau sebak atau menyocok atau manikam-manikam dalam perut, sakit atau sengal atau lumpuh atau barah atau mati kaki tangan atau barang sebagainya, maka inilah ubatnya kita makan pertama ambil lada sulah berat sepeha (1/4 tahil) dan jabir tengah tahil dan pati halia setahil dan kejelaga  dua tahil dan lakar hutan empat tahil dan bawang putih tujuh labu dan akar kanjang kara sepeha dan bawang merah tiga labu dan ubi cina tiga tahil dan jintan hitam sepeha dan jemuja kharsani dua mas dan cengkih dua mas dan buah pala tiga buah dan pulut hitam secawan kahwa dan  adas manis secawan dan adas pedas secawan dan kemukus secawan dan jintan putih secawan dan halia secawan dan kanja barang patutnya dan opiun yang baik barang patutnya, maka sekalian itu pipis lumat-lumat, maka surat  itu ini pada pinggan putih:
An am as as ah 3 la

Ayat Qur`an (al-Isra`, 17: 82)

(Bermaksud: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada ayat al-Qur`an apa yang menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman)
Maka bubuh air madu barang patut pada pinggan putih itu dan bubuh minyak sapi pada kuali masakkan sekadar jadi ma`jun, maka makanlah sebesar buah bidara, makan pagi sebutir petang sebutir. Insya Allah Ta`ala.

Petikan di atas adalah sebahagian kecil daripada banyak lagi kaedah-kaedah mencari penawar, mengubat, merawat yang dipelajari di Pengajian Shaykh Abdul Malik. Pengaji-pengaji menumpukan pada pengajian utama, iaitu bidang-bidang agama, tetapi dibekalkan juga terutama bagi yang meminati dengan ilmu dan kaedah perubatan. Mereka yang keluar bukan saja memimpin dalam bidang keilmuan agama, tetapi mampu mengubat orang yang sakit. Mereka mungkin jadi guru dan juga bomoh (istilah tukang berubat pada zaman tradisi).

Penulis memang berhasrat menerbitkan bahan-bahan pengajian di Pengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah dan lanjutannya dan telah mendapat lesen penerbitan sejak
5 September 2013 atas nama Galeri Bangi Bandar Ilmu dengan no. Daftar 002253102-V dengan identiti Penerbit ISBN:978-967-12136 dengan Kategori Penerbit: Penerbit Syarikat Swasta PNM 24-3 Jld. 48 (76).

Sekian.

No comments:

Post a Comment