BBB, 20 Zulhijjah 1434 = 25 Oktober 2013 (Juma`at)
Firman Allah bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepada-Nya semata-mata. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa, jika salah seorang dari keduanya
atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan `ah`, dan janganlah engkau menengking menyergah
mereka, tapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(Al-Isra`, 17:23).
********
Demikianlah dalam kehidupan, kita sering berdoa kepada Allah
agar diberi kesihatan, umur panjang, murah rezeki dan selamat dunia akhirat.
Tapi umar panjang ada dilemmanya dan mungkin nyanyuk. Jika demikian mungkin
menyusahkan keluarga untuk menjaga, apa lagi jika sering sakit. Tapi bagi anak
yang salih, inilah masa ujian bagi anak untuk berbakti kepada ibu bapa atau
salah seorang daripada mereka, ketika tua.
Demikian seorang jiran kami terkenal mengambil berat menjaga
orang tuanya yang kerana prihatinnya ibu mertuanya lebih suka untuk tinggal
bersama anak-menantunya ini daripada anak-anak yang lain. Kemahuannya dilayan,
jika mau pulang ke kampong, maka diikut sama pulang dan kemudian sama datang.
Masalah yang dihadapi ibu mertua yang menjangkau umur 80an ini sudah mulai
nyanyuk. Yang melucukan sering kali biarpun
baru makan, dikatakan belum makan. Aduan dibuat kepada anak lelakinya bila
pulang dari kerja, mengatakan ia belum makan biarpun baru makan. Namun anaknya
memahami kedaan ibunya yang telah nyanyuk. Beliau tidak memarahinya, sebaliknya
tersenyum dan ikut kemahuannya jika dia mampu makan lagi, sambil menemaninya.
Kesukaan ibu ini ialah mengajak menantunya makan pagi di
warung di kawasan pasar tidak jauh dari rumah. Untuk menggembirakan hati ibu
mertua, menantunya sekali-sekala menurut kemahuan ibu mertuanya pergi makan
bersama dan jika hari tak sekolah sama diiring cucu-cucu, suatu yang
menggembirakannya, walaupun makan di warung tidak begitu disukai menantu.
Pada satu pagi, isteriku yang ke pasar membeli keperluan
dapur ketawa bila bersua dengan jiran sekeluarga makan di warung pasar sedang
jiran itu mengambil gambar ibunya sedang makan. Isteriku menegur,
``Ai, bergambar masa makan !`` macam pelancung ?
Dengan ketawa dia mendekati isteriku dan berbisik kepadanya,
``Untuk tunjuk padanya bukti sudah makan !`` Bila ibu mertuanya mendakwa belum
makan !
Isteriku yang memang sudah tahu keadaan, ``Turut ketawa``
sambil bersalam dengan mertua jiran dan bertanya khabar tentang kesihatannya.
Dia lalu mengajak isteriku makan bersama dan berkata, ``Mari makan bersama,
lapar, saya masih belum makan !`` walaupun sebenarnya dia sudah makan.
Nyanyuknya menyebabkan isteri dan menantunya ketawa simpati,
sambil isteriku berkata, ``Perkara biasa yang dialami yang berumur – termasuk
atuk perempuan saya semasa arwah hidup. Begitulah nyanyuknya, sudah makan
dikatakan belum makan !``
Keadaan yang dialami ibu mertua jiran itu, tidaklah
menyusahkan jiran tersebut, sebaliknya menceriakan mereka sekeluarga.
Menyebut tentang golongan usia emas seperti ini, Penulis
pernah menyebut, pada masa Penulis menjadi Wakil Rakyat pernah melawat ibu
tertua di Kampung Bahagia Bangi yang
mencecah umur 100 tahun, tapi yang mengkagumkan Penulis, warga emas ini
masih mengenali suara orang yang pernah datang menziarahinya dan menyebut namanya
yang membuktikan dia tidak lupa dan tidak nyanyuk.
Bila ditanya kepada anak setia yang menjaganya dan
diberitahu juga oleh jiran-jirannya bahawa ibu warga emas ini tidak lekang dari
membaca dan menghafal al-Qur`an. Al-hamdulillah dia dikurniai Allah tidak nyanyuk
hingga ke akhir hayat. Jadi membaca dan menghafal Al-Qur`an adalah boleh menerangkan
hati dan tarapi diri dari lupa dan nyanyuk !
Firman Allah bermaksud:
Mereka melupakan Allah dan Allah juga melupakannya
(al-Taubah, 9: 67).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Allahlah sebaik-baik Penjaga (Pemelihara) dan Dia Terlebih
Bersifat Rahmat dari yang segala yang bersifat rahmat (Yusuf, 12: 64).
Sekian.
No comments:
Post a Comment