November 30, 2017

DATO` DR. HARON DIN DALAM DAKWAH DAN POLITIK


BBB, 08 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 27 November 2017M. (Rabu):
Terdapat kertas-kertas tambahan bagi  pembentangan selari –  kertas kerja selepas sidang keenam yang dibentangkan oleh Ustaz Misbahul Munir Masduqi. Penulis hanya memilih dua daripada kertas kerja-kertas kerja berkenaan yang ada hubungan dengan Dato` Dr Harun Din. Kertas pertama berjudul:
Ketokohan Dato` Dr. Haron Din Dalam Bidang Dakwah dan Politik: Satu Kajian.
Oleh. Asyiqin Ab. Halim
Tidak banyak yang dapat diperkatakan oleh pembentang oleh kerana masa yang diberi amat terhad.Penulis juga tidak akan mengulangi fakta-fakta yang telah dibentang  oleh pembentang-pembentang sebelumnya, sebaliknya menurunkan fakta-fakta baru yang tidak disebut sebelumnya dan meambah di mana yang patut.
Selepas kembali ke tanahair Dato` Dr. Haron Din bertugas sebagai guru di bawah Kementerian Pelajaran bermula di Melaka, kemudian bertukar ke Pulau Pinang. Menurut Asyiqin semasa di Pulau Pinang  Dato` Dr. Haron Din berkhidmat di Sekolah Abdullah Munshi. Semasa di sinilah dia ditawar menjadi tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Islam,  UKM (1975).
Mulai 1977 dinaikkan pangkat kepada profesor Madya dan pada 1986 menjadi profesor.
Kegiatan dakwah Dato` Dr. Haron Din adalah bermula di Pulau Pinang dengan menyampaikan tazkirah-tazkirah di dalam majlis-majlis ilmu.
Kegiatan dakwah dipertingkatkan semasa di UKM di surau, masjid, foram, ceramah antaranya melalui media letronik
Selain dari pengajaran, beliau juga menghasilkan penulisan-penulisan.
Berhubung dengan keterlibatannya di dalam politik, bahawa semasa Dato` Seri Anwar ditangkap, beliau telah dikaitkan bersama dalam gerakan reformasi.
Berhubung dengan perkara ini, Dato` Dr. Haron Din pernah diwawancara oleh Mingguan Malaysia, Ahad 11 Oktober 1998 dan Majalah Massa 14 November 1998. Dato` Dr. Haron Din menafikan, antaranya dengan ungkapan,
``Saya bukan penggerak reformasi``. (Mingguan Malaysia, Ahad, 11 Oktober 1998).
Namun dia menyatakan pendiriannya:
``Namun saya mengakui bahawa saya ada bersemuka dengan Anwar apabila beliau memanggil saya dan bertemu di satu tempat di Kuala Lumpur (bukan di kediaman Anwar) sebelum beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pertemuan itu berlaku pada 27 Ogos yang lalu sebelum saya berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah.``(Mingguan Malaysia, Ahad, 11 Oktober 1998).
Adalah difahami dari suasana, bahawa Dato` Dr. Haron Din bersimpati dengan Anwar dan mengaku menasihati Anwar supaya tidak bersumpah dengan cara menjunjung Al-Qur`an.``
Dato` Dr. Haron menegaskan mengenai isu yang berlaku, bahawa katanya, ``Saya memihak kepada yang benar.`` (Mingguan Malaysia, Ahad, 25 Oktober 1998).
Ketika ditanya oleh pihak Majalah Tamadun Mac, 1999 berhubung dengan tindakan mahathir membuat berbagai tuduhan, bahkan memecat Anwar dari jawatan Perdana Menteri, Dato` Dr. Haron Din menjawab, ``Tindakan Dr. Mhathir sekaligus mengetepikan Anwar daripada semua jabatan kerajaan termasuk pemecatan ahli Umno merupakan satu perkara bagi kebanyakan orang ramai memeranjatkan, tetapi bagi setengah orang sudah dapat mereka menelah atau mengagak hal seperti ini mungkin berlaku.`` (Tamadun Mac, 1999).
Dato` Dr. Haron Din adalah mengkritik Mahathir yang telah membawa kemelut politik di Malaysia yang mengakibatkan masyarakat berada di dalam kegawatan dan tidak tenteram. (Detik, 15 Mei, 1999).
Akibat dari kegawatan berkenaan pada pilihanraya 1999 itu pemerintah (BN) kehilangan banyak kerusi).
Dalam politik Dato` Dr. Haron Din tidak mau merebut jawatan di dalam parti dan tidak mau mecalonkan diri bagi mana-mana jawatan di dalam parti. Misalnya dalam pemilihan kepimpinan parti Pas pada tahun 2003 Dato` Dr. Haron Din telah dicalonkan bagi kerusi Timbalan Presiden, namun beliau menarik diri beberapa jam sebelum undi dilakukan. Namun Presiden Parti Dato` Seri Abdul Hadi Awang amat mengharapkan beliau berada di dalam jawatankuasa pusat parti, lantaran itu Dato` Seri Abdul Hadi Awang melantiknya menjadi  Ketua Penerangan Parti yang membolehkannya berada di dalam Dewan Harian yang membuat polisi parti dan selepas itu pada bulan Ogos tahun berkenaan beliau dilantik menjadi Timbalan Murshidul Am Parti dan seterusnya menjadi Murshidul Am selepas meninggalnya Dato Seri Nik Abdul Aziz (12 Februari 2015).
Pas menganggap Dato`Dr. Haron Din sebagai seorang yang moderate (pertengahan-sederhana) antara Dato` Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap keras dan  Hassan Shukri yang menjadi Timbalan Presiden yang dianggap lembut.
Sebagaimana  matlamat di dalam Pas mau menegakkan Negara Islam, demikian juga pendirian Dato` Dr Haron Din. Di Kangar  semasa beliau menjadi Ketua Penerangan Pas Pusat beliau  pernah menempelak terhadap mereka yang menolak negara Islam dengan mengatakan, ``Jangan cari alasan menolak Negara Islam (Harakah 16-31 Januari 2004).
Di dalam hal ini beliau telah mengadakan dialog antara Pas dengan bukan Islam mengenai dokumen Negara Islam di Selangor dan mendapat sambutan hebat. Bahkan di dalam pertemuan itu beliau telah merawat seorang pesakit India. (Fikrah, Harakah, 16-31 Januari 2004).
Pegangan politik Dato` Dr. Haron Din adalah secara istiqamah berasaskan Islam  bidang.

Sekian.

November 29, 2017

DATO` DR. HARON DIN: DAKWAH DAN PEMBANGUNAN PUSAT DAKWAH SERANTAU


BBB,  09 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 28 November 2017M. (Selasa):
Semasa Penulis menjadi ADUN Bangi (2008-2013), Penulis pernah dijemput menghadiri majlis perasmian dan kegiatan bagi mengisi dana Pusat Dakwah Serantau. Pusat berkenaan ialah di bangunan yang pernah seketika dulu menjadi Pusat Kegiatan Pas Hulu Langat, iaitu bertempat di Sungai Merab (tidak jauh dari jejambat ke Kampung Abu Bakar Baginda dan ke Sungai Merab Dalam). Pusat Dakwah Serantau ini ditubuh oleh Yayasan Amal Malaysia sekitar (2012). Yayasan Amal Malaysia ialah sebuah NGO di bawah sayap PAS. Kelihatan pada peringkat permulaan ini  Yayasan masih serba kekurangan.
Menurut Ustaz Misbahul Munir Masduki yang menyampaikan pembentangan keenam berjudul:



``Sumbangan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dalam bidang dakwah dan peranannya dalam pembangunan Pusat Dakwah Serantau``,
Bahawa Pusat Dakwah Serantau yang bertempat  di Sungai Merab ini bermula dengan 15 orang pelajar di bawah pimpinan bekas seorang pesara guru  dengan beberapa tenaga penggerak yang lain.
Tujuan Yayasan Dakwah Serantau tidak lain dari meluaskan dakwah Islam ke rantau ini, khususnya ke Sabah dan Sarawak, Dakwah ke tempat ini antaranya bagi melanjutkan kerja-kerja dakwah yang telah dilakukan oleh Tun Mustafa melalui badan dakwah yang dinamakan USIA yang banyak mengislamkan penduduk di Sabah dan jika di Sarawak ialah kegiatan yang dilakukan oleh Tun Abdul Rahman Ya`kob di bawah badan dakwah yang dinamakan BINA yang juga banyak mengislamkan penduduk di Sarawak. Kini 58% penduduk di Sabah beragama Islam. Manakala di Sarawak masih rendah, iaitu sekadar 30%  sahaja beragama Islam. Di samping tumpuan kedua-dua tempat ini, tentulah tujuan berdakwah ke seluruh kawasan di rantau ini hatta keluar dari Malaysia seperti ke Filipina, Kamboja dan sebagainya.
Untuk mendapat tenaga penggerak yang berwibawa dan berpengaruh pihak ahli jawatankuasa perlu mendapat seorang pimpinan  yang benar-benar tokoh dan berpengaruh di dalam bidang dakwah. Kepimpinan di dalam Badan Dakwah Serantau  berpendapat tokoh berkenaan tidak lain dari Tuan Guru Dato` Dr.  Haron Din. Kata Ustaz Misbahul Munir ,
``Dato` Dr. Haron Din adalah seorang `ulama` haraki` yang bergerak di tengah-tengah masyarakat. Dengan susuk tubuh dan pembawaannya yang tenang, luas ilmunya  dan pemurah dia diktiraf sebagai ulama` murabbi yang pengajaran dan kuliahnya mendapat perhatian masyarakat dan dia adalah watak  dan shakhsiah  yang benar-benar layak sebagai pendakwah. Lantaran itu Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din didekatai oleh jawatankuasa memohon Dato` Dr. Haron Din terlibat, bahkan memimpin  Pusat Dakwah Serantau. Al-Hamdulillah Tuan Guru menerima tawaran tersebut. Beliau adalah Pengerusi bagi Pusat Dakwah Serantau sejak 2014. Penerimaan ini adalah bersesuaian dengan sifatnya  sebagai murabbi dan pendakwah ummah. Kerja-kerja ini memang telah dan sedang beliau lakukan. Penerimaan tugas dakwah secara berorganisasi ini adalah lebih memberi impak dan kesan yang baik. Ia adalah kesinambungan dari berbagai-bagai kerja dakwah yang telah dilakukan.  Apakah yang lebih baik bagi dirinya  menumpukan diri dengan kerja-kerja dakwah ? Firman Allah bermaksud:
``Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada orang orang yang menyeru (berdakwah) kepada Allah  dan  beramal salih seraya  berkata, sesungguhnya aku dari kalangan orang muslimin.`` (Fussilat: 33).
Sejak menerima tugas (2014). antara peranan yang dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din ialah membangunkan fizikal Pusat Dakwah Serantau yang telah mendapat tapak tetapnya di Labuhan Dagang, Kuala Langat seluas 13 ekar. Kos pembangunan bagi pusat ini ialah RM26 juta. Prioriti yang paling utama bagi beliau ialah mendirikan masjid sebagai pusat dakwah di tapak Pusat Dakwah serantau tersebut. Keutamaan membina masjid ini  begitu diberi penekanan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, lantaran menurut Tuan Guru, ``Bila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, perkara yang paling utama dilakukan oleh Baginda ialah membina Masjid Madinah yang dikenali sebagai Masjid Nabawai. Masjid menjadi tempat ibadah, pengajaran, pentadbiran dan berbagai-bagai kegiatan.
Pada majlis pecah tanah dana dihimpunkan. Dari pengaruh Tuan Guru,  kewangan didapati sebagaimana disebut oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki:
Derma spontan     RM300,000
Janji pinjaman       RM3 juta
Wakaf Selangor    RM1.9 juta.
Dengan dana sebanyak ini dan tambahan membolehkan Pusat Dakwah Serantau memulakan pembinaan.
Kini di samping mendirikan masjid, Blok A untuk pentadbiran adalah hampir siap. Walau bagaimana kegiatan Pusat Dakwah Serantau ini masih beroperasi dari tempat lama di Sungai Merab. Tiada kelengkapan yang melayakkan untuk berpindah. Bagi menyiapkan berbagai  pembangunan yang dirancangkan tentulah memerlukan dana, khususnya sejumlah RM26 juta yang dicadangkan itu.
Sementara itu, selepas tiga tahun Pusat Dakwah Serantau di bawah pimpinan Dato` Dr. Haron Din hingga 2017 menurut  Ustaz Misbahul Munir ribuan pelajar telah dilatih. Terdapat 150 da`i  yang berdakwah di Sabah dan Sarawak. Sehingga 2017 sebanyak 20 surau dan masjid telah dibina di Sabah dan Sarawak. Sebuah daripadanya sumbangan Dar al-Shifa yang dikenali dengan  Surau Al-Marhum Tuan Guru.
Kita bersyukur kepada Allah dan menghormati Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang telah menumpukan seluruh umurnya mendalami keilmuan Islam dan menyebarkannya, keterlibatanmya  di dalam bidang kebajikan dan dakwah serta istiqamah di atas perjuangan yang berlandaskan Islam. Beliau begitu banyak  mencurahkan tenaga, minda, rohani dan kewangan – begitu pemurah dan dermawan. Beliau telah meletakkan asas untuk dijejaki dan diikuti. Kita berharap pelajar-pelajarnya yang begitu ramai dan sesiapa saja dapat meneruskan jejak perjuangan keislamannya bagi meletakkan Islam dan bidang-bidangnya  pada tempatnya sebagaimana yang diperjuangkan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din..
Menurut Ustaz Misbahul Munir, ibarat patah tumbuh hilang berganti. Diharap legasi Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din diteruskan oleh pengganti dan mereka yang menurut jejak langkah  perjuangannya yang suci itu.

Sekian.

November 28, 2017

DATO` DR. HARON DIN - PANDANGAN SEORANG ANAK - DR. HUDA


BBB, 08 Rabi`l-Awwal 1439H. = 27 November 2017M. (Isnin):
Pembentangan kelima  disampaikan oleh Dr. Huda bt. Haron Din, anak sulung bagi Dato` Dr. Haron Din yang ibunya bernama Datin Khadijah Saleh. Dr. Huda merupakan anak sulung bagi pasangan keluarga bahagian Dato` Dr. Haron Din. Mereka mempunyai  lima orang anak[u1]  (kini 12 cucu)– dua lelaki dan tiga perempuan yang secara seturutnya ialah Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana. Dato` Dr. Haron Din memilih nama-nama bagi anak-anak mereka secara ringkas, indah maknanya dan mudah dipanggil. Anak-anak Dr. Haron Din sebagaimana keluarganya  yang lain adalah terdidik di dalam keluarga beragama dan hidup dalam suasana beragama.


Dr. Huda yang bersekolah Ma`had Hamidiah, Kajang dan seterusnya ke USM dan lulus dalam bidang perubatan itu menyampaikan pembentangan secara tayangan video dan bercakap secara ringkas pada permulaan. Dato` Dr. Haron Din menurut Dr. Huda seorang yang amat kasih terhadap keluarganya sebagaimana ia kasih terhadap bapanya Haji Din dan ibunya Hajah Che Teh bt. Haji Wan Nik (mereka berasal dari Patani)  dan amat prihatin terhadap keluarga besar – bermaksud terhadap adik beradik dan anak-anak mereka. Kebajikan mereka dijaga. Kasih sayang juga berlaku terhadap sahabat-sahabat beliau, sehingga sanggup memohon keluar dari IJN – cuti sekejap bagi menziarah kawan yang juga sedang sakit, antaranya menziarah Ustaz `Uthman Khalid kawan beliau sejak di Kolej Islam dan di Mesir dan kemudian berkhidmat di satu fakulti – Fakulti Islam, UKM.

Meurut Dr. Huda semasa ayahnya  berkhidmat dengan UKM, dia amat komited dengan tugasnya membangun Jabatan Shari`ah dan Fakulti dan dalam masa yang sama bergiat berdakwah sama ada setempat melalui surau dan masjid dan juga di luar kawasan – ke negeri-negeri, bahkan ke luar negara. Di dalam masa yang sama membangunkan Dar al-Shifa`berhampiran rumah dan bergerak ke cawangan-cawangan. Begitu juga dia bergerak di dalam parti.
Bebanan kerja yang baginya tidak merasa terbeban menyebabkan kesihatannya terganggu.  Melalui ujian di Hospital Besar, Kuala Lumpur, sebelum adanya Institut Jantung Negara, mulai dapat dikesan masalah  jantungnya sejak 1987. Ikhtiar berubat dilakukan di hospital tempatan dan pernah berubat ke Australia, sebelum ke Amerika.
Walaupun menyedari dirinya mempunyai  masalah jantung, tidak mengganggunya tugasnya di UKM apa lagi setahun sebelum daripada itu  beliau dilantik ke jawatan Profesor  (1986) di Jabatan Shari`ah di Fakulti Islam. Bahkan dengan kedudukannya dan sifat mesra dan disenangi berbagai pihak, beliau dipercayai, walaupun berfaham politik yang tidak selari dengan kerajaan Pusat yang memerintah,  beliau makin  diberi tugas sebagai Penasihat Shar`i  ke berbagai-bagai bank dan menjadi AJK fatwa bagi beberapa negeri. Dalam masa meneruskan khidmatnya ada kalanya beliau terpaksa dimasukkan ke IJN. Sebagai tokoh yang dihormati dan disegani,  semasa dihospital beliau diziarah berbagai tokoh, termasuk beberapa Perdana Menteri dari  Tun  Mahathir Mohammad hinggalah ke Dato` Seri Najib Tun Razak.
Di luar dari tugas-tugas formal  Dato` Dr. Haron Din meluangkan masa dan memberi perhatian pada keluarganya. Dato` Dr. Haron Din sering mengadakan mesyuarat kekeluargaan bagi mengambil keputusan yang melibatkan keluarga. Tiap orang diberi peluang mengeluarkan pendapat.  Keputusan-keputusan yang diambil memberi puashati di kalangan keluarga.
Antara keputusan yang diambil seperti menubuhkan `Tabung Birr al-Walidayni` = Tabung Kebajikan Dua Ibu Bapa` untuk kebajikan keluarga. Melalui tabung ini diisi dengan dana bagi kegunaan keluarga. Dan  daripada dana ini pernah diberi pinjam sebanyak RM satu juta kepada Masjid Al-Umm (telah dilunaskan. Dana ini digunakan bagi berbagai tujuan bagi kepentingan keluarga.
Bagi merapatkan hubungan keluarga sebagaimana telah disebutkan oleh Dato` Seri Hassan Din, adik beliau, bahawa Dato` Dr. Haron Din sengaja menetapkan hari himpunan seluruh keluarga besarnya pada hariraya kedua setiap `Idul Fitri yang pada asalnya diadakan di Perlis dan selepas ketiadaan ibu bapa mereka, perhimpunan digilirkan antara Perlis, Bangi dan Kuala Lumpur. Dengan demikian dapat mempereratkan silatul rahim antara keluarga. Dato` Dr. Haron Din yang merupakan ketua bagi keluarga besar pernah membawa keluaga  yang terdiri dari sepuluh adik beradik dan anak-anak mereka melancong dan segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh Dato` Dr. Haron Din.
Sebenarnya walaupun Dato`Dr. Haron Din dikesani sakit jantung sejak 1987, tetapi beliau sentiasa kelihatan bergerak cergas di dalam kegiatan akademiknya di UKM, bergerak berdakwah di berbagai-bagai tempat di dalam negara dan ke luar negara, memberi perhatian terhadap Dar al-Shifa`, khususnya pada setiap pagi Selasa sampai kepada 70 orang pesakit dirawat pada setiap pagi, memberi kuliah di Dar al-Shifa, di Surau Al-Nur dan berbagai tempat yang lain, memberi perhatian terhadap Parti Islam yang beliau pernah menjadi Timbalan dan kemudian Murshidul `Am selepas meninggalnya Dato` Nik Abdul `Aziz (12 Februari 2015). Sesekali beliau dengan sukarela membawa rombongan menunaikan `umrah  khususnya pada bulan Ramadhan yang memang para jama`ah amat bergembira dapat berpeluang pergi bersama rombongannya. Di atas kesebokan ini terdengar berita, beliau terpaksa ke luar negara, khususnya ke California, Amerika kerana merawat  jantungnya. Pemergiannya berkali-kali sedemikian kerana didapati sesuai di sana dan Al-Hamdulillah kesihatannya pulih kembali.
Berita kesakitan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din sampai kepada setengah pihak, khususnya kepada AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang mengatur kehadiran Dato` Seri Azmin `Ali Dato`  Menteri Besar Selangor yang mau menyampaikan cek bagi peruntukan bagi Masjid Al-Umm sebanyak RM4 juta. Maklumat daripada Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bahawa beliau sedia menagguhkan pemergiannya ke Amerika dan menghadiri penyampaian cek berkenaan yang akan diadakan pada hari Jumaat 9 September 2016
Pada tengahari hari Juma`at itu Dato` Dr. Haron Din hadir secara disorong ke dalam Masjid al-Hasanah l
ke tepi tiaang tengah bahagian hadapan Masjid al-Hasanah. Dato` Seri Azman `Ali yang telah tiba bergerak dari saf di hadapan datang menerima kehadiran Dato` Dr. Haron Din dan memeluk dan menciumnya dan duduk bersama bersebelahan dengannya. Selepas solat Jumaat Dato` Dr. Haron Din yang berjubah putih, pakaian biasanya masih mampu berdiri dan tersenyum menerima cek RM4 juta bagi pihak Masjid Al-Umm dan mengucapkan terma kasih. Episod terakhir YAB Dato` Seri Azman Ali dan kami bersamanya ialah ketika makan tengahari di bawah khemah bahagian ruang terbuka Masjid Al-Hasanah. Pada masa itu Dato` Dr. Haron Din masih rancak berbual sambil makan seolah-olah tak perlu risau tentangnya, walaupun sebenarnya dia sedang sakit.
Esoknya kami maklum bahawa Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bertolak ke Amerika, diiringi keluarganya. Kami mengharapkan sebagaimana beberapa kali beliau pergi berubat dan kembali dengan penyakit jantungnya dapat dipulihkan, tetapi sebagaimana dimaklumi pada pagi Jumaat beliau dimasukkan ke hospital di sana dan berita sampai, bahawa kali ini Allah lebih mengasihinya dan menerima berita kematiannya pada hari Jumaat  16 September 2016 (15 September waktu Amerika).
Inna li`l`Lahi wa inna ilayhi raji`un. Al-Fatihah.
Sekian.






 [u1]

November 27, 2017

AL-MARHUM TUAN GURU DATO` DR. HARON DIN DAN DAR AL-SHIFA`


BBB, 07 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 26 November 2017M. (Ahad):
Kertas keempat yang dibentangkan pada pagi Selasa 21 November  2017 dalam Persidangan Antarabangsa – Islam Dan Tokoh,  Dato` Dr. Haron Din ialah:
``AL-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Dan Dar Al-Shifa``.
Pembentangan dilakukan oleh Ustaz Mohd. Apandi Hussian Ketua Lajnah Publisiti Dar al-Shifa`. Beliau menggantikan Dato` Rashid Mat Amin yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Ustaz Mohd. Apandi menyampaikan pembentangaa  bernada sentimental dan intuitif. Menurutnya:


Dar al-Shifa` nama besar, dikenali alam manusia dan jin;  dalam negara dan di luar negara !
Dato` Dr. Haron Din Pengasas Dar al-Shifa` Tuan Guru berwibawa. Nama Dar al-Shifa` adalah nama besar. Ustaz Haron Din sangat dihormati. 40 tahun khidmatnya. Terasa masih ada !
Isteri saya kata, ``Bila datang ke Bangi, terasa dia masih ada; dia keluar membuat rawatan dan masih belum pulang !``
Kata Ustaz Mohd. Apandi,
``Ilmu beliau kita panjangkan dan nasihat beliau kita amalkan.``
Dirinya digerak oleh kasyaf dan naluri dalaman. Ketika berada di hospital (IJN), terdetik dalam jiwanya berkeinginan ziarah teman rapat di dalam keadaan tenat. Tanpa mengira dirinya yang sebenar juga dalam keadaan tenat dengan wayar berselirat pada tubuhnya. Dia minta izin dari Doktor untuk menziarah (Al-Marhum Ustaz Othman Khalid). Lantas dia meminta Salwa (Dr. Salwa  anaknya) mengisi borang minta izin keluar. Keinginannya dipatuhi dan pemergiannya diiringi. Dia menziarah teman rapatrnya bagai orang sihat melihat orang sakit. Dia membawa mesej, ``Seorang pesakit melawat  orang sakit, kunjungan dan senyuman menghilangkan kesakitan !``
Dato` Dr. Haron Din amat meraikan seseorang. Ketika dia terlantar di katil hospital, seorang datang menziarah, dia bangun meraikan kedatangan bagaikan dia tidak sakit. Pada satu peingkat dia membuka bajunya memperlihatkan kepada pengunjung rapat dadanya yang penuh dengan kesan-kesan  jahitan !
Sebagai seorang pendakwah yang sering berceramah. Pernah, tatkala dirasa dirinya sudah sembuh dan dia teringat pada program ceramahnya, dia memohon dari Doktor untuk keluar beberapa masa untuk  menunaikan hajat yang menjemputnya  untuk berceramah. Doktor menasihatinya supaya berihat. Dia menjawab, ``Buat apa nak rihat, Allah beri masa dalam kubur baru kita rihat !``
Dato` Dr. Haron Din mengingatkan bila kita berubat, katanya,
``Jangan harap pada manusia;  manusia miskin, harap hanya kepada Allah.``
``Ustaz Haron Din synonim sebagai ulama` synonim juga dengan Dar al-Shifa`. Menyebutnya  tergambar kaitan antara kedua-duanya.`
Ada orang menyebutnya dia sebagai orang kaya, sebenarnya dia kaya jiwa, bukan kaya harta. Kayanya berada di tangan bukan dihati. Dia pernah menjanji untuk menderma RM satu juta dengan iringan insya Allah.
Bila tiba masanya dia teringat pada sampul-sampul yang dihulurkan kepadanya  yang selama ini belum dibuka, bila dibuka antara sampulnya mengandungi cek  RM satu juta sebagaimana dijanjikan. Dia tidak pernah liat dari menderma, apa lagi jika wang memang sudah ada di tangan.
Dalam pembentangannya, Ustaz  Mohd. Apandi menyinggung tentang pembentangan Penulis, bahawa Dato` Haron Din  memindahkan  jin dan orang bunian ke Bukit Tinggi dengan bas, menurut beliau perkara itu tidak benar. Walau bagaimana perkara ini pernah heboh diperkatakan pada peringkat awal kampus UKM di Bangi digunakan dan Penulis sebagai generasi awal UKM dari kampus jalan Pantai ke Kampus Bangi dan berkhidmat di UKM mengingati dengan jelas akan peristiwa diperkatakan. Perkara ini harus dijadikan bahan penyelidikan tentang kebenaran perkara yang diperkatakan, atau  apakah ia elemen mitos bagi melegendakan watak ? Tapi apa bezanya dengan wujudnya makhluk halus yang  banyak menjadi elemen dalam perubatan Dar al-Shifa` ?
Kata Ustaz Mohd. Apandi, peranan Dar al-Shifa1 amatlah besar. Ia memberi rawatan secara kebajikan.
Bagi yang sakit mengharapkan kesembuhan tapi bagi menyampaikan kepada tujuan tiada  jalan pintas menghalalkan cara yang tidak betul. Sembuh dengan cara yang tidak betul  (maksud berubat)  boleh membawa kepada istidraj dan mungkin antaranya membawa kepada syirik yang mesti dijauhi.
Kaedah  rawatan Dar al-Shifa` bersumberkan Al-Qur`an , Hadith, bacaan seperti ruqyah dan do`a.
Menurut Ustaz Mohd. Apandi, dari segi sejarah Dar al-Shifa` bermula dari tahun 1977  dengan lima pelajar.
Hingga  kepada tempoh  (2016) jumlah pelajar 10,000 orang dengan 96 cawangan.
Terdapat    1,500 perawat dengan 2,700  pesakit (2016).
Bagi tahun 2016 kemasukan pelajar pada tahun itu seramai 1,434 orang dari 12 pusat latihan.
Katanya kita perlu menjaga etika dan amanah Ustaz Haron dan beliau meninggalkan 5 buah buku untuk dijadikan  panduan.
Dari segi pakar herba katanya, ``Kita mempunyai Dato` Rashid Mat Amin pakar herba dan Bekas Pengarah FRIM.`
Dari segi perubatan perlu kepada latihan dan mengelak dari kesilapan, misalnya jangan sampai ubat untuk disapu ditulis sebagai ubat makan.
Lantaran itu Dar al-Shifa` mempunyai S.O.P pada peringkat pengajian, latihan dan di dalam memberi rawatan.
Kini selepas meninggalnya Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din timbul  pertanyaan. Bagaimanakah dengan kepimpinan Dar al-Shifa`. Bagaimanakah dengan kegiatan rawatan di Dar al-Shifa` dan juga cawangan-cawangan selepas meninggalnya Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Bagaimanakah kursus Dar al-Shifa` di pengajian tinggi yang telah berlangsung selama ini ?
Inisiatif hendaklah diambil oleh pihak Dar al-Shifa` memilih kepimpinan bagi meneruskan legasi Tuan Guru. Juga inisiatif-inisiatif yang lain perlu diambil bagi mengekal, memaju dan meningkatkan Dar al-Shifa` dan jangan sampai ianya dibawa arus  zaman dan tenggelam menghilang.  Insha Allah tidak.

Sekian.

November 26, 2017

KONFLIK DI JABATAN SHARI`AH, FAKULTI ISLAM TERPERANGKAP DARI AWAL


BBB, 06 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 25 November 2017M. (Sabtu):
Pembentang kertaskerja ketiga pada pagi 23 November 2017 itu ialah Ustaz Mohd. Ridzuan Awang Pensyarah di Jabatan Shari`ah, Fakulti  Islam, UKM bertajuk:
``Pengalaman Bersama Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din di Fakulti Pengajian Islam, UKM.``


Mengikuti kertaskerjanya didapati pembentang cuba membentangkan tentang usaha Dato` Dr. Haron Din  yang pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Islam, UKM (1977-1985) dan profesor selepas itu, beliau  berusaha bagi meningfkatkan Jabatan Shari`ah dan Fakulti Islam dengan berbagai penambahbaikan, walau bagaimana tidak  terlepas dari berbagai konflik yang ada kala cadangan-cadangan mencapai kejayaan dan setengah tidak berjaya. Sebab itu Penulis mengambil judul;
Konflik di Jabatan Shari`ah, UKM dan sebenarnya konlik ini melibatkan Fakulti Islam itu sendiri, walaupun tidak dibicarakan oleh Pembentang.
Sebelum  dari pembukaan UKM (18 Mei 1970) sebenarnya ada dua tuntutan. Pertama golongan yang mau universit yang diperjuangkan  berjenama `Universiti  Islam` sebagai merealisasikan  hasrat pejuang-pejuang universiti Islam, terutama  dari tenaga pengajar dan lepasan Kolej Islam Malaya yang ditubuh sejak (1955) yang kelulusannya diiktiraf sama dengan Sarjanamuda Universiti Al-Azhar. Kampus bagi universiti ini sudah wujud di Seksyen 16, Petaling Jaya.
Pejuang-pejuang  kedua ialah dari golongan nasionalis yang maukan sebuah Universiti Kebangsaan sebagai lanjutan bagi pelajar-pelajar, trerutama aliran Melayu yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Universiti. Dalam konflik ini golongan nasionalis berjaya dengan kompromi bahawa Universiti Islam yang diharapkan adalah diserapkan sebagai fakulti yang menjadi sebahagian dari UKM dan kampus di Petaling Jaya menjadi kampus Fakulti Islam (sebelum berpindah ke Bangi 1977), di samping sebahagiannya ditumpangi oleh Fakulti Sains.    
Kedudukan Fakulti Islam sebagai satu fakulti dari berbagai fakulti memberi implikasi bahawa:
a)      Konsep keilmuan Islam adalah terhad kepada pengajian, shari`ah, usuluddin, bahasa `Arab dan Dakwah dan Kepimpinan. Keilmuan lain tidak di bawah Islam dan terpisah dari Islam.
b)      Fakulti Islam tidak berkembang dan tidak dapat diusahakan pendekatan Islam kepada ilmu-ilmu yang lain.
c)       Pengajian di bawah Fakulti Islam adalah mengulangi keilmuan tradisi Islam yang sedia ada dan perkembangannya adalah terhad.
Dari segi kejayaan,
Perlu diingat menurut Kalindar UKM 1973-74, Fakulti Islam UKM hanya mempunyai Jabataan Shari`ah dan Usuluddin dengan tambahan Unit bahasa `Arab.
Ini bermakna semasa pentadbiran Dato` Dr. Haron Din selaku Timbalan Dekan (1977-1985) berlaku pertambahan jabatan seperti Jabatan Bahasa `Arab, Al-Quir`an dan Al-Sunnah, Dakwah dan Kepimpinan. Ini satu kejayaan dari segi perkembangan fakulti dan jabatan.
Menurut Ustaz Mohd. Ridzuan Awang, Dato` Dr. Haron Din bertanggungjawab sama menyediakan kurikulum Jabatan Shari`ah  Fakulti Islam.
Antara tahun 1984-85 Dato` Dr Haron Din bersama pihak jabatan Shari`ah telah merangkakan kursus untuk LLB Shari`ah dan Civil, namun menurut Ustaz Mohd Ridzuan yang menjadi Ketua Jabatan Shari`ah (1985-86) pihak Dekan dan atasan tidak bersetuju. Kurikulum berkenaan juga gagal dilaksanakan di Fakulti Undang-Undang di UKM yang baru ditubuhkan.
Begitu juga usaha untuk mewujudkan Fakulti Shari`ah di UKM juga gagal. Ada semacam konflik antara fakulti dengan pentadbiran universiti sehingga beku buat sementara  perkembangan dan kenaikan pangkat.
Berbanding dengan konsep universiti berjenama Islam seperti  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  UIAM (dibuka 1983) yang mengambil pendekatan semua keilmuan mengambil pendekatan Islam dilihat lebih pragmatif dan kehadapan. Antara tenaga  yang menubuhkan universiti ini dipelopori oleh tenaga-tenaga dari UKM seperti Profesor Kamal Hasan (Pernah menjadi Rektor UIAM), Prof Syed `Arabi Aidid (juga pernah jadi Rektor), Prof. Aris Othman, dan ramai lagi. Mereka  berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).  Universiti yang mengambil pendekatan Islam  secara menyeluruh ini lebih mendapat sambutan. Ini termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang tertubuh awal 2000 juga dipelopori oleh tenaga dari UKM seperti  Tan Sri Profesor Shukor Hussein – Pelopor dan Naib Canselor pertama USIM dan tenaga-tenaga yang lain.
Walau berlaku konflik dalaman, namun pihak Fakulti dan jabatan berusaha meningkatkan prestasi. Menurut Ustaz Mohd. Ridzuan, kegagalan mewujudkan  LLB Shari`ah dan Civil yang asalnya disusun oleh Jabatan Shari`ah UKM itu digunakan di Fakulti Undang-Undang UIAM.
Seterusnya  Jabatan Shari`ah berusaha mewujudkan kursus Diploma Pentadbiran Kehakiman  dan diluluskan. Kursus ini berjalan hingga kini dan mendapat pengiktirafan  JPA.
Pada tahun 1985 pihak jabatan berjaya menubuhkan Persatuan Falak Shar`i dengan menjemput tokoh falak pada masa itu, iaitu Haji Mohd. Khair Taib. Beliau  menjadi karyawan Tamu diJabatan Shari`ah.
Begitu juga pada tahun 1990 ditubuhkan Klinik Hukum dan Guaman Shar`i   dan berterusan  hingga kini.
Dari segi kegiatan luar memurut Ustaz Mohd. Ridzuan, bahawa pihak Fakulti Islam dihadiah dua buah kereta  mercedes, sebuah dari kerajaan Kuwait dan sebuah lagi dari kerajaan `Arab Saudi. Dato` Dr. Haron Din sering keluar berdakwah ke serata tempat dan negeri  menggunakan sebuah dari kereta tersebut.
Menurut Ustaz Ridzuan, berdasarkan kecemerlangan akademik Dato` Dr. Haron Din dan kegiatan luar dari segi pengajaran dan dakwah dan menjadi penasihat bagi berbagai institusi kewangan serta kegiatan perubatan Islamnya maka katanya wajar Dato` Dr. Haron Din diberi gelaran Profesor Emiratus.
Sebagaimana yang dibincangkan bahawa dengan kedudukan Fakulti Islam sebagai satu fakulti, maka ianya terikat dari segi perkembangan, bahkan terperangkap dan tidak berkembang seperti UIAM dan USIM  yang kedua-duanya adalah mengambil jenama Islam dan dapat memperluaskan konsep Islam ke semua fakulti dan kesemua bidang kursus dan pengajaran, sedangkan Fakulti Islam, UKM tersekat dari segi perkembangan. Ianya terhad kepada keilmuan yang dianggap dari segi tradisi sebagai bidang keislaman, sedangkan bidang-bidang yang lain sepatutnya  dapat sama diberi pendekatan keislaman.
Walau bagaimana meskipun  Fakulti Islam dan jabatan-jabatan terhad dari segi perkembangan, namun peluang terbuka ke arah mencapai kecemerlangan jabatan dan fakulti, jika  ada kesungguhan membina  identiti dan kecemerlangan di dalam bidang-bidang berkenaan.

Sekian.

November 25, 2017

RUMUSAN: ISLAM DAN KOMITMEN DATO` DR. HARON DIN - CADANGAN


BBB,  05 Rabi`ul-Awwal 1439H. =  24 November 2017M.) (Juma`at):



Penulis telah membicarakan perjuangan dan komitmen keislaman Dato` Dr. Haron Din. Adalah menjadi harapan kita persidangan tidak setakat memperkatakan tentang tokoh semata-mata dan kemudian berakhir begitu sahaja, tetapi adalah diharapkan ada natijah dan keputusan yang dapat disusuli dengan tindakan yang dapat dimanfaatkan.
Ada beberapa pihak yang terlibat dan boleh mengambil manfaat dari resolusi persidangan dan bertindak menurut bidang masing-masing. Pihak yang berkenaan ialah:
1)      Pihak Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM sebagai penganjur persidangan
2)      Pihak Dar al-Shifa` yang bekerjasama  dengan penganjur
3)      Kawasan Seksyen Satu dan Dua Bandar Baru Bangi sebagai `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din.`
4)      Keluarga Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din.
5)      Pihak-pihak lain.
Adapun pihak yang lain yang memberi kerjasama bagi penganjuran seperti Masjid al-Hasanah dan Pusat Islam, UKM adalah lebih kepada pernyataan sokongan dan tentulah pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada  mereka.
Penulis  menghadiri dan mengikuti  persidangan dari pembukaan hingga penutup – dari pagi hingga ke petang.  Apa yang Penulis dapati:
a)      Sayangnya tiada sesi soal jawab selepas setiap sidang. Jika ada tentulah ada maklumat tambahan dan cadangan dari peserta.
b)      Tiada resolusi atau keputusan yang diambil pada akhir sidang  yang dapat diambil tindakan.
Namun di bawah diperturunkan pendapat dan cadangan yang mungkin sesuai diambil tindakan oleh pihak-pihak berkenaan.

1)      Pihak Jabatan Shari`ah

a)      Mengusaha mewujudkan `Kerusi Profesor Dato` Dr. Haron Din` di jabatan.
b)      Menerbitkan buku-buku  yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din.
c)       Merangkakan topik-topik penyelidikan yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah atau penyelidikan semata-mata.
d)      Mengadakan  `Syarahan Haron Din`  secara bersiri dari masa ke semasa.
e)      Mengadakan ` Anugerah  Haron Din` bagi pelajar yang lulus cemerlang dari Jabatan Shari`ah.
`
2)       Pihak Dar al-Shifa`
a)      Tubuh yayasan Dato` Dr. Haron Din bagi  menghimpun dana bagi perkembangan dan naiktaraf Dar al-Shifa`
b)      Mendokumentasikan apa yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din seperti tulisan,  ucapan, pengajaran, khutbah dan tadzkirah.
c)       Catat pengalaman mereka yang berkhidmat, belajar, berubat – termasuk pada peringkat cawangan-cawangan.
d)      Himpun `Turath Perubatan Melayu-Islam`  untuk  dijadikan panduan
e)      Himpun tenaga akdemik dalam bidang Islam dan perubatan bagi meningkatkan kurikulum pengajian `Perubatan Islam`
f)       Terus dan tingkatkan kursus `Pengajian Perubatan Islam` yang sedang berjalan seperti yang wujud di Universiti Multimedia dan sebagainya.
g)      Mengenalpasti tumbuhan perubatan, antaranya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Malaysia (FRIM).
h)      Mengeluarkan bahan-bahan perubatan di bawah jenama Farmasi Dar al-Shifa` .
3. Kawasan Seksyen Satu dan Dua Bandar Baru Bangi sebagai `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din.`
Ialah kawasan di mana beradanya rumah Dato` Dr. Haron Din, Dar al-Shifa`, Surau al-Nur  dan Masjid Al-Umm. Ianya merupakan kawasan bergiatnya Dato` Dr. Haron Din, Beliau bergiat memajukan Dar al-Shifa`, mengajar di Surau al-Nur dan sama membangunkan Masjid  Al-Umm. Kawasan dari  bukit Dar al-Shifa` ke kaki bukit Masjid al-Umm yang seluas lebih kurang 20 ekar ini dijadikan  sebagai kampus terbuka dan wajar dinamakan dengan `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`. Pada kawasan ini  dipertingkatkan pengajian berinduk Masjid  Al-Umm bertaraf Jami`ah (Universiti) dan surau-surau seperti Surau al-Nur, Surau al-Ehsan dan Surau Damai dan Dar al-Shifa` sendiri sebagai jabatan-jabatan (kuliah-kuliah). Kurikulum hendaklah dirangka dan mempunyai kerjasama universiti-universiti setempat. Mempunyai pelajar sepenuh masa dan yang datang belajar pada hujung-hujung minggu. Mempunyai pensyarah-pensyarah terbaik. Antaranya dari tenaga-tenaga pengajar dari universiti-universiti setempat. Konsep pengajian ini mempromosi `Bangi Bandar Ilmu` yang `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din` adalah sebahagian daripadanya.
Untuk meyempurnakan kampus tanah di kawasan `Medan  Selera/Usahawan`  perlu dipohom  dari pihak berkuasa bagi mendirikan Pejabat Pentadbiran, Perpustakaan, bilik-bilik kuliah dan asrama bagi pengajian.  Bangunan mungkin didirikan hingga 15 tingkat dan peruntukan diperlukan melebihi RM100 juta.
4. Keluarga Dato` Haron Din
Adalah diharapkan daripada mereka:
a)      Memberi kerjasama menyimpan dengan baik segala bahan yang berhubung dengan Dato` Haron Din seperti bahan-bahan tulisan tangan, peralatan mengajar dan berubat, berbagai  alat-alat digunakan, bahkan pakaian yang berhubung dengannya sebagai artifek penting berhubung dengan Dato` Haron Din.
b)      Kemungkinan meningkatkan rumah Dato` Dr. Haron Din sebagai galeri, bahkan muzium Dato` Dr. Haron Din yang secara langsung menarik orang datang (khususnya pelancong)  melawat termasuk ke bangunan Dar al-Shifa`, sambil datang berubat bagi yang memerlukan,  serta melawat `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`.
c)       Diharap keluarga Dato` Dr. Haron Din dapat memberi kerjasama kepada penyelidik-penyelidik yang datang membuat kajian dan penyelidikan.
5.  Pihak-Pihak Lain
Dimaksudkan dengan pihak-pihak lain yang ada hubungan dengan Dato` Dr. Haron Din ialah seperti:
Mengkaji pemikiran politik Dato` Haron Din dan mengaplikasikan pada kursus politik  seperti di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad bersama dengan pemikir-pemilir politik Pas dan yang lain. Dan menerbitkan buku berkenaan tokoh – Dato` Dr. Haron Din.
Pihak bank-bank yang mendapat khidmat nasihat shari`at Dato` Dr. Haron Din wajar memberi bantuan kepada konsep pengajian di `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`  dan mengeluarkan `Biassiswa-biasiswa Dato` Dr. Haron Din bagi pelajar menyambung pengajian di mana bersesuaian.
Dan berbagai-bagai cadangan yang bersesuaian dapat ditambah.
·         Perlu Tindakan dan Penutup
Akhirnya sebagai penutup, apa jua cadangan walau sebaik mana tidak memberi apa-apa makna, jika hasil cadangan atau resolusi tidak dilaksanakan.
Bagi yang mau melihat apa yang disumbang oleh Dato` Dr. Haron Din berkembang, dapat dimanfaat, maka perlulah pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM, Dar al-Shifa`,  Keluarga Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din dan pihak yang berkenaan mengadakan mesyuarat-mesyuarat bagi menilai cadangan-cadangan  dan mengambil tindakan. Tindakan tidak semestinya secara keseluruhan dalam masa singkat, tetapi mungkin bertolak dari aspek-aspek yang mampu dilaksanakan semasa dan memperluaskannya kepada yang lebih besar menurut kemampuan.

Sekian.

November 24, 2017

ISLAM SEBAGAI POLITIK PERJUANGAN AL-MARHUM DATO` DR. HARON DIN

BBB, 04 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 23 November 2017M. (Khamis):
1.       Muqaddimah



Penulis adalah Pembentang kedua pada Persidangan Antarabangsa Islam Dan Tokoh 2017 (21 Nov.). Politik perjuangan lebih luas dari perjuangan politik. Islam adalah menjadi prinsip perjuangan Dato` Dr. Haron Din sebagaimana ayat Al-Qur`an (Ali `Imran: 19 dan 85) dan (Al-Rum: 30).
Dapat dirumuskan jihad keislamannya dan siasah perjuangannya di atas tiga perkara:
·         Keilmuan dan dakwah
·         Perubatan Islam dan kebajikan
·         Politik Keislaman.
2.   Keilmuan dan Dakwah
Dato` Dr. Haron Din adalah tokoh berkelayakan dan berwibawa.
Berkelulusan Kolej Islam Malaya (1962-66), Sarjana Shari`ah dari Universiti Al-Azhar  (1966-68), juga Diploma Pendidikan (`Ain al-Shams)  Dan Dr. Falsafah di dalam bidang Shari`ah dari Universiti  Dar al-`Ulum, Al-Qahirah (1972-74).
Berekerjaya sebagai Pensyarah di Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM (1975-76). Timbalan Dekan Fakulti Islam (1977-85), Profesor (1986-2000 – Bersara).
Dari segi dakwah:



·         Pengajaran secara formal di universiti
·         Pengajaran diberbagai institusi seperti masjid, surau dan berbagai tempat pengajaran
·         Forum terbuka dan di media letronak . Penggerak `Forum Perdana` bersama Dato` Dr. Hasan `Ali, Dato` Ismail Kamus dan beberapa yang lain.
·         Menganggotai  Majlis-Majlis Fatwa, Penasihat Shari`at bagi beberapa bank dan security juga consultant
·         Menghasilkan buku-buku seperti Manusia Dan Islam, Islam Jihad Sebagai Survival Insan, Masalah Pendidikan Di Malaysia dan lain-lain.
·         Membina dan menggerak Pusat Dakwah Islam Serantau
3.  Perubatan Islam
*  Minat Perubatan Islam sejak di kampung. Ayahnya juga pengamal perubatan.
*  Mempelajari perubatan secara tidak formal di Mesir. Gurunya seperti Dr. Kamal dan Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi  dan Bapak Mukhtar Lintang.
* Mengenalpasti  tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat dari segi perubatan.
4. Penubuhan Pengajian Perubatan secara formal
*  Selepas siri pengajaran di rumah sejak 1977 dan kesempitan ruang dan pelajar bertambah perlu bangunan.



*  17 Ogos 1986 tertubuh JK pembinaan diketui Haji Abdul Rahman Ahmad. Tapak dibeli berhampiran rumah Dato` Dr Harun Din. Kos RM700,000/=.
* Pembinaan siap dan mula digunakan 1 Ramadhan 1411H. = 17 Mac 1990. Perasmian (1 Sept. 1991`. Kuliah, pengajaran, perubatan dan latihan berlaku di sini.
* Tubuh cawangan hingga ke setiap negeri. Kini cawangan  berjumlah 30  dengan  10,000 pelajar (2016).
* Kaedah rawatan ialah dengan ayat Al-Qur`an, Al-Hadith, ruqyah, doa dan penggunaan tumbuh-tumbuhan.
5.  Kebajikan
Dato` Dr. Haron Din banyak melakukan amal kebajikan
*  Penubuhan Dar al-Shifa` bersifat kebajikan, bukan untuk mencari pulangan kewangan
*   Membina beberapa  buah masjid, termasuk 2 buah di Perlis.
*   Banyak menderma. Contoh menambah dan menggerakkan dana Masjid al-Umm
*   Bergiat  dengan kerja-kerja dakwah seperti mengajar, berceramah dan menulis buku
*   Menjaga kebajikan keluarga Haji Din
6. Perjuangan Politik
*   Kesedaran dan perjuangan politik keislaman Dato` Dr. Haron sejak awal dan istiqamah.
*  Berani mengambil pendirian  sejak awal beliau berkhidmat dengan UKM dan patuh pada parti


*  Dia tidak ekstrim dan tidak lantang
*  Dia dihormati kawan dan lawan
* Parti memerlukannya lantaran ketokohannya
*  Dia tidak perlu bertanding merebut jawatan di dalam parti, tetapi dilantik di dalam Dewan `Ulama` dan Shura.
* Selepas bersara  dia bertanding beberapa kali pada peringkat parlimen di tanah kelahirannya  di Perlis, tapi tidak menang, namun ianya tidak mematah semangatnya dalam perjuangan keislkaman.
*  Dia dilantik ke jawatan Murshidul Am Pas selepas Murshidul `Am Pas – Dato` Nik `Aziz meninggal dunia pada 20 Rabi`ul-Awwal 1436 bersamaan 12 Februari 2015. Sebelumnya sebagai Timbalan Murshidul `Am Pas.
* Dalam pergolakan Pas yang menyebabkan berlakunya perpecahan sehingga sebahagin besar golongan intelektual  keluar (dianggap tidak mendapat didikan Islam secara formal) dan menubuhkan Parti Amanah, beliau kelihatan lebih berdiam diri.



*  Beliau tetap dihormati kawan dan lawan hingga ke akhir hayat.
* Dia berjasa bukan saja kepadsa parti tetapi lebih dengan keilmuan, dakwah, perubatan Islam dan kebajikan.
Kembalinya ke Rahmatullah Dato` Dr. Haron Din pada 16 September 2016 meninggalkan jasa. Semoga Allah mencurahkan rahmatNya ke atas roh Al-Marhum.

Bersambung ... (Rumusan dan cadangan)

Sekian.

November 23, 2017

PERKESAHAN TENTANG DATO` DR. HARON DIN


BBB, 03 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 22 November 2017M. (Rabu):
Persidangan pertama selepas alu-aluan selaku pembukaan sidang yang dilakukan oleh D. Muhammad Adib bin Samsudin Pengarah Persidangan pada pagi Selasa 21 November  2017 di Dewan Senet UKM itu ialah `Perkesahan Tentang Dato` Dr. Haron Din` yang disampaikan oleh Dato` Seri Abu Hassan Din adik Al-Marhum dengan judul:
``Dato` Dr. Haron Din Kekandaku.``



Menurut  Dato` Seri Abu Hassan Din bahawa keluarga mereka yang dinamakan oleh Dato` Seri sebagai `KHD` (Keluarga Haji Din) adalah keluarga yang susah. Mereka berhijrah dari Patani mencari pekerjaan di Perlis dan menetap di Kampung Bohor Mali. Di sini  Haji Din berkerja sebagai `Tukang Kayu` dan juga `Bertani` sambil dibantu oleh isterinya. Mereka dikurniai Allah 10 orang anak. Daripadanya tiga lelaki dan tujuh perempuan. Haron Din anak ketiga, manakala Hassan Din anak kelima, seorang lagi anak lelaki ialah Ishak Din (meninggal selepas Haron Din). Pekesahan seterusnya lebih berfokus kepada Haron Din dan Hassan Din. Haron Din tokoh yang dibicarakan lahir pada 8 Ogos 1940 (14 Rajab 1359H.) di Bohor Mali, Kangar, Perlis.



Dato` Dr Haron Din bersekolah di Madasah al-Islahiyyah al-Wataniyyah di Bohor Mali, di Kampungnya. Kemudian berpindah ke Madrasah  al-`Alawiyyah al-Diniyyah dan Kuliah al-Islamiyyah Perlis. Dato` Seri Abu  Hassan Din yang lebih muda umurnya melalui pengajian yang sama dan ketika bersekolah  luar dari kampungnya (di Arau), mereka menyewa pondok dan balik ke rumah hanya pada hujung minggu.
Perpisahanb dengan keluarga berlaku di dalam KHD, kerana pada tahun 1962 Dato` Dr. Haron Din ditawar belajar di Kolej Islam Malaya, sedangkan berikutnya Dato` Seri Abu Hassan ditawarkan belajar  mengikuti pengajian diplomaTahfiz Al-Qur`an di Masjid Negara.
Dato` Dr. Haron Din tamat belajar di Kolej Islam Malaya tahun 1965 dan ditawarkan menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Shari`ah di Universiti Al-Azhar dan tamat pengajian pada tahun 1968 dan juga memperolehi diploma pendidikan dan kembali menjadi guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia di Melaka dan kemudian di Pulau Pinang.
Apabila UKM dibuka pada 18 Mei 1970 dan sedang  mencari tenaga akademik, maka Dato` Dr. Haron Din yang mempunyai ijazah  Sarjana Shari`ah itu adalah antara calon berkelayakan diterima menjadi pensyarah di UKM. Beliau mendapat  tawaran skim pengajian lanjutan peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Shari`ah di Cairo University dan dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang singkat dalam mana beliau lulus dan mendapat Ijazah Dr. Falsafah dalam tempoh dua tahun sahaja (1972-74).
Menurut Dato` Seri Abu Hassan Din semasa Dato` Dr. Haron Din menyambung pengajian pada peringkat Ph. D, ini Dato` Seri Abu Hassan Din juga menyambung pengajian dalam bidang Al-Qur`an dan membuat ijazah Usuluddin di Universiti  Al-Azhar tahun 1969. Beliau menyatakan sebagaimana Dato` Dr. Haron Din, beliau juga membawa keluarga semasa belajar di sana.
Dato` Seri Abu Hassan Din menyebut sifat prihatin dan pemurah Dato` Dr. Haron Din, bahawa semasa belajar di sana beliau hanya mendapat dermasiswa dengan nilai sebanyak RM250/= sebulan. Dengan jumlah ini tentulah tidak cukup untuk perbelajaan pengajian dan keluarga, tetapi Dr. Haron Din yang mendapat gaji pensyarah dan biasiswa yang menurutnya melebihi RM6,000/= sebulan turut membantunya secara bulanan bagi menamatkan pengajiannya. Dato` Haron Din dan keluarganya pulang lebih dahulu (1974) dan berkhidmat sebagai tenaga pensyarah di UKM dan sempat bersama dengan ibu sebelum ianya meninggal, sementara Dato` Seri Abu Hassan yang pulang lebih kemudian tidak berkesempatan dengan kematian ibu mereka.  Dari segi kerjaya mulai  tahun 1977-1985   Dato` Dr. Haron Din dilantik menjadi Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam di UKM dan seterusnya mulai 1986 beliau dilantik menjadi profesor di UKM hingga berpencen pada akhir `1990an.
Adapun Dato` Seri Hassan Din pernah bertugas di Pusat Islam, Kuala Lumpur, Imam Besar Masjid Negara. Beliau juga berkesempatan berkhidmat kepada 7 otang Duli- Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung Malaysia.
Menurut Dato` Seri Abu Hassan Din, semua adik beradik mereka  tinggal di Perlis dan Kedah sebagai orang kampung. Hanya Dato` Dr. Haron Din dan beliau tinggal di Kuala Lumpur. Namun bagi kami dalam KHD menganggap Dato` Dr. Haron Din sebagai Ketua Keluarga.
 Menceritakan tentang ciri kepimpinan Dato` Dr. Haron Din saebagai Ketua Keluarga, bahawa:
Menurut Dato` Seri Abu Hassan Din Dato` Dr. Haron Din mencetuskan idea bagi merapatkan hubungabn dalam keluarga  (KHD), bahawa Dato` Haron Din mengadakan pertemuan tahunan KHD pada hari kedua setiap Hariraya `Idul Fitri. Ianya wajib hadir oleh semua keluarga. Pertemuan pertama diadakan pada tahun 1972, tempat kemudian diubah-ubah antaranya ke Bangi dan Kuala Lumpur. Yang paling menggembirakan anak-anak, bahawa setiap kali perjumpaan Dato` Dr. Haron Din memberi setiap orang satu sampul sebanyak seratus ringgit seorang. Tahun 2016 adalah merupakan perhimpunan keluarga kali ke 26 dan kali terakhir dihadiri oleh Dato` Dr. Haron Din yang kemudian meninggal di Amerika Syarikat pada Juma`at 16 September 2016 bersamaan 14 Zulhijjah 1437H.
Menurut Dato` Seri Abu Hassan Din, Dato` Dr. Harun Din pernah sponsor bagi sepuluh kel;uarga melancong ke luar negeri dan perbelanjaan bagi mereka semua ditanggung oleh Dato` Dr. Haron Din.



Menurut Dato` Seri Abu Hassan Din, bahawa Dato` Dr. Haron Din adalah seorang yang baik hati dan tidak menyimpan dendam.  Beliau menyebut bahawa program `Forum Perdana`  yang disiarkan melalui tv Satu pasa setiap malam Juma`at begitu popular, bahawa ianya pada permulaan  dipopularkan oleh tiga personaliti, iaitu Dato` Dr. Haron Din, Dato` Dr. Hasan `Ali dan Ustaz Ismail Kamus. Beliau pernah digam dari tv, tetapi bila dipanggil, beliau sanggup datang kembali dan tidak menyimpan dendam.
Keadaan yang sama berlaku terhadap ceranmah-ceramah disampaikan di berbagai tempat. Dato` Dr. Haron Din  pernah dilarang oleh pihak tertentu dari menyampaikan ceramah. Beliau tidak menyimpan dendam, bila dijemput kembali dan tidak disekat beliau berpegang atas prinsip dakwah kembali menyampaikan ceramah di tempat yang menjadi larangan baginya sebelumnya. Beliau tidak dendam terhadap pihak tertentu yang menyekatnya, bahkan beliau redha. Dato` Seri Abu Hassan Din mengaitkan apa yang dilalui oleh Dato` Dr.  Harun Din sebagaimana  yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. yang mendapat tentangan kaumnya dan ketika Baginda ke Taif, Baginda dilontar batu dan sebagainya, tetapi Rasulullah tidak memohon kepada Allah membinasakan mereka yang menyakitinya.
Dato` Seri Abu Hassan Din mengakhiri perkesahannya tentang Dato` Dr, Haron Din yang diuji dengan penyakit jantung,  tapi dia tenang dan sabar, tapi akhirnya Allah menjemputnya semasa di kejauhan dari tanah air – ketika berubat di Amerika Syarikat. ``Kami keluarga seluruhnya bersedih, tetapi kami redha di atas ketentuan Allah.`` Mungkin sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan  mungkin kamu benci terhadap sesuatu, dan dia  baik bagi kamu dan mungkin kamu suka terhadap sesuatu, tetapi dia tidak baik bagi kamu.`` (Al-Baqarah: 216).
Semoga Allah menurunkan rahmatNya ke atas roh Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din.`` Amin.

Sekian.

November 22, 2017

JABATAN SHARI`AH FAKULTI ISLAM UKM ANJUR PERSIDANGAN TOKOH - DATO` DR.HARON DIN


UKM,  02 Rabi`ul Awwal 1439H. = 21 November 2017 (Selasa):
Selepas lebih  setahun kembalinya ke Rahmatullah Dato` Haron Din (m 16 September 2016), Jabatan Shari`ah UKM, jabatan yang pernah Dato`Dr. Haron berkhidmat (1975 hingga akhir 1990an) dan menjadi profesor di jabatan itu, maka sebagai tokoh yang berjasa kepada jabatan, Fakulti dan universiti bahkan kepada mesyarakat,  pihak jabatan dengan kerjasama beberapa pihak pada hari ini mengadakan Persidangan Antarabangsa Islam Dan Tokoh (2017) dengan mengambil Dato` Dr. Haron Din sebagai tokohnya.



Persidangan hari ini adalah dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah, Dar al-Shifa`dan Pusat Islam UKM. Persidangan seharian yang berlangsung di Dewan Senet,  Bangunan Pentadbiran UKM  itu diisi dengan pembentangan kertas-kertas kerja, perkesahan dari adik dan anak al-Marhum.  Persidangan dihadiri Dato` Seri Hasan Din adik Dato` Dr. Haron Din dan anak beliau Dr. Huda Haron Din. Hadir sama ADUN Bangi YB Ustaz Shafie Ngah, Profesor Wan Kamal Mujani. Dekan Fakulti Islam UKM,, Dr. Mat Nor Mat Zain, Ketua Jabatan Shari`ah,  UKM, Dr. Muhammad Adib bin Samsudin Pengarah Persidangan, Dr. Abdul Rahman Mahmud Pengarah Pusat Islam, UKM,  Haji Abdul Rahman  Ahmad Ketua Dar al-Shifa` dan wakil-wakil dari Masjid al-Hasanah. Turut sama hadir Tuan Sufi Munasir Yang Dipertuan  Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan peserta-peserta yang memenuhi dewan.
Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan menghadiahkan `Al-Fatihah` kepada roh al-Marhum Dato` Dr. Haron Din dan pembacaan Do`a  oleh Dr. Muhammad Zaini Yahaya Timbalan Pengarah Pusat Islam, UKM dan terus dengan ucapan alu-aluan dari Dr. Muhammad Adib bin Samsudin Pengarah Persidangan.



Dr. Muhammad Adib mengucapkan terima kasih di atas kesudian hadir, terutama keluarga Al-Marhum Dato`Dr.  Haron Din, khususnya Datuk Seri Abu Hassan Din, adik kepada Dato` Dr. Haron Din dan anak al-Marhum Dr. Huda. Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak Dar al-Shifa` yang diketuai oleh Haji Abdul Rahman Ahmad, kepada Pusat Islam UKM yang turut hadir Pengarahnya Prof. Dr. Abdul Rahman Mahmud, juga wakil-wakil dari Masjid al-Hasanah. Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas kesudian pembentang-pembentang kertaskerja  membentang kertaskerja.
Menurut Dr. Muhammad Adib Dato` Dr. Harun adalah tokoh yang sedari awal yang telah sama membina Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, bahkan Fakulti Islam UKM itu sendiri. Beliau tidak saja terkenal di kalangan ahli akademik di kampus, tetapi terkenal dikalangan masyarakat, khususnya melalui Dar al-Shifa` serta pengajaran dan ceramah-ceramah  disampaikan.  Dato` Dr. Haron Din juga menganggotai berbagai Lembaga Penasihat Shari`ah bagi berbagai-bagai institusi kewangan. Selain daripada itu beliau juga telah menghasilkan berbagai-bagai buku dan tulisan di dalam berbagai bidang.
Mengenang jasa Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din, maka pihak Fakulti Shari`ah, Fakulti Islam pada hari ini mengadakan Persidangan Antarabangsa mengenai tokoh Dato` Dr. Haron Din, bukan saja sebagai kenangan, tetapi juga bagi merakam maklumat berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din, sementara mereka yang mengetahui maklumat, bahkan bergiat bersamanya di dalam melaksanakan visi dan misi Dato` Dr. Haron Din masih wujud. Insya Allah kata Dr. Muhammad Adib melalui persidangan ini dapat didokumentasikan  segala yang berhubung  dengan Dato` Dr. Haron Din.
Dari segi objektif persidangan diadakan ialah bagi:
·         Mengadakan perbincangan ilmiah berkaitan Islam dan tokoh, khususnya Dato` Dr. Haron Din.



·         Mengambil manfaat daripada pandangan dan maklumat individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan, sahabat handai, para pelajar Al-Marhum berkenaan keperibadian Dato` Dr. Haron Din sebagai tokoh fiqh, pendakwah dan pengamal perubatan Islam.
·         Bertukar fikiran dan pandangan berkenaan dengan sumbangan serta pemikiran fiqh tokoh dari kalangan penyelidik, pensyarah, pentadbir, pengamal perubatan dan pelajar siswazah sama ada pada peringkat sarjana dan doktor falsafah.
·         Mengukuhkan jaringan akademik di antara institusi-institusi pengajian Islam di Nusantara dan seluruh dunia.
Bersama sidang ini diwujudkan apa yang dinamakan sidang selari.
Dalam sidang selari yang diadakan pada bahagian akhir sidang beberapa pembentang mengemukakan pembentangan secara ucapan ringkas berkenaasn:
1.       Dr. Muhammad `Uthman El-Muhammady, Analisis sumbangan  dalam penulisan
2.       Ketokohan Dato` Dr. Haron Din Dalam bidang dakwah dan politik:  Satu Kajian. (Bertindih dengan Sidang utama dan patut dimasukkan dalam sidang utama).
3.       Unsur pembaharuan dalam rawatan secara ruqyah`  ( juga wajar dimasukkan dalam sidang utama).
4.       Shaykh Ahmad Khatib al-Minangkabau dan konsep warisan harta.
Ertinya sepatutnya dua pembicara sahaja berhubung dengan sidang selari.
Walau bagaimana didapati dalam sidang yang bersifat antarabangsa ini, nampaknya tidak diedarkan kertaskerja yang tajuknya telah  ditentukan kepada penyedia-penyedia kertaskerja. Penulis sendiri telah menyerahkan kertaskerja berkenaan tokoh setebal 18 halaman, tetapi nampaknya tidak diprint out dan tidak diedarkan. Adalah tidak pasti dengan pembentang-pembentang yang lain adalah menyediakan kertaskerja bertulis atau tidak. Selain dari rakaman dibuat oleh pihak penganjur, bagi yang lain, jika malas membuat catatan,maka adalah lebih bersifat mendengar sahaja.
Bersambung ...

Sekian.