October 23, 2017

KONSEP TAUHID : RASIONAL DAN WIJDAN


BBB, 02 Safar 1439H. = 22 Oktober 2017M. (Ahad):
Seterusnya perkara yang dibicarakan oleh Al-Hujwiri ialah tentang konsep tauhid. Tauhid bererti `Mengesakan` yakni mengesakan Tuhan. Ilmu ini dikenali juga sebagai, ilmu `aqidah,  usuluddin atau yang lebih tinggfi pembicaraannya dikenali dengan `Ilmu al-Kalam`.
Ilmu tauhid adalah ilmu yang penting dan merupakan kewajipan utama yang harus dipelajari oleh seorang Islam,.  Sebagaimana kata-kata di dalam keilmuan yang berkenaan:
``Seawal-awal kewajipan di atas sesaeorang Islam ialah ma`rifat Allah.``
Ayat  Al-Qur`an yang menekankan  tentang  mengesakan Allah seperti ayat bermaksud:
``Katakanlah (ya Muhammad)  Dia Allah yang Tunggal (Esa) (Al-Ikhlas: 1).
Ilmu tauhid dibicarakan di dalam ilmu `aqidah dan turut dibicarakan juga di dalam ilmu tasawuf. Pengajian ilmu tauhid atau `aqidah mempunyai pendekatan yang sistematik dan teratur, manakala pendekatan di dalam tasawuf lebih bersifat dzauq dan wijdan, intuisi dan kerohanian.
Pendekatan ilmu tauhid bertolak dari mengenali  hukum akal yang terdiri dari wajib, mustahil dan harus bagi memahami tentang Allah. Seperti mengenali sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Antaranya sifat yang wajib bagi Allah dua puluh, yang mustahil juga dua puluh dan yang harus satu. Juga mengenali sifat wajib bagi Rasul empat,  mustahil empat dan harus baginya satu menjadikan mengetahui tentang Allah dan Rasul melalui sebanyak 50 sifat.  Juga dipelajari maksud iman dan islam. Secara lebih lanjut dibahaskan  sifat-sifat Allah bagi wajib, mustahil,  dan harus berdasarkan dalil dan burhan bagi memahami dengan mendalam.
Walaupun ilmu tauhid adalah lebih berfokus pada pembicaraan tentang Allah dan Rasulullah, tetapi secara lebih lengkap dipelajari kesemua rukun iman yang enam agar kefahaman tentang  rukun iman, keimanan dan ketauhidan lebih menyeluruh.
Tauhid dari segi tasawuf, sebagaimana telah disebut tidak ada kaedah yang teratur yang dapat diikuti bahagian demi bahagian.  Pandangan tauhid kesufian diambil dari kalangan sufi terkenal. Oleh kerana ianya diungkap oleh sufi berdasarkan dzauq dan wijdan, maka antara seorang sufi dengan sufi yang lain bnerlainan ungkapan, walaupun tujuan sama, tetapi  tidak sama dari segi ungkapan.
Menurut Al-Hujwiri, menerangkan erti tauhid dalam ungkapan dan nada biasa, bahawa:
``Tauhid itu menyatakan tentang keesaan sesuatu dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang keesaannya, kerana Tuhan itu esa tanpa ada sekutu dalam tindakan-tindakannya.``
Manakala tauhid di kalangan sufi diungkapkan secara dzauq dan wijdan, umpamnya:
``Berkata Yusof bin al-Husain al-Razi, seorang berdiri berdepan dengan Dzu al-Nun al-Mis*ri dan berkata, ``Khabarkan daku tentang tauhid, apa dia ?``Maka kata Dzu al-Nun al-Mis*ri,
``Engkau mengetahui bahawa qudrat Allah Ta`ala pada sesuatu tidak ada percampuran dan perbuatanNya tentang sesusuatu tanpa `ilaj dan tiada `illah di atas sesuatu yang dibuatNya dan tiada `illah  bagi perbuatanNya. Dan tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah Pentadbir yang lain daripada Allah. Apa jua yang tergambar di dalam waham engkau, maka Allah bersalahan dari yang demikian.
Dan berkata Al-Junayd, tatkala disoal tentang tauhid, katanya, ``Tauhid ialah menunggalkan Yang Esa dengan tahqiq wahdaniyyahNya dengan sempurna keesaanNya, dengan bahawasanya  Dialah Yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dengan menafikan lawan dan keserupaan dan tidak  perbandingan dan tidak disembah selain daripadaNya. Tiada umpama dan bagaimana, tiada gambaran dan tamsilan, bahawasanya Ia Esa lagi S*amad tunggal dan tiada seumpamaNya  sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat  Melihat.``
Dan disoal  Junayd sekali lagi tentang tauhid, maka katanya, terhapus garisan, hilang makluman, maka Allah sentiasa selama-lamanya.
Dan disoal pula Al-Junayd tentang tauhid khas, maka katanya, ``Adalah hamba bayangan (Shabhan) berdepan dengan Allah `Azza wa Jalla, berlari di atasnya larian tadbirNya menurut larian hukum qudratNya di dalam gelombang laut tauhidNya dengan fana` selain dariNya, tanpa sebarang dakwaan (pengakuan) makhluk dan mustajabnya, dengan hakikat wujud keesaanNya pada hakikat kedekatanNya dengan hilang rasa dan gerak  dengan berdiri hak sebagaimana dikehendakiNya. Dan kembali akhir hamba kepada awalnya. Maka dia sekarang sebagaimana dia setelah lalu sebagaimana sekarang. Dan dikatakan juga, `Tauhid`  ialah, ``Keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadani.``
Mencatat Al-Kalabadzi  di dalam Al-Ta`arruf, tauhid bahawa Allah itu esa lagi tunggal, lagi S*amad, qadim, mengetahui lagi berkuasa, hidup mendengar, melihat ... seterusnya dengan segala sifat kesempurnaan.
Seterusnya dinafikan dariNya, ``Tidak berjisim, tidak bayangan,, tidak gambaran, tidak perorangan, tidak jauhar dan tidak sifat ... seterusnya menafikan segala yang tidak layak bagiNya.
 Dan  Al-Kalabadzi merumuskan, ``
``Dan secara jamaah para sufi berpendapat, bahawasanya Dia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mata seni, sifat-sifatNya tidak berubah dan tidak bertukar namaNya. Dia berterusan. Dia awal dan akhir, zahir dan batin. Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dan tiada diumpamakan sepertiNya dan Dia adalah Amat Mendengar lagi Amat melihat.
Demikian perbedaan tentang tauhid. Ilmu tauhid bagi usuluddin mempunyai penbdekatan teratur dan rasional berdasarkan hujah dan dalil naqli dan akli, manakala tauhid menurut sufi adalah berdasarkan tanggapan tokoh-tokoh sufi secara rohani, imtuitif, dzauq dan wijdan.

Sekian.

October 22, 2017

APA ITU MA`RIFAT ?


BBB, 01 Safar 1429H. = 21 Oktober  2017M. (Sabtu):
Satu dari keistimewaan kitab Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri, bahawa  selain dari membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi yang pembicaraan sedemikian banyak dilakukan oleh penagarang-penagarang tabaqat dan bukan tabaqat, ialah Al-Hujwiri membicarakan tentang doktrin-doktrin kesufian sebagaimana telah dibicarakan. Berikut dari itu Al-Hujwiri membicarakan tentang konsep-konsep, istilah-istilah termasuk juga tentang pengibadatan.
Ma`rifat adalah istilah yang paling rapat dengan kesufian. Ma`rifat dari segi bahasa bermakna kenal, sebagaimana istilah yang dekat dengannya iaitu `ilmu` bererti `tahu..
 Menurut Al-Hujwiri  mengenal Allah ialah dengan dua cara, iaitu dengan ilmu pengetahuan (akal) dan dengan hati.
Al-Hujwiri lebih membesarkan `ma`rifat (hati)  dari ilmu (akal). Beliau berkata,
``Tidak ada theologi tanpa ma`rifat.``
Bermaksud ilmu theologi adalah bergantung pada rasional akal. Baginya ma`rifat lebih utama dari ilmu pengetahuan.
Beliau tidak bersimpati dengan akal, oleh kerana hujah-hujah Mu`tazilah berasaskan akal, dan berpendapat  (Mu`tazilah) kebenaran dapat dicapai oleh akal, walaupun misalnya tidak disampaikan wahyu.`
Kita berpendapat persoalan akai dan ma`rifat  dalam pembicaraan ini tidak ada hubungannya dengan Mu`tazilah.
Akal adalah satu alat yang dapat digunakan bagi mencapai kebenaran, sebagaimana pancaindera juga sebagai alat mencapai kebenaran di dalam had dan batasnya tertentu. Sementara akal dapat digunakan bagi mencapai kebenaran sebagaimana digunakan kaedah dalil dan burhan di dalam keilmuan theologi, namun Al-Hujwiri berpendapat kebenaran  dapat dicapai dengan hati, iaitu melalui mekanisme ilham, iaitu taraf di bawah daripada wahyu, tapi Al-Hujwiri tidak dapat menunjukkan mekanism, hati yang dapat mencapai ilham berkenaan seterusnya kepada kebenaran.
Bagi mengukuhkan pendapat tentang ma`rifat, Al-Hujwiri memetik berbagai pendapat sufi, antaranya pendapat `Abdullah al-Mubarak, iaitu sufi peringkat awal  yang menulis  tentang tasawuf. Menurut `Abdullah al-Mubarak,
``Ma`rifat   ialah kurniaan yang menakjubkan dari Allah kepada `arif yang dikehendaki tentang sesuatu persoalan yang bersifat ma`rifat.``
Manakala Shibli berpendapat, ``Ma`rifat adalah kekaguman yang terus menerus sama ada pada persoalan ma`rifat atau nilai yang terhasil darinya.``
Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi  di dalam bukunya  `Al-Luma`` banyak menampilkan pendapat tentang ma`rifat:
Kata Abu Sa`id al-Kharraz, Ma`rifat datang dengan dua wajah, dengan `ayn yang lembut (al-jud) dan secara usaha yang sungguh-sungguh.``
Disoal Abu Turab al-Nakhshabi tentang `arif, maka katanya, ``
Dia adalah yang tidak dikeruhi oleh sesuatu dan bersih dengannya oleh sesuatu.``
Dan berkata Ahmad bin`Ata`, ``Ma`rifat ada dua jenis  ma`rifat, ma`rifat haqq dan ma`rifat hakikat ma`rifat haqq. Ma`rifat wahdaniyyahNya di atas apa yang nyata dari makhluk dari segi nama-nama dan sifat-sifat. Dan ma`rifat hakikat, bahawa tiada jalan kepadaNya kerana tertegahnya secara s*amadiyyah  dan tahqiq Rububiyyah, kerana maksud firman Allah
(Wala yuhit*una bihi `ilma.``  (Taha: 110)
 bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengannya keilmuan.``
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi,  maksud``tiada  jalan kepadanya` di atas, yakni kepada ma`rifat secara hakikat kerana Allah Ta`ala menzahirkan kepada makhlukNya daripada nama-nama dan sifat-sifatNya daripada apa yang dikatahui untuk dicakapkannya, yang demikian kerana hakikat ma`rifat, tidak mampu  bagi makhluk dan tidak sezarrah daripadanya, kerana alam dan kandungan akan lebur melalui zarrah terawal dari nyata kebesaranNya, siapa yang mampu ma`ririfat dengan yang bersifat dengan sifat-sifat  sedemikian ?
Sebab itu adalah dikatakan, ``Aku tidak mengenal yang lain dan aku tidak mencintai selain dariNya, kerana  S*amadiyyah tertegah dariNya dilitupi ilmu dan dari idrak, kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengan sesuatu dengan ilmunya.`` (Al-Baqarah: 255).
Adalah dihikayatkan  dari Sayyidina Abu Bakar al-S*iddiq, bahawa beliau berkata (bertasbih),
``Mahasuci siapa yang tidak menjadikan bagi makhluk jalan kepada ma`rifatNya, melainkan lemah daripada  ma`rifatNya.``
Dan disoal Shibli, ``Bilakah seorang `arif menyaksikan Yang Haqq ?`` Katanya
``Apabila nyata yang menyaksi,dan fana segala saksian, hilang segala pancaindera, hancur segala rasa.``
Ditanya lagi, Bila bermula perkara ini dan bila berakhirnya ?`` Maka katanya,
``Permulaan ialah ma`rifatNya dan pengakhiran adalah tauhidNya.``
Dan daripada alamat ma`rifat, bahawa dia melihat dirinya dalam genggaman Al-`Izzah dan berlari di atasnya larian qudrah. Dan daripada alamat ma`rifat ialah mahabbah, kerana siapa yang mengenalNya mengasihiNya.
Demikian antara pendapat tentang ma`rifat yang dicatat oleh Abu Nas*ral-Sarraj di dalam Al-Luma` yang lebih jelas daripada apa  yang dicatat oleh Al-Hujwiri.
Ilmu dan ma`rifat adalah mekanisme  ketahuan dan ma`rifat.

Sekian.

October 21, 2017

DOKTRIN BERCANGGAH DENGAN ISLAM


BBB,   30 Muharram 1439H. = 20 Oktober 2017M. (Juma`at):
Al-Hujwiri menyebut 12 doktrin yang mau dibicarakan. Menurutnya sepuluh daripadanya tidak bercabgah dengan Al-Sunnah, manakala dua lagi ditolak.  Doktrin Hululiyyah oleh Al-Husain Mansur (AL-Hallaj) sebagai salah satu yang ditolak, tapi tidak dibicarakan baki satu lagi.
Tentang doktrin yang diterima dan ditolak ini Abu Nas*r al-Sarraj di dalam AL-Luma`, mwnulis bahawa disamping yang diterima ada pula segolongan yang dituduh, difitnah, bahkan ada yang dianggap sebagai kufur.
Tuduhan timbul menurut Al-Sarraj oleh kerana pihak yang menuduh bukan ahli dan tidak memhami maksud yang diungkap oleh ahli sufi. Kerana tidak faham menimbulkan kekeliruan dan tuduhan yang tidak sepatutnya. Dari satu segi ada yang bermotifkan politik dan mempertahankan kedudukan. Tuduhan sengaja dilemparkan bagi menjatuhkan satu pihak agar pihak yang lain mendapat kedudukan dan kepentingan tertentu.
Menurut Al-Sarraj pihak yang menjadi mangsa tuduhan termasuklah Dzu al-Nun al-Mis*ri . Dia dituduh zindiq dan kufur. Tuduhan diangkat kepada sultan yang memerintah pada masanya. Dia menjawab segala tuduhan dengan jelas dan kekeliruan dapat di perbetulkan. Tuduhan terhadapnya ditarik balik dan dia dikembalikan kepada kedudukannya secara terhormat.
Keadaan yang sama berlaku kepada Abu Sa`id Ahmad bin `Isa al-Kharraz beliau dituduh oleh sekumpulan jamaah sebagai kufur, kerana tidak memahami kandungan  kitabnya -  Kitab al-Sirri, namun kekeliruan dan ketidakfahaman dapat dijelaskan. Selain dari dua sufi di atas terdapat beberapa kekeliruan yang lain terhadap beberapa sufi yang lain diterangkan oleh Abu Nas*r al-Sarraj.
Selain dari doktrin yang dianggap tidak bertentang dengan Islam, terdapat berbagai-bagai doktrin yang bertentang dengan Islam. Antaranya.
Pendapat yang tidak menerima wujudnya akhirat. Kepercayaan ini mempercayai hidup setakat di dunia ini sahaja. Pendapat ini wujud sejak lama. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan mereka itu (orang-orang musyrikin) berkata bahawa kehidupan adalah setakat di dunia dan kita tidak akan dibangkitan.`` (Al-Ma`idah: 29).
Di dalam ayat di atas Allah menceritakan sikap orang-orang kafir yang menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w. sejak di Makkah. Mereka melahirkan penentangan mereka dengan menentang pendapat Islam yang akhirat akan tiba dan manusia akan dibangkitkan.
Pegangan sepert  ini bukan saja wujud pada zaman lepas tetapi masih wujud dan menjadi pegangan bagi setengah yang  tidak mempercayai akhirat hingga kini.
Antara doktrin yang bercanggah dengan Islam, ialah `Doktrin Ittihad`, ianya sebalik dari hulul. Doktrin hulul ialah mempercayai Tuhun turun menjelmakan dirinya di dalam makhluk, khususnya manusia sebagaimana telah dibicarakan. Sebaliknya ittihad ialah hamba, khususnya manusia yang meningkat dirinya kepada pihak tertinggi (Tuhan). Dianya bersatu dengan Tuhan dan menganggap dirinya sebagai Tuhan. Kekeliruan mungkin timbul ada yang menganggap sufi yang meningkat kualiti diri dan mencintai Allah bersatu dengan Tuhan. Jika ada kepercayaan seperti ini adalah bertentang dengan akidah Islam. Manusia atau hamba tidak mungkin meningkat dan bersatu dengan Tuhan, walau dengan apa cara sekalipun. Ungkapan-ungkapan yang mungkin termaksud ke arah itu adalah dari rasa wajdan, intuisi dan kemesraan semata-mata. Dan seharusnya tidak timbul ungkapan-ungkapan yang boleh mengelirukan.
Selain dari doktrin di atas, terdapat doktrin yang dikenali sebagai `Wahdat al-wujud`, bermaksud yang ada hanya satu yang wujud, manakala yang lain dari segi hakikatnya tidak wujud. Doktrin ini dinisbahkan kepada Muhyi al-Din Ibn `Arabi (m.1240M.). Segala yang wujud adalah bayang-bayang bagi yang hakiki. Doktrin ini banyak menimbulkan permasalahan dari segi hukum dan keakhlakan.Umumnya menolak falsafah sedemikian, kerana ia bercanggah dengan Islam.
Selain daripada itu terdapat doktrin `Serba Tuhan`, bahawa alam dan apa yang wujud di dalamnya  ini adalah `a part and parcel` daripada Tuhan. Wujudnya, walaupun akan berlaku kerosajkan adalah berterusan. Kepercayaan sedemikian juga banyak menimbulkan kekacauan antara Tuhan dan yang dipertuhankan, antara kuasa dan yang berkuasa.  Juga tidak dapat ditegakkan dari segi peraturan, hukum, nilai dan keakhlakan.
Tentulah apa yang kita bicarakan di atas merupakan sebahagian dari kepercayaan yang bercanggah dengan Islam. Sudah pasti banyak lagi kepercayaan-kepercayaan yang wujud yang bercanggah dengan Islam.

Sekian.

October 20, 2017

DOKTRIN HULULIYYAH


BBB, 29 Muharram 1439H. = 19 Oktober 2017M. (Khamis):
Doktrin Hululiyyah (Penjelmaan atau Inkarnasi) adalah dinisbahkan kepada Husain bin Mansur al-Hallaj dan pengikut-pengikutnya. Kunyahnya Abu al-Mughith. Dia berasal dari Baydha`, Parsi. Dia terdidik di Wasit* dan Iraq. Dia bersahabat dengan Al-Junayd, Abi al-Husain al-Nuri, `Umar al-Makki dan al-Fut*i  dan lain-lain.
Dari segi doktrin, bahawa Al-Hallaj membawa  `Doktrin  al-Hulul` , dalam mana pihak Tertinggi (Tuhan) boleh turun menjelma di dalam makhluk, terutamanya manusia. Perbahasan penjelmaan ini ada berkaitan dengan roh sebagai mekanisma penjelmaan. Dan soal roh ini diperbahaskan adakah abadi  atau makhluk. Hujjah yang dipegang berkait dengan firman Allah bermaksud:
`` Engkau ya Muhammad akan ditanya berhubung dengan roh, katakanlah roh adalah dari perkara Tuhanku.`` (Al-Isra`: 85).
Dipersoalkan apakah roh itu kekal atau baharu.
Jika dikatakan kekal, maka ada yang kekal lebih dari satu. Jika berlaku penerunan ertinya lebih dari satu. Ianya tidak mungkin.
Dan dari segi akidah, tidak mungkin Yang Kekal turun menjelma di dalam yang baharu.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dipersoalkan,  ``Bahawa Al-Hallaj masuk ke Makkah dan menemui `Amrin bin `Uthman, seorang pemuda menayakan Al-Hallaj, ``Dari mana ?``Maka berkata Al-Hallaj, ``Kalaulah penglihatan engkau dengan Allah, nescaya engkau melihat tiap-tiap suatu pada tempatNya dan adalah Allah melihat tiap-tiap sesuatu.`` Kata-kata ini amat tidak disenangi oleh `Amru Ibn `Uthman. Dia tidak bersamanya lagi.
Begitu juga  pada satu hari Al-Hallaj masuk ke Is*fahan, dia diterima oleh `Ali bin Sahl. Ali bersama Al-Hallaj bercakap tentang ma`rifah. Maka berkata Husain bin Mansur (Al-Hallaj),
``Wahai Sufi, ``Engkau bercakap tentang ma`rifat sedangkan aku hidup !
Maka berkata `Ali bin Sahl, ``Ini  adalah zindiq. Lantas orang ramai berhimpun dan mengeluarkannya.
Dan beberapa contoh yang lain (Jamharat al-Awliya` Jil 2,,1387H.’1967: 165).
Dengan berbagai-bagai bukti kezindiqannya dia telah dihukum bunuh pada zaman Khalifah Ja`far bin al-Mu`tadhid  pada tahun  309H.
Dengan pegangan Husain bin Mansur yang memberi  makna Hulul, pegangannya ditolak oleh kebanyakan shaykh sufi. Mereka tidak menerimanya  sebagai sufi. Namun menurut Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah antara sufi menerimanya  seperti Abu al-Abbas bin `At*a`, Abu `Abdullah Muhammad Khafif, Abu al-Qasim  Ibrahim bin Muhammad  al-Nas*r Abadzi. Mereka memujinya, sehingga Muhammad bin Khafif mengatakan, ``Al-Husain bin Mansur `alim Rabbani``. Menurut Al-Hujwiri  Al-Hallaj mempunyai pengikut yang memperkembangkan doktrinnya seperti Faris dan Abu Ja`far Shaydalani dan Abu Hulman  yang masing-masing mempunyai pengikut-pengikut.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dihimpun oleh Al-Sulami.
Aku mendengar `Abdul Wahid bin Bakar berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Dilindungi dengan nama, maka mereka itu hidup, kalau dizahirkan kepada mereka itu ilmu-ilmu qudrat nescaya luluh-cair mereka, kalau dibukakan kepada mereka hijab tentang hakikat nescaya mereka mati.``
Katanya, dan adalah Al-Hallaj berkata, ``Ilahi, Engkau mengetahui kelemahanku daripada berbagai tempat kesyukuranku kepada Engkau, maka bersyukurlah akan diri Engkau daripadaku, kerana syukur tidak ada yang lain.``
Katanya berkata Al-Hallaj, ``Siapa yang memerhati pekerjaan dilindung daripada yang kena amal baginya dan siapa yang memerhati yang kena amal baginya, terlindung daripada melihat amalan.``
Aku mendengar `Abdul Wahid berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Nama-nama Allah Ta`ala  daripada sekira-kira dapatan tentang nama dan daripada sekira-kira haqq ialah hakikat.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Lintasan haqq ialah yang tidak menghalanginya sesuatu.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Apabila diberi kepada manusia maqam ma`rifat Allah mewahyukan kepadanya lintasan-lintasan baginya dan dijaga rahsianya hingga tidak dimasuki lintasan yang tidak benar.``
Katanya aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Al-Haqq dialah menjadi maksud kepadanya dengan beribadat, dan maksud kepadanya ialah dengan taat, tidak disaksi dengan yang lain dan tidak didapati selainnya dengan menjaga berdirinya sifat-sifat dan dengan semuanbya didsapati kerehatan.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang dimabuki oleh cahaya tauhid, terlindung daripadanya ibarat tajrid,  bahkan siapa yang dimabukkan oleh cahaya tajrid, dia bertcakap daripada hakikat tauhid, kerana kemabukan  dialah bercakap dengan sesuatu yang tersembunyi.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang mencari kebenaran dengan nur iman adalah seumpama orang menuntut matahari dengan cahaya planet-planet.``
Demikian antara ungkapan Al-Husain bin Mansur yang kontroversi dari segi tasawuf. Kebanyakan kalangan sufi menolaknya, namun ada yang mempertahankannya.

Sekian.

October 19, 2017

DOKTRIN SAYYARIYYAH

 BBB, 28 Muharram 1439H. =  18 Oktober 2017M. (Rabu):
Doktrin Sayyariyyah dinisbbahkan kepada pengikut-pengikut Abu al-`Abbas al-Sayyari yang namanya Al-Qasim bin al-Qasim bin Mahdi ibn Bint Ahmad bin Sayyar.
Dia adalah berasal dari Marwi dan shaykh bagi mereka itu. Dan dia adalah jurucakap mereka itu tentang hakikat ahwal. Dia bersahabat dengan Abi Bakr Muhammad bin Musa al-Farghani al-Wasit*i dan kepadanya dinisbahkan ilmu-ilmu bagi golongan  ini.  Dia adalah sebaik-baik jurucakap pada waktunya. Dia bercakap tentang ilmu tauhid menurut Ahl al-Sunnah. Dia juga mendalam dalam ilmu fiqh. Dia menyalin Hadith dan meriwayatkannya. Dia meninggal tahun 342H.
Dari segi doktrin Abu al-`Abbas al-Sayyari mengemukakan Doktrin `Jama` dan Tafriq` bermaksud `Menghimpun dan Memecahkan.``
Jama` juga memberi makna ``Pertambahan dan berkeselarasan` ` dan tafriq ` bereti `Pecah dan Perbedaan.``
Doktrin ini bergantung dengan angka, jumlah dan bilangan dan juga disebut dengan ilmu.
Konsep jama` lebih bermaksud kepada perkara yang baik. Misalnya  sesuatu pendapat yang benar, adalah semakin kukuh dengan ramai dan samanya pendapat dan ianya makin berkembang. Ini dapat dicontahi dari konsep `Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah`. Asas dan pendapat benar Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah` didukung ramai oleh pendukung semasa, tetapi kebenaran dan kebaikannya terus diolah dan berkembang berterusan dan secara jama` ianya terus hidup dan berkembang. Kebenaran ini ditegak oleh ilmu yang memperkembang dan yang mendukungnya.
Adapun `tafriq` yang bermaksud, pemecahan, penyimpangan, kelainan terjadi sebalik dari jama`. Penyimpangan terus berlaku, antaranya dalam batas kawalan, maksudnya dikawal oleh ilmu yang membendungnya jika bersifat menyeleweng dan jika betul, ianya boleh diterima. Ini antara maksud dalam setengah hal, ikhtilaf sebagai rahmat. Namun maksud tafriq di sini lebih kepada pentyelewengan. Tafriq pada dasarnya sesuatu yang makin mengecil, lantaran ia adalah sebahagian yang pada awalnya jama`. Penyimpangan yang menyeleweng akan ditentang dengan ilmu oleh pihak jama` sehingga akhirnya ia pupus dan ditolak. Jadi pada hakikatnya proses jama` dan tafriq ini berterusan berlaku. Yang benar terus hidup dipertahan dan diperkembangkan, manakala yang bersifat tafriq ditentang dan dibasmikan melalui ilmu.
Antara pendapat  Abu al-`Abbas al-Sayyari:
Berkata Abu al-`Abbas, bahawa hakikat ma`rifat ialah tidak terlintas di hati selain daripadaNya.
Berkata Abu al-`Abbas,  ``Siapa mengenal Allah tunduklah kepadaNya segala sesuatu, kerana Dialah yang menjaga dan memiliki semua.``
Berkata Abu  al-`Abbas, ``Tidak bercakap seseorang tentang `Al-Haqq`, melainkan sesuatu yang sebelumnya terlindung.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang dsipelihara hatinya bersama Allah tentang kebenaran, maka mengalirlah dari hatinya hikmat-hikmat kalam.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Al-Khat*rah (lintasan) bagi para anbiya`, dan al-waswasah bagi awliya, dan al-fikrah bagi awam dan azam bagi pemuda.``
Disoal Abu al-`Abbas  firman Allah bermaksud: ``Dia melazimkan mereka itu dengan kalimah taqwa dan merekalah berhak dengannya dan ahlinya`` (Al-Fath*: 28).
 Maka katanya, merekalah ahli sejak azali dengan taqwa, maka zahir pada  mereka pada waktu itu kalimah iman dan ikhlas.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Tidak istiqamah iman seorang hamba sehingga dia sabar dengan kehinaan seperti dia sabar di atas kebaikan.
Didengar `Abdul Wahid bin `Ali berkata, `` barkata Abu al-`Abbas, ``Al-Rububiyyah meluluskan  perkara, kemahuan, taqdir dan qadhiyyah dan Al-`Ubudiyyah ialah mengetahui yang disembah dan menunaikan apa yang dijanjikan.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Pakaian hidayah bagi am, pakaian haibat bagi `arifin, pakaian hiasan bagi ahli dunia, pakaian pertemuan bagi para awliya` dan pakaian taqwa bagi ahli al-hudhur. Firman Allah Ta`ala bermaksud, ``Dan palaian taqwa yang sedemikian lebih baik``. (Al-A`raf: 26)
Berkata Abu al-`Abbas,  dikatakan bagi setengah hukama`, ``Dari mana sumber kehidupan engkau ? Katanya, ``Daripada orang sempit kehidupan diberi kepada yang dikehendaki tanpa `illah dan Dia meluaskan kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa `illah.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang teliti pandangan tentang perkara agamanya Allah meluaskan jalan baginya, siapa yang meluaskan pandangan pada perkara agamanya disempitkan jalan pada waktunya, siapa yang cuai hak-haknya terhadap hak Allah dia menerima  kesusahan dan akibat.
Dan berkata Abu al-`Abbas al-Sayyari,
``Tidaklah Allah Ta`ala menzahirkan sesuatu, melainkan sesuatu yang tersembunyi dan Dia melindungi keburukan sesuatu daripada sesuatu hingga tidak sama dua makluman dan tidak dua ma`rifat dan tidak dua qudrat.``
Demikian pendapat Abu al-`Abbas al-Sayyari yang dapat direnungi.

Sekian.

October 18, 2017

DOKTRIN KHAFIFIYYAH - KEHADHIRAN DAN KETIDAKHADHIRAN


BBB, 27 Muharram 1439H. = 17 Oktober 2017M. (Selasa):
Doktrin Khafifiyyah adalah dinisbahkan kepada pengikut-pengikut Abu `Abdullah bin Khafif yang namanya ialah Muhammad bin Khafif bin Ispakshad  al-S*abba di muqim Shiraz. Ibunya dari Naisaburiyyah. Dia diibaratkan sebagai shaykh kalangan shaykh-shaykh pada masanya.
Dia bersahabat dengan Ruym dan Al-Jariri dan Abu al-`Abbas bin `At*a`, dan Tahir al-Maqdisi  dan Abu `Amrin al-Dimashqi. Berkesempatan bertemu dengan Al-Husain bin Mansur. Dia alim di dalam ilmu zahir dan ilmu haqiqat. Dia mengarang berbagai risalah di dalam berbagai cabang ilmu tasawuf. Pendeknya dia shaykh tunggal pada masanya dari segi hal, ilmu dan akhlak. Dia meninggal tahun 371H.
Gambaran yang diberi terhadap Abdullah al-Khafif jauh berlainan dari Al-Hujwiri yang tidak munasabah sebagai watak sufi. Dia seolah-olah  sebagai watak di dalam cerita Seribu Satu Malam. Dikatakan dia adalah berketurunan raja dan berkahwin dengan 400 perempuan. Kemudian terlibat dalam tasawuf dan bertaubat.
Doktrinnya ialah tentang konsep kehadhiran dan ketidakhadhiran.
Maksud hadhir ialah kerinduan hati kepada Tuhan antara kesampaian dan ketidaksampaian. Menurutnya ketidakhadhiran  adalah dalam menuju kehadhiran dan akhirnya antara kehadhiran  dan ketidakhadhiran adalah sama.
Kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah merupkan hal dalam perjalanan kualiti dalam menuju Ilahi. Ianya bersifat maknawi dan bukan hakiki dari segi kehadhiran. Ianya adalah merupakan pengalaman bersifat rohani bersifat intuitif, wujdan dan kehambaan. Apa yang disifatkan kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah nisbi, relatif dan bukan hakikli sama ada hadhir atau tidakhadhir. Akidah Sunni membataskan antara hamba dan Tuhan, bahawa tidak mungkin kehambaan walaupun dengan apa kaedah dikatakan  bersama,  apalagi bersatu dengan Tuhan.
Antara ungkapan-ungkapan  Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif yang dicatat oleh Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah, amtaranya:
Mengkhabarkan kami Muhammad bin Khafif sebagai menurunkan ijazah, bahawasanya dia disoal tentang tasawuf, maka katanya:
``Membersih hati  dari sifat keinsanan (yang keji), memisahkan dari tabiat keji, memadamkan sifat keji kemanusiaan, menjauhi dakwaan-dakwaan diri, meningkatkan sifat-sifat kerohanian,  cenderung dengan ilmu-ilmu yang bersifat hakikat dan mengikut Rasulullah s.a.w. dari segi shari`ah.
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Kemabukan jiwa, ialah gelora hati di dalam suasana dzikir kepada Allah.``
Dan berkata Muhammad bin Khafif, ``Iman ialah membenarkan hati daripada apa yang diberitahu tentang haqq berhubung dengan perkara-perkara ghaib.``
Berkata Muihammad bin Khafif, ``Takut  ialah kegoncangan hati mengetahui tentang kekuasaan yang disembah.``
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Taqwa ialah menjauhi apa yang menjauhkan engkau dari Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Berkata Muhammad bin Khafif, ``Tawakkal ialah memadai dengan jaminanNya dan menggugurkan tohmah tentang qadha`Nya.``
Dan berkata Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif, ``Hakikat iradat ialah berterusan usaha dan meninggalkan rehat.``
Dan berkata Abu `Abdullah.  ``Tuntutan berbagai-bagai.
Maka tuntutan iman, apa yang menunjukkan engkau kepadanya dengan tas*diq yang benar dari janji baik dan janji jahat.
Dan tuntutan ilmu apa yang menerangkan kepada engkau hukum-hukumnya, maka zahirlah dalil-dalilnya.
Dan tuntutan kebenaran dengan menggunakannya.
Dan tuntutan yang hak ialah apa nyata tentang kenyataan dan engkau cenderung mempertahankannya.``
Disoal  Abu `Abdullah Muhammad bin Khafif daripada kedekatan, Kedekatan engkau kepadaNya dengan melazimkan muwafakat dan kedekatanNya kepada engka u dengan berterusan taufik.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Yang sampai ialah siapa yang berhubung dengan yang dikasihinya, tanpa yang lain daripadanya. Yakni ghaib yang lain dariNya.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Rindu ialah yang terbakar di dalam ingatan dan tertegah dari pengaduan.``
Dan berkata Abu `Abdullah, ``Himmah tarikan penyaksian yang mendorong pergi ke arahnya.``
Ungkapan-ungkapan pada bahagian akhir membayangkan maksud dari apa yang diistilahkan sebagai `Kehadhiran dan ketidakhadhiran`  itu yang membayangkan apa yang dianggap kehadhiran adalah dari segi  intuitif  dan  wajdan dan bukan dari segi hakikat sebenarnya, lantaran itu dikatakan pada peringkat tertinggi kehadhiran dan ketidakhadhiran adalah bersamaan.


Sekian.

October 17, 2017

DOKTRIN KHARRAZIYYAH (FANA` & BAQA`)


BBB, 26 Muharram 1439H. =  16 Oktober 201`7M. (Isnin):
Doktrin Kharraziyyah dinisbahkan kepada pengikut-pengikut bagi faham berkenaan yang dinisbahkan kepada Abu Sa`id  al-Kharraz. Namanya Ahmad bin `Isa. Dia adalah dari ahli Baghdad, bersahabat dengan Dzul al-Nun al-Mis*ri dan Abu `Abdullah al-Nabaji dan Abu `Ubaid al-Bisri. Juga bersahabat dengan Sari al-Saqat*i dan Bish bin al-Harith al-Hafi dan lain daripada mereka itu. Dia daripada imam tertinggi dan shaykh kesufian utama mereka. Beliau meinggal pada tahun 279H.
Abu Sa`id al-Kharraz dikatakan bahawa beliau adalah dari kalangan mereka terawal bercakap tentang `Ilmu al-Fana` dan Ilmu al-Baqa`.
Konsep fana dari segi akidah, bahawa selain daripada Allah Ta`ala adalah tertakluk di bawah fana, tidak kekal dan akan binasa. Bukti kefanaan adalah jelas berlaku kerosakan, kematian dan puncak kefanaan apabila berlaku kerosakan besar yang dikenali dengan kiamat.
Adapun yang baqa` adalah Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat baqa` tiada dahulu dan tiada akhir atau diibaratkan juga Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir.
Abu Sa`id mengarang karya cemerlang  dan membicarakan tentang fana` dan baqa`. Menurutnya ada tiga kategori  baqa`.
Pertama:  baqa` yang bermula dan berakhir dalam fana contohnya dunia ini.
Kedua:  Baqa` yang sesuatu sudah berwujud dan tidak akan pernah fana`, ya`ni syurga dan neraka, dan akhirat serta penghuninya.
Ketiga:  Baqa` yang sentiasa ada dan akan selalu ada ya`ni kelangsungan Tuhan dan sifat-sifatNya yang azali-abadi.
Menurut Al-Hujwiri Abu  Sa`id al-Kharraz  menampilkan konsep fana dan baqa` yang dikaitkan dengan hal, iaitu dengan bertukar dari satu hal kepada hal yang lain yang  dia berubah, maka dia kekal (baqa`) dengan hal yang baharu itu. Contoh yang dibawa, kebodohan lenyap dengan perubahan berpengetahuan. Dosa lenyap dengan wujudnya taqwa dan kelalaian lenyap dengan adanya ingat – dzikir.  Ini dimaksudkan mencapai kebaqaan  dan fana hilang dari satu sifat dengan kebaqaan sifat yang lain. Namun konsep  fana dan baqa` secara hal ini, bukanlah erti fana` dan baqa` sebenarnya. Ianya merupakan perubahan dari satu hal kepada hal baru yang dianggap kekal atau baqa` dengan baqa` yang berkenaan. Pada hakikatnya bukan fana dan baqa`, sebaliknya perubahan keadaan yang pada hakikatnya tidak tepat dan tidak sesuai menggunakan istilah fana` dan baqa`, sebaliknya lebih membawa kepada kekeliruan.
Kita kira apa yang dapat diterima sebagai doktrin al-Kharraz  ialah apa yang diungkapkan oleh  Abu Sa`id al-Kharraz, bahawa konsep fana` dan baqa` yang diutarakan itu bahawa,
``Fana` itu  adalah lenyapnya kesedaran tentang manusia dan baqa` adalah kelangsungan dalam tafakkur tentang Tuhan.``
Yakni fana` adalah ketibaan pada peringkat sedar akan hakikat fana` diri dan alam, bahkan kewujudan selain daripada Tuhan hingga mencapai peringkat kesedaran tertinggi yang ada ialah Tuhan yang baqa`, di atas kesedaran ini berlangsungnya  tafakkur tentang Tuhan.``
Walau bagaimana ketibaan pada peringkat di atas adalah pada peringkat intuitif dan wujdan, kewujudan diri dan alam tetap wujud walaupun pada peringkat relatif, atau dalam istilah akidah wujud yang baharu. Konsep fana` dan baqa` dari segi realiti biasa tetap menjadi pegangan. Manusia dan alam tetap di dalam batas fana` dan tak mungkin menginjak kepada tahap baqa` seperti baqa` Tuhan !
Antara ungkapan Abu Sa`id al-Kharraz yang mencerminkan tentang doktrinnya:
Aku mendengar `Umar bin `Abdullah al-Farghani berkata, aku mendengar Ibn al-Katib berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, ``Sesungguhnya Allah Ta`ala menjadikan roh-roh para auliya`nya lazat mendzikiriNya dan sampai kepada kedekatan denganNya dan menjadikan diri (badan) mereka ne`mat daripada yang mereka capai bagi kebaikan mereka. Allah memberi ganjaran kepada mereka pada setiap keadaan, maka hidup badan mereka dengan kene`matan, dan hidup mereka dalam kehidupan dipelihara oleh al-Rabb. Bagi mereka dua lisan. Lisan  pada batin. Dia mengenal Pencipta yang mencipta dan lisan zahir yang dia mengetahui dari segi kemakhlukan dan bertindak seperti biasa dan lisan batin dengan munajat roh-roh mereka.
Katanya disoal Abu Sa`id tentang al-uns, apa dia ? Maka katanya,
``Gembira hati dengan kedekatan kepada Allah Ta`ala dan sukacita dengannya, tenamg dalam heningnya denganNya dan aman dengannya dengan segala keindahan, segalanya menunjukkan ke arahNya. Dia merasa ne`mat dan tiada kekosongan denganNya.
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Jariri  berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, pada makna sabda Nabi s.a.w.
``Terpaut hati  mengasihi terhadap siapa yang membuat baik kepadanya``. Wahai hairan siapa yang tidak melihat kebaikan terhadap lain dari Allah. Bagaimana boleh dia sedar keseluruhan adalah kebaikan dari Allah ?
Aku mendengar Qas*r bin Abi Nas*r berkata, aku mendengar  Qasim ghulam al-Zaqqaq berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Bakri berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, ``Tiap-tiap batin yang menyalahi zahir, maka dia adalah batal.``
Aku mendengar Ahmad bin `Ali bin Ja`far berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Kattani berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata,
``Bagi kalangan `arifin ada perbendaharaan, disimpannya ilmu-ilmu yang berharga dan berita-berita yang pelik, mereka bercakap dengan lisan abadi dan memberitakannya dengan ibarat-ibarat yang azali.``
Apa yang diperkatakan oleh Abu Sa`id al-Kharraz, selain dari ungkapan biasa terluah sama ibarat-ibarat yang intutif, wujdan dan rohani.

Sekian.

October 16, 2017

DOKTRIN AL-HAKIMIYYAH


BBB, 25 Muharram 1439H. =  15 Oktober 2017M. (AHAD):
Doktrin Al-Hakimiyyah adalah dinisbahkan kepada pendukung atau pengikut Abu  `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakim al-Tirmidzi. Kunyahnya ialah Abu `Abdullah. Seorang pemimpin terkenal dan banyak ilmunya dan banyak karya yang dihasilkan berkait dengan  bt*iniyyah dan lahiriyyah.
Abu `Abdullah bersahabat dengan Abi Turab al-Nakhshabi dan bersahabat dengan Yahya al-Jala` dan Ahmad bin Khadhrawayh. Dia dianggap dari kalangan ulama` besar Khurasan.
Doktrin yang dikaitkan dengan Abi `Abdillah al-Tirmidzi  ialah tentang kewalian.
Menurut pendapat ini Allah mempunyai wali-wali yang khusus yang dipilih. Wali-wali ini lepas dari ikatan dunia, bebas dari gangguan nafsu syaitan, mereka berkedudukan khusus dan dibuka rahsia bagi mereka. Para shaykh mengakui tentang wali sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah, mereka tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus : 62).
Berikut dari wujudnya kewalian, maka terdapat atau berlaku di kalangan wali ini `karamat`, iaitu kejadian atau peristiwa atau perlakuan yang luar biasa berlaku pada wali-wali berkenaan.
Mereka berpendapat kelebihan yang diberi kepada nabi dan rasul dengan mu`jizat, maka bagi wali-wali ialah karamat. Dengan demikian kedudukan mereka tinggi selepas kedudukan nabi-nabi dan rasul-rasul. Pandangan ini tidak menyenangkan setengah pihak, apakah sebenarnya kalangan sufi sahaja berada pada kedudukan selepas rasul dan nabi ?
Kalangan sufi sendiri tidak menyetujui pendapat sedemikian dan tidak membicarakan tentang konsep wali dan karamat.
Karamat sesuatu yang tidak dinafikan, tetapi tidak khusus kepada satu pihak, bahkan yang mengetahui dan memberi kemuliaan kedudukan  adalah Allah Ta`ala semata-mata.
Lagi pula konsep awliya` bukan semestinya bermaksud wali-wali  dari segi kerohaniam, ianya merujuk kepada mereka yang berkuasa atau diberi kekuasaan. Sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Bahawa wali-wali Allah adalah orang-orang bertaqwa, akan tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.` (Al-Anfal: 34).
Asal ayat ini merujuk kepada mereka yang layak menjaga Baitullah ialah dari kalangan wali-wali Allah – penguasa-penguasa kalangan orang Islam, yang bererti mereka tidak semestinya dari kalangan sufi.
Berhubung dengan konsep wali dari kalangan sufi yang dirujuk kepada pendapat `Abdul Hakimi ini, Al-Sulami di dalam al-Tabaqat, dan Al-Qushairy di dalam  al-Risalat al-Qushairiyyah yang kedua-kedua pengarang ini membicarakan tentang Abdullah al-Hakimi di dalam karya-karya mereka  tidak membicarak aspek  wali  dan karamah di dalam karya-karya mereka.
Antara ungkapan-ungkapan yang dipetik Al-Sulami tentang `Abdullah al-Hakimi:
Aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi,
``Tidaklah kejayaan dengan banyaknya amalan, sesungguhnya kejayaan di sana dengan ikhlas dan mengelokkannya.``
Dengan sanad yang sama, berkata Muhammad bin `Ali,`` Daripada syarat menjadi khadam ialah tawadhu` dan penyerahan.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,
``Manusia dari segi mendengar hikmah ada dua jenis,  yang berakal dan yang bekerja. Yang berakal taajjub. Dia menggemari apa yang didengarnya dan yang bekerja berbolak-balik seolah-olah hatinya seperti ular yang berkelok-kelok.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Tiadalah di dunia ini bagi pihak tertentu- beban yang lebih berat dari melakukan kebajikan, kerana siapa yang melakukan kebajikan dia dibeban dengan kepercayaan,  siapa yang merenggangkan dia menolak engkau.``
Dan dengan sanad yang sama kata Muhammad bin `Ali, ``Cukuplah bagi seseorang merasa aib  menggembirakannya dengan apa yang memudharatkannya.``
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi berkata, aku mendengar al-Hasan bin `Ali berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi berkata, ``Mendoa oleh orang yang muwahhidin di dalam solat lima waktu, mohon rahmat ke atas mereka, maka disediakan bagi mereka berbagai kunjungan supaya dicapai oleh hamba daripada apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan, sebagai sesuatu dari pemberian, maka perbuatan seperti makan, dan kata-kata seperti minuman. Dia adalah kurniaan bagi muwahhidin.``
Dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Yang berakal ialah yang bertaqwa kepada Allah dan memuhasabahkan dirinya.`        `
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Allah Ta`ala  menjamin bagi hambanya rezeki dan difadhukan ke atas mereka itu bertawakkal.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Hakikat mahabbah hendaklah berterusan bersifat `al-uns` dengan dzikir kepadaNya.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,  ``Kawal hati menyempurnakan khashyah (takut) dan kawal diri menyempurnakan taqwa.``
Demikianlah ungkapan Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakimi al-Tirmidzi sebagaimana yang dihimpun oleh Al-Sulami dan tiada kedapatan persoalan  wali dan karamah.

Sekian.

October 15, 2017

DOKTRIN SAHLIYAH DAN UNGKAPAN


BBB,  24 Muharram 1439H. =  14 Oktober 2017M. (Sabtu):
Doktrin Sahliyah dinisbahkan kepada Sahl bin `Abdullah al-Tustari,  Dia adalah Sahl bin `Abdullah bin Yunus bin `Isa bin `Abdullah bin Rafi` dan kunyahnya ialah Abu Muhammad. Dia adalah imam kaum dan `ulama` mereka itu. Dia adalah seorang sufi besar. Dia bercakap tentang ilmu riyadhiyat, tentang ikhlas dan keaiban perbuatan.
Dia bersahabat dengan Muhammad bin Siwar dan menyaksikan Dhu al-Nun al-Mis*ri pada masa dia keluar menunaikan haji di Makkah. Dia meninggal tahun 283H.
Doktrinnya ialah Mujahadah meniadakan (menentang) nafsu dan latihan kezuhudan bagi melazimkan diri mengingati Allah, iaitu dengan jalan berzikir.
Iaitu dengan melazimkan ucapan dan ulangan dzikir – Allah, Allah, Allah, terus menerus dalam satu hari hingga terbiasa dengan ucapan kata-kata itu. Dan lakukan hal yang sama pada hari berikut sampai terbiasa mengucapkannya. Bahkan terbiasa pada malam sehingga tenggelam dalam mengingati Allah.
Mujahadah menentang nafsu bermula dengan mengenali hakikat nafsu yang dikira sebagai jiwa rendah.
Doktrin Sahliyah melihat bahawa nafsu adalah sumber bagi kejahatan.
Adapun nafsu itu ada yang mengatakan ianya suatu `ayn (benda) dalam badan
Ada  pula yang mengatakan dia adalah sifat badan yang bertaraf rendah.
Ianya merupakan tindakan atau sifat-sifat tidak terpuji dari diri seperti sombong, takabbur. Irihati, dengki, mengupat, marah dan sebagainya. Semuanya itu termasuk perkara-perkara dosa.  Sama ada bersifat lahiriah seperti mengumpat, marah, mencuri dan sebagainya atau bersifat dalaman seperti dendam, benci, riya`  dan sebagainya.
Doktrin Sahliyah juga membicarakan cara-cara mengatasi unsur –unsur bertaraf rendah di dalam diri yang bersifat dosa kepada taraf tinggi menjadi pahala. Antara jalannya ialah bermujahadah dengan taubat dan membersih diri dengan dzikir sebagaimana disebutkan pada permulaan. Seterusnya dengan berbagai-bagai ibadat. Semua ini termasuk di bawah proses mengenal diri, lantaran diungkapkan:
``Siapa yang mengenal diri dia mengenal Tuhannya.``
Pengenalan menukarkan elemen rendah diri yang keji kepada terpuji
Menghendar dari pengaruh syaitan kepada jiwa malaikat.
Menukar dari perkara dosa kepada berpahala
Menukar dari elemen neraka kepada syurga.
Didengar dari Abu al-Husain al-Farisi berkata, aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, berkata Sahl, ``Siapa yang kosong hatinya daripada menyebut tentang keakhiratan, maka dia terdedah kepada waswas syaitan.``
Adalah didengar bahawa Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidaklah bagi hati dan nafsu, melainkan Allah memerhatikannya sama ada malam atau siang. Sesungguhnya hati atau nafsu memerlukan kepada ilmu atau dipengaruhi iblis.
Berkata Sahl bin `Abdullah, adalah kewajipan bagi sufi tiga perkara, memelihara rahsianya, menunaikan kefardhuan dan menjaga kefaqirannya.
Berkata Sahl, ``Allah ialah kiblat niat, dan niatr kiblat hati, dan hati kiblat badan, dan badan kiblat anggota  dan anggota kiblat dunia.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Siapa yang bersifat  z*an  diharam  (terhalang) daripadanya keyakinan, siapa yang bercakap perkara-perkara tidak berkenaan terhalang daripadanya kebenaran, dan siapa yang anggotanya sebok dengan perkara-perkara tidak disuruh Allah terhalang daripadanya wara`.``
Dihikayatkan daripada Sahl bin `Abdullah yang berkata ada tiga fitnah yang merosakkan:
Fitnah am, iaitu yang mengabaikan ilmu.
Fitnah khas, yang mencari rukhs*ah an menta`wil
Dan fitnah ahlu al-ma`rifat, yang sepatutnya  melazimkan  hak waktu dengan menangguhkannya kepada waktu yang lain.
Berkata Sahl bin `Abdullah: Usul bagi kita tujuh perkara::
Berpegang dengan kitab Allah Ta`ala (Al-Qur`an)
Mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.
Memakan yang halal, menegah dari perkara-perkara menyakitkan (merosakkan)
Menjauhi perkara-perkara dosa, taubah dan menunaikan hak-hak.
Ibn `Is*am berkata, dia mendengar Sahl bin `Abdullah berkata, ``
``Tidak ada penolong melainkan Allah, tidak ada dalil melainkan Rasulullah, tidak ada bekalan melainkan  taqwa dan tidak ada amal melainkan dengan sabar.
Dan berkata Sahl bin `Abdullah, amalan ialah dengan taufik dan taufik daripada Allah dan kuncinya ialah do`a dan merendah diri (tadharru`).
Demikian Doktrin Sahliyah dan ungkapan-ungkapan.

Sekian.

October 14, 2017

TASAWUF-PERSAHABATAN, DOKTRIN AL-NURI


BBB, 23 Muharram 1439H. = 13 Oktober 2017M. (Juma`at):
Abu al-Husain al-Nuri – Nama penuh baginya ialah Ahmad bin Muhammad, dilahir dan terdidik di Baghdad, keturunan asal dari Khurasan, iaitu satu kampung  di antara Hirat dan Marwi al-Rudz yang dipanggil Bu`thur, lantaran itu kata Al-Sulami dia juga dikenali  dengan panggilan `Ibn al-Baghawi.``
Abu al-Hasan al-Nuri adalah dari kalangan shaykh dan `ulama` terkenal yang tiada tanding pada zamannya. Dia mempunyai t*ariqat yang elok dan kalam yang lembut. Dia bersahabat dengan Sari al-Saqat*i, Muhammad bin`Ali al-Qas*s*ab dan berkesempatan dengan Ahmad al-Hawari. Dia meninggal pada tahun 295H.
Menurut Al-Hujwiri dua prinsip utama bagi Doktrin Nuri, iaitu `Tasawuf dan Persahabatan.`
Dari segi tasawuf Nuri berkata, ``Tasawuf ialah meninggalkan sesuatu yang berkepentingan diri.`` Ianya juga mengutamakan orang lain, termasuklah kawan.
Menurut Al-Hujwiri berkata  Al-Nuri lagi, Tasawuf adalah lebih unggul dari kefaqiran.`` Al-Nuri juga tidak bersetuju dengan konsep `uzlah, sebaliknya menekankan persahabatan.
`Uzlah dengan maksud pengasingan diri, beramal secara perseorangan, kemungkinan disusupi oleh syaitan yang mnenyelewengkan seseorang, sebaliknya dengan persahabatan yang ikhlas, bukan saja dapat membantu antara satu sama lain, tetapi lebih penting menegur dan memperbaiki kesilapan antara satu sama lain. Sebagaimana disebut di atas dalam persahabatan keutamaan harus diberi kepada kawan dan orang lain dari diri sendiri.
Model yang paling utama ialah persahabatan kaum Ansar yang mengutamakan kepentingan kaum Muhajirin dari kaum Ansar sendiri, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan mereka yang terdahulu yang awal daripada orang Muhajirin dan Ansar yang mengikut mereka itu dengan ihsan . Allah redha terhadap mereka dan mereka meredha daripadanya.`` (Al-Taubah: 100).
Orang-orang Ansar pada peringkat permulaan Hijrah memberi bantuan kepada orang  Muhajirin  hasil dari kukuhnya persahabatan di kalangan mereka.
Sesungguhnya konsep sahabat amat penting di dalam Islam. Sejarah memperlihatkan peranan sahabat antara Rasulullah s.a.w. dengan Sayyiduna Abu Bakar dan sahabat-sahabat yang lain berjaya memperkukuhkan Islam. Sahabat-sahabat juga meningkatkan keilmuan dan kekuatan umat Islam.
Konsep sahabat Al-Nuri adalah terkesan dari riwayat sebuah Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Qasim, `Abdul Rahim bin `Ali, al-Bazzar al-Hafiz* di Baghdad berkata, bercakap kepada kami Abu `Abdullah, Muhammad bin `Umar bin al-Fdhl, bercakap kepada kami Muhammad bin `Isa al-Dihqan, katanya, adalah aku berjalan bersama Abi al-Husain, Ahmad bin Muhammad terkenal dengan Ibn al-Baghawi al-Sufi, maka kataku kepadanya, ``Apa yang memelihara Al-Sari Saqat*i, maka katanya bercakap kepada kami Al-Sari, daripada Ma`ruf al-Karkhi daripada Ibn al-Samak, daripada Al-Thauri daripada Al-A`mash daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Siapa yang menunaikan kepada saudaranya yang muslim satu hajat, adalah baginya pahala seperti orang yang berkhidmat kepada Allah di dalam menunaikan `umrahnya.``
Berkata Muhammad bin `Isa al-Dihqan, aku pergi kepada Sari al-Saqat*i, maka  aku bertanya kepadanya, maka katanya, aku mendengar Ma`ruf bi Fairuz al-Karkhi berkata, ``Aku keluar daripada Kufah, maka aku melihat seorang lelaki zuhud yang dipanggil Ibn  al-Samak, kami bermuzakarah tentang ilmu. Maka katanya bercakap kepada kami Al-Thauri daripada Al-A`mash seumpamanya.``
Disoal lagi Nuri tentang tasawuf, maka katanya, ``Tiadalah tasawuf itu pada tulisan dan bukan pada ilmu yang banyak, tetapi adalah pada akhlak.``
Didengar daripada `Abd al-Wahid bin Abi Bakr berkata, aku mendengar `Ali al-Fata berkata, aku mendengar Aba al-Husain al-Nuri berkata, ``Ahli agama berdiri  (menunaikan kewajipan), ahli tauhid berjalan, ahlu al-redha di dalam kerehatan, orang terputus dalam keheranan. Kemudian dia berkata, ``Sesungguhnya yang haqq apabila zahir, hancurlah tiap yang tertutup dan terlindung.``
Berkata Al-Nuri, ``Semulia-mulia perkara pada zaman kita dua,  orang alim yang beramal dengan ilmunya dan  orang `arif yang bercakap tentang hakikat.``
Disoal Al-Nuri tentang faqir yang sebenar, maka katanya, ``Ialah yang tidak menuduh (tohmoh) Allah Ta`ala dengan sebab-sebab dan dia tenang dalam segala hal.``
Menurut Al-Sarraj Al-Nuri adalah dari kalangan al-wajidin, berintuisi dan berestetik. Dia sering berpuisi.  Antaranya katanya:
Renungilah dengan mata kebenaran, jika kau perhatikan
Kepada  keindahan pada langit bumi mengkagumkan
Jangan utamakan kepentingan diri ambil kesempatan
Jadilah pemerhati kebenaran pada kekuasaan Tuhan.
Dikatakan pada suatu hari Al-Nuri mengungkapkan, ``Aku mencintai Allah dan Dia mencintaiku.`` Dengan ungkapan itu dia dianggap zindiq dan dibawa kepada pengetahuan Khalifah Al-Muwaffiq pada zamannya untuk dihukum. Bila ditanya, dia membaca ayat Al-Qur`an:
 ``Yuhibbuhum wa yuhibbunahu` (Al-Ma`idah: 54),  bermaksud:
``Dia mencintai mereka itu dan mereka itu mencintaiNya .``
Dia meneragkannya kepada Khalifah dengan lembut, halus dan teliti sehingga Sultan terpegun dan mengalir air mata membenarkan. !
Satu pendapat bernas  Al-Nuri sebagaimana dicatat oleh  Al-Hujwiri, bahawa terdapat sepuluh doktrin tasawuf yang diterima – tidak termasuk yang ditolak dan kita sedang membincangkan.

Sekian.

October 13, 2017

DOKTRIN KESEDARAN AL-JUNAYDIYYAH : IMAM SEGALA ALIRAN


BBB, 22 Muharram 1439H. = 12 Oktober 2017M. (Khamis):
Doktrin Al-Junaydiyyah adalah dinisbahkan kepada Al-Junayd bin Muhammad, Abu al-Qasim al-Kharraz. Ayahnya seorang peniaga barang-barang kaca, oleh kerana itu dia juga dipanggil `Al-Qawaririyy`. Dia berasal dari Nahawand, tapi berkelahiran dan mendapat pendidikan di `Iraq. Dia seorang yang mendalam dalam bidang fiqh dan mempelajari ilmu fiqh dari Abi Thaur. Dia bersahabat dengan Al-Imam al-Shafi`e, Sari al-Saqat*i, al-Harith al-Muhasibi, Muhammad al-Qas*s*ab al-Baghdadi dan lain daripada mereka itu. Dia adalah imam kaum dan menjadi pemimpin mereka itu. Dia diterima oleh semua pihak. Dia meninggal pada tahun 297H.
Menurut Mahmud Abu al-Faydh di dalam Jamharat al-Awliya`,
Al-Junayd sebagaimana disebut mendalam di dalam keilmuan shari`at dan mmpunyai persediaan sempurna dari segi keilmuan zahir dan batin.
Al-Junayd dikatakan berkata, ``Semua jalan (al-t*uruq) adalah tertutup bagi makhluk, kecuali mengikut jalan Rasulullah s.a.w. dari segi shai`atnya, mengikut sunnahnya dan melazimi t*ariqatnya. Kerana jalan kebaikan adalah sentiasa terbuka.``
Al-Junayd juga berkata, ``Ilmu kami bergantung pada al-Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah.``
Berlainan dengan Al-Bistami yang berpegang kepada Doktrin `Kemabukan`, maka doktrin Al-Junayd ialah `Ketidakmabukan` (Kesedaran).
Al-Junayd ditanya, ``Bagaimanakah t*ariq (jalan) kepada Allah ?``. Dia menjawab,
``Berterusan taubat, takut,  menghilangkan kesombongan dan raja` yang boleh mebangkingkatkan kepada perbuatan kebajikan dan muraqabah pada setiap lintasan hati.``
Antara pendapatnya tentang tasawuf, ``Bahawa tasawuf ialah bersih mu`amalah bersama Allah Ta`ala. Asalnya ialah berpaling dari cintakan dunia.``
Berkata Al-Junayd, ``Bahawa tasawuf adalah terbina atas akhlak lapan para anbiya` a.s. , iaitu:
Bersifat pemurah  seperti Nabi Ibrahim, redha seperti Isma`il, sabar seperti Ayyub,
Bermanis muka seperti Zakariyya, ghurbah seperti Yahya, memakai baju bulu seperti Musa,
Al-sibahah seperti `Isa  dan faqr seperti Nabi Muhammad s.a.w.``
Al-Junayd ditanya, ``Tidakkah kalam anbiya` isyarat tentang mushahadat ?``
Maka dia tersenyum dan menjawab, ``Kalam anbiya` dibina di atas kehadhiran wahyu dan kalam s*iddiqin ialah isyarat daripada mushahadah yang membangkitkan daripadanya ilham.``
Disoal Al-Junayd tentang siapa dikatakan al-`arif ?, katanya,
``Warna air seperti warna bekasnya.``  (ya`ni zahir dengan warna bekasnya dan mengetahui tiap manusia akan minuman mereka).
Dan dia ditanya lagi tentang al-`arif, maka katanya,
``Siapa yang bercakap tentang rahsia engkau dan engkan terdiam, bahawa dia membukakan halnya akan hal engkau. Dan ini tidak perlu dicakapkan. (Jamharat al-Awliya`, Juz` 2, 1387/1967: 149- 152).
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi bahawa Al-Junayd ditanya tentang tauhid, maka katanya,
``Menunggalkan yang mengesa dengan tahqiqkan wahdaniyyatNya dengan sempurna keesaanNya, bahawasnya Dialah yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tidak ada lawan dan persamaan dan penyerupaan, tidak disembah selain daipadanya. Tidak tashbih dan tidak bagaimana, tidak ada gambaran dan tidak ada tamthil. Tuhan yang Esa, S*amad, tunggal dan tidak ada bandingan dengan sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat.``
Dia disoal sekali lagi tentang tauhid, maka katanya, ``Hilang garis tulisan dan bertingkat keilmuan dan Allah Ta`ala berterusan (lam yazal).
Dan disoal Al-Junayd tentang  tauhid khas, maka katanya,
``Adalah hamba sebagai bayangan di hadapan Allah `Azza wa Jalla berlari di atasnya larian tadbirNya, di dalam larian hukum qudratNya di dalam kancah lautan tauhidNya dengan fana` hamba daripada dirinya dan daripada dakwaan makhluk bagi dan daripada istijabahnya dengan haqiqat wujud wahdaniyyatNya pada haqiqat kedekatanNya dengan hilang rasa dan geraknya, bagi mendirikan haqq bagiNYa dengan apa yang dikehendaki daripadanya. Dan dia adalah kembali akhir hamba kepada awalnya, maka adanya sebagaimana telah ada sebelum ada kini.``
Katanya lagi,``Tauhid ialah keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadaniyyah.`` (Al-Luma`, 1380/1960: 49).
Mencatat Al-Sulami yang mendengar Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata, berkata Al-Junayd, ``Mendekatkan wajdan ialah himpunan dan ghaib dari keinsanan adalah pecahan.``
Berkata Al-Junayd, ``Kejayaan  menunaikan tiap-tiap hajat daripada dunia ialah meninggalkannya.``
Berkata Al-Junayd, ``Waktu apabila luput tidak boleh didapati kembali dan tiada sesuatu lebih mulia daripada waktu.``
Berkata juga Al-Junayd, ``Membuka sesuatu `pintu` ialah dengan usaha.``
(Al-Sulami, T*abaqat al-Sufiyyah, 1389/1969: 155-163).
Demikianlah ungkapan Al-Junayd dengan berbagai persoalan dari cara yang mudah kepada secara mendalam, namun dia berada pada batas akidah dan shari`ah yang dia tergolong di bawah doktrin Kesedaran. Dia adalah menjadi imam bagi segala aliran.

Sekian.

October 12, 2017

DOKTRIN ABU YAZID AL-BIST*AMI: KEMABUKAN DAN KESEDARAN


BBB,  21 Muharram 1439H. = 11 Oktober 2017M. (Rabu):
Nama lengkap bagi tokoh yang dibicarakan ialah Abu Yazid T*ayfur bin `Isa bin Sarushan. Dan adalah datuknya – Sarushan ini asalnya majusi, dan memeluk agama Islam. T*ayfur bertiga beradik, iaitu Adam, T*ayfur sendiri dan adiknya `Ali, ketiga-tiga mereka adalah para zuhhad dan `ubbad dan ahli ahwal. Mereka adalah berasal dari Bist*am. Abu Yazid al-Bistami kalangan awal sufi dan meninggal tahun 261H.
Menurut Al-Hujwiri, Abu Yazid adalah shaykh sufi yang mempunyai aliran  tersendiri yang dikenali `Mabuk Cinta Ilahi` .  Al-Bist*ami menyukai kemabukan.  Dengan kemabukan adalah pelenyapan dan kebinasaan sifat manusiawi. Ia adalah bertentang dengan `Ketidakmabukan`. Al-Junayd tidak menyetujui kemabukan dan  berpegang pada Ketidakmabukan `Sedar`. Ini adalah pegangan kebanyakan sufi. Yang tidak menyetujui kemabukan lantaran ia adalah  merupakan keadaan manusia di dalam kemabukan tersebut terputus dari kesedaran dan di luar dari kawalan yang boleh menjerumuskan  kepada sesuatu yang boleh merosak dan membahayakan, kerana berada di luar sedar dan di luar rasional. Walau bagaimana ada yang mempertahankan situasi sufi yang berada di dalam ketidaksedaran atau kemabukan – mabuk kecintaan dan dilihat kata-kata yang terkeluar di dalam ketidaksedaran – mabuk sebagai kata-kata sat*hiyyat – permukaan yang diberi takwilan.
Dari satu segi dilihat bahawa yang berada pada peringkat kemabukan ini mengalami apa yang diistilahkan sebagai fana` dengan Allah dan satu lagi ialah baqa` dengan Allah. Peringkat fana`, melihat manusia dan alam ini adalah sesutu yang binasa dan pada peringkat fana`  tidak wujud dan wujud hanya Allah, sebaliknya pada peringkat baqa` bi Allah, ialah melihat dari segi hakikat yang wujud sebenarnya ialah Allah.
Daripada kata sat*hiyyat seperti ungkapan di dalam al-Luma`:
Aku orang yang dirindui dan yang dirindui ialah aku
Apabila engkau melihat daku kau melihat kami
Kami dua roh sama pada satu jasad
Dipakailkan oleh Allah kepada kami badan
(Al-Luma`, 1380/1960  hlm.  463).
Berkata Al-Junayd kata-kata sat*hiyyat yang dikaitkan dengan Abi Yazid seperti di atas:
``Hikayat tentang Abi Yazid bermacam-macam, mereka yang memetik katanya berbagai-bagai sebagai dalam jangkaan (iqtaraf). Wallahu a`lam.
Pada kali lain Al-Junayd berkata:
``Dan adalah daripada kalam Abi Yazid  r.h.a. itu, kerana kekuatan,, keterlibatan, puncak maknanya. Dia mengharungi laut cintanya secara berseorangan, yang demikian laut harungannya adalah secara keseorangannya.``  (Al-Luma`: 459).
Berkata Al-Junayd lagi:
``Aku dapati hikayat-hikayat tentang Abi Yazid r.a. hal yang sedikit yang memahami tentangnya atau apa yang dita`bir tentangnya ketika mendengarnya, kerana tiada mampu yang membawanya, melainkan yang mengetahui maknanya dan mampu dengan maksud tertentunya, siapa yang tidak mampu dengan  apa yang dibawanya, ketika mendengar  keseluruhannya, maka bagi mereka menolaknya.``
Tambah Al-Junayd, ``Abu Yazid tenggelam pada apa yang didapati daripadanya dan dia pergi dengan hakikat hak, jika tidak mampu dicapai dengan makna yang dia tenggelam dengannya, maka tidaklah tepat dengan maksudnya. (Al-Luma`: 459).
Apa yang aku sebut kata al-Jumayd, bukan tertulis dalam karangan-karangan, kerana dia bukan ilmu yang ditetapkan di kalangan ulama`, tapi ada yang sengaja mengharungi pada maknanya dan dijadikan hujah yang bat*il, ada yang berpendapat  kufur dari segi i`tiqad, sedang ramai yang tersalah arah dengan apa yang mereka pergi dengannya. (Al-Luma`: 460).
Daripada apa yang dicatat al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah, antaranya,
``Disoal Abu Yazid tentang darajah al-`arif, maka katanya, ``Tiada di sana darajah,, bahkan setinggi faedah bagi yang `arif ialah wujud apa yang diketahuinya.``
Berkata Abu Yazid, ``Al-`abid menyembahNya dengan hal, sedang al-`arif yang was*il  menyembahnya di dalam hal.``
Disoal Abu Yazid, ``Apa yang menolong dari segi ibadat ? Maka katanya, ``Allah kalau engkau ma`rifat tentangNya.``
Berkata Abu Yazid, ``Aku beramal di dalam mujahadah selama tiga puluh tahun,, maka aku tidak dapati sesuautu yang lebih sukar, melainkan ilmu dan mengikutinya, kalau tidak ada khilaf `ulama` dia kekal. Dan ikhtilaf `ulama` adalah rahmat, kecuali pada mentajridkan tauhid.``
Kata Abu Yazid, ``Tidak mengetahui akan dirinya siapa yang bersahabat dengan nafsunya.``
Berkata Abu Yazid, ``Allah memerhati hati para awliya`nya, Antara mereka itu tidak layak menerima ma`rifat untuk dibawa, maka dia tertumpu kepada ibadat.``
Adalah didengar Abu Yazid berkata, ``Ya Tuhanku fahamilah akan daku tentang Engkau, kerana aku tidak memahami tentang Engkau melainkan dengan Engkau.`` (Tabaqat al-Sufiyyah: 1389/1969: 67-74).
Demikianlah kontroversi tentang Abu Yazid al-Bist*ami, di dalam keadaan biasa, ungkapan-ungkapannya adalah tidak terkeluar dari kewajaran.

Sekian.

October 11, 2017

HAMDUN AL-QAS*S*AR DAN DOKTRIN AL-MALAMAH


BBB, 20 Muharram 1439H. =  10 Oktober 2017M. (Selasa):
Hamdun al-Qas*s*ar ialah nama bagi Hamdun bin Ahmad bin `Imarah atau dikenali dengan Salih al-Qas*s*ar al-Naisaburi. Dia terkenal sebagai Shaykh yang membawa doktrin al-malamah dan dia adalah shaykh bagi doktrin malamah berkenaan di Naisaburi dan daripadanya berkembangnya madzhab al-malamah.
Dia bersahabat dengan  Salam bin al-Hasan al-Barusi dan Abu Turab al-Nakhshabi dan `Ali al-Nas*r Abadzi. Dia seorang yang alim terutama di dalam bidang fiqh dan dia mengikut madzhab Abu al-Thauri. Tarikatnya ialah tarikat yang khas bagi dirinya.  Salih Hamdun meninggal tahun 271H. di Naisaburi dan dikebumikan diperkuburan al-Hirah.
Doktrin al-Malamah bermaksud –  kata al-malamah dari istilah la-ma, yalumu, laumah, bererti `mencela`. Jadi malamah bermaksud `mencela diri. Dalam erti kata, sesuatu kelemahan, kesilapam adalah dari diri dan hendaklah sentiasa memeriksa diri dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Manusia meyakini  kekuasaan Tuhan di atas diri dan manusia amat lemah di dalam menanggapi Tuhan. Manusia perlu menerima celaan dan di atas kesilapan yang dilakukan dan bertanggungjawab.
Saebagai contoh dapat  difahami mesej  dari Hadith yang diriwayatkan bahawa:
Bercakap kepada kami bapaku r.a. berkata bercakap kepada kami `Abdullah bin Muhammad bin Munazil, bercakap kepada kami Hamdun bin Muhammad al-Qas*s*ar, bercakap kepada kami Ibrahim al-Zarrad, bercakap kepada kami Ibn Mumayyar, daripada al-A`mash daripada Sa`id bin `Abdullah daripada Abi Barzat al-Aslami berkata, besabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tidak bergerak  dua tapak kaki hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara:
Daripada umurnya pada apa yang dihabiskan, dan daripada jasadnya pada apa dilakukan, dan daripada hartanya dari mana diusahakan dan dimana dibelanjakan, dan daripada ilmunya sejauh manakah diamalkan.``
Daripada Hadith dapat diaplikasikan kepada doktrin Hamdun al-Qas*s*ar   bahawa manusia dipertanggungjawab terhadap perlakuan yang dilakukan, bahkan disoal tiap satu bagaimana dia mengguna dan juga dari segi tujuan dilakukan.
Begitu juga sebarang tindakan yang hendak dilakukan hendaklah dipastikan apakah ianya sesuatu yang baik dan jika tidak hendaklah dihendarkan sebagai contoh  Hamdun al-Qas*s*ar pernah ditanya,
``Bilakah seharusnya seorang lelaki itu berkomunikasi (bercakap) dengan seseorang ?``, maka katanya, ``Apabila nyata dia seorang yang menunaikan fardhu dari fardhu-fardhu yang diperintah Allah Ta`ala sebagaimana diketahui, atau dia takut binasa manusia dengan perkara bid`ah dan dia berharap diberi kejayaan oleh Allah dengan ilmunya.
Pendeknya Hamdun amat prehatin dan menjaga kewajipan-kewajipan yang seharusnya ditunai seseorang  dengan sebaik mungkin dan penuh tanggungjawab.
Hamdun juga pernah ditanya, ``Mengapa kalam orang-orang salaf itu lebih bermanfaat dari kalam kita, maka katanya, ``Kerana mereka itu bercakap bagi kemuliaan Islam, menjayakan diri, mencari keredhaan Al-Rahman. Sedang kita bercakap untuk kemuliaan diri, menuntut dunia dan mendapat penerimaan makhluk !.``
Berkata Hamdun, ``Asal  menghilangkan kemesraan antara kawan-kawan, ialah kerana kasihkan dunia.``
 Berkata Hamdun, ``Siapa yang sebok  menuntut keduniaan daripada akhirat, maka dia rugi (hina) sama ada di dunia dan akhirat.
Berkata Hamdun, ``Siapa yang melihat kepada perjalanan salaf, dia mengetahui kecuaiannya dan jauhnya dari martabat lelaki yang unggul.``
Berkata Hamdun, ``Daripada kelalaian seorang hamba ialah mencuaikan perintah Tuhan kepada  siasah  (kepentingan) dirinya.``
Bekata Hamdun, apabila engkau melihat seseorang itu baik, maka janganlah memisah diri daripadanya, maka dengannya boleh membawa engkau kepada kebaikan.
Adalah didengar daripada Muhammad bin Ahmad al-Tamimi berkata, dia mendengar Ahmad bin Hamdun berkata, aku mendengar ayahku (Hamdun al-Qas*s*ar) berkata:
Dia ditanya jalan al-malamah, maka katanya:
``Takut dari pegangan Qadariyyah dan Harapan Murjiyah.``
Ini menggambarkan antara doktrin  Malamah ialah tidak bersetuju dengan pegangan akidah Qadariyyah yang berpegang bahawa manusia berkuasa menentukan perbuatannya. Ia merupakan pegangan yang ekstrim dari satu pihak dan dia juga tidak bersetuju dengan pegangan al-murjiah bahawa manusai tidak berdaya apa-apa dan menyerahkan  segalanya kepada ketentuan Tuhan.
Pegangan al-malamah yang prihatin terhadap perlakuan diri dan berwaspada dengan segala tindakan dan bertanggungjawab. Dia mengecam perbuatan diri yang tidak menurut apa yang diperintah Allah. Doktrin Al-Malamah tidak bercanggah dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

October 10, 2017

LANJUTAN HAL-HAL


BBB,  19 Muharram 1439H. = 09 Oktober 2017M. (Isnin):
Selain dari tiga aspek hal, iaitu muraqabah, qurb dan mahabbah, maka terdapat sejumlah aspek yang dikategorikan di bawah hal  (ahwal), iaitu:
4. Hal khauf (Takut):
Takut ialah suasana diri yang merasa gerun terhadap kekuasaan,  kehebatan dan keagungan Allah Ta`ala. Khauf adalah kebalikan dari aspek mahabbah yang telah dibicarakan yang membawa elemen mesra. Demikian hal seperti khauf  boleh berlaku perubahan kepada suasana diri dan hati.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
(Mereka itu takut (hari kiamat) yang berbalik-balik hati dan penglihatan.`` (Al-Nur: 37).
Berkata Ibn Al-Jala`, ``Orang yang takut pada pendapatku ialah yang tidak takut selain daripada Allah Ta`ala.``
5.  Raja`(Harap)
Bermaksud harap, ia merupakan kemahuan yang mungkin dapat dan mungkin sebaliknya, namun ada di dalamnya nada positif ke arah ditunaikan apa yang diharapkan, tetapi jika sesuatu itu sudah didapat maka ianya bukan lagi di dalam kategori raja`.
Firman Allah berhubung dengan raja` bermaksud:
``Maka adalah siapa yang mengharapkan menemui Tuhannya, maka hendaklah dia beramal dengan amalan yang salih dan tidak mensyirikkan dengan ibadatnya dengan Tuhannya akan sesuatu.`` ((Al-Kahfi; 110).
Dan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, ``Jikalau ditimbang takut seorang mu`min dan harapnya nescaya seimbang,.
5. Al-Shauq
Shauq adalah pertanda mesra dan shauq ialah keinginan bersama yang dishauqnya secara berterusan.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah berdo`a dengan katanya bermaksud:
``Aku memohon kepada engkau lazat penglihatan kepada wajah engkau dan shauq kepada pertemuan dengan Engklau.``
Dan disoal setengah mereka itu tentang shauq, maka dikatakan, ``Gemuruh hati ketika menyebut yang dikasihi., manakala hal berikut,
6. Al-Uns  (Mesra, Jinak)
Juga melambangkan mesra, jinak dan dekat, dan makna uns dengan Allah Ta`ala ialah, bergantung padaNya, tenang kepadaNya dan memohon kepadaNya dan tidak melebihi dari garis sedemikian.``. Al-Uns dengan Allah ialah  bagi hamba yang sempurna kebersihannya dan suci  dzikirnya dan dia menjauhi dirinya daripada apa yang melalaikan dari Allah.
7. Al-T*ama`ninah
Mencerminkan suasana hati  yang tenang. Perubahan kejiwaan kepada yang lebih baik. Tentang t*ama`ninah firman Allah bermaksud:
``Mereka yang beriman dan tenang hati mereka itu dengan berdzikir kepada Alklah. Ingatlah dengan berdzikir kepada Allah menenangkan hati.`` (Al-Ra`d: 28).
Berkata Sahl bin `Abdullah r.a., ``Apabila tenang hati seorang hamba kepada Tuannya (Allah), maka tenang kepadanya dan kuat hal hamba dan apabila kuat mesra hamba dengan segala sesuatu.``
8. Mushahadah (Penyaksian)
Adalah gambaran tentang tersingkapnya halangan yang membawa kepada konsep mushahadah dengan hati dan jiwa yang berdekatan. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya pada yang demikian mengingatkan bagi siapa yang peka hati dan dikurnia pendengaran dan dia menyaksikan.`` (Qaf:  37) – Bermaksud hadir hatinya.
Berkata Abu Sa`id al-Kharraz r.a., ``Siapa yang menyaksi Allah dengan hatinya, hilang daripadanya selain daripadaNya, dan lebur tiap-tiap sesuatu dan ghaib ketika kewujudan kebesaran Allah Ta`ala dan tidak kekal di dalam hati melainkan Allah `Azza wa Jalla.
9. Hal Yaqin
Kepercayaan yang kukuh dan tiada ruang ragu.
Allah menyebut di dalam kitab (Al-Qur`an) bahawa yaqin ada tiga wajah, iaitu ` ilmu al-yaqin, `ayn al-yaqin dan haqq al-yaqin.
Dan dikatakan al-yaqin ialah mukashafah, Dan mukashafah ada tiga wajah.
Mukashafah dengan mata dan penglihatan pada hari kiamah.
Mukashafah hati dengan hakikat iman dengan nyata yaqin tanpa bagaimana dan tanpa had.
Mukashafah aiat dengan pernyataan kudrat kepada nabi-nabi dengan mu`jizat dan lainm-lain seperti karamat dan dimustajabkan do`a.
Demikian aspek-aspek hal yang dilalui dan dialami oleh pejalan rohani.

Sekian.

October 9, 2017

BEBERAPA PERSOALAN HAL


BBB, 18 Muharram 1439H. = 08 Oktober 2017M. (Ahad):
Dalam membicarakan tentang hal ini, Al-Hujwiri, mengaitkan dengan pendapat Harith al-Muhasibi yang agak bercanggah dengan pendapat ramai yang mengatakan bahawa hal yang antara cirinya berubah boleh bertukar kepada tetap. Misalnya menurut Harith al-Muhasibi `cinta dan rindu`. Demikian dengan maqam redha boleh betukar kepada hal. Namun pendapat ini tidak disetujui ramai.
Sebagaimana telah disebut bahawa, hal ialah apa yang menapak di hati atau yang diterima hati daripada  kebersihan ingatan. Dan sebagaimana telah dikatakan oleh Al-Junayd:
Bahawa hal, ialah sesuatu yang turun bertapak di hati, tetap[i tidak kekal. Dan dikatakan juga,` `hal ialah ingatan yang tersembunyi.``, lantaran Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sebaik dzikr ialah secara senyap.``
Dihikayatkan daripada Abi Sulaiman al-Darani, r.a. bahawa dia berkata,
``Apabila berlaku mu`amalah di hati, nescaya rehatlah anggota.``
Apa yang dikatakan oleh Abu Sulaiman ini boleh membawa dua makna.
Pertama,  dimaksud demikian, rehat anggota daripada mujahadah dan kesusahan daripada amalan. Apabila dia bekerja terpelihara hatinya dan menjaga rahsianya daripada lintasan yang mengganggu dan halangan-halangan yang keji yang mengganggu hatinya daripada mengingati Allah.
Boleh juga bermaksud (kedua), ianya membolehkan mujahadah, amalan dan ibadat, maka jadilah hatinya berlazat, mendapat kemanisan dan hilang daripadanya kepenatan dan kesakitan yang wujud sebelumnya.
Sebagaimana kata Al-Junayd r.a.,
``Tidak sampai kepada menjaga hak-hak, melainkan dengan menjaga hati dan siapa yang tidak ada baginya rahsia (sirr)  maka dia  berterusan dan tidak bersih untuk kebaikan.
Antara aspek hal ialah:
a)      Muraqabah
Bermaksud memberi perhatian, mengetahui dan meyakini bahawa Allah itu melihat apa yang di dalam hati dan hati kecil (dhamir) hamba, maka dia memberi perhatian dari berlakunya lintasan-lintasan yang keji yang mengganggu dari mengingati Ilahi.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan Allah memerhati terhadap setiap sesuatu.`` (Al-Ahzab: 52)
Demikian dengan sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Sembahlah Allah seolah-olah engkau melihatNya maka jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.`` (Riwayat Al-Bukhari). Selepas muraqabah ialah:
b)       Al-Qurb (Dekat):
Hal Qurb, bahawa hamba menyaksi dengan hatinya kedekatan Allah dengannya, maka dia mendekati kepada Allah Ta`ala dengan ketaatannya dan segala himmahnya mendepani Allah Ta`ala dengan berterusan dzikirnya.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan apabila memohon kepada Engkau oleh hambaku, maka sesungguhnya Dia dekat.`` (Al-Baqarah: 186).
Orang yang dekat kepada Allah itu tiga hal:
Pertama, pendekatan ialah secara taat lantaran diketahui dekatnya Allah dengan ilmu dan qudratNya.
Kedua, orang yang bersifat tahqiq sebagaimana kata `Amir bin `Abd al-Qays, ``Aku tidak memerhati terhadap sesuatu, melainkan aku melihat Allah lebih dekat kepada aku.
Ketiga ialah hal orang-orang yang besar dan pada peringkat nihayah. Tentang hal ini kata Abu Ya`qub al-Susi r.a.:
``Berterusan hamba mendekati Allah yang tidaklah kedekatan sehingga ghaib daripada dekat kepada dekat.``
Dan daripada dekat membawa kepada:
c)       Hal Mahabbah
Hal mahabbah bagi hamba, bahawa dia melihat dengan matanya dengan apa yang diberi nikmat oleh Allah kepadanya dan dia melihat dengan mata hatinya akan kedekatan Allah Ta`ala kepadanya, inayah, hidayah dan menjaganya yang menyuburkan mahabbah dariNya dan kepadaNya.
Kata Sahl, Mahabbah ialah muwafakat hati dengan Allah dan melazimkannya dan mengikut Rasulullah s.a.w.  Hingga mencetuskan rasa manis dalam beribadat kepada Allah.
Firman Allah bermaksud:
``Maka Allah akan mendatangkan kepada kaum yang Dia menyukai mereka dan mereka itu menyukaiNya.`` (Al-Ma`idah: 54).
Ahlu al-mahabbah di atas tiga hal:
Pertama:: Mahabbah am, iaitu hasil daripada ihsan Allah dan kelembutanNya kepada  mereka itu.
Kedua: Hasil dari melihat dengan hati akan kekayaan Allah, JalalNya, Kebesaran, Ilmu dan Qudrat. Ia adalah mahabbah al-siddiqin dan mutahaqqiqin.
Ketiga:  Mahabbah siddiqin dan `arifin. Terhasil daripada melihat dan ma`rifat mereka akan qadim kasih Allah Ta`ala tanpa `illah, maka demikianlah mereka mengasihiNya tanpa `illah.
Kata Dzu al-Nun al-Misri, Mahabbah ialah secara bersih dan tidak ada kekeruhan padanya.
Bersambung.

Sekian.