BBB, 13 Zulhijjah 1434 = 18 Oktober 2013 (Jumaat):
Tukku Paluh adalah pengikut Tariqat Naqshbandiyyah yang
dikaitkan dengan Muhammad Baha`uddin Naqshabandi (m.1389M.). Salah satu aspek
dalam tariqat ialah bimbingan guru dan murid. Pengajian di dalam bidang
syari`at agak jelas dari segi bimbingan dan amalan seperti solat dan keperluan
bagi menyempurnakannya juga zakat dan Haji, tetapi di dalam bidang tariqat
dianggap lebih rumit, kerana ia memerlukan kepada bimbingan yang bersifat kerohanian.
Ianya memerlukan proses penyucian misalnya aspek-aspek yang selalu ditekankan
dalam tasawuf seperti terakam di dalam
Al-Luma` karangan Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m.378H.) melalui maqamat
dan ahwal. Contoh maqam ialah taubat, wara`, zuhud, faqr, sabar, tawakkal, reda
dan lain-lain, manakala hal ialah seperti muraqabah, qurb, mahabbah, khawf,,
raja`, shawq, uns, tama`ninah, mushahadah dan yaqin, (Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi,
Al-Luma`, Dar al-Kutub al-Hadithat bi Misr wa Maktabat al-Muthanna, bi Baghdad,
1380/1960, hlm. 65 – 104).
Tasawuf dan tariqat ada jalan-jalan yang perlu dirai dan
dijaga aturan. Menurut Abu Abdillah al-Harith bin al Asad al-Muhasibi (m.243H.)
antaranya taqwa, al-hadhr, wara`, muhasabah,, taubah dan khawf (Abu Abdillah
al-Harith bin Asad al-Muhasibi, Al-Ri`ayat Li Huquq Allah, Dar al-Kutub
al-Hadithat, al-Qahirah, 1390/1970: 37-72).
Kaedah amalan dan latihan pula ada perbezaan antara satu
tariqat dengan tariqat yang lain, tetapi antaranya menekankan pembacaan dan
zikir dengan jumlah-jumlah tertentu. Oleh kerana ianya bersifat rohani dan
subjektif, maka ianya memerlukan bimbingan guru. Kemasukan di dalam suatu
tariqat mempunyai aturan dan ambilan berdasarkan sanad yang konsep sanad
sebagai sanad di dalam Hadith. Puncak tariqat adalah diterima dari Rasulullah
s.a.w. sama ada diturunkan melalui Sayyiduna Abu Bakar al-Siqqiq atau Saidina
Ali karramallah wajhah hinggalah turun kepada guru-guru tariqat dan
penerima-penerima. Di dalam kata lain bertariqat bukanlah keilmuan yang didapati
secara sendirian atau bacaan, tetapi adalah melalui guru dan bimbingan untuk
mengelak dari penyelewengan.
Tukku Paluh sebagai penerima, pengamal dan Guru Tariqat
turut membicarakan tentang Adab-Adab Murid, katanya:
Fasal Yang Pertamanya pada menyatakan adab murid dan
Yang Kedua pada menyatakan adab guru dan
Yang Ketiga pada menyatakan adab zikir dan
Yang Keempat pada menyatakan ustaz tariqat Naqshabandi
Bagi murid perlu mengetahui asal tariqat Naqshabandi itu
berpegang dengan sunnah Nabi salla Allah `alayhi wa sallam dan mengikut akan
i`tiqad ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Murid perlu muraqabah, menuntut ilmu
ugama, beramal dan mengajar, beribadat, zikir, taubat, jaga halal, bersih nafsu
dari kecemaran. Kata Tukku Paluh. Tariqat Naqshabandiyyah asal dari Nabi
Muhammad berpecah kepada sama ada melalui Sayyiduna Abu Bakar r.a. atau
Sayyiduna Ali k.w. Kata Tukku Paluh bilangan tariqat terkenal adalah 40 beliau
meletakkan Tariqat Naqshabandiyyah pada tempat pertama, kedua Qadiriyyah,
ketiga Shadhiliyyah seterusnya hingga 40 jumlahnya.
Mengenai Tariqat Naqshabandiyyah kata Tukku Paluh:
``Bahawa sesungguhnya jadhbah pada Tariqat Naqshabandiyyah
itu terdahulu ia atas suluk, maka orang yang terpakai ia dengan ini hal
tiadalah shiddah, bahawa jalannya itu terlebih hampir daripada yang lain,
kerana peredaran segala tariqat yang lain itu atas terdahulu suluk daripada
jadhbah pada ghalib bersalahan, dari kerana inilah kata segala mashayikh.
Bermula permulaan Tariqat Naqshabandiyyah itulah kesudahan segala tariqat, melainkan
orang yang ada baginya qadamul mahbubiyyah.
Menurut Tukku Paluh ``Tariqat Naqshabandiyyah itu afdal
daripada yang lainnya.`` bahkan tambahnya, ``Maka ialah ibu dan asal bagi
segala tariqat dan tempat galian segala rahsia dan haqa`iq.``
Adab Murid kata Tukku Paluh:
``Maka awal yang wajib atas murid yang sadiq me(g)hasilkan
i`tiqad yang sahih dan menjauhi ia daripada segala i`tiqad yang fasidah dan
menuntut akan ilmu shariat yang jadi sah dengan dia ibadatnya, kerana tiada sah
dan tiada diterima akan amal itu melainkan dengan ilmu, kemudian hendaklah
benar ia bagi Allah pada segala ibadat dengan Tuhannya dengan sebab taqsir ia
dengan huquqnya dan jangan i`tirad atas perbuatan yang haqiqi. Dan setengah
daripada adab murid itu bahawa jangan bersahabat ia dengan ahli dunia.
Dan hendaklah murid itu memeliharakan segala adab shari`at
dan daripada tiap-tiap shubhah atau bid`ah. Dan setengah daripada adab murid,
tetapi ialah terlebih muakkadnya, iaitu memeliharakan kehormatan (gurunya)
daripada zahir dan pada batin, pada
hadirnya atau pada ghaibnya , ketika hidupnya atau matinya dan mengerjakan
segala huquqnya dengan tiada taqsir dan mencapak ia akan ilmunya dan pendapatnya, melainkan barang yang muwafaqat
ia dengan pengetahuan gurunya. Maka
barang siapa daripada murid yang tiada hormat ia kepada gurunya nescaya
tiadalah mendapat ia akan rahsia tariqat baginya, kerana berhadap guru atas
murid itu sekiranya berhadap murid atas gurunya dan berhadap guru itulah dalil
bahagianya.
Maka wajiblah atas murid itu memeliharakan segala huquq
gurunya sekeras-kerasnya dengan
ketiadaan taqsirnya dan meninggalkan
pengetahuannya dan pendapatnya
melainkan barang yang muwafaqat ia dengan pengetahuan gurunya dan
mengerjakan segala asbab yang dapat sempurna dengan nafsunya dan jika ia pada
sekalian perkara dengan memandang ia akan hukum shari`at padanya dan bersahabat
dengan orang yang alim yang menunjukkan ia dengan segala aib nafsunya.
Tukku Paluh memetik kata Sahl bin Abdullah al-Tustari,
bermula tiga orang jangan diperbuat akan sahabat sekali-kali:
Pertama: Segala
ulama` mudahinin dan
Kedua: Orang sufi
yang jahilin dan
Ketiga: Orang yang
lalai ia daripada Allah.
Dan lagi hendaklah murid kasihan bagi segala kanak-kanak dan
orang yang daif dan muliakan yang tuha dan melawani ia akan nafsunya dan jangan
menolongi akan dia.
Maka barang siapa
memelihara akan segala adab al-tariqat ini nescaya diharaplah akan
sampai kepada martabat segala laki-laki dan yang meninggal akan dia itu
tiadalah sampai kepada martabat mereka itu. Dan hendaklah murid itu senantiasa
ingat ia akan tersembunyi segala Haqq
Allah daripada pengetahuan Tuhannya, maka bersungguhlah memelihara akan
dirinya bahawa jangan dipandang oleh
Allah akan ma`siat daripadanya. Dan menjauhi oleh murid itu akan segala bagai
riya` dan tasannu` pada ugama dan hendaklah mendirikan yakin dengan barang yang
menghidup akan dia ganti daripada lalai, iaitu dengan ingatkan dagang di dalam
dunia dan akan kedatangan atas Allah
pada hari kiamat maka dikira-kira oleh Allah akan segala amalnya. Dan hendaklah
menyampaikan dirinya atas mengikut akan shari`at pada gerak dan diam dan jangan
terpedaya dengan berani atas Allah dan harap ia akan rahmatNya kerana rahmatNya
itu hampir ia bagi segala orang yang berbuat kebajikan.
Menurut Tukku Paluh ada empat martabat tariqat yang dilalui
murid:
1) Taubah
– keperluan asas bergantung yang lain padanya
2) Istiqamah
, mengerjakan taat dan meninggalkan ma`siat
3) Tahdib
– perbaiki diri:
a) Sedikit
berkata-kata, melainkan pada kebajikan
b) Meninggalkan
pergantungan hati pada makhluk
c) Memelihara
diri dari perbuatan haram dan shubhah
d) Sedikit
tidur, senantiasa zikir, fikir dan ibadat.
4) Taqrib
– berusaha akan amal yang menghampirkan diri kepada Allah supaya terbuka
baginya asrar al-ghuyub, kerana sudah suci hatinya dan patut ia bagi tempat
pertaruhan bagi lata`if yang Rabbaniyyah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment