October 29, 2013

Tunjuk Perasaan Besar-Besaran Di Era Menggugat


BBB, 2 Zulhijjah 1434 = 28 Oktober 2013 (Isnin):

Dari awal 1970an dapatlah dikatakan kampus-kampus (lebih dimaksudkan kepada UM & UKM) berada di era menggugat (meminjam judul buku Muhammad Abu Bakar `Mahasiswa Menggugat` diterbitkan pada masa ini). Kedua-dua kampus bergolak dari segi mental dan juga fizikal. Dimaksudkan dengan pertarungan mental, kerana pada masa ini universiti terbuka (lebih kepada UM) dari segi perlumbaan menanamkan pengaruh ideologi di kalangan pelajar dan masyarakat luar. Beberapa ideologi dan perjuangan berkembang subur di UM yang mempengaruhi UKM. Ideologi sosialis dan rakyat yang membela rakyat marhain didukung oleh beberapa pensyarah UM antaranya seperti Dr. Syed Husin Ali dan pendukung-pendukung seperti Kassim Ahmad yang membuat kajian Hikayat Hang Tuah di London dan membela Hang Jebat sebagai wira. Pendukung-pendukung yang lain di UM seperti Syed Hamid, manakala pendukung seperti Sanusi Osman, Abdul Halim Ali, Abdul Rahman Embong berada di UKM. Pendekatan mereka membela rakyat marhain menarik dan memberi semangat berkubar-kubar kepada pendukung-pendukung di kalangan mahasiswa yang cenderung kepada sifat radikal, sedang di luar pula ada pejuang-pejuang yang mencebur diri dalam politik dan membawa ideologi berkenaan seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Selain dari ada suara parti ada pula akhbar yang agak radikal seperti Pedoman dan Suara Rakyat.

Satu golongan yang bersemangat dan berpengaruh di Universiti Malaya dan berkait pula dengan UKM ialah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya  (PBMUM) yang dipimpin oleh pimpinan yang bersemangat dan agak radikal seperti Nordin Razak. PBMUM berjuang bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dan menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi. Mereka lantang sama memperjuangkan bagi mendirikan UKM.  PBMUM mengeluarkan risalah dan majalah yang memperjuangkan hasrat mereka. Sama radikal pada masa itu ialah kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang mengeluarkan lidah rasminya iaitu Mahasiswa Negara, Antara pimpinan yang terkenal era menggugat – 1970an seperti sdr. Anis Ahmad (Presiden PMUM), sdr. Salleh Haji Yusof (Setiausaha Umum PMUM),  sdr. Kamaruzaman Yacob (Presiden PMUM selepas sdr. Anis), tak kurang berpengaruh ialah Ikatan sastera UM yang dipimpin oleh saudara Ahamad Sebi Abu Bakar yang lantang bersuara.

Satu arah kepimpinan lagi ialah yang mendukung Islam dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang pernah dipimpin saudara Anwar Ibrahim yang kemudian selepas keluar dari UM menubuhkan ABIM di samping di UM juga ada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). PKPIM sebagai persatuan pelajar bergerak di tengah masyarakat sebagaimana ABIM juga bergerak di tengah masyarakat terutama di kalangan belia. Di UKM sebagai universiti yang baru ditubuh PMUKM adalah wakil suara Mahasiswa yang bekerjasama rapat dengan kepimpinan Pelajar UM. Pimpinan pelajar dua penggal mulai dari penubuhna universiti hingga 1973 ialah saudara Ramli Ibrahim. PMUKM mendukung perjuangan yang diistilahkan Keislaman Dan Kebumiputraan. Suasana budaya pelajar yang radikal pada masa itu turut mempengaruhi PMUKM. Mereka turut terlibat di dalam demonstrasi yang sebelum itu tindakan biasa yang dilakukan oleh Persatuan Mahasiwa UM atau Persatuan seperti PBMUM.

Tunjukan perasaan terawal yang berlaku di Kampus UKM ialah membantah pengunduran Dato` Abdul Rahman  Yaacob dari Menteri Pelajaran pada 10.7. 1970 di Kampus UKM Jalan Pantai. Beliau dianggap Menteri Pelajaran yang tegas yang pada masanya UKM ditubuhkan, lantaran itu mahasiswa UKM mau beliau terus menjadi Menteri Pelajaran. Tetapi Sarawak pada masa itu memerlukan pimpinan yang kukuh bagi menstabilkan politik di negerei itu pada tahun-tahun 1970an, maka Dato` Abdul Rahman Yaacob dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Kerjasama antara PMUKM dan PMUM kali pertama secara besar-besaran ialah tunjuk perasaan membantah lawatan Perdana Menteri Thailand General Thanom Kitikachong ke Malaysia pada Isnin 14 Jun 1971 mulai jam 11.00 pagi. Bantahan ialah kerana tekanaan  dan penindasan regim Kittikachong terhadap umat Islam di Selatan Thai. Ribuan  Mahasiswa UM dan UKM keluar ke Bulatan Universiti menunjuk perasaan di jalan laluan mereka (Bulatan Universiti). Tunjuk perasaan mengundang kedatangan FRU menembak gas pemedih mata dan 19 mahasiswa UM ditangkap, termasuk 4 orang mahasiswa UKM. Antara mahasiswa ada yang luka dipukul FRU. Tunjuk perasaan yang bermula pada Isnin 14 Jun 1971 itu berterusan kepada hari kedua  (Selasa) yang selain dari membantah, ditambah dengan isu mendesak supaya 19 mahasiswa yang ditangkap itu dibebaskan. AJK PMUKM dan mahasiswa yang bersemangat bermesyuarat hingga jam 3.00 pagi menyusun tindakan, di samping sebahagian dari mahasiswa menyiapkan postar-postar bagi meneruskan demonstrasi.

Bagi hari kedua ini PMUKM ambil keputusan tidak menghadiri kuliah seharian dari pagi hingga petang, walaupun dinasihati pensyarah-pensyarah tidak bertindak sedemikian.
Oleh kerana mereka yang ditangkap masih belum dibebaskan, tunjuk perasaan berterusan hingga hari ketiga (16 Jun) 2,000 pelajar UM keluar dan disertai sama pelajar-pelajar UKM dan demonstrasi diteruskan. Sebanyak 24 buah kenderaan Polis Hutan turut datang bertentang dengan penunjuk perasaan. Turun membuat rundingan ialah Menteri Pelajaran dan Naib Canselor.

Dari rundingan yang dibuat, maka pada petang 16 Jun jam 5.00 petang maka pelajar-pelajar bersurau dan demonstrasi dihentikan.

Berita pelajar-pelajar yang ditangkap akan dibebaskan, maka pihak PMUKM dan pelajar-pelajar membuat persediaan menyambut kepulangan mereka pada 17 Jun. Penulis diberi tugas menyediakan persiapan Majlis Sambutan di Dewan ODT, UKM. Empat pelajar yang ditangkap diarak dari pintu masuk UKM dengan keadaan kampus penuh sesak dengan hadirin. Kepulangan yang ditangkap disambut secara wira dengan kalungan bunga dan renjisan air mawar. Majlis sambutan diisi dengan ucapan-ucapan dari pimpinan saudara Ramli Ibrahim dan mereka yang ditangkap. Penulis diamanah mempengerusikan majlis.

Manakala pada sebelah petangnya mahasiswa beramai-ramai ke Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, di sana juga diadakan Majlis Sambutan Kepulangan mereka yang ditangkap yang mereka dianggap sebagai wira.

Sesungguhnya tunjuk perasaan secara besar-besaran ini menjadikan pelajar-pelajar lebih berani melahirkan pendapat dan mengambil tindakan menggugat. Tunjuk perasaan sedemikan membuka ruang kerjasama mahasiswa mengadakan beberapa siri tunjuk perasaan berikutnya seperti membantah terhadap Amerika membantu Israel di Palastin menekan rakyat Palestin di Kedutaan Amerika di Jalan Ampang dan sebagainya. Dari satu segi tindakan menunjuk perasaan tidak menyenangkan pihak pemerintah dan ianya merupakan salah satu sebab mendorong pihak kerajaan pada masa Dr. Mahathir menjadi Menteri Pelajaran menggubalkan Akta Universiti yang mula diketengahkan pada tahun 1974 yang dengan sendiri menjadi isu penentangan pelajar terhadap akta ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment