BBB, 03 Zulhijjah 1434 = 08 Oktober 2013 (Selasa):
Setakat ini, naskhah ini adalah
satu-satunya didapati yang dimiliki oleh Sultan Zainal Abidin III bin Sultan
Ahmad Sultan Terengganu yang memerintah antara (1881-1919). Naskhah asal tersimpan di Muzium Negeri
Terengganu. Naskhah bersaiz kitab, tetapi lebih panjang dan lebar dari permukaan
saiz kitab biasa, saiz Nasihat Segala Raja-Raja bagi ruangan tulisan iaitu
(24cmx15cm) setebal 178 halaman, Saiz kitab biasa ialah (21 x 11.5cm). Setiap
muka surat
biasanya mengandungi 21 hinga 23 baris yang setiap baris antara 18-19 perkataan.
Kitab bertulis tangan ini adalah terang, tidak ada kerosakan dari segi kertas
dan sukar mencari kesalahan dari segi penyalinan kecuali beberapa tempat.
Tulisan tidak bersifat nasakh, tetapi lebih bersifat raq`ah yang membolehkan
ditulis dengan laju. Misalnya huruf sin tiada berumah, tetapi ditarik secara
rata. Gaya
tulisan adalah konsisten dan sama. Ini bermakna ianya ditulis dan disalin oleh
seorang penulis sahaja dari bahagian awal hingga ke akhirnya. Ini menandakan
bahawa penulis adalah seorang yang mahir menulis. Tercatat tarikh pemilikan naskhah, iaitu Sultan
Zainal Abidin 1300H. Pada judul
permulaan terdapat tulisan:
Nasihat Segala Raja-Raja Namanya
Tamm 1300
Dapatlah difahami kerja menulis dan menyalin dilakukan dalam
tempoh yang agak baru dalam lingkungan tahun 1300H. Demikian juga dengan
pemilikan. Tarikh ini ialah tarikh penyalinan naskhah dan pemilikan, tetapi
tarikh asal kepengarangan yang di dalam
bahasa Arab tidak diketahui. Apa lagi penulisan dan penyalinan kitab Nasihat
Segala Raja-Raja tidak dibuat dari permulaan kitab, sebaliknya dari bab ketiga.
Mungkin dua bab awal dianggap kurang berkenaan, lantas ditinggalkan.
Karangan Nasihat Segala Raja-Raja ini ada mirip kepada
karangan Bustan al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri. Kitab Nuruddin ini terlalu
panjang dengan tujuh bab dan 40 fasal yang setiap bab tidak sama dari jumlah
fasal. Bab yang paling banyak fasal ialah bab kedua dengan 13 fasal dan bab-bab
yang paling kecil dengan fasal ialah bab 4, 5 dan 6 dengan 2 fasal bagi satu
bab. Adalah dijangka kitab Nasihat Segala Raja-Raja asalnya adalah sebuah Kitab
Ketatanegaraan yang panjang, kerana bab ketiga ini mempunyai 6 bab sudah
menjadikannya sebuah kitab yang panjang. Bab ini diambil, kerana bab inilah
sebagai bab yang penting yang membincang tentang pembentukan sebuah negeri dari
perlantikan khalifah atau raja, menteri, pegawai, keperluan sifat amanah, perlu
ditegakkan keadilan dan kasihan belas kepada rakyat. Kitab Nasihat Segala
Raja-Raja ini ada persamaan dengan Taj al-Salatin dari segi persoalan yang
dibicarakan, tetapi Taj al-Salatin tidak dipecahkan kepada bab-bab, tetapi
kepada fasal (24) yang disebut sebagai `Peri` bagi setiap fasal.
Kitab Nasihat Segala Raja-Raja ini dikarang secara
bersambung-sambung. Maksudnya pengarang dan penyalin tidak memberi ruang
pecahan berasingan, hatta kepada bab sekalipun bersambung terus tanpa
pengasingan bab dengan diberi ruang sebelah atas.
Bab yang diperturunkan ialah bab ketiga sebagai permulaan,
Tiada bahagian pujian kepada Allah (hamdalah) dan tiada juga bahagian salawat
dan salam kepada Rasul Junjungan. Sebaliknya bagi permulaan ditulis bahagian
atas bagi permulaan muka surat
Hamim
Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim
Keadaan yang sama
bagi fasal, tidak diberi pengasingan, sebaliknya diteruskan bercampur di tengah
bahagian yang dahulu dengan yang kemudian bagi fasal berkenaan.
Cuma kita dapat melihat dari segi pemecahan, bahagian fasal
ditulis dengan lebih besar sama ada di awal atau di tengah baris.
Pemecahan-pemecahan bahagian juga dibuat dengan secara
membesarkan tulisan dengan kata-kata yang memulakan ayat seperti Shahadan,
Sekali Persetua, Kata Sahibul Hikayat, Kata Sahib Uns al-Julasa, Kata (Nama)
Tokoh, Hatta, Kata Yang Empunya Cetera, Maka Kata Ibad al-Taliqan, Kalakian,
Nasihat, Kata Ahli Tawarikh, Arakian, Kata Rawi, Kata Ahlu al-Muhaddithin,
Ya`ni, Nuktah, Kata Hukama`, Kata Arif. Kata Sahib al-Minhaj dan Kata Sahib dhu
al-Qarar. Daripada ayat-ayat permulaan di atas, Kata Sahib al-Hikayat paling
banyak yang mencerminkan banyak cerita-cerita secara hikayat yang dibawa di
dalam Nasihat Segala Raja-Raja. Jumlahnya menjadi lebih banyak dengan `Kata,
Kata` yang lain yang sebenarnya membawa cerita juga.
Daripada penggunaan kata lama seperti shahadan,
sekalipersetua, arakian, kalakian, sahib al-Hikayat dan lain-lain mencerminkan
bahawa bahasa yang digunakan adalah bahasa klasik yang sekaligus juga sebagai
bahasa kitab yang juga terpengaruh dengan penggunaan nahu bahasa Arab, di
samping banyak sekali berlaku pinjaman istilah-istilah bahasa Arab menjadi
istilah Melayu-Islam.
Meneliti dari segi kepengarangan dan melihat kepada
kandungan Kitab Nasihat Segala Raja-Raja tidak membawa atau menyentuh sebarang
isu, peristiwa atau tokoh tempatan sebagaimana yang dibawa di dalam Bustan
al-Salatin, tidak pula disebut penulis bahawa dia menulis ditujukan kepada
Sultan tertentu dan tiada pula nama yang
menulis yang menyebut tujuan dia menulis, (penulis ada merujuk dirinya sebagai `faqir`)
maka jelaslah Nasihat Raja-Raja bukan
dari buah tangan tempatan. Nasihat Segala Raja-Raja adalah terjemahan dari
sebuah kitab besar berhubung dengan ketatanegaraan. Namun penterjemahnya
menyembunyikan diri, tidak mencatat namanya sama ada pada permulaan karangan
atau pada pengakhiran. Walau apa pun adanya kitab Nasihat Segala Raja-Raja berkemungkinan
adalah terjemahan tempatan dan digunakan, bahkan dimiliki oleh Sultan Zainal
Abidin Ke III, menandakan bahawa Baginda amat prihatan terhadap ilmu
pengetahuan, khususnya dari segi menjalankan pemerintahan menurut tadbiran dan
nilai keislaman. Kitab ini sudah tentulah menjadi kitab perbincangan Sultan
Zainal Abidin III dengan ulama dan penasihat-penasihat Baginda seperti Wan
Abdullah bin Muhammad Amin (Tuk Shaykh Duyung), Haji Abdul Kadir Bukit Bayas, Haji
Muhammad bin Abdul Malik dan Syed Abdul Rahman bin Muhammad (Tukku Paluh).
Kewujudan kitab Nasihat Segala Raja-Raja baik secara
langsung atau tidak langsung merupakan pengisian bagi aspirasi Batu Bersurat
Terengganu yang mengisytiharkan bahawa Islam sebagai agama negeri Terengganu
dan penegasasan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu – Itqan al-Muluk
bi Ta`dil al-Suluk bahawa pemerintahan di negeri Terengganu adalah berdasarkan
Islam.
Oleh kerana ini adalah satu-satu kitab ketatanegaraan yang
diguna di Terengganu pada zaman Sultan Zainal Abdin III dan Kitab ini milik
Baginda, maka sewajarnya kita menyebut dan mengkaitkan Kitab Nasihat Segala Raja-Raja
Milik dan Panduan Pemerintahan Sultan Zainal Abidin Ke III Terengganu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment