October 20, 2013

Peranan Guru


BBB, 15 Zulhijjah 1434 = 20 Oktober 2013 (Sabtu):

Fungsi guru adalah sebagai pembimbing termasuk di dalam tariqat.
Fungsi dari segi bimbingan menurut Tukku Paluh,
``Ketahui olehmu bahawa sesungguhnya perjalanan tariqat itu dibangsakan  kepada hati, iaitu kinayah memindah akan dia daripada sifatnya yang hina kepada segala perangai yang dipuji supaya kembali ia kepada martabatnya yang asli atau di dalam kinayah yang lain yang diungkapkan oleh Shaykh Abdul Samad al-Falimbani di dalam kitabnya Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin bahawa proses pendidikan kerohanian di dalam Islam ialah sebagai proses membersihkan karatan logam diri yang terjatuh ke dalam karatan kotoran dan mentransform kepada kegemerlapan logam emas.
(Muhammad `Uthman El-Muhammady, The Islamic concept of Education According to Shaykh Abdu`s-Samad of Palembang and Its Significance in Relation to the Issue of Personality Integration, Akademika, Jurnal Ilmu Kemanusiaan dan Sains Kemasyarakatan, UKM, Bil 1, Julai 1972: 59-83).

Usaha meningkatkan diri dari perangai yang hina kepada perangai mulia atau mentransform logam diri (hati) yang berkarat kepada emas gemerlap tidak dapat dilakukan melainkan menurut Tukku Paluh:

``Tetapi tiada dapat yang demikian itu melainkan dengan wasitah guru yang benar ia dan diketahui akan benarnya itu dengan terpakainya dengan ugama dan terpeliharanya daripada ma`siat.  Sesungguhnya prinsip bagi tarbiah atau didikan Islam adalah berasaskan al-Qur`an dan al-Hadith. Kata Tukku Paluh:
``Dan ketahui akan tariqatnya itu muwafakat ia dengan Qur`an dan Hadith dan dengan aturan segala sahabat dan segala mashayikh yang arifin lagi mengetahui ia akan tiap-tiap
barang yang berkehendak oleh murid daripada ilmu fiqh dan usuluddin atas qadar yang menghilangkan shubhah, mudah-mudahan  jikalau datang ia atas murid pada permulaan suluknya dan bahawa mengetahui ia dengan kesempurnaan nafsu dan segala adabnya dan tipunya dan penyakitnya dan kayfiyat memeliharakan sahabatnya dan lemah lembut ia lagi kasih sayang akan segala muslimin, istimewa pula dengan segala muridnya dan iffah dan taqwa dan sentosa daripada bid`ah dan khianat dan baharu ia menunjukkan akan murid dan menutupi akan aibnya dan sederhana ia  sekalian kelakuannya dan bersamaan pada sisinya segala makanan dan pakaian dan kaya dirinya dengan taqdir Allah dan tadbirNya dan baik perangainya, tiada segera ammarahnya bagi yang mengerjakan kesalahan baginya dan benar hadap ia dengan perkataan yang manis atas manusia dan bahawa jalannya bercampur ia dengan lemah lembutnya, merendah ia akan dirinya  bagi guru yang akmal daripadanya dan jika ia ma`zun pada irshad sekalipun.

Guru juga disarankan supaya menghaluskan tilikan sebagai orang yang menuntut jalan muqarrabin, semoga mendapat guru yang sebenarnya semoga  kedatangan  segala rahsia dan jangan bersifat ikut-ikutan semata-mata. Jangan percaya orang yang mendakwa sesuatu hal dan jangan hampiri mereka. Jangan ada yang takabbur dengan ilmu.
Menurut Tukku Paluh:

``Kesudahan perkataan  daripada guru bahawa ada baginya  basirah pada ilmu shari`at yang zahir dan shariat batin lagi mengetahui ia akan Qur`an dan Hadith dan akan perangai Nabi salla Allah `alayhi wa sallam dan perangai segala sahabatnya,

Tukku Paluh memetik:
Tersebut dalam Anwar al-Qudsiyyah, ``Telah muwafakat segala ahl al-tariqah atas wajib berguru dengan shaykh mengubati akan dia daripada segala penyakit hati supaya sempurna ibadatnya bagi Allah. orang yang tiada baginya guru pada tariqat dan membelakangkan hatinya maka durhakalah ia pada Allah dan rasulnya  dan tiada dapat pertunjuk sekali-kali bagi mengubati akan dirinya. Tukku Paluh membandingkan orang yang tak berguru sebagai tabib palsu,  menurutnya:
``Dan jikalau menaruh ia akan seribu kitab sekalipun bandingan seperti orang menaruh ia akan kitab tibb, pada hal tiada mengetahui ia akan penyakit dan tiada mengetahui ia akan mengatur akan ubat tersalahlah kebanyakan segala manusia yang ishtighal mereka itu dengan segala amal yang zahir jua.``

Tukku Paluh memetik pendapat Shaykh `Izzu al-Din Ibn Abd al-Salam mengesahkan jalan tariqat dengan katanya:
``Sesungguhnya Ahl al-tariqat itu atas qaidah shariat yang mutahharah dan yang lain daripada mereka itu atas resam jua, adalah dalil kebenaran mereka itu barang yang zahir atas tangan mereka itu daripada beberapa karamah dan beberapa perkara yang menyalahi ia bagi adat dan tiada zahir yang demikian itu atas tangan faqih, walau bagaimana banyak ilmunya sekalipun selama tiada mengikut ia akan jalan mereka itu. Maka orang yang tiada guru baginya  itu binasa ia pada jalannya dan orang yang tiada bina baginya itu dihukumkan dengan laqit yang tiada dibangsakan baginya pada shariat, maka binasa jasad itu terkurang ia daripada bina nyawa, kerana bina jasad itu tersimpan ia atas membelakan jasad jua, bersalahan bina nyawa.

Menurut Tukku Paluh antara murid dengan guru mempunyai pertambatan maknawi dan membuka baginya futuh dan taraqqi sebagaimana thabit dari segi hubungan segala sahabat dengan Nabi salla Allah `alayhi wa sallam. Melalui guru juga nescaya mengalirlah rahsianya daripada hatinya kepada hati muridnya dengan jalan tawajjuh yang rabbani dan imdad yang rahmani. Maka terkadang datang ia dengan ilham daripada hati kepada hati dan terkadang dengan isyarat dan terkadang dengan pandangannya.

Adapun zikir juga perlu mendapat talqin daripada guru, kata Tukku Paluh:
``Apabila ditalqinkan oleh guru akan zikir, maka hendaklah disimpankan atasnya jua dengan tiada ubahkan serta diraikan segala adabnya, iaitu bahawa bersuci ia daripada hadath dan najis pada badan, pakaian dan tempat hal keadaannya berhadap kepada qiblat dengan duduk tawarruk serta menghilangkan daripada hatinya akan tiap-tiap ingatan dan khawatir yang telah lalu dan yang lagi akan datang, kemudian istighfar ia dua puluh lima kali dan meminta ia daripada Allah akan betul pada ugama dan akan sempurna hadir hati serta Allah dan akan nisbah Naqshabandiyyah dan akan kamal al-itba` dengan Sayyid al-Mursalin  dan husn al-khatimah baginya dan bagi gurunya. Kemudian membaca ia akan fatihah tiga kali dan surah al-Ikhlas tiga kali dan hadiahkan pahalanya kepada Nabi salla Allah `alayhi wa sallam dan kepada segala gurunya. Kemudian fakir ia dengan hatinya seolah-olahnya mati ia tiada yang menolong baginya melainkan Allah jua., diikuti dengan zikir dengan kaedah dan dalam jumlah tertentu dalam sehari semalam.

Adapun berhubung dengan Ustaz Tariqat Naqshabandi telah disebutkan pada puncaknya dikaitkan dengan Nabi Muhammad salla Allah `alayhi wa sallam yang menerima dari Allah dan diperturunkan melalui sanad sama ada melalui Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq atau Sayyiduna Ali karrama Allah wajhah. Pertalian sanad ini juga dikenali dengan pertalian silsilah dhahabiyyah (Pertalian Emas). Rantaian silsilah ini sampai kepada Tukku Paluh adalah selepas daripada sanad yang ke 42. Jumlah ini terus bertambah dengan pertambahan penerima dan sanad-sanad terakhir. Tujuan ada sanad dan silsilah bagi membuktikan kebenaran keilmuan yang diterima, bagi menjamin kesinambungan amalan dan kesetiaan. Dari satu segi menurut Trimingham ianya sebagai satu organisasi yang mempunyai pemimpin (guru) yang mengamalkan kaedah amalan (sebagai kurikulum amalan) yang diikuti dan berlaku di satu tempat seperti madrasah, khanaqah atau rumah tertentu.
Trimingham, J.S. The Sufi Orders In Islam, Oxford University Press, London, 1971: 166-193).
Kaedah dan amalan sudah tentulah memberi kesan kekuatan rohani pada pengamal dengan pembawaan dan identiti tertentu. Tariqat adalah merupakan budaya ibadat yang dianggap perlu pada zaman tradisi, tetapi tidak kurang dari mendepani persoalan, terutama pada zaman kini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment