October 17, 2013

Konsep Ma`rifat Tukku Paluh



BBB, 12 Zulhijjah 1434 =  16 Oktober 2013 (Rabu):

Tingkat Kedua bagi anak tangga (Mi`raj) perjalanan rohani kitab Ma`arij al-Lahfan Tukku Paluh (Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad), ialah tingkat anak tangga ma`rifat. Sekali lagi diperingatkan bahawa pendekatan keilmuan Tukku Paluh adalah pendekatan aqidah berorientasikan tasawuf, juga tariqat. Namun walaupun dikatakan pendekatan aqidah, ianya tidak sama dengan pendekatan Ash`ari-Maturidi, sebaliknya kata Tukku Paluh:
``Katahui olehmu akan bahawa sesungguhnya, ma`rifat pada sisi segala ulama usul itu, iaitu mengetahui dengan wujud Allah dan mengetahui akan segala sifatNya yang Dhatiyyah dan yang Maknawiyyah dan yang harus atasNya dan yang mustahil. Tiada yang dikehendaki dengan ma`rifat itu akan ma`rifat Dhat yang muqaddas, kerana Mahasuci bahawa mendapat akan Kunhi DhatNya itu oleh akal atau pendapat seperti sabda Nabi salla Allah `alayhi wa sallam:

Inna Allah ihtajaba `an al-basa`ir kama ihtajaba `an al-absar wa inna al-malaikata yatlubunahu kama tatlubunahu.

Ertinya: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala  itu terdinding Ia daripada  bahawa mendapat akan Dia oleh segala akal seperti terdinding Ia  daripada bahawa didapat akan Dia dengan segala mata dan sesungguhnya segala mereka pada atas langit daripada segala malaikatNya itu menuntut mereka itu seperti kamu menuntut akan dia – Maka lemah mereka itu seperti lemah kamu.

Pengarang mengukuh pendapat dengan Hadith Rasulullah s.a.w. ketika baginda ditanya dari haqiqat tauhid, baginda bersabda:

Kulluma khatara fi al-bal fahuwa halikun wa Allahu bi khilafi dhalik

Ertinya: Tiap-tiap barang yang terkhatir Ia pada hati engkau, maka iaitu binasa ia.  Bermula  Allah Subhanahu wa Ta`ala itu dengan menyalahi bagi yang demikian itu.

Kata Tukku Paluh, ``Ilmu ma`rifat yang sebenarnya itu kurnia daripada Allah bagi hambaNya yang dikehendaki tatkala sempurna isti`dad bagi rahsiaNya.`` lantaran itu kata Tukku Paluh, ``Maka janganlah dilampaui akan had yang diwajibkan atas mukallaf, iaitu qadar kenal segala sifat yang wajib bagiNya dan yang mustahil atasnya dan yang harus baginya.``

Yang perlu kita memahami segala yang wujud adalah ciptaan Tuhan yang tiada satu menyengutuiNya dan tidak dituntut mengetahui akan hakikat Dhatnya. Kata Tukku Paluh:

``Maka terhentilah himmah segala arifin daripada mengetahui mereka itu akan haqiqatNya DhatNya yang muqaddas dan haqiqat segala sifatNya dan af`alNya seperti barang yang mengetahui Ia dengan sendiriNya dan terikatlah pendapat mereka itu pada belakang Hijab al-Izzah yang sangat teguh ia, maka tiadalah dapat dilangkah akan dia, kerana engganlah kebesaran ketuhanan itu bahawa masuk ia pada bawah liputan pengetahuan atau pendapat makhluk.``

Beberapa catatan berhubung dengan persoalan ma`rifat oleh Tukku Paluh:

a)      Tiada sampai seorang kepada martabat tauhid yang sempurna itu, melainkan jika diperoleh akan ma`rifat yang dhauqiyyah, maka pada ketika itu sempurnalah ibadatnya dan tahqiqlah ia dengan ubudiyyah dan barang siapa yang tiada tauhid haqiqi pada hatinya dengan wahdaniyyat Allah Subhanahu wa Ta`ala pada DhatNya dan sifatNya dan af`alNya  , maka orang itu kafir ia pada sisi Allah atau tiada ma`rifat pada hatinya, maka orang itu jahil ia dengan Allah.
b)      Kandungan kalimah Lailaha illa Allah Muhammad Rasulullah yang dinamakandia dengan `Kanz Allah`, ya`ni perbenda(ha)raan Allah, kerana dalamnya itu beberapa yang halus-halus daripada rahsia dan dinamakan pula dengan `Shajarah yang Tayyibah`, ya`ni pohon kayu yang baik, ialah asal ugama Islam dan dinamakan pula dengan `Hisn Allah al-Hasin`, ya`ni Kota Allah ertinya peliharaan Allah yang teguh.
c)      Maka barang siapa berkata ia dengan lidahnya jua akan Lailaha illa Allah dan tiada pada hatinya ma`nanya dan haqiqatnya, maka orang itu munafik dan jika ada ma`nanya pada hatinya, maka orang itu mu`min dan jika ada ia pada ruhnya, maka orang itu `ashiq dan jika ada ia pada sirrnya, maka orang itu mukashif, maka yang pertama itu martabat segala mu`minin kerana semata-mata membenarkan jua dengan dalil yang sahih dan kedua martabat segala awliya` kerana terbuka mata hatinya dengan cahaya tauhid dan yang ketiga martabat khawass al-khawass, kerana telah dikashafkan bagi mereka itu akan haqiqat
      segala perkara.
d)     Bermula Kalimah al-Tauhid itu empat kalimahnya yang melengkapi ia atas empat rukun kota dan tiada dinamakan kota itu hingga sempurna segala rukunnya yang empat demikianlah ugama Islam itu empat rukun, pertama sembahyang dan kedua zakat dan ketiga puasa dan keempat haji dan istana tempat kerajaannya itu Kalimah al-Tauhid seperti sabda Nabi salla Allah `alayhi wa sallam:
                                    Buniya al_Islam `ala khamsin
            Ertinya diperbuatkan ugama Islam itu atas lima perkara dan tatkala adalah tempat   
            kerajaan Haqiqat Insan itu pada hati, maka diserupa akan hati itu dengan istana
            kerajaan insan yang di dalamnya tempat kalimah Tauhid dan segala anggota itu
            seperti beberapa rakyat baginya hal keadaan terserah ia di bawah perintahnya
            pada suruhnya dan tegahnya.

Apa yang dapat dilihat bahawa pengarang amat mesra membincangkan tentang kalimah shahadah dan menghuraikannya dengan berbagai cabang huraian yang dikaitkan dengan ayat Qur`an dan Hadith dengan menekankan kepada istilah seperti kalimah tauhid,  kalimah tayyibah, kanz Allah, ithbat – nafi, hati, roh, sirr, kota dan lain-lain, tetapi dihuraikan secara imaginatif dan intuitif ketasawufan, namun terasa ada huraian agak jauh ke dalam yang bukan huraian kebiasaan yang menjadi pegangan bagi kebiasaan dari segi aqidah, sedangkan aqidah semestinya suatu yang tepat, jelas dan kalau boleh dielakkan dari elemen imaginatif kreatif seperti di dalam bidang tasawuf serta tariqat dan lebih-lebih dalam bidang sastera.

Walau bagaimana kelihatan Tukku Paluh begitu mencintai bidang akidah bagai meneruskan bidang yang dihuraikan oleh bapanya Syed Muhammad bin Zainal Abidin, namun oleh kerana Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad (Tukku Paluh) mendalam di dalam bidang tasawuf, kelihatan kedua-dua bidang ini- termasuk tariqat dijalin secara kreatif imaginatif, namun bertolak dari al-Qur`an dan al-Hadith. Pendekatannya ada kelainan dan keunikan, tetapi juga membawa permasalahan, lantaran pertembungan antara pendekatan akidah yang seharusnya tepat dan mantap dengan pendekatan tasawuf-tariqat yang bersifat seni-rohani-imaginasi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment