BBB, 08 Zulhijjah 1434 = 13 Oktober 2013 (Ahad):
Dari Gelombang Ketiga Tradisi Keislaman Dan Keilmuan di
Terengganu melahirkan Tokoh Penyair Islam Terengganu. Sudah begitu ramai tokoh lahir
dan banyak karya terhasil di Terengganu, tetapi Syed Muhammad bin Zainal Abidin
adalah satu-satunya tokoh terawal menghasilkan puisi (secara jelas dan
tertulis), lantaran itu pada Hari Sastera `78` yang berlangsung di Kuala
Terengganu pada 24 – 27 Julai 1978, Syed Muhammad bin Zainal Abidin (Dikenali
sebagai Tukku Tuan Besar) diangkat dan diterima sebagai `Bapa Penyair
Terengganu`.
Syed Muhammad adalah salah seorang ulama yang hidup dan
bergiat pada pertengahan abad ke 19 dan berkesempatan dengan zaman pemerintahan
Sultan Baginda Umar (1839-1876). Berketurunan Syed yang datang dari Hadramaut.
Bapanya (Zainal Abidin) seorang pedagang beras yang berulang alik dari Jawa ke
Semenanjung Tanah Melayu dan ke Terengganu dan bertemu juduh dengan isterinya
dari keturunan Syed al-Idrus – anak Syed Mustaffa bin Ahmad al-Idrus dan Syed
Muhammad bin Zainal Abidin dilahirkan pada 28 Rajab 1207 bersamaan 18 Februari
1795 di Kampung Cabang Tiga Kuala Terengganu. Pada masa remajanya beliau
berguru dengan ulama terkenal pada masa itu, iaitu Shaykh Wan Abdul Qadir Bin
Wan Abdul Rahim (m.1864) Bukit Bayas yang datang dari Patani setelah kekalahan
Patani dalam peperangan dengan Siam pada 1832M.
(Wan Husin Bin Wan Embong, dlm. Ulama Terengganu: Suatu
Sorotan, diseleggarakan oleh Muhammad Abu Bakar, Perbadanan Perpustakaan Awam
Terengganu, 1991: 136).
Beliau dihantar belajar di Makkah dan pulang mengajar di
Cabang Tiga.
Selain dari mengajar keilmuan biasa seperti akidah, fiqh,
tasawuf, tafsir dan Hadith Syed Muhammad adalah pencinta puisi. Adalah
dipercayai semasa di Makkah beliau mendalami ilmu `Arud dan Qafiah, iaitu ilmu
memahami dan menggubah puisi. Dalam pengajian keilmuan Islam, puisi bukanlah
keilmuan yang asing dalam tradisi pengajian Islam, kerana sebahagian dari
keilmuan Islam digubah secara matan di dalam bentuk puisi seperti Matan
al-Fiyah bagi ilmu Nahu, Matan Jauharah bagi ilmu usuluddin, matan Jauhar
al-Maknun bagi ilmu balaghah dan berbagai-bagai matan lagi di dalam
berbagai-bagai bidang ilmu. Pengajian yang berhubung dengan puisi yang perlu
memahami wazan dan qafiyah menarik minat Syed Muhammad menggubah puisi. Beliau
juga turut mengarang secara prosa. Puisi yang dikarangnya ialah dalam bentuk
nazam. Nazam adalah puisi terikat semacam syair yang biasanya dikarang oleh ulama
dan kebiasaan temanya membawa persoalan agama.
Menurut Za`ba nazam terkarang menurut timbangan yang dinamai
`bahar rajaz` dalam kaedah syair Arab (berdasarkan kaedah saraf). Pertentangan
bunyinya yang biasa dibuat dalam bahasa Arab ialah disamakan bunyi hujung
antara dua kerat yang menjadikan bayt itu sahaja; lain bayt lain pula bunyinya
yang sama itu. Menurut Za`ba, tetapi dalam bahasa Melayu kerap dibuat orang
seperti dalam misal itu tadi, iaitu bunyi hujung kerat yang keduanya sahaja
disamakan antara tiap-tiap bayt hingga seberapa banyak. Contoh lebih biasa,
iaitu tiap-tiap bayt disamakan bunyi; hujung antara dua keratnya sahaja, tetapi
berlainan dengan bunyi hujung yang sama pada bayt-bayt yang lain. Contoh:
Aku mula nazam ini dengan nama,
Allah yang memberi fahamkan agama.
Puji itu bagi Allah yang mulia,
Lagi kekal Ia lagi yang sedia.
Rahmat Allah dan salamnya atas Nabi,
Muhammadin yang Hashimi dan Arabi.
Demikian lagi atas asal yang berbahagia,
Dan sahabat nabi kita yang mulia.
Daripada Nazam ``Sifat 20`` karangan Tuan Guru Haji Mustafa,
Linggi.
(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kuala Lumpur: 1965: 239-240).
Demikianlah Syed Muhammad yang meminati puisi nazam, maka
dalam masa pengajarannya, beliau memilih bentuk nazam bagi menyampaikan dakwah keislaman.
Beliau amat terkesan dengan Sirah Rasulullah s.a.w. dan mengambil tema Sirah
Rasulullah s.a.w, di dalam menggubah nazamnya, disamping menggubah tema-tema
yang berhubung dengan akidah dan juga fiqh. Di dalam hal ini beliau telah
menghasilkan 5 buah kumpulan Nazam.
1) Nazam
Kanz al-`Ula (Sejarah Rasulullah s.a.w).
2) Nazam
Sirat al-Nabawiyyah (Sirah Kenabian)
3) Nazam
Jawahir al-Saniyyah (aqidah)
4) Nazam
Al-Durrah al-Fakhirah (Aqidah)
5) Nazam
Tahliyat al-Wildan (Fiqh).
Dari senarai di atas dua buah berhubung dengan Sirah
al-Rasul dan dua lagi berhubung dengan aqidah dan sebuah berhubung dengan fiqh.
(Shafie Abu Bakar, Sastera Islam Dalam Peradaban Ummah,
Jurnal Persuratan Melayu, Jil 1, Bil. 1, Tahun 1995: 67).
Nazam Kanz al-`Ula bererti (Perbendaharaan Yang Bernilai)
ialah Nazam berhubung dengan sejarah Rasulullah; Contoh:
Wa ba`d inilah kitab Kanz al-`Ula namanya
Pada menyatakan sifat-sifat al-Mustafa yang mulia
Allah juga aku harap dengan menolong aku
Atas nazamku ini pada khatamkan dia
Dengan berkat Penghulu kita Muhammad yang besar
Dan keluarga yang suci dan sahabat yang mulia.
(Kanz al-`Ula, 1332H: 13)
Pada dasarnya bentuk nazam ialah aa, bb, cc dan seterusnya,
tetapi kadang-kadang ada yang agak bebas seperti di atas. Selanjutnya kata
Nazam Kanz al-`Ula:
Tetapi iman tak ada jika tiada kasih
Akan Tuhan yang Kaya dan Rasul yang mulia
Maka alamat kasih akan Rasul yang mulia
Itu mengikut sunnahnya ia yang `alia
Maka sebutkan Rasul dengan memuji dia
Itu menunjuk juga atas kasihkan dia.
( Kanz al-`Ula, 1322H. 3-4).
Contoh dari Nazam Sirah al-Nabawiyyah yang juga mengenai
sejarah Rasulullah s.a.w.
Dimulai dengan:
Ya Rabbi salli `ala Habibika al-Murtada
Wa aalihi wa sahbihi al-fadla
Dan memakai oleh itu
Rasul yang mulia
Akan cincin yang dari perak buatkan dia
Dan adalah pula bagi Rasul yang mulia
Satu cincin lain dilu(ng)kis dia
Maka dilu(ng)kis di atas cincin yang mulia
Muhammad yang Rasulullah itu yang mulia
Dengan dialah jua cop oleh yang mulia
Akan suratnya itu masa sudahkan dia.
(Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 21)
Contoh bagi Nazam Jawahir al-Saniyyah (Aqidah) tentang hukum
akal:
Wajib itu maka barang ada ia
Tidak dapat pada akal `adam ia
Yang Mustahil itu barang pula ia
Tidak dapat pada akal wujud dia
Harus itu barang sahih adanya
Pada akal dan tiada pulanya.
Taqlid pada `aqa`id al-iman itu
Ditakuti tidak pada iman tentu
Sebab khilafiah ulama padanya
Pada iman atau tiadanya
Yang muktamad sahlah ia dengan dia
Jika dapat jazam pada taklid dia.
(Jawahir al-Saniyyah, hlm. 7).
Demikian juga dengan Nazam Durrah al-Fakhirah yang juga
membawa persoalan aqidah
seperti:
Maka Allah itu maujud ia dengan zahir dan nyatanya
Terlebih daripada tiap-tiap yang lain dengan tiada kesamaan
pada-Nya
Athar dan perbuatan jua bagi Nya
Yang menunjukkan ia atas wajib wujud fael Nya
Dan mustahil ada perbuatan itu dengan tiada
fael bagi Nya
Dengan muafakat
segala i`tiqad sekalian atasNya,
Pada wujud Allah itu muwafatlah segala agama sekaliannya
Seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Qur`an Nya.
(Al- Durrat al-Fakhirah, hlm. 4)
Manakala Nazam
Tahliyat al-Wildan (persoalan Fiqh) kata penyair:
Wa ba`d ni kitab pada feqah ia
Bagi al-Imam al-Shafie yang mulia
Tahliyat al-wildan
nama kitab ini
Dengan kenal shurut wa al-arkani.
(Tahliat al-Wildan,hlm. 3).
Seterusnya diperingatkan:
Fardhu atas orang alim tu mengajar
Banding yang wajib atas jahil itu belajar
Ambil oleh Allah teguh janjinya
Atas tiap-tiap alim hambanya.
Bahawa nyata ia akan ilmunya
Jangan ia sembunyikan
satunya
Laknat oleh Allah Ta`ala akan yang sembunyi
Telah datang Qur`an dalil khabar ini
Yang sembunyi ia akan ilmu dia
Dengan api jua diganggangkan dia
Allah bangkit bagi umat Rasulnya
Yang membaharukan
agama baginya.
(Tahliyat al-Wildan, hlm. 16-17).
Syed Muhammad bin Zainal Abidin turut mengarang di dalam
tulisan prosa, iaitu:
a) Diya`Uqud
al-Durratayn fi Tarjamat Kalimat al-Shahadatayn (Aqidah).
b) Sullam
al-Taufiq. (Mengenai fiqh).
Contoh mengenai Dhiya` Uqud al-Durratayn – dikenali dengan (Shahadat
Tukku)
Bismillah al-Rahman al-Rahim
Ashhadu an lailaha illa Allah
Ertinya aku ketahui dan aku i`tiqad dengan hatiku dan aku
nyatakan bagi yang lain daripada aku, akan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang
disembah dengan sebenarnya melainkan
Allah jua yang kaya Ia daripada tiap-tiap yang lain daripada Nya dan
berkehendak tiap-tiap yang lain itu kepada Nya lagi yang bersifat Ia dengan
tiap sifat kesempurnaan dan Yang Maha Suci Ia daripada segala kekurangan, dan
daripada barang yang terlintas Ia di dalam
segala hati daripada barang yang tiada patut Ia bagi Nya.
Lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang
memperanakkan bagi Nya, dan tiada menyamai Ia pada dhat Nya dan sifat Nya dan
afal Nya akan seseorang. Maka Ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk
yang ulwinya dan suflinya, lagi ketunggalan Ia pada mengadakan dan meniadakan
dengan kekerasan takluk kudrat dan iradat Nya, maka terserahlah segala kainat
ini semuanya pada bawah perintah Nya dan tiadalah jenis iktirad bagi seseorang
jua pun atas kehendak Nya.
Wa ashhadu anna Muhammada Rasulullah
Dan aku ketahui dan aku i`tiqad dengan hatiku dan aku
nyatakan bagi yang lain daripada aku akan bahawa sesungguhnya Penghulu kita Nabi Muhammad anak
Abdullah itu hamba Allah dan Pesuruh Nya kepada sekalian makhluk, lagi sangat
benar ia pada tiap-tiap barang ia khabarkan dengan dia daripada Tuhan Nya. Maka
wajiblah atas tiap-tiap makhluk itu membenarkan akan dia dan mengikut akan dia
dan haram atas mereka itu mendusta akan dia atau menyalahi akan dia, maka
barang siapa yang menyalahi ia akan dia, maka orang itu derhaka ia lagi binasa
ia, mudah-mudahan memberi taufik akan kita oleh Allah bagi sempurna mengikut
akan dia dan mengkurnia Ia bagi kita akan sempurna berpegang dengan jalannya,
dan menjadi Ia akan kita setengah daripada orang yang menghidup ia akan segala
hukum shariatNya dan memati Ia akan kita atas agamaNya, dan menghimpun Ia akan kita
serta perhimpunannya, demikian lagi segala yang memperanak akan kita dan ahli
kita dan segala saudara kita dan yang kasih ia akan kita dan segala sahabat
kita daripada segala orang yang muslimin. Amin.
(Dhiya` Uqud al-Durrtayn, hlm, 11-14).
Oleh kerana pada zaman tradisi belum banyak dengan hasil
penulisan, khusus dalam bidang puisi, maka puisi nazam syed Muhammad begitu
popular, ia bukan setakat dibaca, tetapi dilagukan. Puisi-puisinya dilagukan
dalam kumpulan seperti cara bacaan puisi marhaban di dalam majlis seperti pada
upacara berkahwinan, berkhatam , Maulid al-Rasul s.a.w. Pada setiap kampung pula
ada ditubuhkan pasukan Nazam. Ianya dilagu dan dinazamkan bagi melahirkan
kekudusan dan kemeriahan yang bercirikan Islam.
(Shafie Abu Bakar, Syed Muhammad bin Zainal Abidin,
Pengarang Dan Penyair Nazam dari
Terengganu, dlm. Pengarang Dan Kepengarangan Melayu, diselenggarakan oleh
Sahlan Muhammad Saman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur : 1994: 77-107).
Karangan prosa Diya` Uqud al-Durratayn fi Tarjamat Kalimay
al-Shahadatayn diterbitkan dalam berbagai bentuk – antaranya bersifat buku
kecil dan helaian risalah yang disebarkan secara meluas di zaman tradisi.
Tulisan Diya` Uqud al_Durratayn (Shahadat Tukku) ini dipelajari di Sekolah
agama, dihafal oleh orang tua dan muda. Jika Shahadat Tukku menjadi panduan
bagi pegangan aqidah, maka Sullam al-Taufiq yang menghuraikan tentang solat,
juga terkenal sebagai panduan bagi ibadat solat.
Sebagai pelopor dalam puisi tradisional Nazam di samping
prosa ilmi, Syed Muhammad berjaya menggunakan kemahiran menulisnya di dalam
menyebarkan Islam. Sebagai peneroka di dalam menulis puisi, maka beliau memang
sesuai dan wajar diangkat sebagai Bapa Penyair Terengganu.
Sekian
No comments:
Post a Comment