October 5, 2013

Penerusan Pengajian Di Sungai Rengas: Mendepani Zaman Transisi


BBB, 28 Zulkaedah 1434 = 04 September 2013 (Jumaat):

Pengajian Lanjutan Shaykh Abdul Malik bin Abdullah sampai ke peringkat puncaknya semasa dikendalikan oleh Tuan Haji Abdul Malik bin Isa cicit Tuk Pulau Manis di Sungai Rengas berikutan perkahwinan beliau dengan isterinya di situ. Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Baginda Omar (1839-1876) yang disifatkan sebagai Sultan yang progresif dan cintakan ilmu pengetahuan.  Kitab-kitab bertulisan tangan adalah diwarisi ke zaman Haji Abdul Malik. Beliau mendapat pengajian di Makkah mulai (1245H./1829M.) berdasarkan kitab salinan terawal beliau pada sebuah kitab nahu – Nurul-Sajiyyah fi Hall al-Alfaz al- Ajarrumiyyah dan kembalinya ke Terengganu tidak lewat dari (1253H.) Tarikh beliau mendapat anak – Haji Muhammad. Pada tahun 1267 beliau pergi sekali lagi ke Makkah kali kedua bersama anaknya Muhammad dan berada di sana selama 4 tahun dan pulang ke Terengganu pada (1271H.).
Maklumat di dapati dari catatan Muhammad bin Haji Abdul Malik pada sebuah kitab  al-Kaylani kitab Saraf karangan Abu al-Hasan Ali bin Hisham al-Kaylani, catatan:

``Sanah kepada hari Khamis tujuh belas haribulan Safar ketika itulah kita menaruh surat tarikh. Telah menyurat tarikh, kita Haji Muhammad bin Abdul Malik bin Isa bin Badru al-Din bin Abdul Malik Datuk Pulau Manis yang empunya maqam di sana. Maka adalah asalnya kita lihat akan tarikh orang tuha kita Haji Abdul Malik menyurat dengan khatnya pada kitab Kamus. Adalah tarikh beranakkan kita sanah 1253 zuhur hari Arba` 29 Zulhijjah, kemudian tatkala sampai umur kita empat belas tahun, orang tuha kita bawa kita pergi ke Makkah al-Musharrafah bersama-sama dengan dia duduk di dalam Makkah jumlah taqrib empat tahun. Turun di Makkah sampai ke Terengganu bulan Muharram sanah 1271H.``
(Shafie bin Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya, UKM, 1976/77: 178).

Dari maklumat di atas, bahawa Haji Abdul Malik bin Isa berguru dengan  Shaykh Daud al-Fatani antara (1245-1253H.). Dalam masa tersebut ia belajar dengan Shaykh Daud dan menyalin kitab-kitab yang dipelajari dan kemudian membawanya pulang ke Terengganu menjadi bahan pengajaran. Pada kali kedua pemergiannya ke Makkah bersama anaknya Muhammad (1267-1271), Shaykh Daud sudah meninggal dunia (m.1265/1849M).
Namun kegiatan penyalinan kitab yang dimiliki Haji Abdul Malik terus berlaku sama ada di Makkah dan selepas perkembalian ke Terengganu pada kali kedua. Penyalinan terakhir oleh Haji Abdul Malik ialah 1277, iaitu 32 tahun selepas beliau belajar di Makkah. Ertinya Haji Abdul Malik bin Isa meninggal tidak awal daripada 1277H.

Semasa Haji Abdul Malik bin Isa ke Makkah pengajiannya di Sungai Rengas dikendalikan oleh pelajar-pelajar senior seperti Muhammad Zain bin Haji Muhammad (salin kitab 1267/1850), Ali bin Qadi Muhammad Salih Fatani (Salin 1283/1865), Khatib Awang (menyalin 1295/1875). Yang lain-lain  Abdullah Datuk Mata-Mata, Abdul Rahman bin Khatib Idris, Haji Ismail bin Muhammad Zain, Umar bin Haji Idris dan Muhammad bin Ismail.

Pemergian Haji Abdul Malik kali kedua ke Makkah (1267-1271) bersama anaknya lebih bertujuan mendedahkan anaknya Haji Muhammad sebagai anak sulung dengan pengajian di Makkah, tempat Haji Abdul Malik dan Tuk Pulau Manis mendapat pengajian dan kelak bagi meneruskan pengajian di tanahair. Sememangnya Haji Muhammad yang mendapat pengajian di Pengajian Shaykh Abdul Malik, di Makkah dan kemudian kembali di tanahair, adalah seorang yang mendalam ilmu pengetahuan. Beliau sendiri menyalin kitab-kitab sekurang-kurang sebagaimana dapat dikesan ialah sebanyak 7 buah kitab, iaitu:

1)      Kitab Fawa`id al-Shansuriyyah Sharh al-Manzumat al-Rahbiyyah oleh Abdullah al-Shanshuriyyah – disalin 1270H. 133hlm.  Kitab Fiqh’
2)      Matn Khulasat al-Tauhid oleh `Ali Al-Najjar disalin 1267H. 9hlm. – Kitab Usuluddin.
3)      Matn Jauharat al-Tauhid oleh Ibrahi al-Liqani, 14hlm. Matan Usuluddin.
4)      Al-Tuhfah fi Hall al-Faz al-Shaykh Khalid wa al-Ajjarumiyyah, 406hlm. Kitab Nahu.
5)      Hashiyah `ala Sharh al-Azhariyyah, oleh Hasan al-`Attar, ada 37hlm. Nahu-Sarf.
6)      Sharh al-Qatr, oleh Ibn Hisham, ada 16hlm, Kitab Nahu.
7)      Kitab Sarf, Pengarang ? ada 36hlm.

Haji Muhammad nampaknya bukan saja mendalami ilmu fiqh dan usuluddin, tetapi mendalami ilmu nahu, iaitu ilmu yang perlu bagi memahami kitab-kitab Arab yang jumlah kitab-kitab Arab yang disalin jauh lebih banyak (301 buah) dari kitab-kitab di dalam bahasa Melayu (78 buah) yang bertulis tangan.

Beliau yang hidup antara 1253-1327H, = 1837- 1920 berumur lanjut hingga ke zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin Ke III (1881-1919). Oleh kerana kealiman beliau maka Haji Muhammad bin Abdul Malik dilantik menjadi Kadhi di Kuala Terengganu. Gelaran beliau sebagai Tuan Kadhi lebih terkenal dari nama peribadinya. Beliau dipanggil sebagai `Tuk Kali` bermaksud `Tuk Kadhi` dengan mempunyai mohor bagi perjawatan kadhinya. Jadi dapatlah difahami di dalam masa meneruskan pengajaran di Pondok Pengajian warisan yang terletak di tepi Sungai Rengas sebagai anak Sungai bagi Sungai Terengganu, beliau terpaksa berulang alik ke Kuala Terengganu bagi menjalankan tugas kadhinya melalui jalan sungai. Menurut orang tua di Sungai Rengas, Haji Muhammad seorang alim dihormati dan menjadi adat bagi pembesar-pembesar pada zaman itu, pergerakan Haji Muhammad diusung oleh juru-juru usung yang membawanya dengan pengusung dari satu tempat ke satu tempat pergerakannya.

Sebagaimana telah disebutkan pengajian di Sungai Rengas ini turut dihadiri oleh pelajar-pelajar dari luar dari Terengganu, iaitu dari Patani dan Johor, pusat pengajian di sini menjadi tempat lindungan pejuang-pejuang dari Pahang yang menentang kemasukan British ke negeri itu. Semasa Penulis membuat kajian, Tuan Haji Mat bin Awang (al-Marhum) Imam Masjid Sungai Rengas masih ingat, Pondok Pengajian di Sungai Rengas menjadi tempat lindungan pejuang-pejuang Penentang Penjajahan di Pahang diketuai oleh Mat Kilau dan rakan-rakan pejuang, bahkan mereka mengambil kesempatan belajar di Pengajian tersebut. Antara pejuang-pejuang dari pahang meninggal di Hulu Terengganu, iaitu Tok Gajah yang kuburannya terdapat di Pasir Nering Hulu Terengganu.

Zaman Haji Muhammad bin Abdul Malik `Tuan Kali` adalah zaman transisi yang dapat dilihat di dalam beberapa aspek.

Zamannya mulai berakhir kegiatan menyalin kitab-kitab pengajian, kerana mulai awal abad 20 kitab-kitab pengajian  sudah mulai dicetak seperti Percetakan  al-Amiriyyah  al-Wahabiyyah di Makkah, percetakan Bulaq Mesir, percetakan Muhammad Affandi Mesir yang semuanya bergiat selepas bahagian ke dua abad 19 dan pada permulaan abad ke 20M. kitab-kitab berbahasa Melayu mulai dicetak di Percetakan al-`Amiriyyah Makkah dan Bulaq Mesir. Penerbitan tempatan seperti Sulaiman Mari di Singapura turut mencetak kitab-kitab Jawi, diikuti di Pulau Pinang Percetakan Rawa. Jadi kegiatan menyalin tangan kitab-kitab mulai berakhir.

Pada zaman ini (akhir abad 19) Penjajahan Barat mulai datang ke Terengganu dalam usaha mereka untuk menguasai Terengganu sejak 1894, tetapi oleh kerana wujudnya Sultan Zainal Abdin ke III yang alim dan tidak menyenangi kehadiran British dikukuhkan lagi penentengan ulama antaranya Tukku Paloh (Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad) sebagai Shaykh al-`Ulama terhadap penjajahan menyebabkan mereka tidak dapat menguasai Terengganu.
(Yusof Embong, Peranan Dan Sumbangan Ulama Terengganu, Pesaka, VII, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1992: 19).

Hingga awal abad 20 pengajian persekolahan mulai wujud di Terengganu, termasuk persekolahan agama seperti Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin (1925), maka kehadiran pendidikan moden menggugat pendidikan tradisi, walapun tidak memupuskan langsung pengajian tradisi. Mulai 1356/1928 pengajian di Sungai Rengas dipindah ke Padang Midin di bawah pengajaran Tuk Guru Haji Embong Ismail (m.1969) dengan menggunakan kitab-kitab bercetak dan berterusan hingga zaman Kemerdekaan (1957). Walau bagaimana Pengajian Tradisi, khususnya Institusi Pengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah yang berterusan selepas era Batu Bersurat hingga zaman moden amat memberi kesan di dalam menyebarluaskan pengajian Islam di Terengganu hingga negeri Terengganu bukan saja antara negeri terawal menerima Islam dengan bukti Batu Bersurat, tetapi pendidikan keislaman melalui Pengajian Institusi Syeikh Abdul Malik merupakan era pengisian dari cetusan keislaman yang dibukti Batu Bersurat hingga menyentuh ke zaman moden. Ini juga memberi kesan bahawa kesedaran pendidikan Islam di negeri ini lebih ke hadapan berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan ini antaranya memberi kesan bagi sikap anti penjajahan, bukan saja menolong pemberontak dari Pahang, tetapi berlaku pemberontakan Tani di Terengganu yang digerakkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong (1928).

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Dr Shafie.

    Bagaimana saya boleh dapatkan tesis Dr berkenaan Tok Pulau Manis?

    zulkarnain.endut@gmail.com

    ReplyDelete