BBB, 24 Zulhijjah 1434 = 29 Oktober 2013 (Selasa):
Siswa-siswa UKM pada peringkat awal adalah dari pelbagaian
latar. Sebahagian siswa berlatarbelakang pendidikan sains. Antara mereka dari
Sekolah-sekolah asrama. Satu bahagian berlatarbelakangkan agama yang mendapat
pendidikan dari Sekolah-sekolah menengah agama yang antaranya dari Kolej Islam
dan yang berpelbagai ialah yang di dalam Fakulti Sastera. Mereka ini dari
Sekolah dan sebahagian dari kalangan guru. Pada peringkat permulaan belum ada
kesatuan imej di kalangan pelajar. Mereka baik langsung atau tidak langsung
bakal membina imej pelajar UKM.
Membandingkan siswa-siswa UKM permulaan dengan siswa kini
amat berbeza. Mereka lebih sosial, agak bebas pergaulan dan kurang menjaga
aurat (bagi pelajar perempuan). Dari ingatan dan pengalaman, dari gambar-gambar
majalah keluaran kolej dan akhbar mahasiswa sukar mencari mahasiswi yang
bertudung berbanding dengan yang bermini skirt, bahkan di dalam majalah Kolej
Jil. II Bil. 1, ada Pertandingan Ratu di kalangan mahasiswi termasuklah mahasiswi
dari Fakulti Islam yang turut sama masuk tanpa bertudung Pertandingan Ratu dan
menang (bukan Johan). Trend siswa lelaki pula pada masa itu bersifat rugged dan
berambut panjang.
Tetapi kalau kita perhati dalam masa lebih kurang setengah
dekad kemudian berlaku perubahan imej mahasiswa dan juga kesan kemasyarakatan –
terutama yang Islam. Apakah faktor-faktor yang memabawa kepada perubahan
sedemikian ?
Perubahan yang berlaku adalah diakibatkan oleh faktor
dalaman dan luaran. Faktor dalaman ialah dari gerakan mahasiswa yang cenderung
kepada Islam seperti PKPIM, PMIUM dan ABIM yang lantang dengan perjuangan
keislaman. Ada
golongan muda di kalangan pemimpin pelajar berwibawa yang dapat memmenuhi
idealisme mereka pada masa itu seperti saudara Anwar Ibrahim dan beberapa
kepimpinan ABIM yang lain. Mereka pula mempunyai hubungan dengan kepimpinan
belia Islam antarabangsa. Di belakangnya ada mahaguru dan penasihat bertaraf
antarabangsa baik dari kalangan mahaguru tempatan dan dari peringkat umat dan
antarabangsa.
Pengaruh Keislaman ini sampai kepada gerakan mahasiswa UKM.
Misalnya dalam Sidang Dewan Mahasiswa kali kedua pada 11 Jun 1972 Presiden
PMUKM saudara Ramli Ibrahim menegaskan bahawa identiti yang mahu dibina oleh
PMUKM ialah Kebumiputraan dan Keislaman. Antara faktor yang membina identiti
pelajar yang selari dengan gerakan pelajar dengan keislaman ialah pendekatan
akademik yang memperkukuhkan Islam misalnya Maududi mengetengahkan pandangan
bahawa Islam adalah cara hidup, Syed Naguib menegaskan bahawa Islam membina
peradaban Melayu dan mengupas tentang Islam dan sekularisma. Pandangan Naguib
bukan saja mempengaruhi mahasiswa yang mengikuti kursusnya, tetapi juga
masyarakat. Pandangan akademik dan sama dengan gerakan kemahasiswaan banyak
memberi impak positif keyakinan masyarakat terhadap Islam. Kesan yang paling
penting pada tahun1970an ialah kejayaan revolusi Iran
yang bukan saja menjatuhkan Kerajaan Monarchy Iran , tetapi mengalahkan Amerika di
Teluk. Kejayaan Negara Republic Iran memberi keyakinan tentang keupayaan Islam
bangkit. Turut memberi kesan kepada politik tanahair yang mendukung perjuangan
Islam.
Approach Islam bukan hanya ritual dan ibadat, tapi cara
hidup yang lengkap membawa kepada penerokaan berbagai-bagai bidang. Misalnya
kalau dulu pengajian Islam dianggap ketinggalan dan ianya dipelajari di pondok
atau rumah. Tetapi dengan pendekatan baru yang Islamik, sekolah-sekolah
menengah agama menjadi sekolah pilihan dan mengeluarkan pelajar-pelajar cemerlang
berjaya menyambung pengajian ke berbagai peringkat di dalam atau di luar
Negara.
Dari satu segi masa dahulu
orang tidak begitu meyakini dengan system pengajian agama, tetapi kini bukan saja sekolah-sekolah
terutama pada peringkat menengah menjadi rebutan ibubapa kerana terbukti
prestasi cemerlang sekolah-sekolah berkenaan bukan saja di dalam bidang
akademik, tetapi serentak dengan pembawaan akhlak dan syakhsiah. Daripada
peringkat menengah, maka lahir pengajian pada peringkat tinggi dan universiti
yang berjenama Islam yang juga menjadi pilihan pelajar-pelajar. Namun dengan
nama semata-mata tidak menjamin memancarkan identity yang seharusnya lahir dari
jenama yang diberi. Ruang adalah terbuka kepada pengisian terhadap jenama yang
diberi atau ianya hanya sekadar nama sahaja.
Berbalik kepada gerakan pelajar di dalam membina identity,
keupayaan mereka adalah dilihat makin terhad, lantaran mereka makin dikawal
oleh birokrasi dan akta. Mungkin pada masa sekarang persatuan-persatuan yang
mengendalikan pelajar di universiti lebih sedikit sahaja daripada
persatuan-persatuan pelajar pada peringkat sekolah berbanding dengan kebebasan
pelajar yang dinikmati pada awal 1970an, khususnya sebelum diikat dengan
birokrasi dan Akta Universiti. Kini kita tidak dapat melihat identity menonjol
yang dibawa oleh mana-mana persatuan pelajar di universiti. Sebab itu dapat
dikatakan bahawa pihak universiti tidak berjaya di dalam menyediakan suasana
yang dapat membentuk kepimpinan pelajar.
Tetapi sebenarnya, bukan saja kalangan pelajar yang dikawal
dan tertekan dan terhalang dari membina identity kemahasiswaan, tetapi pusat
pengajian tinggi juga. Kita tertarik dari pengalaman sejarah yang dilalui oleh
UPM yang ditubuh dan meningkat kepada tahap universiti pada awal 1970an yang
diharap menjadi sebuah universiti unggul di dalam bidang pertanian dan tahap
ini memang pernah dicapai, tetapi entah macam mana pihak pimpinan universiti tersebut rasa
terikat dengan imej pertanian dan mau bebas sebagaimana universiti-universiti
yang lain lantas namanya ditukar kepada Universiti Putra Malaysia, UPM dengan
jenama baru terpaksa struggle bagi menonjol imejnya setara dengan imej
universiti-universiti yang lain, tetapi nampaknya ianya tidaklah lebih dari
universiti terkenal yang lain. Oleh kerana universiti ini meninggalkan imej dan
bidang utamanya yang asal, masyarakat merasa perlu dan mendesak agar ada sebuah
Universiti Pertanian yang khusus memberi perhatain pada bidang pertanian. Apa
yang disuarakan ini menyebabkan Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn
al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor selaku Canselor UPM
bertitah, ``Tidak perlu diwujudkan sebuah universiti Pertanian yang baru.`` Ini bermakna UPM akan memberi tumpuan (juga
?) pada bidang pertanian. Kita melihat dalam keadaan sekarang UPM berada di
dalam krisis imej.
Perkara yang sama barangkali dapat diunjurkan kepada
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Apa yang dimandatkan oleh masyarakat
terhadap UKM ? Sebuah universiti yang mengunggul dan memperkasakan bahasa
Melayu di dalam bidang keilmuan setara
dengan bahasa-bahasa terbesar yang lain di peringkat antarabangsa ? Berjayakah
matlamat ini dicapai ? Di dalam perjalanan membina imej UKM sebagaimana diharapkan,
kita mendapati UKM makin jauh lari dari mengunggul dan mempekasakan diri
melalui bahasa Melayu di dalam bidang kemanusiaan sebagai satu aspek penting
yang seharusnya didukung oleh sesuatu bahasa. Dulu ramai tokoh-tokoh sastera
yang lahir dan menonjol dari UKM yang dihormati pada peringkat Negara dan
antarabangsa, kini sudah kurang, bahkan menjadi makin tiada. Dulu diskusi
sastera dan teorinya pada peringkat Negara dan antarabangsa selalunya dari UKM.
Kini sumbernya telah kering dari UKM. Bagaimana dapat dibina unggul dan perkasa
bahasa Melayu jika tidak bertolak dari kehalusan jiwa sebagai jambatan kepada
kekakuan rasa bagi istilah sains dan teknikal ?
Kita tidak mau UKM menjadi Sitenggang yang kehilangan kasih
sayang dan kemanusiaan !
Sekian.
No comments:
Post a Comment