October 27, 2013

Mengapa Lembah Pantai?

BBB, 21 Zulhijjah 1434 = 26 Oktober 2013 (Sabtu):

Berhubung dengan Kampus Sementara UKM adalah menjadi tanda tanya mengapa Lembah Pantai? Soalan ini melibatkan sekuarng-kurangnya dua perkara, iaitu mengapa lokasi bagi UKM itu dinamakan Lembah Pantai dan ada hubungan mengapa Lokasi Lembah Pantai itu dipilih menjadi Kampus Sementara UKM.

Berhubung dengan perkara pertama, oleh kerana telah terterap dalam minda Penulis yang memang tinggal di tepi pantai di negeri Terengganu yang memanjang lebih dari 300km dengan pantai, jadi bila menyebut pantai bererti ada laut yang bergelombang dan ada pantai yang putih memanjang !  Mengapa Kampus Sementara terletak di Jalan Pantai Baru Lembah Pantai ? Tiada sebarang laut dan tiada sebarang pantai di tempat yang dikatakan sebagai Jalan Pantai dan Lembah Pantai. Kedudukan lokasi berkenaan sebagai `Lembah` memang benar. Kalau dilihat Kampus UKM di Jalan Pantai ini memang berbukit dan bangunan-bangunan adalah berada di lereng Bukit Pantai. Puncak yang paling tinggi adalah bukit di mana didirikan bangunan Language Institute (LI) atau Maktab Perguruan Bahasa. Kampus UKM berada di sebelah kanan mendaki seluas lebihkurang 20 ekar, manakala bersebelahan dari UKM adalah hutan yang pada peringkat permulaan kawasan ini masih belum diteroka dan bersempadan dengan Bukit Pantai berdekatan Bangsar yang menjadi kediaman pegawai-pegawai atasan, tetapi masih kurang dengan perumahan. Tanah lembah antara Bukit Pantai dan Kampus UKM ini didirikan 9 buah rumah pangsa 5 tingkat oleh PKNS yang kemudian disewa oleh UKM menjadi kawasan kampus tambahan.

Lembah Pantai adalah kawasan lembah yang lokasi terpenting ialah bulatan Lembah Pantai yang menjadi pintu masuk dan keluar utama bagi Universiti Malaya. Satu lagi pintu keluar masuk lagi ialah keluar ke Seksyen 16 Petaling Jaya dan ke Highway KL-Klang atau ke Jalan Gasing. Ianya juga menjadi bulatan keluar masuk ke Kampus UKM dan juga Maktab Perguruan Bahasa. Kawasan yang juga lembah ialah kawasan hutan mulai dari Masjid Al-Rahman Universiti Malaya hingga ke corner ke Jalan Bangsar, iaitu memanjang dari Bulatan Universiti ke Jalan Bangsar, kawasan hutan ini bersempadan dengan Highway berhadapan dengan Angkasapuri. Kawasan ini selain di tepi jalan ada warung Amjal, Pejabat Pos, ada Balai Polis, Sekolah Melayu dan Sekolah Cina. Kawasan ini dibelah oleh larian sungai dari Kampus UM ke pinggir ke Bangsar. Selain dari ada bangunan-banguna tersebut, kawasan ini antaranya dikenali sebagai Kampung Pasir didiami oleh setinggan-setinggan. Antara kawasan yang banyak dengan setinggan pada masa itu ialah di belakang Angkasapuri yang dikenali sebagai `Pantai Dalam` (Juga menggunakan istilah `Pantai Dalam`. Pada awal 1970an baru hendak didirikan Bangunan Pandu Puteri, berdekatan dengan Bulatan Universiti. Deretan kedai sepanjang Jalan Pantai berdepan dengan TNB baru didirikan pada pertengahan 1970an. Antara bangunan di siti adalah Yayasan Anda Akademik. Bangunan moden telekom, Pejabat Bekalan Air dan bangunan komersil yang mengambil kawasan setinggan Kampung Pasir, jauh lebih kemudian didirikan, iaitu selepas 2000.

Pada Tahun 1970an Kuala Lumpur tidaklah sesebok kini. Bungsar adalah tempat mendapat keperluan, ianya tidak jauh dari Kampus UKM. Di Bangsar sekadar ada sebarisan kedai yang di belakangnya Pejabat New Straits Times (juga Berita Harian) dan Nanyang Siang Pau. Seberang jalannya ada Warung-Warung Taman Ghazali Shafie berdekatan landasan keretapi. Warung-warung ini didirikan selepas 13 Mei 1969, kononnya bagi membantu bumiputera berniaga. Di belakang dari warung-warung ini di sebelah landasan keretapi ialah Kampung Abdullah Hukum yang merupakan kampong setinggan Melayu.

Sebenarnya Bungsar pada awal 1970an belum lagi membangun. Sebelah kanan NST ada kilang Lever Brothers dan ke dalam ada Bangunan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang menjadi asrama kediaman pelajar-pelajar universiti termasuk pelajar Universiti Malaya dan UKM yang tinggal di luar. Sewanya agak murah. Penulis sendiri pernah tinggal di YPM dalam cuti universiti. Jalan Ma`ruf ke dalam masih merupakan tanah yang belum dibangunkan. Pada pertengahan 1970an baru dibangunkan kawasan perumahan – terutama rumah teres. Penulis masih ingat, pada masa itu (1976) Penulis sebagai tutor di UKM Jalan Pantai, turut memohon untuk membeli rumah teres yang dalam lengkongan harga antara RM25,000 – RM30,000 dan pernah dipanggil interview oleh Syarikat Perumahan, tetapi malangnya tidak berjaya. Kawasan yang sedang membangun pada masa itu ialah Petaling Jaya, Seksyen 16 hingga ke Lucky Garden (Penulis pernah menyewa di sini bersama kawan-kawan) sebagai kawasan baru dan Damansara baru hendak dibangunkan. Antara tempat yang agak sebok ialah Seksyen 14 hingga ke Paramount Garden (Penulis meyewa rumah di sini bersama kawan-kawan semasa menjadi Tutor).

Menjawab soalan kedua, mengapa dipilih Jalan Pantai sebagai Kampus Sementara UKM.
Jawapannya tuntutan bagi mendirikan UKM walaupun sudah lama, iaitu sejak 1960an, tetapi agak slow dari segi perlaksanaannya. Atas desakan rakyat, Encik Khir Juhari Menteri Pelajaran dalam Kabinet Tengku mengisytiharkan penubuhan UKM, tetapi kelancaran penubuhan UKM adalah selepas 13 Mei, khususnya selepas Dato` Abdul Rahman Yaakob menjadi Menteri Pelajaran Malaysia semasa dalam Kabinet Tun Razak (1969). Sikap tegasnya memastikan UKM dibuka pada 18 Mei 1970. Oleh kerana UKM di bawah Kementerian Pelajaran adalah wajar dipilih mana-mana tempat milik Kementerian Pelajaran sesuai sebagai kampus sementara bagi UKM. Jika mau tunggu dibina terlebih dahulu kampus tetap, pastilah memakan masa yang lebih lama. Pengambilan Maktab Perguruan Jalan Pantai adalah paling tepat kerana keperluan berikut antaranya:

1)      UKM yang baru dibuka masih kekurangan tenaga pengajar, maka dengan dekatnya Kampus Sementara UKM  dengan Universiti Malaya memudahkan untuk mendapat tenaga pengajar sambilan dari universiti Malaya. Tenaga pengajar di dalam bidang sains banyak dipinjam dari Indonesia. Kampus Fakulti Islam UKM di Seksyen 16 juga tidak jauh dari Jalan Pantai. Ini memudahkan pentadbiran dua kampus dan memudahkan tenaga pengajar, pentadbir dan pelajar-pelajar bergerak antara dua kampus.
2)      Pada peringkat permulaan UKM ditubuhkan, tidak ada perpustakaan sempurna dan buku yang ada amat terhad terletak di anjung bangunan lama, sebab itu pada peringkat permulaan pelajar-pelajar UKM menggunakan Perpustakaan Universiti Malaya. Mereka datang mendaftar secara rasmi dan disambut dan diberi taklimat oleh Profesor Ungku Aziz sendiri sebagai Naib Canselor Universiti Malaya. Perpustakaan UKM di Jalan Pantai siap pada awal 1873.
3)      Pada peringkat awal UKM ditubuhkan belum ada kedai buku dan peralatan yang diperlukan oleh tenaga pengajar dan pelajar. Dengan berdekatan dengan Universiti Malaya memudahkan tenaga pengajar dan pelajar mendapat kemudahan-kemudahan berkenaan dari kedai Koperasi Univresiti Malaya. Koperasi UKM dan Kedai Koperasi ditubuhkan selepas perpindahan ke Bangi.
4)      Dengan dekatnya Kampus UKM dengan Universiti Malaya, memudahkan kedua-tenaga pengajar dan pelajar kedua-dua universiti menghadiri kegiatan akademik seperti seminar, ceramah, kegiatan kebudayaan, sukan, speaker corner dan berdemonstarsi mengenai isu-isu tertentu.
5)      Banyak kerjasama dapat dilakukan oleh kedua universiti. Misalnya kelebihan bilik asrama di Kolej Pertama UKM pada peringkat permulaan diberi kemudahan kepada pelajar Universiti Malaya tinggal. Kerjasama berlaku antara Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dan Persatuan Mahasisaw Universiti Malaya (UM)
Di dalam berbagai kegiatan seperti penganjuran kursus kepimpinan, khidmat masyarakat dan pertandingan sukan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment