BBB, 24 Zulkaedah 1434 = 30 September 2013 (Isnin):
Bismillahi al-Rahmani al-Rahim
Wa bihi nasta`in. Inilah certeranya peri tatkala Rasulullah
salla Allah `alayhi wa sallam pulang ke rahmatullah Ta`ala. Sekali peristiwa
Baginda Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam pergi sembahyang ke masjid,
setelah sudah sembahyang maka baginda pun pulanglah dari masjid itu, maka
Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam pun berbaring-baring seketika. Firman
Allah Ta`ala, ``Hai Jibra`il pergilah engkau turun ke dunia bawa olehmu Malakul
Maut kerana aku hendak mengambil nyawa kekasihku Muhammad itu.`` Maka Jibra`il
pun pergilah ke rumah Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam. Maka Baginda
pun bangunlah daripada tidurnya melihat Jibra`il datang itu. Lalu Jibra`il pun
memberi salam `alaikum ya Rasulallah. Maka Rasulullah pun segera menyambut
salam Jibra`il itu, ```Alaikum al-salam, hai taulanku Jibra`il, ``Siapakah
serta tuanhamba datang ini ?`` Maka sahut Jibra`il, ``Malak al-Maut ada serta
dengan hamba datang ini.``
Maka sabda Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam, ``Ya
`Izra`il apa kerja tuan hamba turun ke bumi ini hendak mengambil nyawa hambakah
atau hendak mengejungi hambakah, ?``
Maka sahut `Izra`il,`` Ya Rasulallah kerana firman Allah Ta`ala
menitahkan hamba turun ke bumi itu hendak mengambil nyawa Tuan Hamba, kerana
Allah Ta`ala terlalu amat kasih dan
berahi akan bau Tuan Hamba daripada manusia Nabi Allah Adam datang kepada hari
ini, melainkan Tuan Hambalah yang terlebih daripada segala Nabinya dan
Pesuruhnya.`` Shahadan bacalah oleh Tuan Hamba itu anni, maka dibacalah
Rasulullah salla Allah `alaihi wa sallam demikian bunyinya: (Surah al-Zumar,
39: 30-31)
(Bermaksud: Sesungguhnya Engkau (wahai Muhammad) akan mati,
dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu semua, pada
hari kiamat, akan bertengkar, berhujah di hadapan Tuhan kamu).
Setelah sudah dibaca oleh Rasulullah itu Anni, maka
Rasulullah pun tahulah akan dirinya hilang itu.``
Demikianlah petikan dari permulaan Hikayat Nabi Wafat yang
agak kreatif. Fakta kematian Rasulullah adalah benar, tetapi tidaklah
digambarkan dalam sirah sebagaimana gambaran dalam karya sastera di atas. Di
dalam Sirah Nabawiyah digalurkan isyarat kewafatan Rasulullah dengan turunnya
ayat terakhir pada Haji Wada`bermaksud:
`Pada hari ini telah kusempurnakan untukmu agamamu, dan
telah ku-cukupkan kepadamu ni`matKu dan telah Ku-redhai Islam menjadi agama
bagimu (al-Maidah, 5:3).
Kemudian Rasulullah sakit pada akhir Safar tahun ke 11 H.
Dalam pada itu Baginda terus menghantar tentera diketuai Usamah ke Sham. Baginda
berkhutbah Wada` (Perpisahan). Khutbah ini difahami Abu Bakar sebagai isyarat
pengakhiran hayat Rasulullah dan Abu Bakar menangis. Rasulullah menyampaikan
wasiat kepada kaum Ansar.
Adapun gambaran terakhir secara sejarah menjelang wafat
Rasulullah s.a.w. :
``Aisyah berkata, ``Aku masuk kembali kepada beliau
(Rasulullah), beliau menatap ke langit dan berkata ``Fir Rafqil A`la ! Fir
Rafiqil A`la. ``
(Kepada Dhat Yang Maha Tinggi, kepada Dhat Yang Maha Tinggi.
Abdurrahman bin Abu Bakar masuk dengan membawa kayu siwak
yang masih basah. Baginda saw melihat benda tersebut. Aku (Aisyah) beranggapan
beliau menghendaki kayu tersebut. Aku mengambilnya, membersihkannya, dan
memberikannya kepada beliau. Beliau menggosok gigi dengan sangat baik. Kemudian
beliau menyerahkannya kepadaku, tapi kayu siwak itu terjatuh dari tangan
beliau.
`Aisyah berkata, ``Di depan beliau ada bejana yang berisi
air. Beliau memasukkan tangannya ke dalamnya, lalu membasuh mukanya sambil
berkata ``Lailaha illa Allah, inna lil maut lasakarat.`` (Tidak ada Tuhan
selain Allah. Sesungguhnya mati itu ada sakaratnya. Kata Aisyah, ``Kemudian
beliau meluruskan jari-jari tangan kiri dan berkata: ``Fir Rafiqi A`la ! Fir
Rafiqi A`la, `` sampai meninggal dengan tangan mengarah ke air.``
`Aisyah berkata, ``Maut datang kepada Rasulullah saw, ketika
kepala beliau berada di pangkuanku. Beliau pengsan sebentar, lalu tersedar.
Pandangannya mengarah ke atap dan berkata,``Allahumma Ar-Rafiqal A`la ( Ya
Allah ! Dhat Yang Maha Tinggi)``. Itulah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah
saw.
(Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadawi, Sejarah Lengkap Nabi
Muhammad Saw –Kata Pengantar Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Mardhiyah Press, Nandan
No. 74, RT 7 RW 39 Sariharjo, Ngangik, Sieman, Yokyakarta, 2008: 484-495).
Demikian perbezaan antara gambaran secara kreatif dengan
realiti sejarah.
Gambaran Rasulullah sebelum meninggal secara kreatif oleh
penulis secara panjang lebar dengan dialog Rasulullah dengan malaikat. Ungkapan
sedih Aisyah dan Fatimah. Baginda mencium Fatimah dan berjanji akan bertemu di
titian sirat al-mustaqim dan di dalam syurga (percakapan baginda dengan Fatimah
digambarkan begitu panjang). Turut menangis Bilal, Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali.
Rasulullah berjamaah terakhir pada hari Jumaat dan menyampaikan khutbah.
Rasulullah bertanya sekiranya ada sebarang hutang yang
sepatutnya beliau lunaskan.. Tapi semuanya diam, namun pada akhirnya seorang
sahabat bernama `Aqasah berkata,
``Tatkala Junjunganku pergi perang sabilillah, maka
junjunganku pun naik ke atas kuda memalu ke kanan dan ke kiri, maka terpalulah
hamba dengan camti kuda Junjunganku yang berat tujuh man itu. Setelah didengar
oleh Rasulullah sembah `Aqasah demikian, maka sabda Rasulullah, ``Hai memanda
Bilal pergilah tuan hamba ke rumah Fatimah ambil kuda camti kuda hamba hendak
membayar hutang hamba dengan `Akasah itu di dalam dunia ini, maka Bilal pun
segeralah ia pergi ke rumah Fatimah, maka didapatlah Fatimah lagi menangis,
maka Bilal pun memberi salam kepada Fatimah ujarnya ``al-salamu `alaykum ya
Khalifatal Jannah !`` Maka segeralah disahut oleh Fatimah salam Bilal itu. Maka
katanya ,``Hai memanda Bilal, apa kerja tuan hamba datang ini. Maka sahut
Bilal, sebab pun hamba datang ini disuruh oleh Rasulullah, memanti camti kuda
yang berat tujuh man itu. Maka kata Fatimah, ``Ya memanda Bilal, mengapa maka
tuan hamba memanda camti itu.`` Maka Bilal pun berkata-kata, `` Seorang lelaki
bernama `Aqasah ialah yang hendak mendakwa ayahanda itu,` maka ujar Fatimah, ``Ya
memanda Bilal, Sampai hatinya `Aqasah itu hendak memalu Junjunganku kerana
baginda lagi di dalam uzurnya dengan sakitnya.``
Cerita selanjutnya Bilal dan Fatimah pergi sama ke tempat
Rasulullah dengan tangis. Rasulullah minta dirinya dipalu dengan camti dibawa
sebagai balasan. Abu Bakar, Umar, Uthman
dan Ali juga Fatimah meminta diri mereka diganti dengan paluan yang lebih,
tetapi semuanya ditolak oleh `Aqasah. Sebagai kemuncak apabila Rasulullah
membuka pusatnya untuk dipalu, tetapi bukan dipalu, sebaliknya `Aqasah mencium
pusat Rasulullah dan sujud kepada Baginda dengan memohon shafaat pada hari
akhirat !
Ini merupakan klimeks cerita yang mendebarkan semua pihak
dengan penyelesaian dan ending yang amat menarik yang menjadikan cerita Nabi
Wafat ini menarik.
Respond Rasulullah terhadap episode dengan `Aqasah, baginda
bersabda, ``Hai segala kamu sekalian sidang Jumaat bahawa `Aqasah inilah alamat
orang isi syurga.`` Maka sabda Rasulullah, ``Hai `Aqasah daripada siapa engkau
menengar kata yang demikian itu, maka kata `Aqasah, ``Daripada Sayyid
Junjunganku tatkala lalu daripada rumah Aishah, maka Tuan hamba berkata
demikian itu, ``Barangsiapa mencium pusatku, bahawa orang itulah alamat isi
syurga, sebab itulah maka hamba perbuat sesuatu hajat hamba supaya janganlah
sia-sia adanya.`` Maka muka `Aqasah pun bercahaya-cahayalah seperti bulan
purnama empat belas haribulan dan baunya seperti bau orang yang di dalam
syurga.`
Episod ini menarik dan mewarnai secara dramatic cerita sedih
dan sayu para sahabat menjelang dan kewafatan Rasulullah.
Peristiwa helah menuntut bela terhadap Rasulullah memang
berlaku dalam sejarah, tetapi bukan menjelang kewafatan Rasulullah, tetapi
secara kreatif pencerita menjadikannya sebagai satu episode dramatis di dalam
Kisah Kewafatan Rasulullah. Cerita ini benar-benar hidup dan menarik.
Menurut Ismail Hamid,
``Dalam kesusasteraan Arab klasik cerita tentang kewafatan Nabi Muhammad telah
digubah oleh seorang penulis Islam untuk mengesahkan peristiwa wafatnya Nabi
Muhammad. Salah satu cerita yang dimaksudkan itu berjudul Qisah Wafat
Rasulullah. Cerita tentang kewafatan Nabi Muhammad itu telah digubah juga oleh
penulis Melayu. Cerita kewafatan Nabi Muhammad dalam bahasa Melayu adalah
bersumber dari cerita dalam bahasa Arab seperti yang tersebut di atas. Cerita
dalam hikayat Melayu terdapat tokok tambah sehingga menjadikan hikayat yang
tersebut sebagai sebuah karya fiksyen yang menarik perhatian pembacanya.
Sementara itu menurut van Ronkel cerita tentang kewafatan nabi dalam bahasa
Melayu telah disalin dari sebuah karya Parsi berjudul Wafat Nameh.``
(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan
Peradaban Islam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Petaling Jaya, 1983: 41-42).
Sesungguhnya karya sastera berunsur Islam sedemikian menjadi
bahan tambahan bacaan dalam pengajian yang dapat dijadikan bahan pendidikan
tambahan bersama kitab-kitab keilmuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment