BBB, 23 Zulkaedah 1434 = 29 September 2013 (Ahad):
Telah dibincangkan terdapat bahan tradisi sastera Islam di
Pengajian Shaykh Abdul Malik (Tuk Pulau Manis) yang berjudul Raudat al-`Ulama`
di tarjamah/disadur oleh Abdul Jamal Beladau, iaitu cicit bagi Tuk Pulau Manis.
Selain dari Raudat al-`Ulama sebuah karya Tradisi Sastera Islam ialah cerita
Nabi Sulaiman Dengan Ratu Balqis.
Di dalam kajian sastera Melayu, cerita sedemikian dimasukkan
di bawah Cerita Para Nabi di bawah Sastera Melayu Lama.
(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan
Peradaban Islam, Penerbat Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1983: 44-56).
Di Pengajian Shaykh Abdul Malik terdapat sebuah salinan Cerita
Nabi Sulaiman Dengan Ratu Balqis. Cerita-cerita mengenai Nabi memang terdapat
di dalam al-Qur`an dan terdapat pula cerita-cerita mengenai Nabi-Nabi diolah
secara panjang lebar, terutama di dalam kitab yang diberi judul Qisas
al-Anbiya`.
Menurut Ismail Hamid, Tukang-tukang cerita itu kebanyakannya
terdiri daripada penganut ugama Islam yang berasal dari ugama Yahudi dan
Kristian. Mereka ini mempunyai pengetahuan yang dalam tentang warisan
ugama-ugama itu. Tokoh-tokoh penulis Islam yang banyak menjadi sumber rujukan
dan penulisan tentang cerita para nabi ialah seperti Abdullah bin Sallam
(m.663M.) bekas Rahib Yahudi, Ka`b al-Ahbar (m.652M.) berasal Yahudi dari
Yaman, Wahab bin Munabbih (m.730M.) berketurunan Parsi tinggal di Yaman. Di
samping itu al-Tabari (839-923) juga
turut menulis tentang Tarikh al-Rasul wa al-Muluk dan beberapa yang lain.
(Ismail Hamid, 1983: 45.
Antara cerita yang paling popular tentang cerita nabi ialah
Cerita Nabi Sulaiman Dan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman dikenali sebagai Nabi dan
Raja Yang Amat Besar dan dapat menguasai binatang dan memahami peercakapannya.
Nabi Sulaiman mempunyai pembantu-pembantu, bukan saja dari tentera dari
kalangan manusia biasa, tetapi dibantu oleh jin, ifrit dan mempunyai cincin
sakti. Maklumat asas memang terdapat di dalam al-Qur`an dan dipetik ayat-ayat
yang berkait dengan penceritaannya. Namun satu corak tradisi cerita lama
penggunaan elemen-elemen super natural dan imaginasi yang anih selalu menjadi
unsur dan tema penceritaan. Elemen-elemen sedemikian terdapat di dalam cerita
seribu satu malam, bahkan terdapat di dalam laporan pelayar-pelayar silam. Ini
adalah ciri kebiasaan di dalam penceritaan tradisi, tuduhan yang mengatakan
sebagai semuanya unsur Israiliyyat tidak sepenuhnya benar. Kerana ianya merupakan
ciri-ciri cerita tradisi zaman Islam. Ciri zaman Hindu-Buddha ada keanihan tersendiri
seperti kelahiran dikaitkan dengan buluh betung, menjelma dari buih dan berada
di atas kepala gajah.
Cerita Nabi Sulaiman melibatkan burung Hud-Hud sebagai
pengantara yang menghantar risalah Islam kepada Raja Saba` - Ratu Balqis.
Petikan:
``Maka berkata Abu Abu Abbad (Hud-hud Sulaiman) bagi Abu
Shajad (Hud-Hud Yaman), siapa yang memilik negeri kamu ini, maka katanya,
``Satu Raja perempuan namanya Balqis, dan katanya ia baginya dan apa qadar
sampai kerajaannya. Maka jawab ia bahawasanya ia memilik akan segala qabail
negeri Yaman sekaliannya dan adalah di bawah kerajaannya itu dua belas ribu
qala`id dan tiap-tiap seorang daripada qala`id dua ratus ribu orang yang
muqatil dan tiap seorang daripada muqati dua orang khadamnya.
Dari gambaran kekuasaan Raja Yaman kedua Hud-Hud terbang
melihat kekuatan askar Nabi Allah Sulaiman, tapi bila Hud-Hud Nabi Sulaiman
datang beliau dimurkai Raja Sulaiman kerana kehilangannya. Hud-hud tiada semasa
Nabi Sulaiman perlu air untuk solat asar, lalu dia menceritakan berkenaan
dengan negeri Saba `. Dari maklumat penceritaan
Hud-Hud diperintah agar menyampaikan kitab (warqah) dari Raja Sulaiman agar
Raja Saba patuh dan menerima Islam. Hud-Hud berusaha menghantar surat Nabi Allah Sulaiman dengan diiringi ribuan burung
yang mengejutkan Ratu Balqis dan pengawal-pengawal terlalai, menyebabkan
Hud-hud berpeluang menyelinap dan mencampakkan surat kepada Puteri Balqis. Kandungan surat antaranya merupakan
petikan dari ayat al-Qur`an Surah al-Naml, 27:30 bermaksud:
Dan bahawasanya ianya dari Sulaiman dan bahawasanya Dengan
Nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim, bahawa engkau janganlah meninggi
diri. Datanglah patuh menerima Islam .
Kesampaian surat
dan seruan dibincang oleh Ratu Balqis dan pembesar-pembesar. Ratu Balqis bertanya
pendapat jika ia dari seorang Rasul, maka tiada jalan mengingkarinya, tetapi
jika tidak, tidak akan dipatuhi. Akhirnya jelas surat dari seorang Rasul dan Raja yang Agung.
Ratu Balqis datang ke istana Nabi Allah Sulaiman.
Kehadiran Ratu Balqis disambut dengan penuh hebat dan dia
tidak menyedari dia seolah-olah melangkah di atas permukaan air laut yang
menyebabkan Ratu Balqis mengangkat kainnya yang dikatakan Sulaiman yang memberi
salam daripada sembahyang asarnya terlihat akan betis Ratu Balqis yang berbulu.
Petikan berkenaan:
``Dan turun ia daripada kudanya dan memegangkan dia segala
dayangnya dan kemudian ia mau mengangkatkan kainnya kerana hendak mengarung di
dalam laut, maka tatkala cita dengan demikian itu, maka jatuh pengsan dan
berkata ia pada dirinya ini laut yang mentergelam orang dan tak dapat tidak
daripada tergelam, kemudian maka
bahawasanya menyelakkan betisnya daripada pakaiannya supaya masuk di dalam
sarah, maka selesai Nabi Sulaiman daripada sembahyang, maka terpandang ia atas
pandangan tiada qasad dan melihat atas dua kakinya, maka tiba-tiba banyak bulu
betisnya, maka tatkala memandang Nabi Allah Sulaiman, maka mekembalikan
pandangnya daripadanya, maka berkata, Hai Tuhanku bahawasanya pandangku tiada
dengan sengajaku.``
Apa yang disifatkan sebagai aib pada puteri Saba ` itu kemudian dipulih sempurna. Akhirnya Balqis
berkahwin dengan Nabi Allah Sulaiman dan memperluaskan kerajaan di sebuah pulau.
Walau bagaimana keduanya tidak sunyi daripada mendepani ujian.
Episod yang boleh dianggap sebagai anti klimek di dalam penceritaan, kononnya
Raja Sulaiman kehilangan kerajaan kepada pencuri jin Sarha yang mencuri
cincinnya menyebabkan ia diusir keluar dari istana dan berkahwin dengan anak
nelayan. Jin Istarha tak senang tinggal di istana kerana diganggu oleh bacaan
ayat-ayat suci dan melarikan diri dan mencampakkan cincin ke dalam laut dan
ditelan seekor ikan yang ditangkap oleh nelayan dan ikan itu dibelah perut oleh
isteri Nabi Sulaiman dan cincin itu dikembalikan kepada Nabi Sulaiman. Dengan
itu ia mendapat kembali kerajaannya memerintah di Baitul Maqdis.
Fakta tentang Nabi Sulaiman adalah benar di dalam sejarah
dan disebut di dalam al-Qur`an termasuk tentang Ratu Balqis, burung Hud-Hud dan
Jin Ifrit . Namun bagi menghidup dan memanjang cerita fakta ditokok tambah
dengan gambaran kehebatan istana Ratu Balqis dan kekuatan tentera dan
kebijaksanaan pegawai-pegawai. Fakta kewujudan negeri Saba `
di Yaman memang benar. Gambaran kekuasaan
Nabi Sulaiman lebih hebat. Dia menguasai angin, memahami bahasa binatang yang
tunduk kepadanya termasuk jin dan ifrit.
Episod kunjugan Ratu Balqis sengaja diatur bagi menunjukkan
kebesaran Nabi Sulaiman dan menjadikan Ratu Balqis terpesona dengan berbagai
keanihan, termasuk perjalanan di atas cermin yang disangka Ratu Balqis ia
mengharungi air laut. Untuk menkontras rasa ghirah, pencerita menggambarkan
betis Ratu Balqis berbulu dan dikatakan Nabi Sulaiman terpandang dengan tidak
sengaja selepas memberi salam pada akhir sembahyang asar.
Tujuan penceritaan bagi mengagungkan Nabi Sulaiman yang
tiada tandingan dari segi pemerintahan, tetapi anti klimeks bila digambarkan
diusir keluar dari istana dan menjadi nelayan. Ayat-ayat di dalam penceritaan
adalah licin. Pembaca perlu ingat, apa yang dibicarakan adalah cerita, bukan
kitab agama. Sebagai cerita ianya mengandungi unsur estetik dan kreatif serta
mengalami tokok tambah, imaginasi, pengaruh budaya dan konsep penceritaan
semasa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment