September 1, 2013

Sambutan 56 Tahun Kemerdekaan, Rakyat Khuatir Masa Depan: Harapan




(Dideklamasi Sempena Sambutan Merdeka-Raya Anjuran PPBBB Di KPI)

Ulang Tahun Merdeka Ke 56
Berkibar megah Jalur Gemilang
Tapi ada yang tak gemilang
Bahkan terselindung ancaman
Dilihat dari segi ekonomi
Negara makin terbeban dengan hutang
Keluh rakyat kenaikan harga barang
Berganda di luar batas kawalan
Kos rumah di atas paras kemampuan
Nilai wang makin merosot di pasaran
Bagaimana dengan anak-cucu kita
Mau hidup di masa muka ?

Gemuruh media dengan pujian
Segala program dijalankan
Rakyat diminta penyertaan
Hakikatnya mereka makin tertekan
Gangster makin bermaharaja lela
Sesuka hati melepaskan tembakan
Nyawa bagai tidak berharga
persis kemalangan di jalanraya
Akibat dadah ganja
Diseludup berbagai cara
Di Bandar di pekan
Peragut berkeliaran
Mencari mangsa
Berdepan kehilangan nyawa
Walaupun hasil tidak seberapa
Tak kurang ancaman
Kemasukan pekerja luar
Samada halal atau haram
Membawa gejala sosial
Mengancam kesejahteraan
Akibat tekanan hidup
Ada yang hilang pertimbangan
Celaru nilai dan mental
Mendera anak kandungan
Membuang bayi secara sembunyi
Hilang kemanusiaan dan kasih sayang
Manakala remaja bertabiat gila-gila
Meronda malam berlumba haram
Tempah sia-sia kematian
Ada anak-anak dididik mesra
Derhaka pada ibu bapa
Ironi mereka diserah ke Rumah Pengasih
Oleh anak yang tidak kasih
Gagalkah sistem pendidikan
Yang pentingkan kecemerlangan
Tidak utamakan keagamaan dan kemanusiaan ?


Dari segi perkiraan biasa
Usia 56 puncak kematangan
Bayangkan seseorang di usia itu
Jika bermula sebagai pegawai
Mampu mencapai Ketua Setiausaha
Jika dia seorang tentera
Mungkin sudah berpangkat General
Jika dia seorang pemimpin parti
Mampu menjadi seorang Menteri
Tapi itu semua andaian cuma
Yang rakyat bertanya
Ke manakah mereka hendak dibawa
Damba mereka sama mau nikmati
Sebuah Masyarakat Madani
Maju jaya dalam kehidupan
Mengutamakan sejahtera aman
Di bawah pimpinan berjasa
Wibawa ke pentas antarabangsa
Bebas rasuah dan ancaman
Merdeka minda dan jiwa
Telus membuat pilihan.

Shafie Abu Bakar,
Kompleks Pendidikan Islam, BBB.

24 Syawal 1434
31 Ogos 2013.

No comments:

Post a Comment