September 6, 2013

Kandungan Batu Bersurat Terengganu: Isu Tarikh

-->

 BBB, 29 Syawal 1434 = 05 September 2013 (Khamis):


Paling utama berhubungan dengan kandungan pada Batu Bersurat Terengganu ialah isu tarikh. Tetapi apa yang menjadi cabaran bagi penyelidik-penyelidik ialah berlakunya kerosakan pada bahagian Batu itu. Antaranya dijangka hilang bahagian atas dan hampir padamnya sebahagian tulisan akibat geseran kaki, kerana berlamaan dijadikan telapak anak tangga bagi menaiki ke Surau (dijumpai 1887  oleh Syed Hussain bin Ghulam al-Bukhari). Bagaimana Batu Bersurat ini diketemui, menurut Tuan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha):

``Menurut cerita-cerita dari orang-orang tua yang didapati dari kesiasatan yang telah dibuat menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai orang adalah dinyatakan, iaitu kira-kira 50 tahun dahulu ada seorang Arab bernama as-Sayyid Hussain bin Ghulam al-Bukhari seorang ahli perniagaan yang pada masa itu sedang menyiasat kawasan-kawasan tanah yang berbijih (galian) di dalam Terengganu, maka ia telah membuat suatu perkiraan supaya satu kawasan tanah di Bukit Tawang, Hulu Terengganu dikerjakan bijih. Pada ketika itu seorang bangsa Australia bernama Harry Guild telah bersetuju menjalankan ikhtiar itu dan ia telah membuka pejabatnya di Kuala Terengganu bertempat di Kedai Binjai.

Akan Sayyid Hussain ini acapkali mudik ke Hulu kerana melawat ke kawasan Bukit Tawang, maka dalam masa persinggahannya di Kampung Buluh Kuala Berang (25 batu dari Kuala Terengganu) kerana berihat di sebuah surau kampong itu tiba-tiba ia bersua dengan sebuah Batu Bersurat yang digunakan jadi pengalas membasuh kaki naik ke surau itu. Setelah diperhati dengan cermatnya lalu dibawa hilir ke Kuala Terengganu dan dipersembahkan kepada al-Marhum al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga dan baginda memerintahkan supaya disimpan di atas Bukit Puteri.``

(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil 1, Penerbit ?, Kuala Terengganu, 1954: 24 -25).

Menurut Catatan Major H.S. Patterson yang terbit di dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society, Jilid 11, Bahagian III bertarikh Disember, 1924 menyatakan bermaksud:

``Batu tersebut telah dijumpai lebihkurang 25 tahun dahulu (1899) oleh Sayyid  Hussein al-Ghulam al-Bukhari di dalam Tersat, Daerah Kampung Buluh, Kuala Berang (di tepi Sungai Tersat). Oleh kerana Daerah itu letaknya dalam suatu kawasan yang berhampiran bagi tiga buah anak sungai, maka adalah dijangka menjadi suatu tempat pusat perniagaan dan haruslah pada suatu masa yang lampau menjadi pusat atau kepala negeri``
(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil I, 1954: 25 -26).

Misbaha juga mencatat (sedikit berlainan dari di atas),

``Menurut cerita mulut orang-orang di tempat itu, maka Batu Bersurat ini telah terletak beberapa lama di hadapan sebuah surau di mana dijadikannya alas pelapik tapak kaki bagi mereka-mereka yang hendak pergi sembahyang untuk membasuh kakinya  sebelum naik ke atas surau. Cerita ini bolehlah ditahqiqkan dengan adanya sebahagian batu itu sudah licin, kerana dihausi oleh kesan-kesan tapak kaki. Menurut cerita, seorang imam di surau itu tatkala ia berjumpa tulisan di batu tersebut, lalu diperintahkan supaya batu itu dipindahkan daripada tempat yang disangka keramat itu ke sungai, di mana akhirnya  batu itu dijumpai oleh Sayyid Hussein.

Menurut Misbaha, ``Penulis sendiri melawat ke kampong tersebut beberapa kali kerana menyiasat dan mencari berita-berita sah yang boleh menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai. Maka orang-orang tua di kampung itu setengahnya daripada mereka yang telah menyaksikan sendiri semasa batu itu duduk di tepi tebing sungai yang sekarang sudah kering airnya (Sungai Tersat) bertentang dengan Kuala Tara, telah menceritakan bahawa tempat batu dijumpai ialah di tebing sungai di sebelah kanan mudik di tepi Kampung Buluh, lebih kurang jauhnya daripada Sungai Tersat lima belas rantai dan jauhnya daripada Masjid Kampung Buluh sekarang lebih kurang suku batu sahaja. Tanah itu dikenali dengan nama ``Tanah Batu`` sempena daripada batu itu. Maka manakala tebing itu runtuh oleh larian air. Batu itupun timbul. Ianya tertanam di dalam tanah lebih kurang 4 kaki. Dari situ dipindah ke sebuah surau (Surau Tuk Rashid), sekarang surau itu telah rubuh dan tiada lagi. Daripada surau itu pula dipindahkan ke masjid Kampung Buluh, kemudian dibawa ke Kuala Terengganu setelah dijumpai oleh Sayyid Hussein.``
(Muhammad Salleh bin Haji Awang, Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil 1., 1954: Hlm. 26 -27).

Perkara utama yang menjadi perbahasan para penyelidik, ialah mengenai tarikh pada Batu Bersurat Terengganu itu, kerana pada bahagian tarikh (hujung) dikatakan berlaku kerosakan (serpih/pecah) pada bahagian hujung tarikh tersebut (baris sebelas):

9 -     Tahun menduduki tamra ini di benua Terengganu ada pertama ada
10 -   Jumaat di bulan Rajab di tahun Saratan di sasanakala
11 -   Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua …

(Kunci persoalan yang perlu dihurai dan dipastikan Jumaat bulan Rajab tahun 702 adakah tambahan number lagi selepas tujuh ratus dua Hijriyyah (kerana rosak/patah ?) atau lengkap dengan tarikh itu, jika lengkap, apakah tarikh tahun Masihi yang bertepatan dengan bulan Rajab dan hari Jumaat itu).

Percubaan membaca Batu Bersurat ini telah dilakukan pada tahun 1922 oleh Major H.S. Patterson Penolong Penasihat British di Terengganu dengan mengapurkan huruf-huruf di Batu Bersurat, walaupun sebahagian dapat dikenalpasti huruf-huruf tapi masih kurang jelas. Petterson juga meminta seorang tukang gambar Jepun di Kuala Terengganu mengambil gambar dan salinan gambar ini dihantar ke Universiti Oxford, England dan mendapat jawapan bahawa yang tulisan itu ialah suatu undang-undang Islam dan kesalahan zina yang dijalankan di dalam masa pemerintahan Raja Mandalika menurut hukum-hukum Islam dan juga mengandungi hukum-hukum lain seperti hutang piutang. Salinan juga dihantar ke Makkah untuk mendapat jawapan, tetapi tidak diketahui natijahnya.
(Muhammad Salleh bin Haji Awang, Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil. I, 1954: 29).

Beberapa penyelidik membuat kajian antaranya M.S. Shafie dari Maktab Perguruan Bahasa  yang membuat ukuran terhadap Batu Bersurat.  Profesor S.Q Fatimi dari Pakistan yang menjadi Profesor Pelawat di Universiti Malaya mencatat tarikh: ``in the month of Rajab in the Cancer year 702 A,H,`` (i.e February, 1303 A.D.).
(Fatimi, S.Q., Islam Comes To Malaysia, Malaysian Sociological Research Institute Ltd., Singapore, 1963: 60).

Menurut Fatimi:
``Dr. C.O. Blagden, who first deciphered the inscription, doubted the accuracy of the Date Rajab, 702 A.H. or 1303 A.D. In a learned article he presented many possible dates which range from February – March, 1303 A.D. to February 1387 A.D. and concludes: `` On general grounds, I am inclined to lean towards the latest possible date.``
(Fatimi, S.Q. Islam Comes to Malaysia, 1963: 61).

Menurut Misbaha, menurut perkiraan Ustaz Muhammad Khir Taib seorang ahli falak tempatan terkenal, ``Awal Muharram tahun 702H. ialah hari Ahad bersamaan  26.8.1302.``
(Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: 72).

Walau bagaimana huraian yang dibuat oleh Profesor Dr. Syed Naguib Al-Attas di dalam syarahannya yang diterbitkan oleh Muzium Negara berjudul:

The Correct Date of the Trengganu Inscription: Friday,4th Rjab, 702 A.H./Friday, 22 February, 1303 A.C.  Kata Naguib:

… the year 702 A.H.began on the 26th August 1303 A.C. The day on which the Christian Year began for that Muslim year was a Monday (i.e. the 1st of January 1303 A. C. was a Monday, and 237 days had elapsed in the Christian year when the Muslim year began on the 1st of Muharram (i.e. 26 of August 1302 A.C.). Rajab is the 7th month of the Muslim year, and since the year 702 A.H. began in August 1302 A.C., it therefore occurred in the month of February 1303 A.C., which Christian Year began on a Tuesday. Bearing in mind that the Christian Year began on a Tuesday, it is found that only the 4th day of Rajab, which was the 181st day of the Muslim Year 702, agrees with our computation of the date. Moreover, the 4th of Rajab confirms our computation because it was a Friday. The following formula explains the method of computing the above date:

Rajab 702 A.H.
702 A.H. began 26th August 1302 (Monday)  =  237 {days elapsed in the Christian Year}
4 Rajab
  Elapsed in the Muslim Year                          =  181 {days
                                                                             -----
                                                                              418
Deduce the number of days in 1302 A.C.        =  365  {it was not a Leap Year}
                                                                                53
53 days after and including 1st January  1303  =  31 + 22
A.C.                                                                   =  22nd February 1303 A.C. Friday

(Syed Muhammad Naguib Al-Attas, The Correct Date of The Terengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur, 1970: 22-23).


Ini bermakna tarikh pada Batu Bersurat Terengganu itu sudah lengkap, tidak ada tambahan number yang ada walaupun berlaku kerosakan – patah, selepas tarikh itu.
Setakat ini penemuan Syed Muhammad Naguib diterima umum dan tidak tercabar.

Sekian.

4 comments:

  1. Macam bahasa bugis pon ada...saya baca

    ReplyDelete
  2. adakah batu itu diukir diterengganu pada tarikh 4 rejab 702H atau dibawa masuk oleh org luar(bugis) dgn mudek kehulu dlm pelayaran mrk.

    ReplyDelete
  3. mmg diukir di Terengganu baca point 9 tuh, benua Terengganu, kalu dari luar kenapa wujud nama Terengganu, adakah wujud kerajaan Terengganu di sumatera atau di Sulawesi.. walaupun kesultanan Terengganu diasaskan 1724, dlm hikayat hang tuah nama Terengganu sudah wujud , kisah antara hangtuah dengan megat panji alam semasa Terengganu ingin menyerang melaka, dan tun telanai semasa Terengganu dibawah naungan melaka dibunuh oleh org pahang

    ReplyDelete