September 2, 2013

Jemputan Hari Merdeka-Raya Dari KPI Ke Surau Ar-Rahim, Bangi

BBB, 24 Syawal 1434 = 31 Ogos 2013 (Sabtu):

Sabtu-Ahad ini minggu akhir bagi Tradisi-Raya di Selangor (sebulan) dan pada hari ini adalah Hari Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Tanahair bagi kali ke 56. Jemputan diterima Penulis pada hari ini agak banyak, persis semasa menjadi Adun. Sejak beberapa hari lepas Penulis berjanji dengan saudara Azizi untuk hadir bersama ke jemputan paling awal dan paling akhir bagi hari ini. Adapun yang lain-lain Penulis akan pergi sendiri.


Sebagaimana yang dijanjikan, sebelum jam 10.00 pagi saudara Azizi telah tiba untuk ke Kompleks Pendidikan Islam, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Majlis yang diadakan ialah Sambutan Merdeka-Raya yang diadakan oleh Persatuan Penduduk. Semalam petang YDP Persatuan Penduduk menelifon Penulis minta baca puisi sempena Sambutan Kemerdekaan. Penulis mencari puisi yang telah siap, tapi tidak ada yang bersesuaian dan terpaksa dalam masa terhad, sejak petang semalam, di samping menulis bagi blog yang biasa dan persediaan mengendalikan Mesyuarat AJK Induk Masjid al-Umm pada malam, maka Penulis membuat catatan puisi yang belum siap hingga ke pagi ini masih dalam pembaikan.


Hadir ke Majlis Sambutan di KPI, ialah YB Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI, Tuan Nazir Masjid al-Hasanah Ustaz Napiah Shahrani, AJK Persatuan Penduduk, tamu-tamu jemputan dan orang ramai. Majlis baru bermula jam 10.30 pagi dengan ucapan alu-aluan dari Tuan Haji Sufi yang mengucap terima kasih di atas kehadiran para jemputan. Beliau menyebut bangunan kompleks yang menelan kos lebih dari RM3 juta itu 70% daripadanya adalah merupakan dari sumbangan derma orang ramai dan kompleks masih dalam pembangunan, antaranya untuk membina bumbung di atas kawasan majlis yang diadakan. Dr. Tajul ketika berucap menekankan visi persatuan Penduduk akan terus memperjuangkan `Islam-Melayu` termasuk penguasaan asset di BBB, antaranya melalui Koperasi Persatuan Penduduk, manakala YB Ustaz Shafie Ngah menyebut soal pembangunan yang sedang dilakukan di BBB, termasuk sebuah Bandar Baru akan lahir –Southvallie bersebelahan BBB. Beliau juga menyebutkan peruntukan – termasuk bagi pasangan yang baru kahwin. Agenda pembukaan terakhir ialah pembacaan puisi. Penulis terpaksa memohon diri selepas membaca puisi, kerana ada program lain mulai jam 11.00 pagi.


Pulang dari KPI, terus ke Majlis Kenduri perkahwinan anak jiran, diikuti Majlis Aqiqah bagi tiga cucu juga anak jiran. Ada beberapa jemputan kahwin, tetapi terpaksa membuat pilihan, iaitu hadir selepas solat Zohor ke Jamuan Perkahwinan juga anak bagi jiran. Pada masa ini hujan turun. Daripada jamuan kahwin ini Penulis berseorangan ke Bukit Mahkota. Kehadiran Penulis ke Bukit Mahkota ini bagi menyertai jamuan raya Persatuan Banjar Malaysia – Kolaan yang sebelum ini kegiatannya berpusat di BBB, yang pimpinan utamanya, Ustaz Salleh Kassim – Bekas Setiausaha Persatuan Penduduk BBB beroperasi dari kedai berhadapan rumah Penulis, sebab itu sebarang kegiatan dibuat selalunya turut dijemput penulis. Jemputan kali ini agak istimewa dan berlainan. Iaitu Sambutan Hariraya bertempat di Bangunan kedai yang baru dibeli oleh Persatuan Banjar Malaysia, iaitu di No. 17, Jalan 2/3, 43600 Bukit Mahkota, Selangor. Penulis hadir jam 3.30 dan disambut oleh Ustaz Salleh Kassim (Pengerusi) dan Dr. Zainuddin (Setiausaha). Penulis melihat bangunan baru dua tingkat yang difahamkan berharga hampir RM400,000 (dibeli secara tunai). Sempena jamuan raya Penulis sengaja memilih dua jenis makanan tradisi Banjar. Satu semacam bubur caca dan satu lagi semacam koleh (berwarna putih). Bahan yang Penulis rasa berharga, ialah berkesempatan membeli buku berjudul Masyarakat Banjar Johor oleh Noriah Mohamed dan Ghazali Basri. Sebuah lagi dtulis dalam bahasa Banjar yang Penulis tidak membelinya. Setelah makan dan bergambar dengan beberapa pihak Penulis memohon diri dan bergerak ke Masjid Sungai Ramal Luar, atas jemputan Ketua Kampung Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir dan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, turut hadir ialah YB. Ustaz Shafie Ngah. Kehadiran ialah pertemuan dengan pimpinan-pimpinan setempat dan pengunjung-pengunjung ke majlis dan sedikit makan.


Semasa di Masjid Sungai Ramal Luar ini Penulis diperingatkan oleh Isteri Majlis Aqad di Masjid al-Hasanah selepas Solat Asar, maka penulis terpaksa memohon diri dan berkejar ke rumah mengambil isteri dan ke Masjid al-Hasanah menyertai Majlis Aqad anak sepupunya – perempuan yang tinggal di Bangi di sini. Dalam majlis berkesempatan berkenalan dengan keluarga pihak pengantin lelaki dari Perak. Sebagai pengakhiran pada sebelah petang Penulis bersama isteri berkesempatan hadir Majlis Hari Terbuka yang diadakan di rumah saudara Azemi Ahmad di Kajang Utama yang rumahnya berjiran dengan rumah saudara Azizi. Turut menziarah rumah saudara Azizi bersama keluarganya.


Selepas Solat Maghrib Penulis masuk pejabat lebih dari sejam untuk menyempurnakan tugas-tugas biasa yang tidak berkesempatan melakukannya pada waktu siang kerana sebok berhari raya dan sebelum jam 9.00 balik ke rumah bersiap untuk program terakhir pada hari ini, iaitu ke Majlis Hariraya di Surau Ar-Rahim, Seksyen 8 Tambahan, BBB.
Penulis mempunyai hubungan intim dengan pihak penduduk Seksyen 8 Tambahan BBB sejak awal kawasan perumahan di sini mulai dihuni sejak 2005 bermula dengan menggunakan surau di rumah teres dua tingkat – termasuk menggunakannya bagi bulan Ramadhan. Penduduk terutama diketuai oleh Imam Haji Rusli dan AJK telah mendirikan surau yang ada sekarang dan dapat menyiapkannya dalam masa lebih dari sebulan sebelum Ramadhan dan dapat menggunakannya pada Ramadhan sekitar 2008. Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu sering datang ke sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Surau baik bulan Ramadhan, sambutan perayaan Idul Fitri dan Idul Adhha, Maulid ar- Rasul dan berbagai-bagai kegiatan yang lain. Persatuan Penduduk dan Surau sering mendapat kerjasama mahasiswa/I Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, tetapi tiada pada malam ini. Jemputan pada malam ini adalah merupakan lanjutan dari  jemputan-jemputan sejak dahulu, tanpa mengira kini Penulis bukan lagi Adun Bangi. Kehadiran Penulis pada malam ini pun bukan kerana pihak AJK,  mahu meraikan Penulis sebagai Bekas Adun, tetapi sebagai menghadiri jemputan biasa.


Penulis pergi pada malam ini selepas solat Isyak bersama saudara Azizi, jam 9.00 malam. Ketibaan Penulis disambut oleh pihak AJK. Antara yang hadir ialah En Yusof Bachik Ahli MPKj, Encik Amir Hamzah Pengerusi Persatuan Penduduk kini, Tuan Haji Rusli Imam Surau Ar-Rahim sejak awal didirikan surau, Encik Abu Hassan Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk yang lepas. Majlis yang terdiri lebih dari 5 buah khemah – Tiap khemah mewakili zon (jalan) dan ada pertandingan antara khemah. Kawasan surau dipenuhi penduduk yang sebahagian besar (300 keluarga) adalah terdiri dari golongan muda dan anak-anak. Pembukaan majlis dimulakan dengan doa oleh Tuan Haji Rusli.


Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Shahrizan menerangkan tentang berbagai-bagai program yang diadakan, termasuklah pertandingan khemah terbaik, masakan terbaik dan beberapa yang lain. Antara acara ialah penyampaian duit raya kepada anak-anak dan penyampaian cerderahati kepada tokoh-tokoh berjasa kepada penduduk dan surau. Ucapan disampaikan oleh Encik Amir Hamzah selaku Pengerusi Persatuan Penduduk  yang mengucap terima kasih di atas kehadiran penduduk – terutama tamu-tamu jemputan dan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil bahagian di dalam perayaan dan pertandingan. Encik Yusof Bachik turut berucap selaku Ahli MPKj kawasan dan memaklumkan tentang masalah yang dihadapi penduduk dan hasrat penduduk mau menurapkan medan surau. Beliau juga mengumumkan tentang penyelidikan yang dilakukan oleh MPKj dengan kerjasama UKM dan mengharapkan penduduk memberi respond terhadap soalan-soalan yang diedarkan. Penulis juga turut berucap selepas jamuan. Penulis mengimbau kerjasama dan hubungan baik Penulis sebagai Adun dulu dan mengharapkan kerjasama berterusan. Penulis juga bersyukur Surau Ar-Rahim terus menjadi pusat dan induk bagi kegiatan penduduk dan mengharapkan Surau dan Persatuan Penduduk terus memberi perhatian – terutama bagi generasi muda dan anak-anak bagi meneruskan kehidupan pada masa akan datang.


Penulis, En. Yusof Bachik dan En. Amir Hamzah turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang hadir dan puncak dari majlis ialah penyampaian cenderahati kepada mereka yang berjasa terhadap penduduk dan juga surau yang terdiri dari mantan-mantan pemimpin kini yang menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah En. Abu Hassan, En. Amir Hamzah, En. Yusof Bachik dan Penulis.


Majlis berakhir jam 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment