BBB, 18 Zulkaedah 1434 = 24 September 2013 (Selasa):
Sebuah karangan yang dihasilkan di Institusi Shaykh Abdul
Malik bin Abdullah ialah berjudul `Rawdat al-`Ulama` yang bererti `Taman
`Ulama`. Kitab ini adalah merupakan sebuah karangan yang dikarang/disadur oleh
Abdul Jamal Beladau (Beladau ialah Kampung di tepi Sungai Terengganu yang tidak
jauh dari Pulau Manis.
Bukti kepengarangan bagi kitab ini dapat difahami daripada halaman
(hlm. 206) akhir bagi kitab ini yang pengarangnya mencatat:
``Telah selesailah hamba menyurat kitab ini daripada
naskhahnya kepada Hijrah Nabi salla Allah `alayhi wa sallam kepada seribu dua
ratus dua puluh esa, kepada tahun Jin (Jim) akhir kepada sepuluh haribulan
Safar kepada hari Thulatha`, yang empunya menyurat sendiri, iaitu Abdul Jamal
Beladau bin Abu Bakar bin Yusof bin Abdul Malik Pulau Manis.``
(Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik bin Abdullah
(Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976/77: 53).
Dari catatan di atas Penyurat Abdul Jamal ialah cicit kepada
Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis). Kata Penyurat bahawa beliau
adalah `menyurat sendiri` yang boleh memberi makna `mengarang` atau
`menyadurnya` sendiri dari teks berbahasa Arab yang disiapkan pada 10 Safar 1221H.
Tetapi jika dibaca daripada pembukaan kitab terdapat
maklumat berikut (selepas basmalah, hamdalah, salawat dan salam):
``Maka inilah suatu risalah yang simpan dikeluarkan oleh
faqir yang daif daripada kitab yang bernama Rawdat al-`Ulama` al-lati hiya min
al-ahadith wa al-tafasir min aqawil al-qadim, iaitu diambil daripada Hadith dan
Tafsir daripada segala certera orang dahulu wan min akhbar al-Anbiya` wa
al-Awliya` wa al-Hukama` dan daripada certera segala nabi dan segala wali dan
hukama` wa min al-zuhhad wa al-`ibad wa fi al-ard wa al-sama` dan daripada
segala cetera orang yang mebelakangi dunia dan segala yang berbuat kebaktian di
bumi dan langit.`` (hlm. 1).
Difahami di sini bahawa Abdul Jamal menulis secara menyadur
daripada kitab Rawdat al-Ulama` di atas, tetapi tidak dinyatakan nama pengarang
bagi kitab tersebut. Untuk lebih selamat dapat diambil kesimpulan kalaupun
beliau tidak mengarang sepenuhnya bahawa Abdul Jamal menyadur kitab daripada
kitab Rawdat al-Ulama` di dalam bahasa Arab kepada bahasa Melayu (Jawi).
Judul Rawdat al-`Ulama` bermaksud sebuah taman, bahawa di
dalam taman berkenaan ada pohon-pohon menghijau indah rendang dan teratur yang
memukau pandangan dan menarik perhatian. Dimaksudkan di dalam Rawdat al-`Ulama
` ada bab-bab cerita yang diibaratkan kepada pohon-pohon cerita yang menawan
dan `ulama` adalah menjadi tema dan watak di dalam cerita yang bukan saja
menghidupkan cerita, tetapi melalui cerita-cerita menjadi makanan rohani dan
jiwa dan memberi berbagai-bagai pendidikan kepada khalayak yang menghayatinya.
Sebagai hasilnya ianya merupakan buah-buah manis dan lazat yang dapat dinikmati
oleh khalayak yang dengan cerita berbagai-bagai tema dan watak berkenaan dapat
membentuk nilai dan peribadi mulia bagi khalayak. Ulama yang dimaksudkan dalam
makna yang luas. Cerita dan watak melibatkan cerita dan watak dari al-Qur`an
dan Hadith, para rasul dan nabi, tokoh-tokoh yang lain dari nabi dan Rasul
dalam al Qur`an, para sahabat, tabi`in, khalifah, peristiwa-peristiwa penting
di dalam Islam kisah mengenai perang Badar, Hijrat al-Rasul, bahkan juga
melibatkan tema-tema nilai seperti sabar doa dan sebagainya.
Rawdat al-`Ulama` sebenarnya `Himpunan Cerita` mengenai
cerita, tokoh dan nilai keislaman yang dipecahkan ceritanya kepada 19 bab
sebagaimana berikut:
1) Fadilat
Lailaha illa Allah
2) Fadilat
Salawat
3) Mininggalkan
Dosa Kerana Takutkan Allah
4) Fadilat
Sabar
5) Fadilat
Tawakkal
6) Memohonkan
Barang Kehendak Kita Kepada Allah
7) Kemuliaan
Bagi Barangsiapa Berbaik Rahsianya Dan Peri Rahsianya.
8) Peri
Dosa Sekian Segala Islam Dan Pahala Berbuat Baik
9) Thawab
Mengambil Air Sembahyang
10) Certera Daripada Muhammad Anak Ibrahim
11) Bab
Menyatakan Sembahyang Pahalanya
12) Kemuliaan
Hari Jumaat
13) Fadilat
Ashura`
14) Fadilat
Malam
15) Fadilat
Malam Laylat al-Qadr
16) Fadilat Ghazz
17) Pahala
Memberi Sadaqah
18) Bersengeraha
Mati
19) Peri
Menyebut-Nyebut Mati
Melihat kepada bab-bab yang disusun ianya seolah-olah
kandungan sebuah kitab agama yang diguna bagi pengajaran di masjid dan surau
atau dibaca secara bersendirian sebagai panduan. Tetapi pendekatan adalah
berlainan. Pendekatannya adalah pendekatan sastera. Dari aspek yang lain jika himpunan
cerita-cerita pendek dihimpunkan ke dalam satu penerbitan buku, maka himpunan
bab-bab di atas yang setiap bab berlainan certera, maka Rawdat al-`Ulama
sebagai Antologi Sastera Tradisi bertemakan Islam.
Sebagai contoh diperturunkan bab pertama daripada 19 bab
berkenaan.
Bab yang pertama pada menyatakan Fadilat Lailaha illa Allah
– Keseluruhan bab satu (Konsep):
Qala al-Nabiiy sallallahui `alayhi wa sallam:
``Awsa Allah
Ta`ala ba`d anbiyaihi, ``Ya ibadi
Lailaha illa Allah hisni wa man dakhala
hisni amina min `adhabi.``
Ertinya Firman Allah Ta`ala datang kepada setengah
anbiya`nya, adapun kalimah `Lailaha illa Allah` itu kotaku, barangsiapa masuk
di dalam kotaku terpelihara ia daripada siksaku. Ya`ani barangsiapa sediakala
menyebut `Lailaha illa Allah` nescaya dipeliharakannya ia daripada azabNya.
Kata segala `ulama adapun isyarat dalam kitab sesungguhnya
barangsiapa masuk ke dalam kota
tauhid, maka terpelihara ia daripada seksa neraka, telah reda Allah daripadanya kudengar sabda Rasulullah
salla Allah alaihi wa sallam, ``
``Bahawa segala hamba Allah yang mu`min apabila diucapnya
kalimah `La ilaha illa Allah Muhammadul Rasulullah dikeluarkan Allah daripada
mukanya seorang malaikat seperti serupa burung yang hijau kiri kanan dua
sayapnya daripada ma`nikam yang hijau sebelah sayapnya, ke mashriq sebelah sayapnya
ke Maghrib jikalau dikembangkannya ia ke atas `Arsh baginya berdengung seperti
dengung mad.
Maka kata segala malaikat yang menjunjung Arash, ``Diamlah
engkau demi kebesaran Allah dan kenang kabirnya. Maka kata burung itu, tiada
aku mau diam hingga dihimpun Allah bagi barang siapa mengucap `Lailaha illa
Allah Muhammad Rasullah itu maka firman Allah Sesungguhnya telah dihimpun bagi
barangsiapa hambaku yang mengucap Laila illa Allah Muhammadu Rasulullah itu,
maka dianugerahkan Allah pulang akan
burung itu tujuh puluh ribu lidah. Maka memohonkan ampun ia dengan segala
lidahnya itu akan yang mengucap Lailaha illa
Allah hingga hari kiamat. Apabila datang hari Kiamat maka dihelanya
tangan taulannya yang menyebut kalimah Lailaha illa Allah itu maka dibuat, maka
dibawanya melalui Titi Sirat al-mustaqim, maka dimasukkan ia ke dalam syurga
Cetera Anas ia mendengar daripada Mu`adh anak Jabal
radiyallahu `anhu. Kata Mu`adh,``Adakah berkenderaan serta Rasulullah salla
Allah `alayhi wa sallam. Maka bersabda Rasulullah akan dia, ``Hai Mu`adh,
``Adakah kau ketahui haq apa Allah atas hambanya dan haq hambanya pada Tuhannya ?``, maka sembahku, ``Allah dan
Rasulullah juga terlebih tahu akan demikian itu``. Maka sabda Rasulullah,
``Adapun haq Tuhan atas hambanya bahawa diesakanNya Allah
Subhanahu wa Ta`ala dengan sempurna sifatnya dan tiada dengan disekutukannya
dengan sesuatu. Adapun haq hamba pada TuhanNya apabila diesakanNya Ia dengan
sempurna tauhid dan tiada disekutukannya Ia dengan sesuatu, bahawa diampuni
segala dosanya.
Cetera daripada `Umar radiyallahu `anhu, sabda Rasulullah
salla Allah `alayhi wa sallam, Sesungguhnya dibawa oleh seseorang malaikat
daripada umatku dihadapan segala khalayak pada hari kiamat, maka dibukakan
baginya sembilan puluh sembilan surat amalnya, suatu surat amal itu panjangnya
saujana mata memandang dalam surat itu segala dosanya dan ma`siatnya, maka
firman Allah Ta`ala akan dia, ``Kusengkalikan dosamu yang tersurat dalam sijjil ini atau dikananya Kiraman Katibinkah
akan dikau diperbanyaknya surat kejahatanmu, maka sembahnya, ``Tiada disengkali
hambamu ya Tuhanku dan tiada hambamu dianinyai Kiraman Katibin sekaliannya itu,
sungguhlah dosa hambamu, maka firman Allah Ta`ala, ``Ada padaku suatu
kebajikanmu, maka carilah ia. Maka sembahnya ya Tuhanku, ``Suatu jua pun tiada
ada amalku yang baik bagiMu. Maka firman Allah Ta`ala, ``Ada suatu amalmu yang baik padaku,
sesungguhnya tiada siapa dapat menyamai dikau pada hari ini, maka keluarkan
Allah baginya sekeping qirtas yang kecil dalamnya tersurat:
Ashhadu an la ilaha illa Allah wa ashhadu anna Muhammada
Rasulullah. Maka sembahnya ya Tuhanku sijjil kecil ini adakah menyamai sijjil
banyak itu. Maka firman Allah, ``Sesungguhnya tiada engkau terananyai pada hari
ini, maka dihantarkan sijjil yang sembilan puluh sembilan itu pada suatu daun
neraca dan dihantarkan sijjil yang kecil itu pada suatu daun neraca, maka
ringan segala sijjil yang banyak itu dan jadi berat sijjil yang kecil sanya
tiada memberat nama Allah suatu pun melainkan nama Allah jua yang memberat
semata sekalian.
Contoh berkenaan nilai sifat terpuji (Sabar) – Bab 4
Bab pada menyatakan fadilat sabar atas yang mengidap
kesakitan kerana dalam agama. Qala Allah Ta`ala: ( Surah:al-Ma`idah 5:5)
Yakni barangsiapa kafir ia dalam iman dengan disengajanya
sanya binasalah amalnya, maka ada ia dalam akhirat daripada kaum yang menyesal.
Maka bahawasanya bagi segala mu`min memeliharakan agamanya
pada ketika kesakitan.
Cetera daripada Mujahid ia mendengar daripada anak Abbas,
kata anak Abbas, bersabda Rasulullah akan segala sahabat, tatkala hendak pindah
dari Makkah ke Madinah, ``Pergilah kamu dahulu ke Madinah, jangan semuanya kamu
bersama-sama dengan daku, barangsiapa kamu berani dan pantas berjalan baik kamu
berjalan pada ketika dinihari, barangsiapa kamu kuasa, maka berjalan pohon petang, maka apabila kamu dengar
tetaplah aku dibumi Madinah, maka dapatilah oleh kamu aku. Kalakian maka
berjalanlah segala sahabat yang Rasulullah pun kesiangan lagi dan Ammar anak
Yasir dan Habbab dan seorang perempuan daripada kaum Quraysh yang telah membawa
iman di hadapan Rasulullah, maka ditangkapnya oleh Abu Jahal orang empat itu,
maka disuruh Abu Jahal kufur Bilal itu akan Rasulullah, maka tiada ia mau kufur
Bilal, maka diambil suatu baji besi, maka dijemurkannya kepada panas matahari,
setelah hangatlah maka dikenakannya kepada tubuh Bilal itu, maka disebutnya
Bilal nama Allah, katanya Ahad ! Ahad !
Adapun jadi, maka dijurusnya
mereka itu kepada duri dan pada bukit yang tajam batunya itu pun tiada
jua ia mau kufur mengikut mereka dan Ammar, tatkala itu disuruh mereka itu ia mengucap kalimah kufur, tiada ia mau, maka
disuruh Abu Jahal pasak tubuhnya dengan empat batu pasak seperti
dipentakkannya, maka diperbuatkannya suatu lembing daripada tembaga
dikeluarkannya daripada mulutnya hingga dengan demikian itu dilepaskannya Bilal
dengan Habbab dan Ammar, maka datang mereka itu kepada Rasulullah salla Allah
`alayhi wa sallm diceterakan mereka itu halnya kepada Rasulullah, maka suka
Rasulullah akan riwayat itu dan merka akan Ammar. Maka sabda Rasulullah akan
Ammar, betapa ada dalam hatimu, tatkala kau sebutkan kalimah kufur dengan
lidahmu itu, maka sembahnya ya Rasulullah, ``Tatkala hamba sebutkan kalimah
kufur itu hati tetap dengan iman hamba jua. Maksud hamba menolakkan azab jua.
Kalakian tiada jua suka hati Rasulullah akan dia, maka turun
Jibra`il membawa Qur`an demikian bunyinya (al-Nahl, 16:106)
Ertinya: Barangsiapa kufur ia akan Allah kemudian daripada
sudah percaya ia maka baginya seksa yang maha besar, melainkan barangsiapa
digagah ia menyebut kalimah kufur, tatkala itu hatinya tetap jua dengan iman
diampun baginya setelah mendengar itu diamlah Rasulullah, maka dipuji Habbab
dan Bilal maka meminta doa Rasulullah akan keduanya pada Allah dengan banyak
doanya.
Maka kata segala
ulama adapun hikayat ini menyatakan teguh kita jua, bahawa pekerjaan Bilal dari
kerana tiada ia takut akan Abu Jahal, maka tiadalah mau ia mengucap kalimah
al-kufr dengan lidahnya, sesungguhnya terbaik daripada pekerjaan Ammar
mengatakan kalimah kufur, sebab takutkan Abu Jahal itu.
Daripada bab satu dan sebahagian daripada bab empat
memperlihatkan bahawa kitab Rawdat al-`Ulama bukan kitab pengajaran agama
biasa, tetapi adalah kitab yang bersifat cerita, iaitu cerita yang bertemakan
Islam yang melibatkan ayat-ayat Qur`an, Hadith, Rasulullah, sahabat Umar Ibn
al-Khattab, Anas, Mu`adh Bin Jabal, Bilal, Habbab, Ammar, Mujahid, Ibn Abbas
dan musuh Abu Jahal. Latarbelakang berlaku antaranya di Makkah dan Madinah yang
melibatkan juga Jibra`il, Kiraman dan Katibin. Persoalan yang dibawa tentang
tauhid dan menanamkan sifat terpuji kepada orang Islam, balasan baik dan buruk.
Peranan Kitab Rawdat al-`Ulama` tidak lain dari menyampaikan
pengajaran dan didikan keislaman melalui cerita-cerita sebagaimana yang
terkandung di dalam Rawdat al-Ulama`’
Sekian.
No comments:
Post a Comment