BBB, 22 Zulkaedah 1434 = 28 September 2013 (Sabtu):
Cantiknya mulai dari pembicaraan berhubung dengan bukti
terawal sumber pengislaman Alam Melayu dari Batu Bersurat Terengganu bertulisan
Jawi (702/1393) atau batu nisan seorang puteri di Pasai tentang keislaman (bertulisan
Pallava) bertarikh (791H/1389M)
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad,
Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Brunei, Brunei Darussalam, 1995: 110)
didapati sumber keislaman yang dibawa ke Alam Melayu adalah
dari sumber asal keislaman itu sendiri, iaitu Makkah. Pada Batu Bersurat
Terengganu, walaupun tidak terakam tokoh yang membawa risalah Islam, tetapi
jelas ianya merujuk kepada risalah Islam yang dibawa oleh Junjungan Rasulullah
s.a.w. yang tentunya dari Makkah dengan menyebut hukum hakam keislaman yang
diperturun bagi dilaksanakan di Terengganu. Bagi negeri Pasai jelas menyebut bahawa
perutusan dihantar oleh Sharif Makkah yang meminta Maulana Ishak menghantar
Shaykh Ismail dan Faqir Muhammad membawa al-Qur`an dan mengislamkan Merah Silu
menjadi Raja Pasai bergelar Sultan Malikul Saleh (Abdullah Haji Musa Lubis,
Kesah Raja-Raja Pasai, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 27- 31).
Sejarah Melayu juga merujuk tentang pengislaman Melaka
dibawa dari Makkah. Raja Kecil Besar Melaka diislamkan melalui perutusan dari
Makkah, iaitu Shaykh Ismail yang memberi gelaran kepada Raja Kecil Besar
selepas keislamannya `Sultan Muhammad.
(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, Oxford University Press, Kuala
Lumpur, 1967: 72-74)
Di Aceh kita dimaklumkan dengan kehadiran tokoh-tokoh Sunni
sejak akhir abad ke 17 seperti Shaykh
Muhammad Yamani yang mendalami ilmu usul, Syeikh Muhammad Jailani Ibn Hassan
ibn Muhammad, Hamid nama kaumnya, Quraish bangsanya, Raniri nama negerinya,
Shafie mazhabnya. Beliau mengajar di Aceh ilmu mantiq, ma`ani dan ilmu bayan
badi`, ilmu usul dan ilmu feqah dalam negeri Aceh Darus Salam.
(T. Iskandar, Dr., Bustanu`s-Salatin Bab 11, Fasal 13, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1966: 33).
Aliran Sunni diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Shaykh
Nuruddin al-Raniri yang berpendidikan Makkah ke Aceh pada 6 Muharram 1047=31
Mei 1637M. pada zaman pemerintahan Iskandar Thani (1636-1641). Bagi mengukuhkan
Aceh dengan aliran Sunni yang sebelumnya dipengaruhi aliran falsafah Wahdatul
Wujud beliau mengarang kitab-kitab beraliran Sunni yang bukan saja digunakan di
Aceh, tetapi diseluruh Alam Melayu, iaitu Kitab Sirat al-Mustaqim (1044H.),
Durratul Fara`id (sebelum 1045H.) dan Hidayat al-Habib (1045H.). Sirat
al-Mustaqim adalah kitab fiqh lengkap terawal dihasilkan di dalam bahasa Melayu
dan digunakan secara meluas di Alam Melayu sehingga hari ini. Kini menjadi
hamis (Tepi) bagi kitab Sabil al-Muhtadin oleh Shaykh Muhammad Arshad
al-Banjari.
(Teuku Iskandar, Nuruddin ar-Raniri Pengarang Abad Ke 17,
Dewan Bahasa, Jil. VIII, Bil. 10, Oktober 1964: 437).
Bagi menentang aliran wujudiyyah Shaykh Nuruddin al-Raniri
semasa di Aceh mengarang kitab Hall al-Zilli, Shifa` al-Qulub dan Tibyan fi
Ma`rifat al-Adyan. Dia juga menghasilkan kitab Bustan al-Salatin disamping 13
karangan yang lain.
(Teuku Iskandar, Nuruddin ar-Raniri Pengarang Abad Ke
17, 438-440).
Shaykh Nuruddin Al-Raniri amat penting di dalam menegakkan
aliran Sunni di Alam Melayu. Setelah tujuh tahun di Aceh Shaykh Nuruddin
kembali ke Gujerat dan meninggal pada 22 Zulhijjah 1069H.= 21 September 1658.
Peranan Makkah di dalam mendidik pelajar-pelajar dari Alam
Melayu dapat dilihat peranan Shaykh Ahmad al-Qushashi (m.1661M.) guru Sunni
bagi Shaykh Abdul Rauf Singkel (ke Makkah 1642 dan beberapa negeri Arab –
termasuk Yaman 19 tahun) dan juga Ibrahim al-Kurani juga dinisbahkan kepada
Kurdi. Kedua-dua guru adalah pendukung Mazhab Shafie. Apabila Abdul Rauf
Singkel pulang ke Aceh pada zaman pemerintah Sultanah Safiatuddin Taj Alam Shah
(1641-1675M.) beliau mengarang kitab-kitab aliran Sunni seperti Umdat
al-Muhtajin, Mir`at al-Tullab fi Tashil fi Ma`rifat al-Ahkam al-Shar`iyyah li
al-Malik al-Wahhab (Fiqh Mazhab Shafie), Kifayat al-Muhtaj (Tasawuf Sunni
mencanggahi aliran Wahdat al-Wujud).
(T.Iskandar, Abdurrauf Singkel Tokoh Shatariyah (Abad ke
17), Dewan Bahasa, Jil. IX, Bil. 5, Mei 1965: 193-200).
Sebagaimana maklum bahawa Shaykh Ibrahim al-Kurani dan juga
al-Kurdi dan juga Shaykh Abdul Rauf Singkel adalah antara guru-guru Shaykh
Abdul Malik bin Abdullah yang memperkukuhkan aliran Sunni di Terengganu dan
Alam Melayu, terutama dengan penghasilan Kitab Hikam Melayu yang digunakan, dipelajari
dan didukung oleh pencinta dan peminat ilmu tasawuf Sunni. Beliau juga
mengarang kitab-kitab fiqh seperti
Kifayah, Kitab Naql dan kayfiyat al Niyyah.
Haji Abdul Malik cicit Tuk Pulau Manis yang belajar selama
12 tahun di Makkah bersama dengan begitu ramai pelajar-pelajar dari tanah Jawi
sebagaimana disebutkan, mereka berguru dengan Shaykh Daud al-Fatani seorang
tokoh Sunni bermazhab Shafie pengarang kitab Jawi di Makkah (lebih 30 buah
kitab). Antara karangan fiqh beliau seperti Furu` al-Masa`il, Bughyat al-Tullab
li Murid Ma`rifat al-Ahkam bi al Sawab, Idah al-Bab li Murid al-Nikah, Jawahir
al-Saniyyah, Munyat al-Musalli, Ghayat al-Taqrib fi al-Irthi wa al-Ta`sib dan
al-Sullam.
Bagi bidang Usuluddin aliran Sunni (Ash`ari-Maturidi) seperti
Sifat 20, Al-Durr al-Thamin, al-Bahjah al Saniyyah, Diya` al-Murid dan Sharh
Nazm `Aqidat al-Awwam,
Manakala Tasawuf seperti Manhal al-Safi, Kanz al-Minan `ala
Hikam Abi Madyan, Minhaj al-Abidin ila Jannat Rabb al`Alamin dan Tariqat
Shattariyah.
Bidang tafsir-Hadith seperti Bulughu al-Muram dan Jam`u
al-Fawaid wa Jawahir al-Qala`id.
Bidang yang lain ialah Kifayat al-Muhtaj fi Isra` wa
al-Mi`raj.
Peranan Shaykh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fatani amat
besar di dalam menghasilkan kitab-kitab jawi baik segi fiqh, usuluddin, tasawuf
dan berbagai-bagai lagi. Sebelum dari adanya percetakan, sebagaimana telah
dibincangkan karangan-karangan Shaykh Daud telah disalin tangan oleh kumpulan
penyalin-penyalin di Makkah dan disebarkan. Peranan kitab-kitab karangan Shaykh
Daud al-Fatani lebih luas penyebarannya apabila kitab-kitabnya dicetak dan
penyebaran lebih luas di alam Melayu. Contoh penyebaran sebelum ada percetakan ialah
sebagaimana dilakukan oleh Haji Abdul Malik yang menyalin karangan-karangan
Shaykh Daud dan karangan-karangan pengarang yang lain di dalam berbagai-bagai
bidang.
Dengan melihat kepada penyalinan-penyalinan yang dibuat oleh
Haji Abdul Malik bagi pengajian dan pengajarannya, maka dapat dilihat
karya-karya salinannya melibatkan keilmuan di dalam bidang Sunni.
Di dalam bidang fiqh digunakan kitab Kifayah menurut mazhab
Imam Shafie yang membicarakan soal taharah, solat, zakat, puasa, haji dan
qurban. Kitab ini juga pada bahagian permulaan membicarakan soal akidah dengan
menghuraikan dua kalimah syahadah disamping rukun-rukun imam yang lain.
Kitab-kitab fiqh Sunni yang lain ialah dari karangan Shaykh Daud pada peringkat
tulis tangan iaitu Munyat al-Musalli, kitab Idah al-Bab li Murid al-Nikah, kitab Sharh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
oleh Abu Abdullah Muhammad al-Mahalli,
kitab Azhar al-Riyad oleh Ahmad al-Shuja`I, kitab Hashiat Ibn Qasim `ala Shah
al-Kifayat oleh Ibn Qasim, Kitab Hashiyat al-Bajuri `ala Shah Ibn Qasim oleh
Ibrahim al-Bajuri. Kitab fiqh mazhab Shafie terkenal, iaitu al-Iqna` oleh
Muhammad Sharbini al-Khatib, kitab Bahjat al-Sami`in wa al-Nazirin oleh Najm
al-Din Muhammad Ibn Ahmad al-Ghayti al-Shafi`e, kitab Hashiyat al-Bujairimi `ala Sharh al-Khatib
oleh Uthman al-Bujayrimi. Kitab-kitab fiqh berkenaan yang digunakan terutama di
institusi Pengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah, khususnya pada zaman Haji
Abdul Malik memperkukuhkan aliran mazhab fiqh al-Shafie sama ada di Terengganu
dan di tempat-tempat yang menggunakan kitab-kitab fiqh seumpamanya atau
kitab-kitab fiqh yang lain yang beraliran Sunni.
Satu bidang yang penting dalam mengukuhkan aliran Sunni ialah
bidang usuluddin. Misalnya matan-matan berhubung dengan aqidah Sunni seperti
Nazam Aqidat al-`Awwam oleh Muhammad al-Marzuqi, Matan Umm al-Barahin oleh
Muhammad Yusof al-Sanusi, Matan al-Burdah oleh al-Busiri, Matn Jauharat
al-Tauhid oleh Ibrahim al-Laqani, Matn Daw`u al-La`ali oleh Ali bin Muhammad
al-Awshi dan Matn al-Samarqandi oleh Sayyid Ahmad al-Millawi dihafal dan
disharah oleh berbagai-bagai pensharah yang menghasilkan kitab-kitab sharah dan
hashiah. Antara kitab-kitab usuluddin yang menjadi bahan pengajian dan
pengajaran di pengajian Tuk Pulau Manis khususnya zaman Haji Abdul Malik ialah
Hashiyat `ala Sharh al-`Allamat al-Qayrawani li al-`Aqidat al-Musammat bi Umm
al-Barahin, kitab Daw`u al-La`ali fi Sharh Bad`u al-Amali oleh Ahmad ibn
al-Nawbi, kitab Hashiyat al-Bajuri `ala Matn al-Burdah li al-Imam `Abd Allah
al-Busiri, Sharh Futuhat `ala Khulasat al-Tauhid oleh Muhammad al-Hudayni
al-Damanhuri, kitab Sharh al-Mukhtasar `ala Fahmi al-`Aqidat Imam al-Jami` bayn
al-Shari`at wa al-Haqiqat (Muhammad Ibn Yusof al-Sanusi) oleh Muhammad bin
`Umar bin Ibrahim al-Tilmasani. Demikian contoh-contoh matan dan kitab-kitab
usuluddin yang digunakan di dalam pembelajaran dan pengajaran yang mengukuhkan
aliran Sunni di dalam bidang aqidah.
Manakalka bagi bidang tasawwuf ialah penggunaan kitab-kitab
Hikam Melayu oleh Tuk Pulau Manis, Manhal al-Safi oleh Shaykh Daud al-Fatani, Sharh
Hikam oleh Ibn `Abbad dan kitab Ihya` Ulum al-Din oleh al-Ghazali. Manakala
bidang-bidang yang lain yang tidak melibatkan mazhab dan aliran ialah
berbagai-bagai kitab tafsir dan hadith. Begitu juga dipelajari ilmu-ilmu alat
iaitu nahu, saraf, balagah dan sastera.
Sesungguhnya penyalinan, pengajian dan pengajaran ilmu-ilmu
di atas mengukuhkan keilmuan Sunni yang dari segi fiqhnya menurut mazhab Imam
Shafie, usuluddinnya menurut Ashari-Maturidi, tasawufnya menurut Ghazali dan
Shadhili. Dari segi yang lain Makkah tidak saja menjadi sumber perkembangan
keilmuan Sunni pada zaman tradisi, tetapi juga pada zaman tersebut menjadi
tempat kegiatan intelektual keislaman yang meningkatkan penggunaan bahasa
Melayu yang meluaskan penggunaannya melalui penghasilan kitab-kitab di dalam
bahasa Melayu yang digunakan di segala pelusuk di Alam Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment