BBB, 14 Zulhijjah 1434 = 20 September 2013 (Jumaat):
Di dalam al-Qur`an perintah mendirikan solat berada pada
bahagian awal dari perintah ibadat yang lain. Contoh: Bermaksud:
Dan Dirikan oleh kamu akan solat dan keluarkan zakat dan
rukuklah bersama orang yang rukuk (al-Baqarah: 43), Dan mereka itu mendirikan
solat dan mengeluarkan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya
(al-Taubah: 71), Dan Dia mewasiatku dengan solat dan berzakat selama kuhidup
(Maryam: 31).
Maka dari segi pendekatan kitab-kitab fiqh memulakan
pembicaraan dengan bidang solat.
Tetapi sebelum mendirikan solat, seseorang itu seharusnya suci
dari hadath dan memerlukan alat bersuci dan alat bersuci paling utama ialah
`air`. Contoh kitab Bughyat al-Tullab karangan Shaykh Daud bin Abdullah bin
Idris al-Fatani memulakan kitabnya setebal dua jilid dengan Kitab al-Taharah
(Daud bin Abdullah, Bugyat al-Tullab, al-Juz`u al-Awwal, Maktabat wa Matba`at
Dar al-Ma`arif, Pulau Pinang, tt: 7). Demikianlah juga dengan Kitab Sabil
al-Muhtadin yang juga dua jilid oleh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari
juga memulakan kandungan kitabnya dengan Kitab al-Taharah (Muhammad Arshad bin
Abdullah al-Banjari, Sabil al-Muhtadin,
Juz` Pertama, Maktabat Nur
al-Thaqafat al-Islamiyyat, Jakarta, tt.: 5).
Demikian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah mulai masuk
membicarakan (tanpa pemecahan bab) persoalan fiqh bermula dengan bidang taharah
(Bidang taharah dan solat diberi fokus utama dengan huraian yang begitu detail.
Pembicaraan ini memberi contoh yang juga detail bagi kedua bidang berkenaan,
manakala bidang-bidang yang lain disebut secara ringkas)
``Dan lagi hendaklah kita ketahui akan segala hukum air``
Ketahui olehmu bahawasanya tiada sah mengambil air
sembahyang dan mandi janabah dan mandi haid dan mandi nifas dan mandi wiladah
dan membasuh segala najis itu melainkan dengan air mutlaq, ertinya air yang
suci lagi menyucikan. Menurut pengarang adapun air terbahagi kepada empat,
iaitu:
Pertama: Air Mutlaq
Kedua: Air Makruh
Ketiga: Air Musta`mal
Keempat: Air Bernajis
Air Mutlaq tujuh: 1) Air Hujan 2) Air Embun 3) Air Beku
4) Air Laut 5) Air Sungai 6)
Air mata air 7) Air telaga
Air mutlak boleh berubah dengan bercampur misalnya dengan
tepung, pada ketika itu tidak boleh lagi digunakan bagi penyucian yang fardu
seperti mandi hadath besar, tapi ia suci boleh diminum atau dimasak nasi
umpamanya.
Air Makruh, tiga 1) Air yang sangat hangat 2) Air yang sangat sejuk 3) Air yang terjemur
pada negeri yang sangat hangat seperti negeri Makkah
Air Musta`mal, seperti air yang dipakai pada mengambil air
sembahyang, maka air itu tiada sah dipakai untuk diambil air sembahyang dan
penggunaan fardu yang lain.
Air Najis, iaitu yang kurang daripada dua kolah, maka jika dimasuki
najis, sama ada berubah atau tidak, maka mutanajjis hukumnya. Dan najis ada
tiga, iaitu Mughallazah (Berat) seperti anjing, Mukhaffafah (ringan) seperti
kencing anak kecil lelaki yang belum makan lain dari susu ibu dan Mutawassitah seperti tahi (Kaedah
menyucikan dibicarakan).
Dari segi bersuci yang lain dibicarakan tentang qada` hajat
yang dikategorikan kepada sunat. Adapun sunat apabila pergi qada` hajat – dengan
mendahului kaki kiri tatkala masuk ke dalam jamban, dan mendahului kaki kanan
apabila keluar daripadanya, jika qada hajat pada padang sekalipun, makruh qada`
hajat pada air yang tenang atau sedikit lagi mengalir dan padang lubang-lubang
tanah dan pada jalan segala manusia dan haram membawa masa qada` hajat sesuatu
yang tersurat nama Allah atau nama Nabi atau nama malaikat dan qada hajat
menghadap atau membelakangkan Qiblat, jika tiada berdinding. Bila qada` hajat
hendaklah diistinja` dengan air atau batu atau sesuatu yang suci lagi keras
lagi kasap.
Perkara yang wajib mandi itu lima perkara’
Pertama: Mati bagi orang Islam yang lain daripada mati
syahid
Kedua: Haid Ketiga:
Nifas Keempat Wiladah dan kelima: Janabah
Setiap satu diberi penerangan dan huraian.
Bermula syarat mengambil air sembahyang (wudu`) itu tujuh
perkara:
1) Islam 2)
Mumayyiz 3) Suci daripada haid 4) Suci daripada sesuatu yang menegahkan
sampai air kepada segala anggota air sembahyang daripadanya
5) Mengetahui akan segala fardu 6) Jangan ia mengi`tiqadkan
sesuatu daripada segala fardu itu sunnat atau sebaliknya 7) Dengan air yang
suci lagi menyucikan.
Dan fardu mengambil air sembahyang iaitu 1) Niyyat 2)
Membasuh muka 3) Membasuh dua tangan
4) Menyapus sedikit daripada kulit kepala 5) Membasuh dua
kaki 6) tartib.
Turut dibicarakan tentang sunat-sunat mengambil air
sembahyang dan yang membatalkan air sembahyang, haram bagi yang tiada ada air
sembahyang, menyentuh mushaf dan bertawaf..
Juga dibicarakan syarat-syarat dahulu dari mengerjakan
sembahyang. Dan dibicarakan rukun sembahyang yang 13 satu persatu, sunat di
dalam sembahyang, perkara yang membatalkan sembahyang, dan syarat sah sembahyang jamaah.
Turut diberi penjelasan berhubung dengan sembahyang Dua Hari
Raya, sembahyang jenazah.
Berikut dari solat Jenazah dibicarakan tentang kewajipan
berzakat:
Bahawa wajib dikeluarkan zakat terhadap binatang seperti
unta, kerbau, lembu, kambing dan biri-biri apabila cukup syarat, wajib juga
zakat pada hasil tanam-tanaman yang mengenyangkan seperti gandum, sair, padi,
jagung dan kacang hijau. Juga dikenakan zakat pada emas dan perak. Turut dibicarakan
tentang zakat fitrah
dan berpuasa.
Maka erti puasa itu menahani diri daripada segala perkara
yang membatalkan puasa dengan rukun, syarat wajib dan sunat yang dibicarakan
secara lengkap.
Berhubung dengan haji dilihat pengarang memberi tumpuan
kepada semua aspek ibadat,
tetapi kurang berhubung dengan haji, kecuali disinggung
sedikit bila membicarakan tentang Rukun Islam. mungkin pada zaman pengarang di
akhir abad ke tujuh belas dan awal abad ke 18 masih kurang orang yang
berkemampuan menunaikan haji, sebab itu persoalan haji tidak diberi perhatian di dalam konteks pada
masa itu.
Tentang Haji kata pengarang:
Naik haji kepada
Ka`batullah jika kuasa ia berjalan kepadanya, maka erti haji itu
menyehaja pergi mengu(n)jung Ka`batullah.
Apa yang diberi perhatian oleh pengarang ialah tentang
Qurban yang dapat diamalkan di tempat masing-masing.
Bermula Qurban itu, iaitu barang yang disembelih daripada
unta dan lembu dan kerbau dan biri-biri dan kambing kerana mendekatkan diri
kepada Allah Ta`ala. Menyembelih qurban itu sunnat Mu`akkad. Contoh seekor lembu bagi 7 bahagian. Jika
lembu, kerbau atau kambing, maka hendaklah umurnya dua tahun, masuk kepada tiga
tahun yang tidak cacat. Selain dari Qurban turut dibicarakan tentang aqiqah dan
diikuti dengan tentang makan minum yang halal dan haram.
Berhubung dengan soal ibadat yang menjadi amalan harian dan berterusan diberi pembicaraan dengan agak
detail bagi membantu kefahaman dan amalan masyarakat umat, khususnya pada zaman
tradisi.
Kifayah dengan maksudya, sesuatu yang cukup bagi keperluan,
maka kifayah mencukupi sebagai panduan aqidah dan syariat bagi masyarakat zaman
tradisi yang pada abad ke 17 dan 18 masih kurang dari kitab-kitab panduan di
dalam bahasa Melayu, kecuali karangan-karangan yang dihasilkan oleh ulama Aceh
seperti Shaykh Nuruddin al-Raniri dan Syaikh Abdul Rauf Singkel, tetapi
kitab-kitab penulisan mereka pada masa itu masih sukar didapati.
Sekian.
No comments:
Post a Comment