September 3, 2013

Tradisi Persuratan Di Terengganu


BBB, 26 Syawal 1434 = 02 September 2013 (Isnin):

Negeri Terengganu adalah salah sebuah negeri tua di Semenanjung Tanah Melayu. Terdapat tinggalan-tinggalan peralatan purba Zaman Batu Baru, di Batu Tuk Bidan, Gunung Bewah di Hulu Terengganu (Rombongan Kajian pada 19 Julai 1976). Pada 24.10.1964 diketemui (oleh En. Ali Abdullah) Gendang Dong Song di Batu Buruk, Kuala Terengganu (Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang, Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: 14 - 17). Ptolemy seorang ahli geography Greek pada tahun 150 Masihi mencatat dalam peta lakar di Semenanjung Emas, iaitu Tanah Melayu (Golden Khersonese) dua tempat di Terengganu satu sebagai Kole yang dijangka dimaksudkan sebagai Kuala Kemaman dan sebuah lagi Perimula yang dijangka dimaksudkan di Kuala Sungai Terengganu (Haji Buyong Adil, Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 5 – 6).

Sebagaimana pada zaman tradisi penempatan masyarakat tradisi berlaku di kuala-kuala sungai dan ke hulunya. Demikianlah juga sungai di Terengganu, terutama Sungai Terengganu ke hulunya (Hulu Terengganu dari kuala hingga ke hulunya merupakan antara kawasan penempatan terawal). Di sungai ini berlaku kegiatan ekonomi dan perniagaan, bersifat tempatan dan juga dari luar. Mereka datang berlayar menyusuri Sungai Terengganu ke Hulunya. Demikianlah di dalam buku Sejarah Cina berjudul `Ling-wai Tai-ta` (1178M.) dikarang oleh Cao Cu-fei menyebut di dalam bukun itu tentang sebuah tempat yang dikenali sebagai Foloan yang dimaksudkan ialah Kuala Berang.  Pengaruh Hindu-Buddha terdapat di sana dalam mana ada upacara tahunan (bulan enam) mengarak Patung Buddha daripada gangsa berhias emas diiringi bunyi-bunyian serta memukul dandi (cymbal) sebagai mengingati hari lahir Buddha. Dikatakan saudagar-saudagar bangsa asing turut mengambil bahagian dalam perarakan.

Keluaran Foloan yang menjadi tarikan pedagang-pedagang ialah `su` dan `can`, iaitu jenis kayu gaharu dan laka, gading dan lain-lain yang ditukar dengan emas, perak, proselin, besi, bahan-bahan membuat barnis, arak, beras, gula dan gandum. Dikatakan setiap tahun Foloan menghantar  ufti kepada kerajaan San-fo-cih (Seriwijaya). Disebut bahawa Foloan adalah berjiran dengan Peng-heng (Pahang), Trang-yanu (Terengganu dan Ca-lan-tan (Kelantan) dan negeri-negeri itu bersamaan keadaannya. Catatan lain daripada buku `Ling-wai Tai-ta`(1178) karangan Cao Cu-fei, ialah buku Cu-fan-cih (1226) karangan Cao Ju-kua, dan ``Tao-I Cih-leo``(1349) karangan Wang Ta-yuan yang menunjukkan Foloan adalah sebuah negeri yang penting sezaman dengan kerajaan San-fo-cih (Seriwijaya). (Haji Buyung Adil, 1974: 6-8).

Suasana budaya dan keagamaan pada zaman lama ini sama dengan apa yang berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Seriwijaya di Sumatera pada abad ke 12 dalam mana Sumatera menjadi Pusat keagamaan Hindu-Buddha yang menjadi singgahan pelajar-pelajar untuk belajar seperti dilakukan oleh I-Ching pelajar dari Cina singgah menuntut di Sumatera sebelum ke Nalanda di India. Tapi menurut Syed Naguib, pendakwah-pendakwah Buddha, bukan dari penduduk asli Sumatera, tetapi datang dari India untuk antaranya bersemadi di Sumatera. Hujah Naguib bahawa tidak ada tokoh pemikir Melayu-Hindu-Buddha yang terkenal dalam sejarah agama tersebut di Sumatera. Mereka lebih terpengaruh dan lebih berkemampuan mengungkapkan kebolehan di dalam bidang seni seperti pengukiran patung-patung yang terdapat di Bukit Seguntang dan Borobudur di Jawa. Lantaran itu seni berunsur Hindu-Buddha jauh lebih hebat di Sumatera, Jawa dan Bali dari di India. Keunggulan seni Hindu-Buddha di India tidak dapat menandingi Seni Hindu-Buddha di Indonesia.
(Al-Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement On A General Theory of The Islamization of The Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1969: 4).

Sumatera adalah sebagai jalan perantaraan yang menghubungkan India dengan Cina. Pengaruh India dan Cina mendominasi Alam Melayu sejak abad ke 8 ke abad 12, tetapi dengan munculnya Agama Islam dan berkembang pesat mulai abad ke 8M., terutama pada zaman Kerajaan Abbasiah (Abad k8 – 13M), maka komunikasi umat Islam mula terbuka ke Timur Jauh. Peniaga-peniaga Islam datang melalui Kepulauan Melayu untuk ke Cina. Mulai awal abad 12M. terdapat catatan-catatan seperti Hikayat Aceh pendakwah datang  mendakwah Islam di utara Sumatera kira 506H./1112M. Pendakwah tersebut ialah Syeikh Abdullah Arif, manakala Hikayat Raja-Raja Pasai menyebut Sharif Makkah menghantar Sheikh Ismail mendakwah penduduk Utara  Sumatera sekitar abad ke 7H,/13M. – termasuk ke Perlak dan Samudera yang telah menerima Islam 682/1282. Sultan pertama menerima Islam ialah Sultan Malikus Saleh (1292).
(Al-Attas,  Syed Naguib, Preliminary Statement …1969: 11-12).

Menurut Mas`udi menyatakan (265H/877M.) penguasaan  peniaga-peniaga dari Asia Barat menyebabkan berlakunya pemberontakan Tani di Khanfu (Canton) Cina kerana penduduk tempatan tidak berpuashati di atas monopoli peniaga-peniaga Islam (Arab dan Parsi), lantaran itu peniaga-peniaga mengalih perhatian mereka di kawasan Kepulauan Melayu dan berlaku kegiatan dakwah sebagaimana berlaku di Sumatera di atas (Al-Attas, Syed Naguib, Preliminary Statement..., 1969: 11). Kerancakan dakwah bertambah selepas keruntuhan Baghdad (1258M.) di tangan Hulagu. Kalangan ulama keluar merantau dan berdakwah termasuk ke Alam Melayu, bahkan dikatakan seorang pemerintah yang berketurunan dari kesultanan di Baghdad meninggal di Sumatera.
Trengganu yang mengalamai nasib sejarah yang sama dengan Pasai yang sebelumnya dipengaruhi Hindu-Buddha, turut sama menerima pendakwah Islam pada zaman pemerintahan Raja Mandalika di awal abad ke 14M. Hubungan dagang berlaku dengan Pasai pada masa tersebut. Bahkan terdapat perkampungan Pasai di Hulu Terengganu termasuk kuburan-kuburan mereka. Adalah dijangka hubungan keagamaan juga berlaku dalam mana kedua-dua negeri menerima Islam dalam jangka hampir bersamaan. Terengganu dijangka menerima Islam lebih awal dari tarikh pada Batu Bersurat. Kerana dari segi logiknya sebelum penguasaan tulisan, sudah berlaku pembelajaran terhadap agama Islam dan tulisan Jawi sebelumnya. Ini bererti penerimaan Islam di Pasai dan Terengganu berlaku dari kesan gelombang dakwah dalam masa yang lebihkurang sama antara Pasai dan Terengganu. Tarikh pada Batu Bersurat (4 Rajab 702H/22 Februari 1303M.) adalah tarikh perisytiharan.

Apa yang menarik, berlainan dengan situasi zaman Hindu-Buddha kehadiran agama Islam baik di Pasai dan juga di Terengganu, diikuti dengan perkembangan pengajian dan keilmuan, begitulah berlaku di Pasai yang disambung oleh Aceh, demikianlah juga berlaku di Terengganu, penerimaan Islam menggerakkan tradisi pembelajaran, keilmuan dan persuratan.

Perkembangan Persuratan di Terengganu pada zaman tradisi dapat dipecahkan kepada tiga zaman, iaitu:

1)      Zaman Batu Bersurat
2)      Permulaan Pengajian Pondok
3)      Sebelum Campur tangan Barat

Sekian.

No comments:

Post a Comment