BBB, 12 Zulkaedah 1434 = 18 September 2013(Rabu):
Persoalan Niyyat adalah penting baik di dalam ibadat dan
juga perundangan.
Di dalam Islam kesempurnaan ibadat bergantung pada Niyyat, Ianya
menjadi rukun dan syarat bagi sah dan sempurnanya sesuatu amalan. Kepentingan
Niyyat disebut di dalam ayat-ayat al-Qur`an dan juga Hadith. Allah berfirman
antaranya,
Bermaksud:
Pada hal, mereka tidak diperintahkan melainkan supaya
menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas
tauhid. (Al-Bayyinah: 5).
(Ikhlas atau tidak amalan bergantung kepada Niyyat)
Manakala Hadith tentang Niyyat pula:
Daripada Amir al-Mu`minin Abi Hafs `Umara Ibn al-Khattab
r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w, bersabda:
``Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada Niyyat.``
(Mustafa AbdulRahman, Matan al-Arba`in al-Nawawiyyah, Dewan
Pustaka Fajar, Kg. Baru, Kuala Lumpur, 1988: 55).
Di dalam kitab fiqh, Niyyat adalah satu daripada rukun
sembahyang. Di dalam kitab Matla` al-Badrayn Wa Majma` al-Bahrayn di dalam
fasal mengenai rukun sembahyang kata pengarangnya:
``Bermula segala rukunnya tiga belas … Pertama Niyyat dan
tempatnya hati, maka tiada wajib menuturkan Niyyat itu dengan lidah, tetapi
sunnat jua supaya menolong lidah akan hati (maka jika) sembahyang itu fardu
wajib padanya tiga perkara, iaitu qasad dan ta`arrud dan ta`ayyin.
(Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Matla`a al-Badrayn Wa
Majma` al-Bahrayn, Nahdi Trading, Tempat ?, Tahun ?: 30).
Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari pula mengatakan tentang
Niyyat sebagai rukun sembahyang:
``Rukun yang pertama Niyyat, ertinya qasad memperbuat
sembahyang dengan hati, maka tiada memadai ia mengata dengan lidah serta lalai
hati dan tiada memberi mudarat mengata dengan lidah dengan menyalahi barang
yang di dalam hati seperti diniyyatkannya di dalam hatinya memperbuat
sembahyang zuhur, maka tergelincir lidahnya kepada menyebutkan yang lainnya
seperti Asar.``
(Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Maktabat Nur
al-Thaqafiyyah, Jakarta ,
tahun ?: 192.
Di dalam undang-undang sivil biasa orang yang melakukan
kesalahan yang dibuktikan dengan dan tanpa Niyyat akan menerima hukuman berbeza
antara keduanya.
Memandang pentingnya persoalan Niyyat, Shayk Abdul Malik bin
Abdullah turut mengarang sebuah risalah ringkas yang diberi judul `Kayfiyyat
an-Niyyah` setebal 17 halaman.
(Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah
(Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976/77: 81-83).
Pada bahagian atas halaman pertama bagi risalah itu
tercatat:
``Inilah setengah daripada karangan Datuk Pulau Manis
seperti tersebut pada akhir kitab ini – Nafa`ana Allah bi `Ulumihi. Amin dan
sememangnya pada akhir risalah tersebut tercatat, iaitu Abdul Malik bin
Abdullah al-Jawi.
Selepas Puji kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah,
Risalah bertolak dari pendapat al-Imam al-Ghazali tentang Niyyat yang dipetik
dari karangan Imam al-Ghazali yang berjudul Ihya` Ulum al-Din. Rujukan dibuat
menepati apa yang dirujuk dalam Ihya` Ulum al-Din al-Ghazali.
(Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Ihya` `Ulum
al-Din, Jil. IV, Dar al-Fikr, Beirut ,
Lubnan, 1409/1989: 384-385).
Yang diberi terjemah oleh Shaykh Abdul Malik sebagaimana
berikut:
Ertinya, ketahui olehmu bahawasanya Niyyat dan Iradat dan
Qasad itu bersalahan lafaznya dan bersuatu makna ketiganya itu dan iaitu hal
dan sifat bagi hati pada hal mengapit Niyyat itu dua pekerjaan.
Pertama: Ilmu dan Amal dan Ilmu itu mendahului dia dari
kerana bahawasanya Ilmu itu asal Niyyat dan syaratnya dan Amal itu mengikut
akan dia dari kerana bahawasanya amal itu buahnya dan cawangnya. Bermula
demikian itu dari kerana tiap-tiap amal, yakni tiap-tiap gerak dan diam yang
dengan ikhtiar itu tiada ia seperti, melainkan dengan tiga pekerjaan:
Pertama: Ilmu dan
Kedua: Qudrat dan
Ketiga: Iradat
Dari kerana bahawasanya tiada menghendaki manusia itu barang
yang tiada diketahui akan dia, maka tidak dapat tiada, bahawa mengetahui ia
akan dia dan tiada ia mengerjakan barang yang tiada dikehendakinya akan dia,
maka tiada dapat tiada daripada menghendaki dia, yakni adalah tiap-tiap orang
yang hendak berbuat sesuatu itu tiada dapat tiada ada padanya ilmu dan Iradat dan Qudrat.`` Demikian dari petikan dari
Ihya` Ulum al-Din; (Teks: hlm. 2 -3).
Adapun Niyyat dari segi lughah dan syara` (istilah) dipetik
dari pendapat Shaykh Ibn Hajar dan Baydawi. Bermula Niyyat pada lughah itu,
iaitu kehendak hati yang berhadap kepada berbuat sesuatu yang beroleh manfaat
ia dengan dia atau berbuat sesuatu yang menolakkan mudarat daripadanya pada
sekarang atau pada yang lagi akan datang.
Dan Niyyat pada syara` itu kehendak hati yang berhadap
kepada berbuat bakti kepada Allah Ta`ala, pada halnya menuntut keredaan Allah
Ta-ala.
Menurut pengarang, Niyyat pada syara` terbahagi kepada tiga
bahagi
Pertama: Niyyat serta perbuatan, iaitu seperti Niyyat
sembahyang dan Niyyat ambil air sembahyang dan lainnya daripada keduanya itu.
Dan
Kedua: Niyyat dahulu daripada perbuatan, iaitu seperti
Niyyat Puasa dan mengeluarkan zakat dan Niyyat mengeluarkan kaffarah kemudian
daripada menyebelahkan keduanya itu, dan
Ketiga: Niyyat Mujarrad, yakni Niyyat yang tiada diperoleh
sekali-kali perbuatan kemudiannya, maka adalah Niyyat mujarrad itu diberi
pahala akan orang yang berniyyat itu dengan semata-mata berniyyat jua. Hujah
diperkukuh dengan ayat Qur`an dan Hadith.
Seterusnya dibicarakan perbezaan antara Niyyat, perkataan, amalan, bahawa: Iman itu
ialah `Mengetahui dengan Hati dan Kata dengan Lidah dan Amal dengan segala anggota`.
Ganjaran adalah bergantung pada keikhlasan hati. Sebaliknya barang siap
bercampur (menyengutu amal) ikhlasnya
tiada diterima amalnya.
Penulis juga mengaitkan amal yang baik dan buruk yang amal
buruk yang banyak boleh menghapuskan amal yang baik yang dibuktikan dengan
firman Allah yang bermaksud:
Siapa yang mengamalkan sezarah kebaikan akan dilihat dan
siapa yang mengamalkan sezarah kejahatan akan dilihat (Al-Zalzalah: 7-8).
Dengan Niyyat baik dan tidak baik membawa manusia kepada
amalan baik dan tidak baik, maka didasarkan kepada amalan mereka, maka manusia
itu dapat dikategorikan kepada empat:
Pertama: Am Fasiq dan
Kedua: Am Saleh dan
Ketiga: Khas dan
Keempat: Khas al-Khawass
Adapun Am Fasiq itu, kelakuan mereka itu memukul orang dan
memaki orang dan mengambil arta orang dan mengerjakan akan segala yang
diharamkan Allah Ta`ala. Dan adapun Am Saleh itu kelakuan mereka itu
mengerjakan barang yang difardukan Allah Ta`ala dan menjauh segala barang yang
diharamkan Allah Ta`ala dan jika disakit orang akan mereka itu, maka membalas
mereka itu akan dia seperti barang yang disakit mereka itu jua. Dan adapun Khas
adalah kelakuan mereka itu mengerjakan segala barang yang difardukan Allah
Ta`ala dan mengerjaklan segala sunnat semuhanya, jika disakit orang akan mereka
itu tiada membalas akan dia dan memaafkan mereka itu akan kesalahan orang
kepada mereka itu. Dan adapun Khas al-Khawass itu adalah kelakuan mereka itu
mengerjakan akan sekalian yang difardukan Allah Ta`ala dan akan segala sunnat
semuhanya dan menjauh akan segala barang yang dilarangkan Allah Ta`ala dan lagi
tetaplah mereka itu pada segala barang yang disuruhkan Allah Ta`ala dan jika
disakit orang akan mereka itu nescaya beroleh lazat mereka itu dengan dia dan
memberi mereka itu suatu akan segala orang yang menyakit mereka itu dan jika
tiada mereka itu mempunyai arta, maka minta doa mereka itu akan segala orang
yang menyakiti mereka itu.
Dan adapun segala yang menuntut itu pula pada pihak tuntut mereka itu lima jenis: maka
Yang Pertama itu adalah tuntut mereka itu dunia semata-mata,
maka mereka itulah yang sangat kurang dan rendah pangkat mereka itu, dan
Kedua itu, adalah tuntut mereka itu akan dunia dan akhirat,
maka adalah mereka itu tertinggi sedikit daripada orang yang dahulu itu, dan
Ketiga itu adalah tuntut mereka itu akan akhirat semata,
maka adalah mereka itu tertinggi daripada segala mereka itu yang dahulu itu dan
Keempat: itu adalah tuntut mereka itu Allah Ta`ala jua
semata-mata, maka adalah mereka itu terlebih sedikit daripada mereka yang tiga
itu dan
Kelima itu tiada ada tuntut mereka itu sesuatu jua pun, maka
adalah dua yang dahulu itu hal sgala kebanyakan orang, pada hal tafawut kelakuan mereka itu dan pangkat mereka itu
masing-masing. Dan yang ketiga itu hal segala orang saleh dan segala zahid dan
yang kemudian itu hal segala wali dan segala Nabi dan Pesuruh pada hal tafawut
kelakuan mereka itu dan pangkat mereka itu masing-masing dan lagi pula adalah
segala manusia itu pada pihak kasih mereka itu akan dunia dan akhirat itu atas
lima jenis, maka,
Jenis yang Pertama itu adalah mereka itu kasih akan dunia
terlebih dari kasih akan akhirat, maka adalah tanda mereka itu mengerjakan
mereka itu akan yang makruh kerana menghasilkan perkejaan dunia seperti dita`khirkan mereka itu akan
segala sembahyang yang fardu dan bersumpah mereka itu dengan dusta, tatkala
mereka itu berniaga dan barang sebagainya daripada pekerjaan yang diharamkan
Allah Ta`ala dan
Jenis yang kedua itu kasih mereka itu akan akhirat seperti
kasih mereka itu akan dunia, maka adalah tanda mereka itu mengerjakakan mereka
itu akan yang makruh kerana menghasilkan akan pekerjaan dunia seperti
mengerjakan mereka itu akan sembahyang di dalam waktu karahiyah sembahyang dan
mengerjakan mereka itu akan yang makruh di dalam berjual dan membeli dan barang sebagainya daripada segala
pekerjaan yang makruh dan tiada mereka itu mengerjakan segala yang diharamkan
Allah Ta`ala, iaitulah hal kebanyakan segala orang yang saleh dan,
Jenis yang ketiga itu kasih mereka itu akan akhirat terlebih
daripada kasih mereka itu akan dunia dan tanda mereka itu tiada mereka itu
mengerjakan yang makruh kerana menghasilkan pekerjaan dunia seperti mengerjakan
sembahyang pada awal waktu dan barang sebagainya daripada pekerjaan yang
difardukan Allah Ta`ala yaitulah hal segala khas dan
Jenis yang keempat itu tiada kasih mereka itu akan dunia
sekali-kali dan yaitulah hal segala Akhass al-Khawass daripada segala wali yang
besar dan segala Nabi dan
Jenis yang kelima itu kasih mereka itu akan dunia semata-mata dan tiada kasih akan akhirat, tatkala ,
yaitulah hal segala kafir Wallahu a`lam.
Sayugia Kita kerjakan akan pekerjaan yang menjadikan sekalian perbuatan kita kerana Allah Ta`ala:
Maka hendaklah tatkala kita berbuat akan perbuatan yang
fardu itu kita ingatkan bahawa Allah Ta`ala
menyuruhkan ia akan perbuatan ini pada halnya fardu, maka kukerjakanlah
akan dia kerana aku mengikut suruhnya jua dan tatkala kita hendak menjauhkan
segala yang diharamkan Allah Ta`ala itu kita ingatkan bahawa Allah Ta`ala
menegahkan ia akan perbuatan ini, maka kujauhilah akan dia kerana aku mengikut tegahnya jua dan
tatkala hendak kita berbuat akan perbuatan yang mubah itu kita ingatkan bahawa
Allah Ta`ala mengharuskan ia akan perbuatan ini, maka kukerjakanlah akan
dia dan jikalau tiada diharuskannya akan dia nescaya tiada kukerjakan akan dia.
Pada akhir Risalah Shaykh Abdul Malik menyebut bahawa selain
dari petikan-petikan yang dibuat, menurutnya apa yang dibentangkan antaranya
diambil sebagai rujukan dari kitab berjudul A`malu al Fikri Wa`1-Rawiyyat
karangan Shaykh Ibrahim al-Kurdi Guru Shaykh Abdul Malik dan daripada Kitab
Miftah al`Ula karangan Shaykh Ahmad Ibn `Ata`I llah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment