September 26, 2013

Raudat Al-`Ulama`: Tradisi Sastera Islam


BBB, 19 Zulkaedah 1434 = 25 September 2013 (Rabu):

Mengenai Raudat al`Ulama` sebagai sebuah karya sastera Islam, tidak dapat dinafikan ianya adalah contoh sebuah karya sastera Islam yang kukuh. Jika dilihat pada pendapat tentang, apa dia sastera Islam, maka Raudat al-`Ulama lebih dari syarat dan ciri-ciri sastera Islam. Kita ambil dari berbagai pendapat. Misalnya Yusof Zaky Yaakob berpendapat, Sastera Islam ialah sastera yang mengandungi unsur dakwah, pendapat Shahnon, bahawa Sastera Islam ialah Sastera kerana Allah berhikmat untuk manusia sejagat, Muhammad Uthman El-Muhammady melihatnya Sastera Islam sebagai karya seni muqaddas (suci), manakala Dr. Kamal Hassan berpendapat sastera Islamiah sastera yang dilahirkan oleh penulis yang komited dengan pandangan hidup Islam dan sistem nilainya dan Dr. Ismail Ibrahim berpendapat sastera Islam ialah sastera berasaskan tauhid.
(Kesusasteraan Melayu dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 44).

Sebenarnya semua kriteria di atas baik dilihat dari pengarang, kandungan dan tujuan karya dikarang wujud di dalam Raudat al-`Ulama`. Karya dihasilkan oleh ulama yang memahami Islam dan komited dengan keilmuan, pendidikan dan dakwah yang terpancar dari jiwa yang kukuh dengan pegangan akidah tauhid.

Raudat al-`Ulama dikarang bertujuan untuk mengukuhkan Islam sebagaimana dibicarakan pada bab awal daripada 19 bab ialah mengenai Fadilah `La ilaha illa Allah yang diibaratkan sebagai kota bagi mereka yang berada didalamnya (maksud Hadith). Kalimah syahadat tidak dapat dipisahkan selepas kepercayaan kepada Allah, ialah pengakuan Nabi Muhammad Pesuruh Allah. Dari segi kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. menurut Anas bin Malik, Rasulullah menerima maklumat dari Jibril, bahawa sesiapa yang bersalawat ke atas Rasul sekali akan menerima ganjaran sepuluh kali ganda. Anas bin Malik juga menceritakan yang Rasulullah s.a.w. menyatakan tiada daripada dua orang Islam, melainkan mereka  bersalam dengan bersalawat ke atas Nabi, maka diampunkan dosanya (Olahan dari Hadith). Budaya ini menjadi budaya pergaulan masyarakat Islam dengan bersalawat kepada Nabi bila bertemu dan bersalam yang mengukuhkan ukhuwwah di dalam Islam itu sendiri, Dengan riwayat-riwayat secara bercerita ini sudah cukup memenuhi karya yang diperlukan di dalam sastera Islam.

Cerita-cerita yang diistilah sebagai cetra atau certera di dalam Raudat al-`Ulama` begitu banyak, lantaran dalam setiap bab diselitkan dengan beberapa cetera yang releven dengan bab-bab yang diperkatakan. Di bawah hanya dibawa tiga cetera yang dapat memperlihatkan kandungan cetera yang begitu tinggi dengan nilai Islam dan ciri sastera Islam.

Di dalam Raudah al-`Ulama` diceritakan antaranya mengenai kesabaran di dalam bab mengenai `Sabar` bahawa antara mereka yang berhijrah ke Madinah terselit cetera bagaimana Abu Jahal menyekat Bilal, Habbab, Yasir dan Ammar daripada berhijrah. Mereka diseksa oleh Abu Jahal ini menjadi contoh kekuatan iman ummah berdepan dengan kekejaman musuh – Abu Jahal di dalam sejarah umat Islam adalah berwatak musuh. Cerita tentang penyeksaan terhadap Bilal dikreatifkan oleh pengarang:

``Cetera daripada Abu Bakar al-Siqqiq radiyallahu `anhu,  seorang lelaki bernama Umayyah anak Hak Jamji nama benuanya terlalu artawan ia dan ada baginya menyembah berhala dan sahayanya dua belas orang, maka tiada dikasihinya dari sahaya  seorang jua pun yang terlebih daripada Bilal, maka ada ia disuruhnya mepohon berhala, sungguhpun demikian Bilal itu tiada disembah berhala; sediakala ia sujud akan Allah juga, maka disebatnya dalam sujud itu. Maka sampai khabarnya kepada Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam, terlalu sukacita Rasulullah mendengar khabar demikian itu, maka didengar tahanan, Umayyah peri ianya menyembah Allah Tuhan Muhammad, maka katanya akan dia, ``Hai Bilal Tuhankukah yang engkau sembah atau Tuhan Muhammadkah ? Maka sahut Bilal, ``Sanya tiada harus disembah lain daripada Allah Yang Maha Besar itu Tuhan Muhammad yang menjadikan tujuh langit dan tujuh bumi dan menjadikan antara keduanya``,  serta didengarnya kata Bilal itu demikian, maka bangkit ia  serta memalunya akan Bilal dan diseksanya  dengan bagai-bagai seksanya. Apabila sangat panas dijemurkannya ia dengan ditelanjanginya tubuhnya dan dibubuhnya minyak zaitun pada tubuhnya, maka didirikannya pada kersik yang hangat, maka disuruhnya helakan kepada segala kanak-kanak, tatkala dirasanya panas matahari dan hangat kersik itu, maka disebutnya Ahad ! Maka kata Abu Bakar. Pada suatu hari pergi ia kepada Umayyah, maka kulihat Bilal itu diseksanya dengan bagai-bagai seksa, maka kataku,`` Hai Umayyah, Berapa lamanya  kau seksa ini?`` Maka sahut Umayyah, ``Apa pedulimu bertanya kerana sahayaku, kutebus dengan artaku, seharusnya aku menyeksa dia.`` Maka kataku akan dia, ``Beroleh kebajikan bagimu menyeksa hamba Allah ini yang menyebut La ilaha illa Allah Muhammad Rasul Allah.`` Maka Abu Bakar bergheran-gheranlah kami akan dia sebab menegahkan menyiksa Bilal itu, maka kataku akan dia buatku tebus seorang ia dengan sahaya laki-laki yang putih itu. Maka jawabnya, ``Sepuluh tahil dirham,`` maka kataku akan dia, belilah kutebus darimu lima puluh tahil dirham dengan seorang sahaya laki-laki yang putih itu. Maka kata Umayyah akan dia, ``Ngapa bahana, maka engkau perbesarkan  harganya sekian, jikalau ku berkehendak seemas dirham pun nescaya kujuallah padamu``, maka kataku akan dia, ``Ngapa kau marahkan  sekian bahana, jika kuhargakan dengan barang ada milikku sekalian kutebus jua daripadamu. (Akhirnya Bilal dimerdehekakan).

Kreativiti Tentang Cerita Asiah dengan Firaun:

Cetera  daripada Muhammad Anak Ka`b Fardi nama Benuanya, katanya diceterakan kepada kami seorang perempuan bernama Asiah isteri Firaun ada ia Islam lagi pertapa dibunyikannya Islamnya daripada Firaun dan daripada kaumnya tiada pernah Firaun setubuh dengan dia, apabila hendak setubuh maka gantikan Allah dengan syaitan, pada hati Firaun itu Asiah yang setubuh dengan dia, Sesungguhnya Asiah  serta bikirnya ke akhirat Nabi kita Muhammad Rasulullah mengambil bikirnya dalam syurga, ialah akan isteri Rasulullah di dalam syurga. Sungguhnya adalah hal ehwal Asiah itu berbagai-bagai kesakitan daripada Firaun menyuruh dia meninggalkan agamanya, tiada jua ia mau, demikian ditandanya orang yang berbahagia  serta kurnia Allah akan dia. Maka pada suatu hari Asiah duduk serta kemenakannya bernama Mashitah anak Firaun daripada isteri yang lain, maka disisiri Asiah akan dia, takdir Allah Ta`ala gugur sisir itu daripada tangan Asiah, maka tatkala diambil Asiah sisir itu disebutnya `Bismillah`seperti adat segala Islam, tatkala mengambil barang sesuatu menyebut `Bismillah`, demikianlah ia pun, maka serta dilihat Mashitah pekerjaan demikian itu, katanya, `` Hai Asiah, Adakah Tuhanmu lain daripada bapaku Firaun itu,`` maka sahut Asiah sanya bapamu Firaun itupun hamba  Allah kerana tiada Tuhan lain hanya Yang Esa yang Allah keras murkanya  iaitu Tuhan Musa alayhi al-salam.`` Serta didengar Mashitah katanya demikian, maka pergi ia segera kepada bapanya, maka diceterakannya kepada bapanya segala barang kata Asiah dan segala pekerjaan, maka amarah Firaun kepada Asiah, maka dijabatnya akan dia katanya, `` Sungguh engkau bertuhan lain daripadaku; maka tiada kuubah i`tiqadmu kubunuh engkau.`` Maka tiada jua ia mahu mengubah katanya dan tiadalah  didengar katanya. (Berterusan dengan cerita dengan Nabi Musa).

3)      Lailat al-Qadr:

Sebermula Qur`an pun diturunkan Allah sekaliannya pada malam Qadr ke langit dunia, maka dari sana dibawa Jibrail kepada Rasulullah suatu ayat dan dua ayat dan tiga ayat. Adapun setengah mengatakan tatkala diturunkan Allah Qur`an kepada Rasulullah berkata segala kafir Quraysh, adapun kami tiada percaya akan Qur`an itu kerana empat perkara:

Pertama: Kami tiada percaya mengapa tiada diturunkan  Qur`an kepada sudah seorang daripada dua orang yang besar-besar Penghulu segala kaum, iaitu Abu Jahal dan Walid anak Mughirah, mengapa maka diturunkan kepada Muhammad, kerana ia terlalu faqir daripada segala Quraysh, bahawa orang dua itu terlalu kaya, maka diturunkan firman Allah akan menolakkan kata mereka itu demikian bunyinya:  (al-Zukhruf, 43:32)
Ertinya: Mereka itulah kuasa membahagikan rahmat Tuhanmu yang Muhammad.

Kedua: Perkara mereka itu ngapa tiada diturunkan  Qur`an kepada Muhammad sekalian  jua, maka diturunkan firman Allah menolakkan kata mereka itu demikian bunyinya: (al-Furqan, 35:32)

Ertinya: Demikianlah diturunkan Qur`an itu dengan menyatakan segala mu`min supaya menetapkan yaqinmu dan kami bacakan kepada kamu dengan sempurna peringan baca.

Ketiga: Perkara kata mereka itu diturunkan Allah Qur`an akan menyuruhkan berbuat suatu pekerjaan, maka diturunkannya demikian itu dengan ayat yang lain daripada dahulu itu, maka diturunkan firman Allah Ta`ala  menolakkan kata itu demikian bunyinya (al-Nahl, 16:101):
Ertinya: Sesekali itu kami jua menugerahi ayat akan ganti suatu bahawa Kami mengetahui segala sesuatu  demi yang kami turunkan.

Keempat: Kata mereka itu ngapa mulanya Qur`an diturunkan Allah pada malam , tiada pada siang seperti firman Allah  (al-Qadr, 97:1)
Yakni seperti firman Allah Ta`ala, bahawa Kami turunkan Qur`an pada malam yang banyak berkat.

Suatu firman Allah Ta`ala, bahawa Kami menolakkan kata mereka itu. Adapun Malam Qadar terbaik daripada seribu bulan, yakni berbuat kebaktian pada Malam Qadar itu. Maka akan umat Muhammad Rasulullah s. terbaik mereka itu daripada segala kebaktian umat Nabi yang lain yang berbuat bakti mereka itu seribu bulan. Kata setengah erti
Khairun min alfi shahr – Yakni diturunkan rahmat pada Malam Qadar terbaik dan terbanyak daripada rahmat dalam seribu bulan. Demikianlah diberi Allah rahmat pada malam itu akan segala hambanya yang berdosa.

Masalah yang dihadapi seperti dalam karya Raudat al-`Ulama` dan karya-karya yang seumpamanya, ialah penggunaan kebebasan imaginasi dalam sastera (poetic Licence) hingga kepada peringkat yang boleh mengelirukan. Misalnya penghuraian terhadap firman Allah hingga ke peringkat seolah-olah Allah berdialog dengan hamba biasa atau dialog Nabi dengan seseorang yang melibatkan – adakah ianya bersifat Hadith atau olahan pengarang berdasarkan imaginasi pengarang. Ini berlaku pada tempat-tempat tertentu di dalam Raudat al-`Ulama`, tetapi memikirkan bahawa pengarang menterjemah atau menyadur dari karangan asal, maka ianya bukan tindakan penterjemah atau penyadur, tetapi pengarang asal. Lantaran itu apa yang diperturunkan mungkin didasarkan kepada tulisan-tulisan, tafsir atau huraian dari pendapat-pendapat tertentu yang mempunyai asas yang memerlukan kepada penyelidikan.

Di dalam hal ini, menulis berhubung dengan soal agama Islam yang melibatkan al-Qur`an, hadith atau hukum hakam keislaman, penulis perlu teliti di dalam penulisan agar tidak melanggar batas-batas keislaman sehingga tidak berlaku kesilapan atau kekeliruan. Berhubung dengan hal ini Penulis masih ingat bahawa sebelum melancarkan peraduan menulis novel Anugerah Darul Iman I pada 20 April 1981 dan Anugerah Darul Iman II, pada 4 November 1987, anjuran Persatuan Penulis Terengganu (PELITA) di taja Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Gapena dan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka Penulis sebagai Panel bersama telah beberapa kali bermesyuarat bersama AJK, bahkan membentangkan kertaskerja tentang garis panduan di dalam menulis novel berunsur Islam. Lantaran itu lahirlah novel pemenang utama seperti Novel KuIngin Kasihmu (lupa pengarang) dan Fajar Di Hujung Malam (Hasan Ali). Setakat ini penghasilan karya-karya berkenaan tidak menimbulkan kontroversi.

Penulisan kreatif adalah satu dari pendekatan dakwah melalui penulisan di dalam Islam seperti Raudat al-`Ulama` oleh Abdul Jamal Beladau pada zaman tradisi dan seperti Fajar Di Hujung Malam oleh Hasan Ali pada zaman moden. Namun menulis karya kreatif mengenai Islam menuntut ketelitian dari penulis agar tidak berlaku kesilapan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment