September 4, 2013

Dengarlah Ucapan Klisye Berulangan Setiap Kali Kos Barangan Dinaikkan; Bersedialah Rakyat Menanggung Beban Bergandaan !

-->

Pilihanraya ke 13 sudah berlalu
Mandate kuat sudah didapat
Tidak ada lagi kebimbangan
Kalau dulu takut hilang sokongan
Kini masa paling sesuai
Untuk kembali menuai
Menaikkan harga barangan
Subsidi petrol diesel dikurangkan
Bererti harga bagi rakyat dinaikkan
Bagi mengurangkan beban kerajaan
Untuk menampung perbelanjaan
Terutama bagi Pilihanraya ke 13
Begitu banyak dicurahkan.


Dengan mengejutnya kenaikan
Sudah tentu ada pihak menentang
Tapi jangan bimbang dengan protes
Kenaikan 20 sen siliter petrol-diesel
Masih termurah di pasaran
Walaupun sedikit membebankan
Tapi bertujuan untuk pembangunan
Dengan penjimatan RM3.3 bilion
Banyak manfaat dapat diagihkan
Antara hujah mewajarkan
Menambahkan peruntukan BRIM
Menaiktaraf infra-struktur
Meningkatkan kemudahan perhubungan.

Yang tak disebutkan
Sebaik kenaikan diumumkan
Peniaga-peniaga bersiap sedia
Untuk menaikkan harga barangan
Berangkaian walaupun tak berkenaan
Hujah mereka untuk mewajarkan
Siapa mau tanggung kos pengangkutan
Siapa mau tampung kos perkhidmatan
- Lazimnya kenaikan lebih dari patut
Bersedialah rakyat menanggung beban.

Jika pun ada suara protes berterusan
Maka akan kedengaran klisye ungkapan
Dari kementerian dan pihak berkenaan
Pihak kerajaan akan memantau perkembangan
Akan mengambil tindakan keras
Terhadap penaik harga sewenang-wenang
Dengar juga retorik basi
Kerajaan akan mencari jalan
Meringankan beban ditanggung
Golongan menengah dan rendah
Tapi tak ada formula mengatasi
Biasanya janji akan tertinggal sepi
Dalam ungkapan klisye berulangan
Dan pasang kenaikan harga berterusan
Rakyat tenggelam dalam harapan
Lemas terkapai dalam angan-angan
Nanti harga rumah yang telah naik
Juga keperluan lain makin bertambah naik
Harapan memiliki menjadi mimpi
Kerana kadar simpanan berkurang sendiri
Lantas yang terhimpit makin tersepit.

Setiap kali kos barangan dinaikkan
Lebih lagi petrol-diesel bahan tenaga
Menghangus kemampuan rakyat jelata
Menambahkan beban mereka berganda.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
27 Syawal 1434
03 September 2013.

No comments:

Post a Comment