BBB, 15 Zulkaedah 1434 = 21 September 2013 (Sabtu):
Semasa menuntut di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu (IBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penulis
berkelayakan meneruskan pengajian ke peringkat kepujian setelah lulus Ijazah Am
(1973) di IBKKM, Fakulti Sastera UKM. Untuk memenuhi syarat bagi peringkat
kepujian pelajar pada peringkat ini perlu menulis Latihan Ilmiah di bawah
bimbingan Penyelia masing-masing. Pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian
ini Penulis telah berbincang dan memilih tajuk:
``Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis) Ulama
Sezaman Dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel Dalam Konteks Pengislaman Terengganu``
Penulis mendapat pertolongan dan diatur oleh Allah menulis
Latihan Ilmiah di atas oleh beberapa faktor berikut:
1) Atas
kehendak ninda Penulis (Abdullah bin Talib) selepas tamat Sekolah rendah
(Sekolah Melayu, Kg. Nyiur, Paka - 1955), Penulis dihantar belajar di Pondok
(Madrasah Islahiyyah, Kuala Berang (1956-58) Pondok Tuk Faqih Abdullah bin
Ismail sambil belajar di Sekolah Arab Kuala Berang (Sekarang Sekolah Agama
Menengah Mahmudiah) pada masa itu di tepi Sungai Berang & Sungai Terengganu
– Tempat diketemui Batu Bersurat Terengganu. Jadi selama tinggal menuntut
selama 3 tahun di Kuala Berang Penulis mengenali tempat dan masyarakat di Hulu
Terengganu – Tanah Batu Bersurat itu. Juga tempat asal Shaykh Abdul Malik Bin
Abdullah (Tuk Pulau Manis).
2) Allah
mengatur rancangannya, apabila Penulis menyambung pengajian pada peringkat
Thanawi (Menengah) di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (1959-1962),
Penulis menemui isteri Penulis kini (Hajjah Mu`minah Binti Yusoff) dan
berkahwin (1965) setelah kami berkhidmat sebagai Guru Sekolah Arab (Menengah
Ugama) di Terengganu. Fakta penting bahawa isteri Penulis adalah dari turunan
Tuk Pulau Manis (Shaykh Abdul Malik bin Abdullah). Kefahaman Penulis dalam
bahasa Arab banyak membantu penyelidikan, terutama membaca kitab-kitab di dalam
bahasa Arab.
3) Apabila
Penulis menyambung pengajian di UKM sebagai pelajar sulung, Penulis memilih
tajuk Latihan Ilmiah diperkatakan di bawah penyeliaan Pensyarah Ustaz Wan Muhammad bin Wan Ali (al-Marhum) –
Pensyarah Bahasa Arab kami di IBKKM. Pengarah IBKKM pada masa itu ialah
Profesor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas yang luas kefahaman di dalam
Pemikiran dan Falsafah Islam. Penulisan yang jangka ditulis bukan berdasarkan
cerita popular tentang kekeramatan Tuk Pulau Manis, tetapi semasa pengajian dan
pulang ke Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu, kampung isteri pada masa-masa
kosong Penulis sering membaca kitab-kitab lama, terutama yang bertulis tangan
di Balai (Madrasah), warisan orang-orang tua dulu. Madrasah ini digunakan oleh mertua
Penulis (Haji Yusoff bin Haji Mat) mengajar agama (Pengajaran berterusan di
Balai ini hingga kini). Banyak maklumat Penulis dapati dari bacaan-bacaan
terhadap kitab-kitab lama di sini. Ini mendorong Penulis untuk memilih tajuk
Ilmiah di atas. (Penulis difahamkan kerana keaslian dan sumbangan maklumat baru
– Latihan Ilmiah Penulis ini dianggap bermutu yang membantu Penulis mendapoat
Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Kelas Satu).
Semasa membuat penyelidikan, antaranya membuat penyelidikan
luar termasuk menemuramah ramai pihak yang mempunyai kaitan dengan kajian.
Penulis menemuramah antaranya Tuan Haji Muhammad Ghazali bin Haji Ahmad Bekas Wakil
Rakyat Losong, Kuala Terengganu yang keluarga beliau meneruskan Pondok
Pengajian di Losong Kuala Terengganu – Beliau membuat catatan (Buku bertulis tangan)
tentang Tuk Pulau Manis. Beliau memberi pinjam kepada penulis Buku Catatannya
ini. Antara maklumat yang diberitahu Tuk Pulau Manis selain dari mengarang
Kitab Hikam Melayu dia juga mengarang Kitab Tafsir dan Usul Tahqiq. Masa
membaca kitab-kitab lama dari khazanah lama di Padang Midin ini, Penulis memang
bersua dengan sebuah kitab Tafsir bertulisan tangan. Maklumat-maklumat
berkenaan dan maklumat-maklumat yang lain mendorong penulis memperdalamkan
kajian.
Fakta yang Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis)
mengarang kitab tafsir ini antara fokus penelitian penulis merujuk dan
membandingkan berbagai-bagai kitab tafsir sama ada di perpustakaan-perpustakaan
dan milik-milik orang perseorangan. Penyelia Penulis – Ustaz Wan Muhammad Bin
Wan Ali (rahimahullah) seorang yang warak dan seorang sufi yang baik hati dan
berbudi. Dia banyak menolong menyelesaikan banyak masalah Penulis di dalam
kajian. Antaranya memberi pinjam berbagai buku miliknya, bahkan Ustaz Wan
Muhammad bin Wan Ali menghadiahkan kepada Penulis pada 26 Ramadhan 1393 =
22.10.1973 sebuah kitab tafsir (Arab-Jawi) berjudul:
Al-
Qur`an al-Karim
Tafsir Anwar al-Tanzil Wa Asrar al-Ta`wil
Abdullah Bin Umar Bin Muhammad Al-Shirazi
Tarjamah
Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri al-Jawi
Diterbitkan oleh Maktabat wa Matba`at Sulaiman Mar`i
Singapura.
Diterbitkan pada 1370H./1951M.
Tashih Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi al-Azhari
Kitab Tafsir al-Baydawi dibeli oleh Ustaz Wan Muhammad bin
Wan Ali pada Selasa 2 Rabiul Awwal 1391 = 27 Tshishan 1971 di Kuala Lumpur.
Kitab yang dikenali dengan Tafsir Baydawi ini adalah tafsir
lengkap 30 juz` yang dibahagi kepada dua Nisf (juz`). Nisf (Separuh)`
kedua bermula dari Surah al-Kahfi. Kedua
nisf setebal 612 halaman (lengkap).
Ertinya kitab Tafsir Baydawi ini adalah kitab Tafsir yang
dikarang oleh Abdullah bin Umar bin Muhammad al Shirazi al-Baydawi dan tafsir
ini adalah diterjemahkan oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri al-Jawi yang juga
dikenali sebagai Shaykh Abdul Rauf
Singkel (m. 1693M.).
Hasil dari kajian terhadap kitab tafsir yang diberi oleh
Pensyarah Penulis Ustaz Wan Muhammad bin Wan Ali Penulis membuat perbandingan
dengan naskhah yang dikatakan sebagai Tafsir karangan Shaykh Abdul Malik bin
Abdullah (?).
Naskhah yang pada permulaan dijangka dikarang oleh Tuk Pulau
Manis ini tidak lengkap (mungkin asalnya lengkap). Yang ada hanya tafsir
daripada awal Surah al-Kahfi sehingga akhir Surah Fatir sahaja. Dibandingkan
tulisan salinan dengan naskhah-naskhah salinan yang lain, memang ianya bersamaan
dengan gaya
tulisan Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis m. 1726M.). Ertinya
disalin oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah.
Namun setelah perbandingan dibuat ternyata apa yang
dikatakan sebagai tafsir karangan Shaykh Abdul Malik bin Abdullah jelas secara
kata demi kata dari segi tafsiran di dalam bahasa Melayunya adalah disalin oleh
Shaykh Abdul Malik bin Abdullah dari tulisan gurunya dan tokoh sezamannya iaitu
Shaykh Abdul Rauf Singkel yang juga dnisbahkan kepada Fansuri dari Aceh itu.
Contoh tafsir awal dari Surah al-Kahfi:
``Segala puji thabit bagi Allah Tuhan yang menurunkan atas
hambanya Muhammad sallallahu `alayhi wa sallam Qur`an pada hal tiada
dijadikannya dalamnya ikhtilaf yang berlawanan. Faidah: Pada menyatakan
ikhtilaf antara segala qari` yang tiga pada membaca ``Iwaja`, maka Hafas
membaca dia ``Iwaja` dengan saktah yang latifah dengan tiada ditanwin dan tiada
qata` pada wasal dan Qalun serta Dauri dengan tuntut pada wasal pula – Wallahu
a`lam
Dari segi pendekatan: Ayat Qur`an diterjemah dan dihurai
dari segi hukum hakam, suruh dan larang. Di dalam tafsir ini banyak diterangkan
khilaf bacaan antara tokoh-tokoh bacaan al-Qur`an seperti Hafas, Abu Amrin, Nafi`,
Warash, Qalun, Dauri dan sebagainya. Juga banyak ditambah huraian dengan kisah-kisah.
Walau apa pun kitab Tafsir Baydawi yang diterjemahkan oleh
Shaykh Abdul Rauf Singkel dan Fansuri, setakat yang diketahui kini ia adalah
kitab tafsir (Terjemahan) terawal di dalam bahasa Melayu. Shaykh Abdul Malik
bin Abdullah yang turut berada di Aceh dan Makkah dan pernah bersama dengan
Shaykh Abdul Rauf Singkel sebagai gurunya menyalin tafsir karangan gurunya ini
dan dapatlah difahamkan bahawa pengajian tafsir juga menjadi sebahagian dari
pengajian yang dipelajari di Terengganu sejak dari zaman kepulangan Shaykh
Abdul Malik bin Abdullah ke Terengganu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment