September 7, 2013

Surau Al-Iman, Taman Putera Budiman Selalu Dalam Ingatan

-->
Balakong, 29 Syawal 1434 = 05 September 2013 (Khamis):


Surau Al-Iman mempunyai sejarah tersendiri bagi diri Penulis dan Isteri. Ianya bermula dengan keterlibatan diri Penulis di dalam politik. Sejak November 1999 dalam kempen-kempen politik, Balakong adalah antara tempat kunjungan Penulis. Penulis masih ingat pada satu malam Penulis pernah dibawa ke kawasan rumah-rumah panjang yang menempatkan setinggan. Tempat ini adalah bekas kawasan lombong berdebu. Disinilah didirikan rumah-rumah pangsa yang kemudian dikenali dengan Taman Putera Budiman. Pada masa itu belum ada lagi Surau Al-Iman.


Pada penempatan baru ini, penduduk Islam yang berjumlah lebih kurang 300 keluarga merasakan perlu didirikan sebuah surau bagi keperluan mereka beribadat secara jamaah dan mengadakan kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan seperti menyambut Hariraya Idul Fitri, Idul Adhha, Maulidur Rasul, Hari Keluarga, sukan dan sebagainya.


Menurut saudara Zakaria bin Mamat Pengerusi Surau Al-Iman sekarang;
``Penduduk pada tahun 2,000 bergotong royong mendirikan surau dengan menggunakan kayu-kayu yang digunakan bagi membina rumah pangsa yang mereka huni. Mereka juga mengeluarkan peruntukan bagi membina tapak surau seperti membeli semin dan atap bagi surau berkenaan. Surau dapat disiapkan dalam keadaan yang amat sederhana sekadar dapat memuatkan lebih kurang 100 orang jamaah dan menjadi pusat kegiatan penduduk.``


Sejak Penulis menjadi Adun Kajang 1999-2004, walaupun Surau Al-Iman di Taman Putera Budiman, Balakong ini tidak termasuk di bawah Dun Kajang, tetapi Penulis sering dijemput ke surau sempena sambutan Ramadhan, perayaan dan kegiatan kemasyarakatan. Jemputan juga dibuat semasa Penulis tidak menjadi Adun 2004-2008 bagi tujuan ibadat dan kemasyarakatan.


Surau yang dirikan sejak tahun 2000 itu tidak begitu kukuh, kerana bahan kayu dari lebihan binaan agak reput. Pada peringkat permulaan Penulis menjadi Adun Bangi 2008-2013 Penulis sekali sekala juga dijumpat bagi kegiatan ibadat dan kemasyarakatan dan bila berada di surau Al-Iman ini Encik Zakaria bin Mamat menunjukkan kayu-kayu  bumbung dan kubah yang hampir runtuh dan di sana sini berlaku kebocoran. Bersimpati dengan keadaan surau yang dihadapi penduduk, Penulis selaku Adun Bangi, bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan Adun Bangi yang dibenarkan untuk kawasan luar – sejumlah RM5,000 untuk membaiki kubah dan tempat-tempat yang bocor.


Mulai awal 2011, setelah Adun Bangi bersetuju menyalurkan peruntukan RM5,000 kubah surau yang uzur dirobohkan. Kerja-kerja dilakukan oleh pekerja-pekerja kontrektor Haji Said. Apabila struktur kubah dirubuhkan, maka didapati kayu-kayu pada bumbung atap juga reput dan jika tidak diperbaiki akan runtuh, maka pihak surau memaklumkan kepada Adun Bangi pada masa itu dan terpaksa bersetuju untuk menggantikan bumbung dengan jangkaan pihak surau akan sama dapat mencari dana tambahan. Pada masa perobohan dilakukan bahagian anjung hadapan surau diperbaiki segera dan digunakan untuk berjamaah.


Dengan perobohan bahagian atap surau, adalah didapati wajar bahagian lantai surau perlu diperluas beserta dengan pembetulan arah Kiblat yang sebelum ini tidak tepat. Rangka atap serta bahagian atas adalah dari beam konkrit yang agak besar dan tiang-tiang  ditinggikan hingga kelihatan tegap dan kukuh. Keluasan surau menjadi tiga kali ganda luas dari keluasan sebelumnya dengan bahagian belakang dan hadapan rapat ke pagar dan lebar kiri kanan juga diperluaskan hingga tiga kali ganda luasnya. Plan yang dibuat adalah secara spontan.


Pembesaran ini tentulah memerlukan kos tambahan yang berganda. Adun mengharapkan Haji Zakaria dan AJK mencari derma dari penduduk keliling surau, bank-bank berdekatan dan peniaga-peniaga setempat. Memang ada yang menderma dan setengah daripada mereka menderma bahan seperti pasir, tanah, semin, batu dan kayu, tetapi jumlah yang didapati tidak dapat menampung kos yang terpaksa dibayar terutama kepada kontrektor. Permohonan dibuat terhadap Adun Balakaong pada masa itu yang agak sukar untuk didapati, tetapi akhirnya diserahkan melalui Adun Bangi sejumlah RM10,000.


Masalahnya segala pembayaran kepada kontrektor tidak dapat dibayar oleh pihak AJK surau dan bila diminta, dijawab, ``Minta kepada Adun Bangi` atas alasan, ``Adun Bangi yang membina !`` Pernah, oleh kerana pihak pekerja tidak menerima gaji, mereka pernah mengugut untuk meruntuhkan struktur yang dibina. Pihak Adun dan isteri sering pergi melihat bangunan yang dibina, berikhtiar bagi mendapat dana, bukan saja membayar upah kontrektor, tetapi bagi menyiapkan bangunan.


Dengan derma orang ramai, terutama dari murid-murid isteri yang mengajar mereka, lebih kurang RM50,000 dapat diusahakan, menjadikan semua perbelanjaan bagi menyiapkan surau tersebut berjumlah lebih dari RM100,000. Keluasan surau dapat memuatkan lebih dari 300 jamaah, iaitu tiga kali keluasan sebelumnya. Pada Ramadhan tahun 2012 surau dapat diguna dengan selesa. Maka dengan Ramadhan 2013 sudah dua kali Ramadhan surau digunakan dengan sempurna.

Jemputan yang dibuat oleh Pengerusi Surau saudara Zakaria bin Mamat pada petang ini untuk baca Yasin, tahlil dan jamuan Raya Idul Fitri, menggerak Penulis untuk hadir, bukan saja untuk beraya, tetapi secara nostalgic untuk melihat bangunan yang hampir setahun Penulis tidak hadir. Penulis pergi dengan saudara Azizi, mulai dari solat Maghrib yang tidak begitu ramai jamaah. Tetapi mulai solat Isyak jamaah bertambah ramai, termasuk tamu-tamu dari surau-surau berdekatan. Kehadiran berterusan datang selepas Isyak dan semasa jamuan. Yang hadir selain dari Saudara Zakaria Mamat Pengerusi, Imam Mahmud – Imam tetap dan Ustaz Rais Imam Jemputan. Jemputan yang lain ialah saudara Muhammad Ali Ahli MPKj, para jamaah surau al-Taqwa dan beberapa surau yang lain dan jemptan-jemputan khas.


Bercakap dengan saudara Zakaria bin Mamat, kos tambahan yang dibelanjakan seperti membeli carpet, kipas, pembesar suara, air-con. dan berbagai mencecah RM50.000. Jadi kos keseluruhan setakat ini lebih dari RM150,000.


Penulis, walaupun perit menghadapi permasalahan untuk menyiapkan surau yang memakan masa lebih setahun bergembira akhirnya Surau Al-Iman dapat disiapkan. Diharapkan surau ini dapat dimakmurkan oleh penduduk. Penulis dimaklumkan ada tiga orang guru yang mengajar tajwid, Hadith dan fardu `ayn setakat ini. Jamuan raya yang dihadiri lebih kurang 150 orang lelaki, perempuan dan anak-anak itu berakhir jam 10.00 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment