27 Syawal 1434 = 03 September 2013 (Selasa):
(Baris-baris permukaan A):
Rasul Allah dengan yang orang sahabat mereka salam
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan ugama Islam
Dengan benar bicara derma meraksa bagi sekalian hamba Dewata
Mulia Raya
Di benuaku ini penentu ugama Rasul Allah Sallallahu
wasallama Raja
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di
dalam
Bumi penentuan itu fardu pada sekalian raja Manda
Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka
Tuhan menduduki tamra ini di benua Terengganu adi pertama
ada
Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala
Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua
(Permukaan B)
Keluarga di benua jauh kan
Datang berikan Keempat
Orang berpiutang
Jangan mengambil ka mbil hilangkan emas
Kelima derma barang orang
merdeka
Jangan mengambil tukul buat emasnya
Jika ia ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus rutan jika merdeka beristeri
Atawa perempuan bersuami di tanam hingga ka
Pinggang dihembalang dengan batu dimatikan
Jika ingkar ba…hembalang jika anak Mandalika
(Permukaan C)
Bujan dandanya sepuluh tengah tiga jika ia
Menteri bujang dandanya tujuh tahil sepe
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima tahil
Tujuh tahil sepaha masuk bendara, jika orang
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak
Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara bujan ia
(Permukaan D)
… bila tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma
--- Seri Paduka Tuhan siapa tiada harta dendanya
…Jadikan anakku, atawa pemainku, atawa cucuku, atawa
keluarga ku atawa anak
… tamra ini segla isi tamra ini barang siapa tiada menurut
tamra ini laknat Dewata Mulia Raya
--- dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara
tamra ini.
(Haji Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu
Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur,
1978: 52 – 66). Lihat juga:
Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad,
Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei, 1995:
109-110.
Daripada Batu Bersurat Terengganu dan kandungan banyak
persoalan dapat ditimbul dan dibincangkan.
Mengapa Terhasil di Hulu Terengganu ?
Itu antara soalan yang dapat ditimbulkan, mengapa tidak di
Kuala Terengganu ? Muara yang menjadi tempat permulaan perahu dan kapal
mendarat, tempat yang lebih makmur dan ramai dengan penduduk. Sebagaimana telah
disebutkan bahawa sungai adalah menjadi jalan utama bagi pergerakan dan
kegiatan. Sungai Terengganu adalah sungai terbesar dan terpanjang dan dapat
disusuri ke hulunya dengan baik (kini sungai tersebut menjadi lebih cetek,
kerana pengeluaran dan aliran airnya disekat oleh Empangan Kenyir)
.
Tempat didirikan Batu Bersurat Terengganu adalah berada
dilokasi strategik. Kampung Buluh berada diantara dua cabang sungai, iaitu
Sungai Terengganu dan ke Sungai Berang yang mempunyai anak Sungai Tersat yang
di tepinya didirikan Batu Bersurat (Sungai Terengganu menjadi kuala bagi Sungai
Berang). Jadi Kampung Buluh dan Kuala Berang adalah menjadi tempat ideal bagi
persinggahan dan perniagaan. Pada zaman tradisi melalui Hulu Terengganu juga
merupakan jalan pintas bagi jalan darat untuk ke Pahang. Kampung Buluh dan
Kuala Berang yang menjadi tempat pemerintahan Raja Mandalika dan pusat
perniagaan – sebagai tempat pertemuan
pedagang-pedagang, termasuk pedagang Islam, ditakdirkan menjadi tempat terpilih
bagi pedagang-pedagang Islam menyampaikan dakwah mereka kepada penduduk
tempatan yang dijangka berlaku pada akhir abd ke 13 M. lagi. Islam berkembang
luas dengan kemasukan Raja Mandalika menerima Islam dengan diikuti masuk Islam
oleh rakyat setempat dan diisytiharkan menjadi agama negeri sebagaimana pada
Batu Bersurat.
Sezaman Dengan Pengislaman Pasai
Pada akhir abad ke 13 berlaku kerancakan dakwah Islamiah di
Pasai dan Terengganu seperti kemasukan Raja Merah Silu (Sultan Maliks Salih)
menerima Islam (1292) melalui pendakwah seperti Syeikh Ismail yang dihantar
oleh Maulana Ishak dari Makkah.
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja2 Pasai, Penerbitan
Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 29).
Adalah dijangka dari gelombang dakwah yang sama antara
kalangan pendakwah juga ke Hulu Terengganu dan mendekati pembesar-pembesar Raja
Mandalika dan mengislamkan Raja, pembasar-pembesar dan rakyat tempatan sekitar
akhir abad ke 13 Masihi.
Budaya Merakamkan Maklumat Pada Batu
Kalau kita lihat, bahawa budaya merakamkan maklumat pada
batu, tidaklah lumrah berlaku di Semenanjung. Penemuan dan bukti Batu Bersurat
di Terengganu adalah satu-satunya yang ditemui di Semenanjung, tetapi budaya
menggunakan batu bagi mengukirkan patung-patung dan candi-candi akibat pengaruh
Hindu-Buddha memang lumrah berlaku di Sumatera seperti Di Bukit Seguntang dan
Di Borobudur di Jawa. Apabila Islam datang, maka tradisi mencatat pada batu
dilakukan sebagaimana pernah dilakukan pada batu Kota Kapur (686M.), Batu
Bersurat di Minye Tujuh (1380M.) yang walaupun mencerminkan pengaruh Islam,
tetapi masih bertulisan Sanskrit dengan menggunakan huluf Pallawa dan berbahasa
Melayu purba. Pada batu ini tercatat tarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M.
Hijrat Nabi Mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarssa
Hajji Catur dan dasa vara sukra
Raja Iman (Warda) rahmatullah
Gutra bha(ru)bha sa(ng)mpu hak Kadah Pase ma
Tarukk tasih tanah samuha
Ilahi ya Rabbi Tuhan samuha
Taruh dalam swargga Tuhan tatuha.
(Teuku Iskandar, 1995: 110).
Apa yang hendak ditekankan bahawa pengaruh menggunakan batu
sebagai bahan maklumat adalah berterusan dari zaman sebelumnya. Cuma pada zaman
Islam dilarang dari menggunakan patung yang dianggap syirik, sebab itu pada
zaman Islam batu – termasuk pada Batu Nisan dirakamkan maklumat seperti Batu
Bersurat Terengganu dan juga di Minye Tujuh.
Siapakah Pengukir Suratan Pada Batu Bersurat Terengganu ?
Berhubung dengan batu yang dijadikan bahan penulisan adalah
didapati dari Hulu Sungai Terengganu, kerana di sana kedapatan jenis dan banyak bentuk batu
yang sedemikian seperti di Jeram Tumpat di Hulu Terengganu Mati (Muhammad
Salleh bin Haji Awang, Sejarah Terengganu, Penerbit ? Tarikh ?: hlm.14-18).
Batu ini berwarna kelabu kehitam-hitaman adalah seberat 210 kg. yang mempunyai
4 permukan tertulis (Mohamad Abu Bakar, Fo-lo-an (Kuala Berang, … Dari Sini Ia
Bersimi, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu,
1991: 10).
Adapun tentang pengukir bagi tulisan Jawi pada Batu Bersurat
Terengganu, tidak dapat dipastikan, kerana tidak terdapat sebarang catatan
mengenainya. Tetapi sudah pastilah seorang yang telah memahami tulisan Jawi dan
sama mendapat bimbingan dan pemantauan dari seorang ulama atau guru yang
memahami persoalan yang berhubung dengan Islam. Ada kemungkinan dia adalah dari kalangan
penduduk tempatan, kerana dari kuburan-kuburan lama yang terdapat di Terengganu.
Antaranya terdapat kuburan yang dipanggil sebagai `Kubur Tuk Surat` yang
mungkin merujuk kepada Penulis pada Batu Bersurat. Satu kuburan lagi ialah
dikenali dengan Tok Raja Ri, (di Kuala Por – 3km. dari Kuala Berang) ada yang
berpendapat dia adalah kalangan ulama` yang datang peringkat awal semasa perisytiharaan
Islam di Kuala Berang dan ada kemungkinan berkaitan dengan penulisan Batu
Bersurat (Mohamad Abu Bakar, 1991: 12).
Sekian.
Assalam... boleh ambe tau di mana kuburan tok surat...
ReplyDelete