September 24, 2013

Pengukuhan Aliran Sunni


BBB, 17 Zulkaedah 1434 = 23 September 2013 (Isnin):

Melihat kepada kandungan Batu Bersurat Terengganu, kita tidak dapat maklumat detail berhubung dengan pengajaran berkenaan akidah yang dipegang mereka. Istilah Allah atau Tuhan belum digunakan, sebaliknya yang digunakan bagi Tuhan, ialah Dewata Mulia Raya (ada sebutan Allah pada salawat salla al-Allah a.w.s), tetapi tidak digunakan istilah ini pada tempat Dewata Mulia Raya. Cuma dari segi pengukuhan aqidah disebut `Esa pada Dewata Mulia Raya``. Adapun dari segi perundangan disebut berhubung dengan jual beli, hutang piutang, penggunaan emas sebagai nilai matawang, hukuman ke atas mereka yang mencuri dan berzina (lelaki, perempuan dan bujang), jenis hukuman – rotan dan hembelang (rejam).

Bahan bersurat terawal dihasilkan di Terengganu ialah berhubung dengan pegangan akidah dan amalan dari segi syariat, ialah apa yang digariskan di dalam Kitab Kifayah yang membicarakan persoalan aqidah bagi satu pertiga peringkat awal dan syariat selebihnya. Sesungguhnya panduan yang dihasilkan pada akhir abad ke 17 dan awal abad ke 18 cukup bagi panduan masyarakat. Konsep niat dan bilangan yang wajib didirikan Jumaat melengkapkan lagi panduan ibadat bagi masyarakat umat. Adapun dari segi tasawuf seperti Hikam Melayu dan turut diketahui tentang Ihya` Ulum al-Din, adalah dipelajari pada peringkat atasan.

Menyebut karya-karya yang dihasilkan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah di dalam beberapa bidang disebutkan, tidak bererti kitab-kitab ini saja digunakan. Kerana bagi guru-guru pada pengajian Shaykh Abdul Malik – termasuk Shaykh Abdul Malik juga juga menggunakan kitab-kitab berbahasa Arab yang disalinkan.

Berhubung dengan pengukuhan aliran Sunni di Alam Melayu, diluar dari Terengganu yang turut mempengaruhi masyarakat umat, Shaykh Nuruddin al-Raniri memaklumkan di dalam Bustan al-Salatin mengenai ramai ulama-ulama Sunni datang ke Aceh sejak akhir abad ke 16M. Mereka ialah Shaykh Muhammad Azhari bermazhab Shafie yang mengajar ilmu ma`qulat dan metafizik. (T.Iskandar, Hamzah Fansuri, Dewan Bahasa, Jil IX,  Bil. 2, Februari 1965: 53). Ilmu ma`qulat (perbahasan bersifat akliah) termasuklah usuluddin. Ilmu ini mensyaratkan seseorang yang hendak mempelajari usuluddin harus memahami hukum akal, iaitu wajib, harus dan mustahil. Di dalam perbahasan misalnya sifat-sifat Allah amat memerlukan kefahaman akal. Misalnya memahami sifat-sifat Allah, membahaskannya dari segi dalil-dalil akli dan naqli.

Dalam gelombang yang sama Shaykh Nuruddin al-Raniri juga memaklumkan tentang  Shaykh Abul- Khayr ibn Shaykh Ibn Hajar yang mengajar ilmu fiqh dan tasawuf dan Shaykh Muhammad Yamani yang mengajar ilmu usul di Aceh.
(T.Iskandar, Hamzah Fansuri,  Dewan Bahasa, Jilid IX, Bil. 2 Februari 1965: 53)
Juga dimaklumkan tentang kehadiran Shaykh Muhammad Jaylani dari Gujerat (keluarga Shaykh Nuruddin)  yang mengajar fiqh, usuluddin, mantiq dan Balaghah (ma`ani, bayan dan badi`) juga tasawuf. Ini bermakna pengajian di Aceh mencapai peringkat tinggi – termasuk mantiq yang diperlukan bagi pengajian, terutama usuluddin yang banyak menggunakan akal dan logik. Begitu juga pengajian bersifat sastera dan adabiyyah yang meningkatkan kemampuan berbahasa dan bersastera. Kegiatan ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah al-Sayyid al-Mukammil (966-1012H/1585-1604). Ketinggian pencapaian pengajian dan pencapaian dari segi persuratan dapat dilihat pada masa tersebut Bukhari al-Jauhari menghasilkan Taj al-Salatin kitab ketatanegaraan terpenting di dalam bidang berkenaan di dalam bahasa Melayu.

Kehadiran tokoh-tokoh Sunni dan penghasilan karya-karya dari satu segi dapat dilihat, bahawa pendukung-pendukung aliran Sunni cuba mengekang perkembangan aliran Falsafah Wujudiyyah yang juga sedang berkembang di Aceh yang diketua Hamzah Fansuri dan pendukungnya Shamsuddin al-Sumatrani.

Tokoh yang paling penting yang mengepalai penentangan terhadap aliran Falsafah Wujudiyah ialah Nuruddin al-Raniri. Beliau adalah ulama berketurunan Quraisy datang dari Gujerat ke Aceh. Sebelum ke Aceh beliau telah belajar bahasa Melayu di Makkah dan berbahath mengenai aliran wahdatul wujud dan menentangnya.

Nuruddin adalah pendukung faham Ithnainiyatul wujud atau pendukung Sunni. Semasa di Aceh beliau mengarang banyak bidang termasuklha Bustan al-Salatin sebuah kitab ketatanegaraan. Beberapa karangan Shaykh Nuruddin dalam bidang usuluddin turut dipelajari di Pengajian Shaykh Abdul Malik seperti Perbezaan Makhluq Dengan Khaliq bidang usuluddin yang membicarakan sifat yang wajib bagi Allah (dibicarakan 13 sifat), Nurul Yaqin tentang ma`rifat, tauhid, Iman dan Islam dan  Umur Dunia.

Shaykh Nuruddin al-Raniri terkenal sebagai ulama` fiqh yang merupakan tokoh yang mula-mula mengarang kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang berjudul Sirat al-Mustaqim dikarang (1004H.). Setelah memuji Allah dan salawat ke atas Rasulnya kata Pengarang:

``Sesungguhnya telah meminta daripadaku oleh seorang sahabatku yang besar pada menghimpunkan suatu kitab pada menyatakan ilmu fiqh atas mazhab Imam Shafie ridayallahu anhu menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi supaya beroleh munafaat barang siapa yang tiada mengetahui bahasa Arab. Maka diperkenankan faqir yang muhtaj kepada Allah yang Maha Besar, iaitu Shaykh Nuruddin namanya Muhammad Jaylani bin Ali bin Hasanji ibn Muhammad Hamid nama bangsanya Shafie mazhabnya Raniri Negeri tempat kediamannya, serta kurang ilmunya dan amalnya pada hal berpegang ia kepada Allah Ta`ala dan dijadikannya kitab ini kerana tulus ikhlas bagi hadratnya lagi disampaikannya kiranya pahalanya haluan kepada ruh Penghulu segala Nabi Allah dan segala Nabi yang Rasul, iaitu Muhammad salla Allah alaihi wa sallam. Dan kunami kitab ini dengan Sirat al Mustaqim dan lagi kupohonkan Allah Ta`ala Yang Maha Besar barang beroleh manfaat kiranya dengan kitab ini seperti yang telah manfaat dengan segala pohon kitab ini.``

Seterusnya Shaykh Nuruddin al-Rani menyebut sumber bagi kitab Sirat al-Mustaqim, ``Seperti Kitab Mihaj al-Talibin bagi Imam Muhyiddin Nawawi radiyallahu anhu dan seperti kitab Manhaj al-Tullab dengan sharahnya Fath al-Wahhab bagi Shaykh al-Islam Abi Zakariyya Yahya Ansari radiyallahu anhu dan seperti kitab Hidayat al-Muhtaj sharah bagi Mukhtasar Ibn Haj bagi Imam Shihab al-Din Ahmad Shaykh Ibn Hajar Makki radiyallah `anhuma dan seperti kitab Anwar bagi Imam Ardabili radiyallahu anhu, tetapi adalah faqir yang memeliharakan qawl yang sahih lagi yang muwafaqat dengan daif dan seperti kitab Umdat al-Salik bagi Imam al-Alim al-Fadil Ibn l-Qayb Mukhtasar Minhaj.

(Nuruddin ar-Raniri, Sirat al-Mustaqim, Tepi bagi Kitab Sabil al-Muhtadin bagi Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Maktabat Nur al-Thaqafat al-Islamiyyat, Jakarta, tt.: 4-5).

Dari segi pendekatan kitab ini sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain memulai pembicaraan mengenai Taharah dan berakhir dengan Haji dan Qurban.

Karangan-karangan Nuruddin yang berhubung dengan aqidah dan fiqh dan yang lain-lain mengukuh aliran Sunni di Alam Melayu.

Apa yang diusahakan oleh Nuruddin al-Raniri ini diperkukuhkan oleh Shaykh Abdul Rauf Singkel, terutama dengan karangan-karangan fiqhnya seperti Mir`at al-Tullab, Umdat al-Muhtajin, Kifayat al-Muhtajin dan Tafsir Baydawi yang diterjemahnya mengukuhkan aliran Sunni di Alam Melayu. Peranan guru-guru di Makkah dan di Madinah yang menjadi guru kepada Shaykh Abdul Rauf Singkel seperti Shaykh Ahmad al-Qushashi dan guru bagi Shaykh Abdul Rauf dan juga Shaykh Abdul Malik bin Abdullah iaitu Shaykh Ibrahim al-Kurani dan kitab-kitab mereka sama membantu mengukuhkan aliran Sunni di Alam Malayu. Peranan Shaykh Abdul Malik bin Abdul Malik bin Abdullah dan karangan-karangannya seperti Hikam Melayu, Kifayah, Kayfiyat al-Niyyah, Naql dan lain-lain, begitu juga institusi pengajian yang diasaskannya yang berlanjutan sama mengukuhkan aliran Sunni di Alam Melayu. Selepas dari ini generasi ulama yang lahir di Banjar, Palimbang,  Patani, Kedah, Kelantan dan berbagai-bagai tempat terus mengukuhkan aliran Sunni di Alam Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment