BBB, 05 Zulhijjah 1434 = 11 September 2013 (Rabu):
Pengislaman pemerintah di Kuala Berang diketahui dengan
jelas berdasarkan Batu Bersurat Terengganu, ialah Raja Mandalika. Pengislaman
Raja Mandalika agak berlainan dari pengislaman pemerintah di tempat lain yang dilegenda
dan dimetoskan peristiwa pengislaman, seperti pengislaman Merah Silu di Pasai atau
Raja Kecil Besar di Melaka. Pengislaman Raja Mandalika di Kuala Berang,
Terengganu atas pernyataan langsung, bahkan pemerintah meminta rakyat menganut
agama Islam selepas diisytiharkan yang agama tersebut sebagai agama bagi
pemerintahan di Kuala Berang. Biasanya raja-raja yang menerima Islam ditukar nama
kepada nama Islam. Misalnya Merah Silu ditukar kepada Sultan Malikus-Salih.
Cara menerima Islam dilegenda dan dimetoskan, contoh pengislaman Merah Silu:
Kalakian maka tersebutlah kesah Merah Silu yang telah
dirajakan oleh Megat Iskandar menjadi raja dalam negeri Semudera itu; kononnya
pada suatu malam di waktu baginda sedang beradu, maka bermimpilah ia melihat
seorang berbaju jubah datang kepadanya, seraya orang tua yang tersebut itu
memegang dagu Merah Silu dan menutup mata baginda dengan tangannya; lalu orang
tua yang tersebut itu pun berkata, ``Hai Merah Silu, ucap olehmu akan kalimah
syahadah.``
Maka sahut Merah Silu dalam mimpinya itu, ``Bagaimana hamba
hendak mengucap kalimah syahadat itu ?``
Maka ujar orang tua itu, ``Bukakanlah mulutmu. Maka Merah
Silu pun membukakan mulutnya, lalu orang tua itu pun meludah mulut Merah Silu.
Telah itu maka kata orang tua itu lagi, ``Hai Merah Silu, engkaulah raja negeri
ini dan namamu Sultan Malikus Salih.``
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, Penerbit
Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 27).
Mimpi Malikus Salih menjadi benar apabila keesokannya
baginda didatangi Shaykh Ismail yang diutus dari Makkah bersama Faqir Muhammad
bagi mengislamkan baginda.
Pengislaman Sultan Melaka juga dilegenda dan metoskan
sebagaimana tercatat di dalam Sejarah Melayu:
``Telah berapa lamanya Raja Kecil Besar di atas kerajaan,
maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan Rasulullah
salla`llahu `alaihi wasallam itu. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil Besar,
`Ucap olehmu kalimah syahadat.`
Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar seperti sabda
Rasulu`llah salla`llah `alaihi wa sallam
itu. Maka sabda Rasulu`llah, `Adapun namamu Sultan Muhammad; esok hari waktu
asar matahari, datang sebuah kapal dari Judah , turun orangnya sembahyang di
pantai Melaka ini; hendaklah engkau ikut barang katanya.``
Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Oxford
University Press, Kuala Lumpur , 1967: 72).
Keesokan mimpi menjadi kenyataan apabila kapal membawa
Syeikh Abdul Aziz tiba bagi mengislamkan baginda.
Adapun berhubung dengan Raja Mandalika, tidak diketahui nama
Syeikh atau individu yang mengislamkan baginda. Nama baginda juga tidak diubah
kepada nama yang mencirikan nama Islam, walaupun sesudah baginda menerima Islam
dan mengisytiharkan perlaksanaan Islam dan diikuti pembesar dan rakyat jelata
menerima Islam. Hiraki pemerintahan di negeri Terengganu pada masa itu tidak
begitu jelas. Tetapi melihat pada gelaran pembesar negeri Pasai yang sezaman
dengan negeri Terengganu menggunakan gelaran `Megat` seperti `Megat Iskandar`
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, 1963: 27), sedangkan gelaran
Megat ini popular di negeri Terengganu, sebelum wujudnya pemerintah bergelar
sultan, adalah dijangka, pemerintah pada zaman tradisi di Terengganu adalah
bergelar Megat. Adapun gelaran Megat digunakan selepas kedatangan Islam.
Gelaran ini tidak wujud sebelum kedatangan Islam. Contoh Megat Panji Alam (Megat
Terengganu) dan Megat Kembar Ali dan pahlawan-pahlawan pengiring yang pergi ke
Inderapura bertemu dengan rombongan Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi dan Pengiring-pengiring,
terjadi persengkitaan yang menyebabkan Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali
dibunuh oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi.
(Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 1973: 214- 223).
Terdapat juga nama Megat Tarawih yang menjadi Watak Wira
dalam cerita Megat Tarawih yang berlatarkan negeri Terengganu. Nama Megat
sebagai turunan masih kedapatan di Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.
Berhubung dengan tokoh ulama` juga tidak ada catatan atau
legenda tokoh yang mengislamkan Raja Mandalika, pembesar dan rakyat. Tapi sudah
pasti, walaupun tidak diketahui nama, bahawa penulis ayat (teks) pada Batu Bersurat
dan pemahat-pemahat tulisan pada Batu Bersurat adalah tokoh-tokoh ulama atau
mereka yang memahami Islam yang rapat dengan ulama yang mengislamkan Sultan.
Walau bagaimana kedapatan kuburan tidak jauh dari Kuala Berang (Kuala Por)
kuburan yang dipanggil `Tuk Surat` yang ada kemungkinan tokoh ini ada kaitan
sebagai orang yang ada hubungan dengan pemahatan tulisan pada Batu Bersurat.
Selain daripada itu ada kuburan lama yang dijangka sebagai ulama yang ada hubungan
dengan sejarah pengislaman (Kuala Berang) Terengganu itu sendiri. Kuburan ini
dikenali dengan kuburan (Tuk
Ri ).
(Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah
Terengganu, Penerbit ? Kuala Terengganu, 1954: Gambar hlm. 50-51).
Walau bagaimana terdapat bukti yang menunjukkan berterusan
hadirnya kalangan ulama yang mengajar agama Islam dengan adanya kubur ulama`
yang bernama Sharif Muhammad. Beliau hadir ke Hulu Terengganu sama dengan
kehadiran ulama-ulama dari Asia Barat ke Aceh yang membawa kepada meningkatnya
Aceh dengan ilmu pengetahuan dan keilmuan Islam. Antara ulama` sezaman ke Alam
Melayu pada kira-kira awal abad ke 16 ialah seperti Shaykh Abu`l-Khayr Ibn
Hajar yang datang dari Makkah ke Aceh yang alim di dalam bidang fiqh dan
pengarang kitab Al-Sayf al-Qati` yang membicarakan tentang A`yan Thabitah (T. Iskandar, Hamzah Fansuri, Pengarang,
Penyair, Ahli Tasawuf Abad ke Tujuh Belas, Dewan Bahasa, Jil IX, Bil, 2,
Februari, 1965, hal. 53) dan seorang lagi ialah
Shaykh Muhammad al-Yamani yang berasal dari Yaman dan alim di dalam
bidang Usul, Juga turut hadir Shaykh
Muhammad Jaylani yang alim di dalam bidang fiqh, usul, mantiq, bayan dan badi`.
(Tujimah, Kitab Asrar al-Insan fi Ma`rifat al-Ruh wa
al-Rahman oleh Nuruddin Al-Raniriyy, P.T. Penerbitan Universitas, Djakarta , Tahun ?, hlm. 3).
Mereka mengajar di Aceh yang membawa Aceh berkembang dari
segi ilmu pengetahuan.
Sharif Muhammad sebagaimana disebutkan di atas, ialah antara
ulama dari Asia Barat. Beliau adalah berasal dari Baghdad
dan datang ke Terengganu melalui Yaman dan ke Hulu Terengganu dan mengajar di sana . Ulama` ini berkahwin
dengan seorang perempuan tempatan dan menetap di Kampung Batu Belah (kerana di
dalam sungai berhadapan dengan kampung tersebut terdapat batu besar yang
terbelah dua). Kampung ini tidak jauh dari Kampung Tanjung Baru dan Kampung
Pauh. Di Kampung Batu Belah didirikan surau tempat pengajaran. Sharif Muhammad
meninggal di Batu Belah pada pertengahan abad ke 16. Anaknya Abdul Qahhar meneruskan tradisi pengajaran
yang dimulai bapanya, tetapi berpindah ke Kampung Pauh tidak jauh dari Kampung
Batu Belah. Beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Pauh yang diteruskan
oleh anaknya Abdullah apabila Abdul Qahhar meninggal di Kampung Pauh.
Sejak dari penerimaan agama Islam oleh Raja Mandalika di
Hulu Terengganu pada akhir abad ke 7H./13M. Islam terus berkembang bukan saja
di Terengganu, Pasai, Melaka, Aceh dan Patani, tetapi sudah meluas di Alam
Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment