BBB, 23 Syawal 1434 = 30 Ogos 2013 (Jumaat):
Perlu disebut di sini berkenaan penggunaan istilah `Sastera`
dan `Persuratan`. Dalam penggunaan umum, istilah sastera merangkumi apa yang bersifat
sastera termasuk juga karya Ilmu. Bagi penulis ada perbezaan dan melihat segala
penulisan semuanya termasuk di bawah persuratan. Ada di bawahnya persuratan ilmiah dan sastera
termasuk kreatif. Istilah `Surat ` diambil dari
al-Qur`an `Surah` bagi awal setiap surah di dalam al-Qur`an. Surat juga bermakna menyurat = menulis. Di bawah Persuratan ada yang bersifat Ilmu
seperti kitab Fiqh, usuluddin dan sebagainya dan di bawah persuratan juga
terdapat tulisan yang bersifat sastera sebagaimana yang telah dibicarakan.
Penggunaan peristilahan ini akan dibicarakan lebih detail apabila membicarakan
tentang Gagasan Pesurat & Teori Takmilah.
Sebagaimana diperkatakan bahawa tradisi persuratan dan
penulisan dalam bahasa Melayu dicetus dan dimulakan oleh Islam dengan
pengenalan huruf al-Qur`an menjadi abjad Jawi. Dari segi logiknya tumpuan utama
dari segi persuratan sejak menerima Islam di Alam Melayu ialah usaha-usaha
menghasilkan karya-karya ilmu bagi menyibarkan Islam itu sendiri. Sememangnya
sejak menerima Islam muncul pusat-pusat pengajian dan penyebaran agama Islam.
Antara pusat-pusat pendidikan dan penyebaran Islam ialah:
1) Pasai
Diakui antara tempat terawal menerima Islam dan menjadi
antara tempat terawal bagi kebudayaan Melayu Islam (1280-1400) ialah Pasai
bergelar Darul Salam. Pemerintah terkenal ialah Merah Silu yang sesudah Islam (1292M.)
bergelar Sultan Malikul Sallih. Pada zaman pemerintahannya dan anaknya Malikul
Mansur Pasai berkembang sebagai pusat perdagangan penting. Pasai dikunjungi
tokoh-tokoh Islam penting. Antaranya Ibn Battutah pernah berkunjung ke Pasai
pada 1336 M. Dia melaporkan semasa di Pasai beliau menemui Amir Dawlasa dari
Delhi, Kadi Amir Said dari Shiraz dan Tajuddin seorang ahli hukum dari Isfahan.
Menurut Ibn Battutah Sultan Pasai adalah seorang yang amat berminat soal-soal
agama dan istananya menjadi tempat perbahasan mengenai soal-soal agama.
(Mohd. Nor Ngah (UM) dan Ismail Hamid (UKM), dlm. Hamdan
Hassan (Penyunting), Islam & Kebudayaan Melayu, Utusan Publications And
Distributors, Kuala Lumpur ,
1979: 126).
Pasai lebih awal muncul sebagai pusat dagangan dari Melaka
dan kemajuan pelabuhan dan tamadun dan peradaban keilmuan juga mendahuli
Melaka. Di dalam Sejarah Melayu ada menyebutkan bahawa seorang guru di Makkah,
iaitu Maulana Abu Ishak telah mengarang kitab berjudul al-Durrul Manzum. Beliau
meminta muridnya yang mempelajari kitab tersebut turun ke Melaka. Dalam Sejarah
Melayu ada mencatat:
``Telah berapa lamanya di laut sampailah ke Melaka. Maka
sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Shah; dan Kitab Durrul Manzum disuruh
baginda arak lalu ke balairong. Maka Sultan Mansur Shah pun berguru pada
Maulana Abu Bakar. Maka Sultan Mansur Shah sangat dipuji oleh Maulana Abu
Bakar, terlalu amat terang hati baginda, maka banyaklah ilmu diperoleh baginda.
Maka oleh Sultan masalah itu disuruh ertikan ke Pasai pada Makhdum Patakan.
Maka oleh Makhdum Patakan Durrul Manzum itu diertikannya. Telah sudah maka
dihantarkannya kembali ke Melaka. Maka terlalu sukacita Sultan Mansur Shah
melihat Durrul Manzum itu sudah bermakna, maka makna Durrul Manzum itu
ditunjukkan baginda pada maulana Abu Bakar, serta dipujinya Tuan Patakan itu. Maka
segala orang besar-besar Melaka sekaliannya berguru pada Maulana Abu Bakar.``
(Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Oxford University Press,
Kuala Lumpur, 1967: 149).
Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa Pasai pada zaman
Sultan Mansur Shah dianggap lebih menguasai keilmuan, sebab itu kitab berbahasa
Arab berjudul al-Durr al-Manzum (Bukan al-Dar al-Mazlum – Penulis telah menulis
mengenai tajuk ini. Al-Dar al-Mazlum bererti `Negeri Kena Zalim, tetapi
kandungan kitab yang dikatakan al-Dar
al-Mazlum membicarakan soal zat, sifat dan af`al – Ianya merupakan Untaian
Mutiara yang dimaksudkan dengan al-Durr al-Manzum. Judul Kitab ini (al-Durr
al-Manzum) terdapat di dalam kepustakaan kitab-kitab Islam). Makhdum Patakan
adalah salah seorang guru terkenal di Pasai, di samping guru-guru yang lain.
Kealiman Pasai dapat dibuktikan lagi, bahawa pergantungan
Melaka dengan Pasai bukan setakat permintaan menterjemahkan Kitab al-Durr
al-Manzum, tetapi banyak lagi persoalan-persoalan yang rumit terpaksa dibawa ke
Pasai untuk mendapat jawapan. Sejarah Melayu mencatat:
``Arakian, maka Sultan Mansur Shah menitahkan Tun Bija
Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah; Segala isi syurga itu kekalkah ia di
dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah ia di dalam neraka ?` dengan
membawa emas urai tujuh tahil dan membawa perempuan dua orang peranakan
Mengkasar, Dang Bunga namanya seorang, anak biduanda Muar, Dang Bibah namanya
seorang. Adapun bingkis Sultan Mansur Shah akan Raja Pasai kamkha kuning
berbunga sepucuk, kamkha ungu sepucuk, nuri merah seekor, kakatua ungu seekor.
Maka titah Sultan Mansur Shah pada Tun Bija Wangsa, ``Tanyakanlah oleh Tun Bija
Wangsa pada segala pendeta di Pasai, segala isi syurga itu kekalkah ia dalam
syurga dan segala isi neraka itu pun kekalkah ia di dalam neraka ? Tanyakan ,
barang siapa dapat mengatakan dia, berikan oleh Tun Bija Wangsa emas tujuh
tahil dengan perempuan dua orang ini padanya. Dan kata itu hendaklah
tabalkan oleh Tun Bija Wangsa bawa ke
mari.``
(Sejarah Melayu, 1967:150).
Daripada petikan di atas menunjukkan ada beberapa orang lagi
ulama terkenal di Pasai selain dari Makhdum Patakan iaitu Makhdum Muda dan Tun
Hassan murid Makhdum Patakan.
Apa yang hendak ditarik perhatian juga bahawa pengajian di
Pasai bukan setakat tahap biasa, sebaliknya dari persoalan yang dibangkitkan ke
Pasai, bahawa terdapat mereka yang belajar dan membicarakan persoalan-persoalan
yang bersifat falsafah. Ternyata apa yang ditanya dan dibahaskan ialah apa yang
menjadi perbincangan oleh tokoh falsafah Islam seperti oleh Ibn `Arabi di dalam
kitabnya yang berjudul Futuhat Makkiyyah dan juga dibicarakan oleh Abdul Karim
al-Jili di dalam kitabnya yang berjudul al-Insan al-Kamil. Sebenarnya pengajian
yang bersifat falsafah seperti itu akan berlanjutan dan menjadi perbahasan di
Aceh, terutama pada satu pihak oleh Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani,
manakala pihak yang lain ialah oleh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel.
Dengan ini menunjukkan persoalan-persoalan keagamaan telah dibahaskan di Pasai pada
tingkat tinggi.
Dengan kedudukan pengajian sedemikian dijangka sudah ada
kitab-kitab penulisan dihasilkan yang bukan setakat terjemahan. Walau bagaimana
setakat yang diwarisi ialah Hikayat Raja-Raja Pasai. Kata Mohd. Nor Ngah dan
Ismail Hamid;
``Dengan berkumpulnya para cerdik pandai di Pasai tidak syak
lagi bidang pengajian dan penulisan telah dilakukan maupun tulisan-tulisan yang
bercorak keagamaan atau kesusasteraan. Sebuah karya kesusasteraan sejarah yang
mengesahkan tentang Pasai yang berjudul `Hikayat Raja-Raja Pasai` telah
dituliskan. Walaupun nama pengarang dan tarikh penulisan hikayat ini sukar
ditentukan, tetapi dipercayai penulisnya adalah terdiri dari seorang yang
melalui disiplin keislaman kerana hikayat ini memperlihat ciri-ciri keislaman
dalam gaya
tulisannya.``
(Hamdan Hassan, 1979: 126).
Hikayat Raja Pasai Bertolak dari cerita dua beradik, iaitu
raja Ahmad dan Muhammad di negeri Pasai hendak membuka negeri Semerlanga. Raja
Ahmad mendapat anak lelaki dan Raja Muhammad mendapat anak perempuan yang
dikahwinkan yang akhirnya melahirkan turunan Merah Silu. Raja Merah Silu ini
adalah Raja Pertama menerima Islam di
Samudera Pasai bergelar Malikul Salleh (1292).
Dua watak utama dari kalangan ulama yang mengislamkan
Malikul Salleh ialah Faqir Muhammad dan Syeikh Ismail: Catatan tentang
pengislamannya:
``Apabila datang ke hadapan Merah Silu atau Sultan Malikus
Salleh itu, maka Syeikh Ismail pun lalu berkata pada Merah Silu, katanya, ``Hai
Merah Silu, ucap dan sebutlah olehmu akan kalimah shahadah.`` Maka Sultan
Malikus Salleh pun mengucap kalimah suci itu dengan sebutan yang petah, tiada
sedikit pun yang bersalahan.`` Seterusnya,
Dicatatkan yang Sultan Malikus Salleh berguru dengan Syeikh
Ismail dan Faqir Muhammad:
``Telah keesokan harinya, lalu Syeikh Ismail dengan Faqir
Muhammad pun naik pula ke darat dengan membawa Kitab Suci al-Qur`an ke hadapan
Sultan Malikus Salleh. Maka baginda pun menyambut Kitab Suci itu dengan hormat,
seraya dijunjung dan dikucupnya. Selepas itu Merah Silu pun membuka dan membaca
akan kitab yang tersebut itu di hadapan Syeikh Ismail dan Faqir Muhammad. Maka
tiadalah payah diajar lagi akan Merah Silu membaca Qur`an yang tersebut itu.``
Berikut dari itu rakyat jelata dihimpun dan semuanya memeluk
agama Islam menurut Raja mereka Sultan Malikus Salleh.
(Abdullah Haji Musa Lubis, Kesah Raja-Raja Pasai, Penerbitan
Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 29-30).
Cerita tentang Pasai, tidak terlepas dari unsur metos dan
legenda yang menjadi elemen di dalam karya-karya sastera tradisional, tetapi
dari cerita, terutama dari Sejarah Melayu dan Hikayat Raja-Raja Pasai
membuktikan tentang keislaman negeri Pasai lebih awal dari Melaka. Hasil dari
keislaman ini mencetuskan tradisi pengajian keilmuan Islam. Pasai lebih
terkehadapan dari Melaka di dalam soal-soal keilmuan Islam. Banyak persoalan
keislaman yang tidak dapat diselesaikan di Melaka diangkat ke Pasai. Sebuah
karya yang penting dihasilkan di Pasai dicetuskan oleh Islam ialah Hikayat
Raja-Raja Pasai.
Sekian.
Yang berbahagia tuan,
ReplyDeletehttp://merahsilu.blogspot.com/2013/08/melaka-di-dalam-samudera-pasai-sebelum.html
https://www.facebook.com/pages/Srikandi/496613607030536