BBB, 07 Syawal 1434 = 14 Ogos 2013 (Rabu):
Pada hari akhir Kursus/Bengkel Penulisan Kreatif anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Teluk Kemang, Port Dickson dari 10 – 23
November 1974, maka pada petang Jumaat 22 November 1974 itu Penulis telah
menyerahkan kepada pihak Sekretariat Penganjur DBP satu kumpulan puisi Penulis
yang Penulis beri judul (sempena judul sebuah dari puisi dalam kumpulan):
Bulan Tak Kelihatan Di Teluk Kemang
Kumpulan puisi ini mengandungi 16 sajak: 10 buah sajak yang
dihantar untuk Kursus/Bengkel (5 daripadanya dibengkelkan) dan 6 buah dicipta
semasa mengikuti Kursus/Bengkel. Enam buah sajak yang digubah selama mengikuti
Kursus/Bengkel di Teluk Kemang, Port Dickson ialah:
1) Pengkalan
2) Pentakkulan
3) Di
Ranjang
4) Bulan
Tak Kelihatan Di Teluk Kemang
5) Suatu
Pengertian
Penulis membuat Kata Pengantar bagi kumpulan puisi Penulis
ini sebagaimana berikut:
Kehidupan selalunya amat sukar dimengerti, kadang-kadang di
saat-saat tertentu kita seperti menemui sesuatu, tetapi begitu sukar untuk
diterapkan ke dalam bentuk penulisan kreatif, proses ini memerlukan masa,
penghayatan, kematangan dan penelitian mendalam. Sajak sebagai suatu bentuk
penulisan kreatif tidak terkecuali dari keperluan ini.
Memandangkan sebahagian dari kumpulan sajak ini dicipta
dalam masa yang agak singkat – antara 10 hingga 23 November, 1974, barangkali
di sinilah terletaknya kelemahan terbesar sebahagian dari sajak-sajak tersebut,
sebab itu ianya lebih merupakan idea-idea kasar yang masih perlu disobek dan
diperhaluskan. Sajak-sajak ini lebih merupakan rakaman-rakaman kenangan semasa
bengkel dijalankan.
Kumpulan sajak-sajak ini mengandungi dua bahagian, pertama
10 buah sajak yang dihantar ke DBP untuk dibengkelkan, 5 daripadanya
dibincangkan, kedua sajak-sajak yang dicipta selama bengkel itu berlangsung – 6
buah. Sajak-sajak bahagian kedua inilah yang lebih memerlukan pembaikan.
Sebuah daripada enam puisi di atas Penulis telah menghantar
ke Majalah Dewan Masyarakat, iaitu puisi berjudul: `Suatu Pengertian`, iaitu
setelah membuat penambahan selepas `dan tenggelam` ditambah satu baris, `di
dalam kelemasan ini`. Dan baris:
`seperti di petang-petang begini` menjadi,
`seperti petang-petang di pantai ini`. Tidak ada perubahan dan
penambahan lain daripada itu. Teks puisi disiarkan di dalam Majalah Dewan
Masyarakat, Januari 1975, sebagaimana berikut:
Suatu Pengertian
Pada permukaan
Hidup ini terlalu biasa
Hingga kita tidak menemui apa-apa
Tetapi,
Ketika-ketika
Apabila kita terjatuh di dalam pergulatan
Dan tenggelam
Di dalam kelemasan begini
Seperti petang-petang di pantai ini
Ketika merahnya mentari dan kelam menanti
Keengganan menarik-narik diri
Ketentuan mengheret-heret pergi
Akhirnya semua jatuh
Bersama tenggelamnya mentari.
Dan kehidupan
Adalah rentapan antara ketentuan
Dan kemahuan.
Teluk Kemang,
18.11.1974.
Sebagaimana maklum pihak Kerajaan Malaysia, melalui DBP
mengeluarkan hadiah Sastera Malaysia mulai 1971 kepada hasil-hasil penulisan
kreatif – puisi, cerpen, novel, drama, buku kumpulan puisi dan cerpen yang
terpilih dan menang. Maka puisi `Suatu Pengertian` dinilai sebagai hasil puisi
bagi tahun 1975 dan memenangi `Hadiah Sastera Malaysia` bahagian puisi. Ini
merupakan kali pertama Penulis memenangi Hadiah Sastera Malaysia
kategori puisi yang dianggap berprestage itu. Dalam Laporan/Ulasan Panel Hadiah
Karya Sastera 1975 menyatakan:
Puisi
Sepanjang tahun 1975 yang lalu, sebanyak 1,730 buah sajak
ciptaan dari 505 orang penyajak telah diadili oleh Panel Hadiah Sastera.
Antaranya termasuk 27 buah antologi (perseorangan dan bersama) yang sebahagian
besarnya dalam bentuk stensilan. Sajak-sajak yang tersiar kebanyakannya ialah
dari akhbar-akhbar dan majalah-majalah seperti Berita Minggu, Mingguan
Malaysia, Utusan Zaman, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa
…
Dalam perbincangan peringkat pertama, sebanyak 1,507 buah
sajak telah ditolak. Bakinya sejumlah 223 telah dibawa ke dalam perbincangan
ini, 200 buah sajak ditolak dan bakinya sebanyak 23 buah telah dibawa ke dalam
perbincangan peringkat akhir. Panel akhirnya membuat keputusan memilih sebuah
antologi dan 16 buah sajak untuk diberi hadiah. Antologi tersebut dan 3 daripada
16 sajak yang dipilih itu ditulis oleh seorang penyajak yang akhirnya
diputuskan untuk menerima hadiah perseorangan. Kerana itu hadiah antologi dan 3
dari 16 sajak itu tidak lagi diberi hadiah karya berasingan. Sajak-sajak yang
diberi hadiah adalah seperti berikut:
1) Surat
Haridepan – Berita Minggu, 29.6.1975
- Zurinah Hassan
2) Hidup Dari Jendela Keretapi – Dewan Sastera, Januari
1975 - Zurinah Hassan.
3) Duhai Pentafsir – Dewan Bahasa, November 1975 – Zurinah
Hassan.
4) Bila Hujan Telah Reda – Dewan Sastera, Ogos 1975 –
Zurinah Hassan
5) Di Muka Laut – Berita Minggu, 16.3. 1975 – Zurinah Hassan
6) Puisi – Dewan Sastera – November 1975 – Latiff Mohidin
7) Malam Akan Merata – Utusan Zaman, 20.7.1975 – Latiff
Mohidin
8) Satu Jawaban Kepada Satu Pertanyaan Tanpa Tanda – Dewan
Bahasa, November 1975 – Jaafa HS.
9) Satu Detik Yang Teruji – Dewan Bahasa, November 1975 –
Zaihasra
10) Penagih Sepi – Dewan Bahasa, November 1975 – Adi
Badiozzaman Tuah
11) Suatu Pengertian – Dewan Masyarakat, Januari 1975 – Shafie
Abu Bakar
12) Maknawi Itu Kasihku – Dewan Sastera, Disember 1975 –
Kemala
13) Sekali Sekala – Dewan Sastera, Februari 1975 - T. Alias
Taib.
(Anak Bumi
Tercinta, Antologi Hadiah Karya Sastra 1975, DBP, 1977: 3 – 5)
(Pemenang Perseorangan bagi buku puisi - Buku Perjalanan Si Tenggang II + 3 buah
sajak ialah Muhammad Haji Salleh).
Ulasan Panel bagi puisi `Suatu Pengertian` adalah
sebagaimana berikut:
``Seorang penyair yang memperlihatkan bakatnya ialah Shafie
Abu Bakar. Shafie menghasilkan 12 buah sajak dalam tahun 1975 dan kesemuanya
membawa persoalan-persoalan yang filosofikal sifatnya. Kepadatan sajak-sajaknya
akur dengan keunikan pemikiran yang hendak dibentangkan. Sajaknya `Suatu
Pengertian` (Dewan Masyarakat, Januari 75) adalah sebuah renungan tentang
hidup; khususnya tentang detik pemisah atau detik yang mempastikan sesuatu di
dalam hidup ini. Hidup dengan segala peristiwa yang ada, adalah perkara biasa,
tapi dalam hidup ini timbul sesuatu detik yang menentukan sesuatu. Perbandingan
aspek hidup ini dengan detik sewaktu matahari hampir terbenam di gigi laut amat
berkesan sekali. Kesan pergulatan matahari antara kelam menanti dengan laut
yang gelap menggambarkan perjuangan yang terharu. Dari satu pihak terasa
keengganan menarik-narik diri dan satu pihak lagi mengheret-heret pergi.
Perbandingan ini akur pula dengan nada sedih campur sengit bila menghayati
pergulatan antara ketentuan dengan kemahuan yang sia-sia. Struktur sajak ini
sendiri amat unik. Ianya tidak bermula dari contoh kepada maksud seperti
kebanyakan sajak-sajak tapi bermula dari maksud dan diikuti dengan misalan
untuk mengejapkan maksud itu.
(Anak Bumi Tercinta, 1977: 11-12)
Sekian.
No comments:
Post a Comment