BBB, 28 Ramadhan 1434 = 06 Ogos 2013 (Selasa):
Sebelum masuk membicarakan tentang Teori Takmilah perlu
dibicarakan dahulu beberapa istilah yang ada kaitan rapat dengan Takmilah.
Pembicraan tentang Takmilah adalah melibatkan pandangan tentang kewujudan
secara keseluruhan. Apa yang kita bicarakan tentang permuziuman, ialah
membicarakan alam dan kandungan. Banyak nilai yang kita gunakan di dalam
melihat, menilai dan mengapresiasi sebuah objek atau subjek yang kita depani.
Penilaian yang kita buat secara spontan atau dengan penuh sedar adalah hasil
dari orientasi didikan, pengaruh kelilingan, budaya, bahkan pegangan keyakinan
kepercayaan.
Istilah `wujud` ialah
istilah falsafah yang mula digunakan secara istilah oleh Ibn Sina (370-428H =
980-1036M.) seorang Ahli Falsafah dan juga Tokoh Perubatan Islam. (Oemar Amin Hoesin, Filsafat Islam, Bulan
Bintang, Jakarta, 1975: 120). Menurut Al-Mausu`ah al-Falsafiyyah bahawa `Wujud`
dia bukan sifat (Dr. `Abdel Mon`eim AlHofni, al-Mausu`ah al-Falsafiyyah, Dar
Ibn Zaidun, Beirut-Maktabat Madbuli, al-Qahirah, tt: 524. Dalam pembicaraan
ilmu aqidah dan ilmu al-kalam seperti
Ash`ari-Maturidi, `Wujud` adalah nama Dhat. Dan Allah adalah mempunyai
sifat-sifat yang distilahkan,
``Tuhan mengetahui, menghendaki, berkuasa, berbicara,
mendengar, melihat, hidup artinya Ia mempunyai sifat-sifat ilmu, iradat
(kehendak) qodrat (kekuasaan) dst. Ia mempunyai sifat-sifat yang disebutkan
Qur`an.`` (A. Hanafi M.A. Theology Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta,
1974).
Bagi Allah adalah segala sifat kesempurnaan. Allah Kamil,
Allah Jamil/Hasan (Indah), Allah Khalik (Mencipta), Allah Qidam (Sedia) , Allah
Baqa` (Kekal), Allah Alim (Mengetahui), Allah Rahman, Allah Rahim, Allah
Quddus, Allah Musawwir (Membentuk) dan sebagainya dari segala sifat
kesempurnaan.
Manakala bagi makhluk ada sifat-sifat berkenaan di atas
secara nisbi dan tidak sempurna. Misalnya manusia diakui Allah sebagai kejadian
yang paling sempurna (al-Tin: 4 ), tetapi manusia tidak pernah sempurna. Firman
Allah bermaksud: ``Tiap-tiap sesuatu binasa, kecuali WajahNya` (al-Qasas:88).
Ketidak sempurnaan jelas, berlaku kerosakan, sakit dan mati.
Allah mencipta sesuatu dengan indah termasuk diri dan
wajahmu. Firman Allah bermaksud:
``Ia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh
layak dan berhikmah, dan Ia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu; dan
kepadanyalah tempat kembali (Al-Taghabun: 3). Disebalik dari sempurna kejadian
mereka, kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan
kelengkapan itu, kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang yang
rendah (Al-Tin: 5).
Allah Maha Mengetahui. Maksud firman: Dialah Allah yang
tiada Tuhan melainkan Dia Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hashr:
23), sedangkan manusia tidak tahu ``Dialah mengajar manusia apa yang dia tidak
tahu (al-`Alaq: 5).
Demikianlah istilah-istilah di atas yang membayangkan
kesempurnaan bagi Maha Pencipta dan kebalikannya bagi makhluk yang kena cipta
sering digunakan dalam pembicraan pada masa akan datang, di samping
istilah-istilah permuziuman menurut releven penggunaan.
Dapat dikatakan sudut pandangan yang akan digunakan ialah
sudut pandangan dan keyakinan Islam yang pada hakikatnya adalah bersifat
universal. Contoh jelas konsep Kamil (Sempurna) bagi Pencipta dan fana bagi
makhluk sebagai realiti diterima.
Significannya, bahawa biarpun pada manusia sifat-sifat
lemah, fana dan tidak sempurna kehendak dan kemahuan tetap ke arah
kesempurnaan. Keinginan mentakmilah diri adalah menjadi naluri dan tabi`
manusia. Mereka menyedari kesempurnaan dan mau dekati dan menjadikan diri
sempurna, walaupun pada hakikatnya tidak sempurna. Dengan pandangan ini muzium
bukan semata-mata pameran dengan longgokan barang purba, tetapi secara halus
adalah tarbiah dan pendidikan. Inilah dinamika perutusan.
Pengalaman permuziuman sebenarnya adalah pengalaman merenung
wajah alam. Pengalaman melihat kefanaan wujud, kerosakan-kerosakan yang dialami
yang kalau boleh mau direkonstruksi kembali kerosakan kepada kesempurnaan.
Pengalaman melihat kepurbaan, melihat pergulatan manusia pada zaman awal
berdepan dengan ujian alam dan kehidupan. Bagaimana mereka dalam masa yang
relatif panjang berusaha merubah dan menguasai alam. Juga melihat kreativiti
dan inovasi manusia melalui pengalaman sebagai pendidikan mentakmilah kehidupan.
seterusnya membangun peradaban, tamadun dan warisan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment