August 8, 2013

Ramadhan Turut Mengiringi Perjalanan Kalian, Mendoakan Keselamatan - Berazam Kembali Menyambut Lebih Meriah Di Tahun-Tahun Mendatang


Petang ini Ramadhan
Mengunjungi kami sebulan
Dengan pengisian tarawih, tilawah, tazkirah
Turut sama menuruni tangga Surau Al-Umm
Mengiringi semua yang bertolak ke perjalanan
Dengan doa selamat tiba ke destinasi tujuan
Pemergian Ramadhan kami lepaskan
Dengan pamitan sayu bercampur pilu
Oleh ingatan, bertemukah lagi tahun depan ?

Pemergian Ramadhan
Selepas menyambut Idul Fitri
Surau kami kembali normal dengan kegiatan
Tetapi kali ini memasang kuat azam
Untuk menyambut kembali Ramadhan
Lebih meriah dengan Al-Umm bertaraf masjid
Di tapak yang lebih selesa sedia dibangunkan.

Hasrat murni ini bukan semata azam kami
Tapi azam penduduk dan mereka berlumba
Ikhlas mengisi Tabung Pembinaan
Sesungguhnya sempena Ramadhan al-Mubarak
Dengan kerja-kerja pembersihan & persiapan tapak
Pemberian derma mencurah lebih dari biasa
Sempena Ramadhan bulan dilipatganda pahala.

Pembinaan Masjid kerja mulia
Pembinaan Rumah Allah dijanjikan
Dengan ganjaran rumah di syurga
Kita menyeru dengan kesempatan ada
Semua mengambil peluang ganjaran
Kerana Allah - Seikhlas kemampuan
Alangkah indahnya Masjid Al-Umm
Dari sekecil hingga ke besar bahagian
Adalah susunan kepingan keikhlasan hati.

Masjid Al-Umm akan terbina masa terdekat
Pusat bagi umat beribadat dan bergiat
Dengan kemudahan lebih banyak
Dan pada Ramadhan mendatang
Kita sambutnya lebih meriah
Mengisinya lebih barakah.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi
29 Ramadhan 1434
07   Ogos  2013.

Selamat Menyambut Idul Fitri 1434/2013

Maaf Zahir Batin

No comments:

Post a Comment