August 19, 2013

Tahap-Tahap Ke Arah Pembinaan Teori Takmilah

-->
BBB, 11 Syawal 1434 = 18 Ogos 2013 (Ahad):

Kelahiran Teori Takmilah yang mau diaplikasikan kepada bidang permuziuman bukanlah secara mengejut, tetapi ianya adalah melalui perkembangan logik yang melahirkan teori tersebut. Teori Takmilah ialah hasil usaha membina teori bagi sastera Islam. Proses ke arah kelahirannya memakan masa dua dekad. Bahkan jika dikira dari segi pengaplikasian, maka ianya mengambil masa lebih tiga dekad bagi mencapai tahap mantap.


Tapak kelahiran Teori Takmilah bermula dari gelombang kesedaran Islam yang berlaku  dari awal 1970an. Antaranya kesan berlakunya revolusi Iran (1969), penafsiran terhadap Islam, bahawa Islam bukan sekadar agama semata-mata untuk ibadat, tetapi ianya adalah `Din` cara hidup yang `Syumul` yang merangkumi seluruh cara hidup dan mati – dunia dan akhirat nanti. Lahirnya tokoh-tokoh ilmuan Islam yang menafsirkan Islam secara dinamik. Wujudnya perjuangan bagi menjadikan Tanah Melayu sebuah Negara Islam yang merdeka dan berdaulat seperti yang diperjuangkan oleh Pas (ditubuhkan sejak 24 November 1951) menjadikan perspektif Islam lebih jelas (50 Tahun Pas Terengganu 1956-2006, Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, 2006: 17). Pada masa yang sama timbul gerakan mahasiswa di pasat-pusat pengajian tinggi seperti PKPIM, ABIM dan PMUKM yang cenderung kepada perjuangan Islam (Motto PMUKM – Keislaman dan Kebumiputraan). (Gemasiswa, Jil.1, Bil. 2, 1971: 12). Gerakan mahasiswa ini mempunyai penasihat-penasihat yang terdiri dari kalangan tenaga akademik dan mempunyai hubungan dengan gerakan kemahasiswaan pada peringkat antarabangsa.

Setengah dekad daripada itu, iaitu pada pertengahan 1970an tercetus persoalan yang berhubung dengan Sastera Islam. Perbincangan-perbincangan mengenai Sastera Islam membawa kepada tertubuhnya Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) pada 01 Jamadil Akhir 1396 bersamaan 3 Mei 1976 bertempat di Maktab Perguruan Islam di Petaling Jaya. Gapim giat mengadakan Simposium Bahasa dan Persuratan, Memperingati Tokoh contoh seperti Iqbal, Seminar Sastera dan Muktamar Gapim. Pada masa yang sama tokoh-tokoh penting yang cenderung kepada Persuratan Islam memperkatakan tentang `Sastera Islam`. Mereka seperti Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Muhammad Uthman El-Muhammady, Ismail Hamid, Ismail Ibrahim, Hashim Musa, Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Abdullah Hussein, Dr. Kamal Hassan, Mana Sikana dan beberapa yang lain lagi (Shafie Abu Bakar, Di Antara Sastera Dan Persuratan Islam, Muktamar Gapim Ke 3 Serta Simposium Bahasa Dan Persuratan, Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, 1979: 30). Bahkan berhubung dengan Sastera Islam ini tercetus polemik Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, berikutan dari buku yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad berjudul Kesusasteraan dan Etika Islam. Konsep Sastera Islam bagi Shahnon dapat difahamkan dari petikan berikut:

``Berbudaya, berseni atau bersastera bertonggakkan Islam, sama saja seperti beribadah atau berbakti kepada Allah. Di sini beribadah membawa pengertian yang luas mencakup sebarang perbuatan manusia demi kerana Allah semata-mata, bukan sekadar bersembahyang, berpuasa, menunaikan fardhu Haji atau berzakat. Dalam beribadat (seperti dalam proses penciptaan karya sastera) pokok pangkal wajib bertolak dari Tauhid – keyakinan seluruh jiwa raga tentang keesaan dan ketunggalan Allah. Bersastera mengikut Islam wajib dijalankan kerana Allah dan tidak ada yang lain melainkan Allah, tetapi sama seperti beribadat yang berbagai corak, hikmahnya ialah untuk manusia. Sastera dicipta kerana Allah untuk manusia (Shahnon Ahmad, Kesusasteraan Dan Etika Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1981: 3).

Dalam kritikannya terhadap konsep sastera Islam Shahnon berhubung dengan buku `Kesusasteraan  dan Etika Islam, Kassim menyatakan:

``Risalah ini lebih merupakan satu huraian tentang teologi Islam daripada teori estetikanya. Tujuh puluh peratus daripada kandngannya menumpu kepada soal-soal Islam sebagai  ad-din atau satu cara hidup dan kejatuhan Islam sebagai akibat penyelewengan umat Islam daripada konsep ini. Dengan demikian aspek sastera yang patut menjadi tumpuan masalah tenggelam di dalam timbunan teologi dan sejarah.``
(Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik  Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987: 2).

Menurut Kassim, bahawa pendapat Shahnon tentang Sastera Islam, ialah sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia, kesusasteraan yang berakhlak yang telah ditetapkan oleh Khaliq, karya yang jelas dan satu ibadah – bahawa konsep-konsep ini adalah lebih baik dan lebih kukuh dibandingkan dengan konsep `Seni Untuk Seni` dan `Seni Untuk Masyarakat`, tetapi menurut Kassim:

``Namun demikian, ia tidak cukup sebagai satu teori estetika atau teori sastera Islam. Satu teori Sastera Islam memerlukan beberapa konsep dan struktur yang boleh menerangkan tujuan-tujuan, sumber-sumber, proses-proses penciptaan, sifat-sifat, bentuk-bentuk, kaedah-kaedah, nilai dan keindahan sastera (Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, 1987: 3).

Mempertahankan pendekatannya, Shahnon menjawab terhadap kritikan Kassim Ahmad,

``Saya amatlah bersetuju dengan Kassim bahawa buku saya itu lebih merupakan satu huraian tentang teologi dan sejarah Islam. Saya banyak menyentuh soal-soal Islam sebagai ad-Din atau satu sistem hidup yang menyeluruh dan sempurna. Teori dan konsep sastera Islam itu sendiri amat sedikit saya bicarakan.

Tetapi menurut Shahnon, format seumpama ini memang disengajakan kerana saya cuba untuk mengikuti kewajaran dan keunikan teori dan konsep sastera Islam itu sendiri. Seperti yang diterima oleh Kassim, bahawa sastera Islam adalah sastera kerana Allah, sastera yang berakhlak mengikut nilai-nilai mutlak dan sastera yang bersifat ibadah. Pokok kepada konsep ini dengan sendirinya bermaksud bahawa keutamaan diberi kepada aspek-aspek ibadah kepada Allah, soal-soal teologi dan sejarah perlulah ditonjolkan seberapa yang boleh, menyentuh sedikit sebanyak ilmu-ilmu usuluddin atau tauhid supaya soal iman dan iktikad diperteguhkan. Menyentuh aspek-aspek fiqah dan tasawuf supaya betul dan sah kaedah ibadat itu dan bersih hati dari sifat-sifat mazmumah. Sekiranya soal-soal teologi dan sejarah tidak diutamakan dalam pembicaraan sastera Islam, maka ragu-ragulah seseorang itu dalam tindakannya melibatkan diri dalam kegiatan sastera Islam sebagai satu ibadah (Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, 1987: 9 -10).

Polemik sastera Islam antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad agak panjang dan tentulah tidak mampu dibawa kesemua persoalan di sini, tapi satu yang jelas perbincangan sebelum mereka berdua menyentuh soal konsep dan definisi menyemarakkan perbincangan mengenai Sastera Islam. Berbagai pendapat diutarakan antaranya Sastera Islam ialah sastera dakwah, sastera berprinsipkan tauhid, sastera berakhlak dan sebagainya. Polemik yang dibawa oleh kedua-dua tokoh lebih mendalam. Dari pelbagai pendapat dan pandangan terutama antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad sudah ada sentuhan mengenai teori tentang sastera Islam, tetapi masih pada peringkat permulaan.

Satu yang menarik, perbincangan tentang Sastera Islam bukan lagi antara individu dan tokoh-tokoh, tetapi melibatkan institusi-institusi penting yang berkait dengan bahasa dan persuratan, bahkan membawa kepada peringkat negeri dan Negara. Misalnya pihak DBP beberapa kali mengadakan persidangan yang berhubung dengan Sastera Islam, antaranya melahirkan buku panduan mengenai sastera Islam antaranya selepas mengadakan  Nadwah Sastera Islam (S. Jaafar Husin –Penyelenggara, Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995: 258hlm.). Jabatan Persuratan Melayu, UKM mengadakan seminar-seminar, antaranya membincangkan tentang Teori Sastera Islam (Mana Sikana – Penyelenggara, Teori Sastera dan Budaya Dalam Kajian Akademik, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1997: 202hlm) dan Estetika Dan Takmilah (Mana Sikana – Penyelenggara, Pembangunan Seni & Sastera, Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan Akademi Seni Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur: 1997: 229hlm.)
Pihak kerajaan negeri juga turut terlibat menganjurkan seminar Sastera Islam. Misalnya Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Gapena mengadakan Seminar Sastera Islam pada Hari Sastera `78 dengan kerjasama Gapena Dan Pelita Terengganu, di Kuala Terangganu pada 24 – 27 Julai 1978 yang dari himpunan kertas-kertas kerja melahirkan buku Kesusasteraan Melayu dan Islam. (Kesusasteraan Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 258hlm.). Pada peringkat Negara pula diadakan Simposiom Serantau Sastera Islam yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negara Brunei dengan kerjasama Universiti Brunei di Negara Brunei dari 16 – 18 November  1992 yang melahirkan buku Simposium Serantau Sastera Islam (Simposium Serantau Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 1996: 436hlm.).

Demikianlah Sastera Islam yang tercetus pada pertengahan 1970an berkembang luas diperkatakan dari peringkat individu, tokoh-tokoh, persatuan, institusi-institusi membawa kepada peringkat negeri dan Negara. Sastera Islam terus berkembang dari peringkat polemik ke tahap akademik dan insya Allah akan dibicarakan pada tahap praktik yang membuka ruang kepada pembinaan teori.

Sekian.

No comments:

Post a Comment